Jumaat, 31 Disember 2010

MURABBI MURSYID

Hari-hari yang dilalui di Matri semakin hari semakin menyeronokkan. Jiwa makin tertambat. Hati makin terikat. Mana tidaknya, guru-guru yang mengajar kami semuanya berjiwa mursyid. Kejujuran dan keiklasan mereka amat kami rasai. Penduduk yang tinggal berdekatan dengan Matri juga semuanya masya Allah baik-baik belaka. Bahkan, mereka melayani kami seperti anak mereka. Mereka itu semua adalah anak didik almarhum Ustaz Dahlan. Begitu juga selain mereka, yang iltizam dan komited mengikuti didikan, tarbiah dan pemelajaran bersama almarhum, jika mereka bersua dengan kami di ijtimak, gotong-royong atau di mana-mana, mereka akan bertanya khabar dan mengambil berat serta membantu kami jika diperlukan. Mereka amat ringan tangan untuk menghulurkan bantuan dan bimbingan. Begitulah kesan didikan yang mereka terima daripada mursyid ulung itu. Itulah pengakuan mereka. Nilai didikan itu pula mereka tumpahkan kepada kami. Itulah pula yang saya rasai.

Aktiviti pendidikan Matri pada peringkat awal seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, tidak tertumpu di kelas semata-mata. Aktiviti pemelajaran di kelas hanyalah sebahagian daripada program pendidikan di Matri. Kami selalu di bawa oleh almarhum cikgu Tajul bermain badminton di dewan badminton ITM Arau (sekarang UiTM). Sepanjang perjalanan ke dewan badminton, dalam keretanya itu beliau mengambil kesempatan berbual pelbagai topik dengan kami. Dari kisah perjalanan hidupnya membebaskan diri daripada tawanan jahiliah, juga beliau cuba menyelongkar latar peribadi kami, kemudian beliau kaitkan dengan tarbiah (didikan Islam). Beberapa hari selepas kami daftar di Matri kami juga diminta bersama-sama membantu majlis ibadah Qurban berbelas ekor lembu. Cikgu Yahya pula mengajak kami berkebun di lot tanah bersebelahan bangunan Matri. (sekarang rumah Tuan Haji Abdul Malek). Dalam kalangan anak didik almarhum ada juga yang suka membawa kami ke rumah mereka untuk menjamu selera, berbuka puasa, tidur dan sebagainya. Ada juga yang membawa kami ke pantai Sungai Berembang mencari mentarang, ke dusun mengait buah rambutan. Maklum sahajalah pada masa itu bilangan kami tidak ramai, tentu mudah untuk mereka uruskan kenderaan membawa kami. Begitulah gandingan pelbagai murabbi membentuk arus Islamiah di Matri yang disebutkan sebagai Biah Solehah. Suasana tersebut sebenarnya mendidik kami yang masih di awal Dhuha Tarbiah Islamiah.

Alhamdulillah, saya mengambil kesempatan ini sebaiknya untuk menyirat benang ukhuah Islamiah.Sehingga kini mereka itu semua amat akrab dengan saya walaupun dalam kalangan mereka sudah mencapai umur tujuh puluhan sedangkan saya baru menunas di awal empat puluhan. Sebahagian mereka juga telah pergi meninggal kita buat selama-lamanya.

Begitu jugalah guru-guru mursyid yang mengajar kami di kelas, amat mesra dan tawadhuk. Boleh duduk menghadap talam makanan bersama anak muridnya tanpa kekok. Selepas pemelajaran kelas petang mereka bersama kami menjamu selera di lobi sementara menunggu solah asar. Selepas solah asar pula ada dalam kalangan mereka bersama kami pula berkejaran bola di padang. Hubungan sebegini langsung tidak mengurangkan hormat kami kepada mereka. Kami tetap meletakkan mereka sebagai tok guru dan memperlakukan sepertimana sepatutnya seorang anak murid. Hubungan sedemikian membuatkan kami mudah berbincang dengan mereka di dalam mahupun di luar waktu kelas.

Lebih-lebih lagilah tuan guru mursyid kami almarhum ustaz Dahlan, dialah qudwah kepada kami dan mereka. Beliau dilihat menghayati tarbiah yang beliau sampaikan. Beliau amat menonjol dalam setiap aktiviti amal jamai (gotong royong) yang dianjurkan di Matri. Beliau juga memiliki pengetahuan asas dalam pertukangan, pertanian, masakan dan sebagainya. Pertimbangannya juga dilihat daripada pelbagai sudut terutamanya syarak dan tarbiah. Jadi tidak hairanlah kebanyakan keputusan biasanya akan dirujuk terlebih dahulu kepada beliau sama ada soal deen mahupun permasalahan lain.

Pernah suatu hari beliau membawa kami ke kebunnya di Semadong. Di situ ada sebuah pondok kecil. Buluh-buluh hutan ada beberapa perdu. Selain itu ada beberapa pokok cempedak sebesar paha, pokok kelapa dan pokok nangka. Ada juga pokok petai setinggi aras bahu. Kawasan kebunnya itu diselimuti hutan belukar. Sekitar kebunnya pula adalah kawasan kebun getah. Sampai di sana ustaz memberitahu kami ada beberapa pokok yang ditanamnya perlu dibersihkan. Beberapa rakan saya mencapai parang dan pergi menebas sekitar pokok-pokok yang telah ditanam. Saya pula mengekori beliau membantu mencari rebung di perdu buluh. Sambil-sambil mencari rebung sempat juga beliau mengintai pokok cempedaknya yang sebesar paha itu. Ada kesan-kesan lubang dimakan ulat pada dahan cempedak. Beliau mengambil ranting kayu sebesar jari kelingking sepanjang sehasta diikatkan kain buruk dihujungnya. Batang itu dicelupkan dalam minyak hitam (minyak enjin yang telah digunakan) lalu dititikkan ke dalam lubang ulat tadi. Beliau memaklumkan saya tujuannya agar ulat-ulat itu tidak datang lagi mengganggu dahan cempedak tersebut.

Hari itu al marhum Ustaz Dahlan memasak makanan tengahari di kebun itu untuk menjamu kami. Hanya mengunakan dapur kayu, semuanya beliau uruskan sendiri. Saya sekadar memerhatikan beliau memasak dan membantunya seperti yang diminta. Saya amat tertarik sekali cara beliau memasak sayur rebung buluh hutan. Rebung buluh hutan itu dirincikkan kemudian direbus bersama sedikit udang, buah terung Belanda, dan sedikit belacan. Buah terung itu juga diambil daripada pokok yang berhampiran pondok. Beliau memberitahu saya belacan dimasukkan sedikit supaya rebung nanti rasa manis. Masakan kesukaannya itu memang menepati selera saya. Rakan yang lain ada yang membantu membakar ikan kembung. Walaupun masakan ala kadar sahaja, nasi berlauk ikan bakar, sayur rebung dan sambal, namun cukup meyelerakan. Setelah selesai makan kami pulang ke Matri.

Walaupun saya sudah keluar Matri namun kenangan bersama mursyid di Semadong sentiasa dalam ingatan saya.Program tersebut menjadi sebahagian aspirasi saya untuk pelajar-pelajar saya. Semasa saya bekerja di luar Perlis, saya sering menziarahinya dirumahnya di Kampung kersik. Perkembangan kebun di Semadong antara persoalan yang saya kemukakan kepadanya. Minggu-minggu terakhir sebelum beliau di masukkan hospital buat kali terakhir, saya sempat bersamanya makan dan berkebun di Semadong beberapa kali.





Mencicah buah mempelam bersama guru bahasa Inggeris Cikgu Tuan Hassan



Rehlah ke Langkawi bersama anak didik almarhum



Makan bersama Makcik Onen dan lain-lain



Bersama Ummi Halimaton menunggu feri rehlah ke Langkawi.

Jumaat, 24 Disember 2010

AMBILLAH ISLAM

Ambillah Islam, jadikan jalan
Kepada Allah hala tujuan

Ambillah Islam jadikan petunjuk
Al Quran as sunnah sebagai induk

Ambillah Islam jadikan amalan
Hidup tenang aman berkekalan

Ambillah Islam jadikan rujukan
Lenyap masalah, jauh kesesatan

Ambillah Islam jadikan peraturan
Berasaskan fitrah amalan dilakukan

Ambillah Islam menaut persahabatan
Ukhuah Islamiah jalin ikatan

Ambillah Islam hiasi diri
Peribadi mulia sahsiah terpuji

Ambillah Islam seluruh hayat
Dunia akhirat Insya Allah selamat.

Yazid Noh
24 Dis 2010

Jumaat, 10 Disember 2010

TITIPAN TARBIAH

Selepas Matri dibuka, ijtimak yang sebelum ini diadakan disurau Tanjong Gorah dipindahkan ke surau Matri. Antara lain tujuannya, bagi memudahkan pelajar Matri turut serta dalam penyampaian ijtimak. Setiap pelajar Matri dikehendaki hadir ke ijtimak tersebut. Ijtimak tersebut kekal hari jumaat petang sehinggalah hari jumaat diisytihar sebagai hari bekerja dan hari persekolahan negeri Perlis. Selepas itu ijtimak tersebut di tukar pula ke hari sabtu. Antara penekanan Almarhum Ustaz Dahlan setiap kali muqaddimah penyampaian ijtimaknya, kembali kepada kefahaman Islam yang sebenar sepertimana yang dijelaskan oleh ulamak muktabar, iaitu mereka yang jelas kehidupan mereka untuk Islam. Antara kitab yang dikupaskan oleh almarhum semasa penyampaian ijtimaknya ialah fi Dzilalil Quran, karangan as-syahid Syed Qutb dan Shakhsiah Muslim, karangan Ali Hashimi.

Setiap jumaat petang surau Matri akan dibanjiri ahli-ahli masyarakat yang jauh dan dekat bagi mengikuti ijtimak tersebut. Ada juga yang datang daripada Jitra, Alor Setar dan lain-lain tempat. Surau yang besar agam tadi semakin sempit untuk memuatkan para hadirin. Saf solah asar hari tersebut sampai ke belakang surau bahagian lelaki. Pernah suatu hari hadir seorang lelaki; besar ragam badannya, mukanya bukan melayu, turut serta dalam ijtimak . Saya pernah melihatnya beberapa kali di Kedah sebelum saya masuk Matri. Kata orang, dia orang Afghan, datang ke sini kerana negaranya bergolak dalam kancah peperangan dengan Soviet Union. Dia datang lebih awal, melihat sekitar bangunan Matri sebelum naik ke atas surau, tempat ijtimak. Dia berada di hadapan sekali, hampir dengan tempat almarhum membuat penyampaian. Seusai penyampaian, lelaki itu meminta kebenaran untuk menyampai sedikit ucapan. Dengan senang hati almarhum menyerahkan pembesar suara kepada beliau. Antara lain kandungan ucapan beliau yang saya masih ingat ialah beliau melahirkan kekagumannya, kerana dalam ramai yang hadir ijtimak itu tiada seorangpun yang merokok. Dia juga menyentuh tentang jilbab dengan gaya yang melucukan. Beliau mengatakan makanan kita tutup dengan tudung (tudung saji), botol juga ada tudung, tong sampah juga ada tudung (penutup), ular juga ada tudung (tedung). Apa pasal banyak orang perempuan susah mahu pakai tudung? Selepas ucapan, beliaupun memaklumkan dia mahu menjual minyak atar. Suara tawa bersipongang di ruang surau agam itu.

Selepas solah asar Lelaki Afghan itu membuka kain di lobi Matri. Di situ dia meletakkan pelbagai jenis atar yang harum baunya. Saya pergi juga ke situ untuk mengambil bau sahaja. Ada beberapa orang yang mencuba harumannya dan membeli. Selang beberapa ketika datang almarhum ustaz Dahlan mencubanya. Saya memerhatikannya dengan penuh hormat. Tiba-tiba beliau menyuruh saya mengambil satu botol yang mana yang saya suka. Saya agak terkejut dengan pelawaannya itu. Saya rasa amat keberatan untuk menerima pelawaan almarhum. Di hati kecil memang mahu tetapi ada rasa malu. Tambahan pula latihan daripada kedua ibubapa sejak kecil jangan meminta-minta. Lantas saya terus menolak pelawaan ustaz tersebut. Lagipun saya rasa bersalah pula nak terima pemberian daripada tok guru. Saya fikir sepatutnya sayalah yang hadiahkan kepadanya. Almarhum menyuruh saya mengambilnya beberapa kali, malu-malu saya menolaknya. Saya fikir juga kalau beliau sendiri yang ambilkan botol atar itu dan hulurkan kepada saya, ahh, pasti saya akan mengambilnya.

Setelah sekian bulan berlalu, saya terbaca hadis nabi S.A.W daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Muslim, Nasa'i dan Abu Daud tentang bau-bauan semasa, maksudnya, ''Siapa yang diberikan wangian janganlah menolak, kerana ia mudah dibawa dan semerbak harumnya''. Ingatan saya segera mendarat di lapangan peristiwa pemberian atar oleh almarhum. Masya Allah, di saat itu saya perasan sebenarnya almarhum mahu melihat sejauh mana kefahaman dan fikrah saya. Daripada pemerhatiannya itu, nanti beliau tentunya akan taburkan sentuhan-sentuhan tarbawi dari mulutnya dan juga tingkahlakunya secara disedari ataupun tidak. Tentunya sentuhan-sentuhan mursyid yang amat berhikmah itu merupakan sentuhan nurani yang akan menyinari jiwa saya dengan kesedaran Tarbiah Islamiah lebih-lebih lagi ketika kesedaran Islam saya baru di fajar menyingsing.


Sebahagian kenderaan hadirin ijtimak

Selasa, 30 November 2010

BERBAHASA ARAB

Antara perkara awal yang diminta oleh Almarhum ustaz Dahlan selaku mudir Matri kepada kami, setelah bermulanya sesi pembelajaran supaya berurusan dalam bahasa Arab sesama kami. Saya sendiri amat lemah dalam bahasa Arab sama ada bertutur, menulis atau memahami bahasanya. Begitu jugalah dalam kalangan rakan saya yang lain. Cuma ada seorang sahaja yang mampu menguasai bahasa Arab dengan amat baik. Pengajaran yang disampaikan dalam kelas juga dalam bahasa Arab sepenuhnya kecuali bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sahaja. Lebih banyak yang saya tak faham daripada yang saya faham. Hasrat almarhum itu sebenarnya selari dengan matlamat penubuhan Matri yang kedua; Memberi pelajaran/Pengetahuan bahasa Arab hingga ke peringkat membolehkan pelajar-pelajarnya memahami kandungan Al-Quran Al-Karim, Sunnah Nabawiyah dan kitab-kitab ilmu yang berbahasa Arab.

Iklan pertama tawaran permohononan kemasukan Matri

Almarhum ustaz Dahlan tidak putus-putus memotivasikan kami supaya menggunakan bahasa Arab dalam semua urusan sesama kami sama ada di dalam atau luar Matri. Pelbagai nasihat dan kata-kata semangat terus-menerus menghujani kami dari mulut Murabbi Besar itu. Ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi, kata-kata imam dan para ulama tentang pentingnya bahasa Arab dalam kehidupan umat Islam dan peri penting bahasa Arab yang Fusha antara peluru yang digunakannya sebagai nasihat dan motivasi. Rasulullah bersabda atau seperti mana yang disabdakan dari mulutnya yang bermaksud, “cintailah bahasa Arab kerana tiga perkara; kerana aku berbahasa Arab, kerana Al-Quran bahasa Arab dan kerana percakapan ahli syurga bahasa Arab”. Itu antara hadis yang pernah dibacakan kepada kami. Almarhum juga pernah berhujah mempelajari bahasa Arab itu termasuk juga fardhu Ain.

Sehinggakan Almarhum meminta sekiranya sesuatu perkataan yang kami tidak tahu, gunakan perkataan Melayu sahaja untuk sementara, tapi bunyikan ala Arab dengan menambahkan tanwin (tanda baris bacaan dalam tulisan arab) di belakang perkataan tersebut atau tambah alif dam lam pada awal perkataan tersebut. Jika kami terserempak dengan almarhum dia pasti akan bertanyakan sesuatu dalam bahasa Arab kepada kami. Jika soalan diajukan kepada saya, berjerih saya menjawabnya. Namun demikian kadang-kadang sengaja saya mendekatinya supaya almarhum tanyakan sesuatu dalam bahasa Arab kepada saya. Saya dan kawan-kawan juga saling memberikan semangat antara satu sama lain walaupun dalam senda gurau. Kami terus mencuba dan mencuba, berusaha dan terus berusaha dengan sedaya upaya. Kadang-kadang terpaksa kami pinjamkan bahasa Melayu yang ditanwinkan atau diletakkan alif Lam seperti yang dicadangkan oleh almarhum. Pelbagai kelucuan berlaku antara kami.

Pernah pada suatu hari, gotong royong mingguan di Matri, di kawasan yang saya bertugas memerlukan cangkul. Saya terus bergegas mencari cangkul di mana-mana kawasan yang saya fikirkan boleh dapatkan cangkul. Saya ke setor bawah tangga surau. Ketika saya berlari anak ke arah setor, rupanya almarhum dari bilik lobi sedang menuju keluar dan saya sempat mengerling kepadanya. Semasa saya berdiri di hadapan setor, mata saya melilau mencari cangkul, almarhum sudah berada di hadapan pintu utama lobi, tidak jauh dari saya, memerhatikan gelagat saya.
“Ya Yazid! Madza tabhath?” Saya terdengar suara almarhum mengajukan kepada saya. Berjerih perih saya selongkar perkataan cangkul dalam kotak memori saya, ternyata perbendaharaan itu tidak ada. Ingatan saya segera tergambar nasihatnya di kelas. Mulut saya segera menutur, “abhathu shangkulun, ya ustadzh, sahabat yurid”.
Almarhum mengukirkan senyuman kepada saya seraya berkata, “ohhh! Mijrafatun!”
“Madza ya Ustadz”, saya juga hampir tergelak sambil membalas ucapan untuk mendapatkan kepastian.
“Mijrafatun, mim… jim… ra… fa… tha marbhuthoh…, mijrafatun”, balas almarhum.

Kesungguhan almarhum Ustadz Dahlan mewujud Biah al arabiah (suasana berbahasa Arab) ternyata amat berkesan kepada jiwa saya . Tidak berapa bulan berada di Matri, alhamdulillah saya semakin mampu bertutur dalam bahasa Arab. Semakin hari semakin baik. Saya dan rakan-rakan serta guru-guru sudah mampu berdialog dalam bahasa Arab dalam kebanyakan suasana. Biah itu juga turut memberi kesan kepada mereka yang salalu datang berkunjung ke Matri. Begitu juga kumpulan kedua dan ketiga Matri yang saya sempat bersama mereka.

Pernah pada tahun kedua penubuhan, Matri dilawati oleh seorang wakil dari Universiti Islam Madinah bernama as Syeikh Abdullah. Satu bertemuan dan dialog bersamanya diadakan. Alhamdulillah kami berpuas hati kerana mampu memahami dan mampu berbual bicara dengannya dalam bahasa Arab. Walaupun ada beberapa perkataan yang tidak faham tetapi yang pentingnya mesej yang mahu disampaikannya rasanya kami faham. Pada tahun berikutnya Matri mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur. Lawatan kali ini melibatkan tiga kumpulan pelajar yang berlainan tahun kemasukan. Antara tempat yang kami lawati ialah Mustasyar Alam Islami, di Jalan U Thant. Di sana kami bertemu dengan as Syeikh Abdul Rahman al Gannam sebagai pengarahnya. Suasana itu semua suasana berbahasa Arab. Kami sempat bersamanya mendengar ucapan aluan serta kami juga sempat berbual dengannya. Saya lihat As-Syeikh sentiasa terukir senyuman sepanjang kami berada di Mustasyar Alam Islami. Saya harap dia berpuas hati dengan kami.

As-syeikh Abdul Rahman beramah mesra dengan almarhum ustaz Dahlan dan rombongan Matri


Setelah tamat belajar di Matri semangat saya untuk belajar di Timur Tengah berkobar-kobar. Saya amat mengharapkan dengan melanjutkan pelajaran di timur tengah tentunya dapat memantapkan lagi tahap penguasaan bahasa Arab saya. Doa saya dapat sambung belajar di tempat-tempat belajar secara percuma atau dibiayai oleh mana-mana institusi lantaran ketidakcukupan perbelanjaan. Saya pernah pergi ke kedutaan Libya dan Mesir. Asal sahaja saya dengar ada temuduga di negara Arab saya akan usahakan untuk hadirkan diri. Beberapa orang rakan seperjuangan saya yang lain, dengan belanja sendiri mereka merantau ke Negara Arab mencari tempat belajar. Muhammad Rahalim ke Syria, Shaari dan Muhammad Zaki ke Sudan. Akhirnya semua mereka itu berjaya menamatkan pembelajaran mereka masing-masing di universiti di Jordan dan al Azhar, Mesir.

Biah al Arabiah yang diwujudkan di Matri benar-benar memberikan kesan yang mendalam kepada jiwa saya bukan sahaja di Matri, malah setelah saya keluar Matri pun, bahkan sehingga ke hari ini. Selepas saya tamat belajar di Matri saya pernah diminta oleh beberapa orang yang tinggal di perkampungan Tunjung supaya mengajar mereka bahasa Arab. Saya sedar saya baru setahun jagung dalam bahasa Arab, pengusaannya juga tidak sepenuhnya, tetapi atas dasar semangat berbahasa Arab saya mencuba untuk bersama mereka yang sudah berpangkat bapa kepada saya itu. Begitu juga saya pernah diminta oleh Hj. Abdul Samad (sekarang Imam masjid Kampung Darat) untuk mengisi slot bahasa Arab dalam kumpulan usrahnya (kumpulan diskusi). Kelas-kelas tersebut terhenti apabila saya ditawarkan mengajar di Sekolah Rendah Ibn Khaldun, Taman Jasa, Sungai Tua, Batu Caves, Selangor. Antara subjek yang diberikan kepada saya di sekolah-sekolah sepanjang tempoh pekhidmatan sebagai guru juga bahasa Arab untuk peringkat rendah. Masya Allah, saya amat bersyukur atas anugerah ilahi ini. Berkat doa dan kesungguhan almarhum walaupun saya belum berkesempatan untuk bermustautin di negara Arab, namun setakat ini alhamdulillah mampu berbahasa Arab walaupun tentunya banyak lagi kelemahannya. Cita-cita saya untuk menjejaki bumi anbiya tidak berkubur lagi. Saya berharap dalam hidup saya dapat juga menjejakinya dan dapat berbicara dengan mereka dengan bahasa ibunda mereka serta memahami budaya bahasa mereka.

Ahad, 21 November 2010

PENGORBANAN MURABBI

Alhamdulillah, syukur kini saya sudah menjadi warga Matri pada 7 Zulhijjah 1407 bersamaan 2 Ogos 1987. Di situ saya dipertemukan dengan rakan dari pelbagai negeri. Ada juga dari luar negara; mereka itu tidak boleh berbahasa Melayu. Bilangan kami yang kekal di Matri akhirnya 8 putera dan 9 orang puteri iaitu:-
1. Harun bin Ja’afar (Thailand)
2. Rahmat bin Syukur (Johor)
3. Qari bin Yahya (Thailand)
4. Muhammad Abu Bakar bin Ismail (Trengganu)
5. Sha’ari bin Awang (Pulau Pinang)
6. Mohd. Zaki bin Ahmad (Trengganu)
7. Yazid bin Noh (Kedah)
8. Mohd. Rahalim bin Sulaiman (Trengganu)
9. Fauziah bt. Hj. Hassan (Kedah)
10. Marhaini bt. Mohamad (Perlis)
11. Nur ‘Izzah Husna bt. Md. Zaki (Perak)
12. Noni Fina bt. Ismail (Perlis)
13. Saadiah bt. Nordin (Perak)
14. Hashima bt. Ishak (Perlis)
15. Zakiah bt. Ismail (Perak)
16. Hanisah bt. Ismail (Trengganu)
17. Azawiyah bt. Abdullah (Perlis)

Pelajar putera ditempatkan di satu bilik di bawah surau kayu yang agam itu sebagai bilik penginapan kami. Pelajar puteri pula di ditempatkan di rumah-rumah keluarga angkat yang berada di sekitar bangunan surau Matri.

Waktu pemelajaran yang dijalankan secara anjal serta cukup toleransi. Waktu pagi belajar dari pukul 9.00 hingga 11.00 pagi. Kelas pemelajaran disambung pula pada 2.30 petang hingga 4.30 petang. Kelas malam pula dari pukul 8.00 hingga 11.00 malam. Kadang-kadang waktu pemelajaran ditukar ke waktu lain sekiranya para pengajar ada kekangan.

Selain pemelajaran formal di dalam kelas, kami juga dikehendaki menyertai kelas pengajian informal seperti kuliah-kuliah, ijtimak umum (yang sebelum ini diadakan di surau Tanjung Gorah dipindahkan ke Matri selepas Matri dibuka), usrah dan sebagainya. Kami juga dikehendaki melibatkan diri dalam bermain, bersukan, aktiviti lawatan, amal jamai’ (membina, menyiapkan dan membersihkan Matri), perkhemahan dan sebagainya. Bahkan, pernah juga kami dibawa oleh ustaz Dahlan sendiri ke kebunnya di Semadong. Pelajar-pelajar lelaki pula dikehemdaki memasak sendiri. Kami menyediakan jadual giliran memasak sesama kami. Semuanya itu suasana yang mempengaruhi sahsiah saya dalam pengorbanan, persaudaraan, mahabbah, jiddiah, keikhlasan dan lain-lainnya.

Guru-gurunya pula adalah tenaga sukarela daripada guru-guru sekolah kementerian dan pensyarah ITM (sekarang UiTM). Mereka yang mengajar di sekolah kementerian di sebelah pagi atau petang dan pada paginya atau petangnya atau malamnya mereka datang menabur bakti pula di Matri. Ustaz Dahlan sendiri selepas tamat sesi persekolahan di Sekolah Menengah Agama Alawiyah (perempuan), Kangar, terus ke Matri. Dia tidak pulang ke rumahnya dahulu. Sering kali saya melihatnya hanya menjamah nasi bungkus sahaja sebaik tiba di Matri. Guru-guru lain yang turut menyumbang tenaga pada Awal pembukaan Matri ialah ustaz Omar bin Hj. Salleh, ustaz Abdul Hadi bin Osman, ustaz Abdul Karim bin Hasim, ustaz Tohir bin Saad, almarhum Cikgu Ghazali bin Omar, almarhum cikgu Yahya bin Ismail, Cikgu Mohd. Abduh bin Zainal Abidin dan cikgu Salim bin Omar. Kebanyakan mereka terus menyumbang khidmat mereka tanpa terukirpun di wajah mereka coretan kejemuan atau kebosanan sampai sekarang, bahkan ada yang sampai ke penghujung hayat mereka. Sesetengah mereka ada yang sudah mencecah usia melebihi tujuh puluh tahun. Almarhum Ustaz Dahlan sendiri menjangkau umurnya 76 tahun sebelum kembali ke rahmatullah. Subhanallah, pengorbanan yang amat mulia sebagai semaian jariah, mudah-mudahan.

Walaupun Matri pada ketika itu tidak dikenali; baru dibuka, sijilnya pun tiada pengiktirafan mana-mana institusi (mudah-mudahan Allah sahaja iktiraf), namun sedikitpun tidak mematahkan semangat saya dan rakan-rakan menggali ilmu di Matri. Kami belajar bagaikan peperiksaan bakal tiba. Walaupun pengajarannya gaya pengajaran pondok; pengajaran syarahan, namun keterbatasan teknologi tersebut tidak pernah melunturkan minat belajar di dada saya. Saya rasa semakin bersemangat untuk terus menggali ilmu dan semangat itu kekal membara sampai sekarang pada usia empat puluhan. Walaupun keadaan sedemikian rupa, namun alhamdulillah kebanyakan pelajar sulung Matri berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading di dalam dan di luar negara. Muhammad Abu Bakar bin Ismail merupakan pelajar pertama dalam kalangan kami yang ditawarkan ke Universiti Islam Antarabangsa, Madinah. Kini, generasi sulung Matri berusia 23 tahun, tiga daripada pelajar sulung itu kembali ke matri untuk sama-sama menyemai benih keikhlasan dan pengorbanan bersama mereka yang masih ada. Yang lain ada yang menjadi pensyarah di Universiti-Universiti, guru-guru di sekolah kerajaan, pegawai penyiaran radio dan lain-lain. Itulah kehebatan penyusunan Allah. Segala-galanya dari Allah.


Pelajar generasi pertama Matri bergambar kenangan bersama anak-anak Perkampungan Tunjung dan Pelajar dari IPT di hadapan Bangunan Surau Matri.


Saya di bilik penginapan.


Bergambar kenangan di padang USM semasa lawatan generasi pertama ke Pulau Pinang.

Selasa, 9 November 2010

Masuk Matri

Pada suatu hari selepas mengikuti ijtimak umum di surau Tanjung Gorah, Almarhum Haji Hosni mengajak kami yang menumpang vannya menjenguk banglonya di Kampung Tunjung. Masya Allah, jalan ke sana dari jalan besar hanya jalan berbatu, melalui kebun getah, di tepi bukit pula tu. Rumahnya masih dalam pembinaan lagi pada masa itu. Ada juga rumah-rumah lain yang berhampiran dengan kawasan pembinaan rumah Almarhum Haji Hosni sedang dalam pembinaan . Kami semua turun dari van dan melihat projek rumah al marhum yang belum siap itu. Tidak jauh dari situ, di kawasan yang lebih tinggi, nampak sebuah bangunan kayu, besar dan panjang tetapi masih belum siap. Dinding pun masih belum ada. Selepas beberapa ketika meninjau dan melihat sekitar rumah itu kami pun berangkat pulang ke Alor Setar. Dalam fikiran saya masih berlegar persoalan bangunan besar tadi. Saya pun berbisik kepada senior bersebelahan menanyakan bangunan tersebut. Dia memaklumkan bangunan itu akan dijadikan surau dan akan dibuat tempat pengajian.

Akhir tahun 1986, selepas saya selesai menjalani peperiksaan SPM, beberapa bulan selepas melawat rumah haji Hosni, saya telah menghadiri tamrin yang diadakan di bangunan surau tersebut selama tiga hari dua malam. Pada masa itu bangunan tersebut belum siap sepenuhnya. Dinding bahagian atas surau belum lengkap sepenuhnya. Bahagian bawah masih kosong. Hanya satu, dua bilik yang juga masih belum siap dijadikan bilik urusetia. Kehadiran peserta amat ramai melebihi seribu orang. Bagi memudahkan urusan semua peserta makan mengunakan talam. Mandi pula hanya menggunakan air perigi yang terletak kira-kira 150 meter dari surau.Airnya seperti air susu kerana airnya bercampur tanah. Tandas sementara juga turut disediakan berhampiran perigi.

Pada tamrin kali ini penubuhan Matri menjadi bahan bualan hangat dalam kalangan peserta tamrin. Bangunan tersebut akan disiapkan secepat mungkin. Pada sebelah petang aktiviti gotong royong dalam kalangan perserta turut di adakan bagi membersihkan kawasan sekitar surau. Hadirin muktamar yang sempat saya taaruf menepuk belakang sambil menggalakkan saya masuk Matri. Saya sekadar tersenyum. Bibit cinta kepada matri sebenarnya mula bertunas di sanubari saya. Semakin hari semakin bertambah kuat keinginan itu.

Selepas SPM, saya melanjut pelajar ke tingkatan enam rendah di Maktab Mahmud untuk mengambil Sijil Tinggi Agama (shahadah). Saya tetap komited mengahadiri ijtimak umum bersama almarhum Haji Hosni atau abang-abang lain jika almarhum tidak dapat hadir. Kadang-kadang selepas ijtimak kami terus ke Kampung Tunjung melihat perkembangan pembinaan rumah Haji Hosni. Sambil-sambil itu saya menjenguk bangunan surau yang samakin sempurna.

Motivasi-motivasi yang diberikan oleh pakcik-pakcik dan abang-abang membuatkan semangat mahu masuk Matri semakin kejap. Saya mula menceritakan sedikit-sedikit kepada ayah saya tentang Matri yang bakal ditubuhkan. Ayah saya diam tetapi seolah-olah dia memikirkan sesuatu. Saya terus bercerita perkembangan pembinaan Matri dari semasa ke semasa kepada ayah saya.

Beberapa minggu sebelum pendaftaran pelajar sulung Matri, satu taklimat khas penubuhan Matri diadakan di atas surah agam itu. Dalam taklimat tersebut, Pak Wan Najmi menyampaikan mesej peri pentingnya pembinaan istitusi pendidikan berteraskan tarbiah dan syarat kemasukan Matri. Cikgu Ismail Yaacob pula membentangan perancangan masa depan matri dan kewangan. Ustaz Dahlan pula menyampaikan pesanan-pesanan penting berkaitan dakwah dan tarbiah dan pentingnya sumbangan ke arah usaha-usaha dakwah dan tarbiah.

Hari pendaftaran Matri semakin hampir. Di samping itu, hampir dua bulan lagi saya akan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Agama Maktab Mahmud. Saya benar-benar mahu belajar di Matri. Namun ayah saya agak keberatan membenarkannya. Maklum sahajalah sekolah baru buka. Tiada pengiktirafahan dari mana-mana pula. Sebagai seorang ayah tentunya senantiasa memikirkan masa depan saya. Dia tentunya lebih pengalaman hidup sedangkan saya baru sahaja menjejak kaki di anak tangga pentas dewasa. Tarbiah yang saya terima daripada pakcik-pakcik dan abang-abang senior selama ini membuatkan saya terikat kuat dengan ketaatan kepada kedua ibu bapa. Saya luahkan masalah saya kepada mereka. Almarhum Haji Hosni dan almarhum cikgu Zainul Azhar menyatakan kesediaan berjumpa ayah saya. Mereka ke rumah saya di Pantai Jamai, Langgar. Selepas berbincang panjang dengan ayah saya mereka memberikan dua set pita kaset penyampaian taklimat penubuhan Matri. Saya bersama mereka berdua pulang semula ke Alor Setar selepas itu. Seminggu selepas itu saya pulang untuk mendapatkan jawapan daripada ayah saya. Dia bersetuju walaupun nampaknya berat. Sebelum saya berangkat ke Matri satu majlis meraikan kemasukan saya ke Matri di adakan di Lorong Keriang, Derga, Alor setar. Ayah saya turut dijemput menghadiri majlis tersebut. Ayah saya nampak ceria sepanjang majlis tersebut. Cikgu Azizan bin Dahaman telah diberi tanggungjawab membawa saya ke Matri pada hari pendaftaran. Ayah saya juga dibawa bersama ke Matri dengan menaiki kereta toyota L.E cikgu Azizan.

Selepas itu ayah saya semakin hari semakin percaya kepada Matri. Dia sering menyebutkan kelebihan Matri dalam mendidik pelajarnya dan keikhlasan Ustaz Dahlan melaksanakan kerja-kerja Islam kepada rakan sembangnya.Syukur tidak terhingga kepada Allah akhirnya saya diizinkan juga belajar di Matri.Selepas lebih kurang dua bulan di Matri saya mohon kepada mudir Ustaz Dahlan untuk bercuti beberapa hari kerana menghadiri peperiksaan STA di Maktab Mahmud.


Cikgu Ismail dan Pak Wan Najmi

Khamis, 28 Oktober 2010

Surau Tanjung Gorah.

Pukul 2.24 pagi, 27 Oktober 2010, saya menerima mesej ringkas menyatakan puan Hasmah isteri cikgu Salim bin Omar telah meninggal dunia pukul 11.30 malam. Cikgu Salim pernah mengajar saya Bahasa Melayu di kelas Khassah pada tahun 1987. Pagi ini saya bersama beberapa rakan sekerja pergi menziarahi cikgu Salim untuk menyampaikan ucapan takziah. Kebetulan rakan saya mempakir kereta tidak jauh dengan surau Tanjung Gorah tempat saya mula melihat wajah Ustaz Dahlan. Sebelum pulang saya mengambil kesempatan untuk merakamkan gambar surau Tanjung Gorah.

Selasa, 26 Oktober 2010

MULA KENAL

Kali pertama saya melihat wajah ustaz Dahlan semasa saya menghadiri ijtimak umum Abim Perlis di Surau Tanjung Gorah, Repuh, Perlis, sekitar tahun 1986. Ijtimak tersebut adalah aktiviti mingguan Abim Perlis yang diadakan setiap hari jumaat sekitar jam 3 petang.

Ketika itu saya masih belajar di tingkatan 5 di Maktab Mahmud, Alor Setar. Pakcik-pakcik yang saya kenali mereka sejak beberapa tahun lalu mengajak saya ke ijtimak tersebut dengan menaiki van C20 Haji Hosni bin Osman. Selepas menunaikan solah jumaat di masjid Derga, saya dijemput oleh mereka di sebuah rumah bujang di Lorong Keriang, Derga, Alor setar.

Kami tiba di surau Tanjung Gorah lebih awal. Ada beberapa orang di atas surau. Bila saya menjejak sahaja kaki saya di surau itu mata saya terus terpadang kepada seseorang yang telah sekian lama saya tidak berjumpanya. Hampir kabur ingatan saya kepada orang sekampung saya itu. Kami masing-masing keluar dari kampung. Saya menyambung pelajaran di Alor Setar dan dia keluar bekerja di Mada Tambun Tulang, Perlis. Tentunya umurnya lebih daripada saya. Umurnya sebaya dengan pakcik-pakcik yang mengajak saya ke ijtimak. Jurang umur langsung tidak menghalang mereka menjadikan saya seperti sahabat karib mereka. Hati saya berasa begitu gembira sekali denga pertemuan itu.

Orang semakin ramai memenuhi ruang surau papan itu. Pelbagai lapisan duduk bersila di atas surau setia menanti kehadiran tuan guru dengan penuh ketenangan. Ada tua dan ada juga yang muda. Bahkan, ada juga kanak-kanak berkejaran di bawah surau. Semuanya berbicara dengan manis muka. Setiap wajah mengukir senyuman yang sangat indah. Bicara mereka juga sekadar didengari oleh teman yang bercakap sahaja. Suara dekah mahupun suara ngilai tawa tidak saya dengari. Suara-suara yang ada bagaikan suara sekumpulan lebah sedang terbang. Tidak juga saya lihat kepulan asap dari mulu-mulut mereka. Suasana itu amat mendamaikan. Tidak berapa lama rakan saya berbisik mengatakan Ustaz Dahlah sudah sampai. Mata saya terus beralih ke arah susuk tubuh yang sedang bersalaman dengan hadirin berhampiran muka pintu belakang sambil berjalan menuju ke hadapan surau. Dia mengenakan pakaian ala kadar sahaja. Memakai baju ala baju Raihan, berkain pelikat, berkopiah putih dan menyangkut sehelai serban nipis di atas bahu. Dia melihat semua hadirin di atas surau. Yang berada di laluannya dia bersalam dan yang lainnya dia mengangkat tangan dengan melemparkan senyuman manis darinya.

Beliau membacakan kitab asal berbahasa Arab. Selepas itu beliau menterjemahkannya dan menghuraikannya dalam bahasa Melayu pula. Sebahagian besar hadirin tunduk mencatat sesuatu dalam buku nota dengan tekun sekali. Biasanya kuliah tersebut sampai solah asar sahaja. Kadang-kadang disambung pula selepas solah asar. Setelah selesai penyampain kuliah, kebiasaannya ustaz Dahlan akan menjemput Ust. Omar bin Hj. Salleh membuat rumusan.

Mulai hari itu, jika tiada aral, saya akan bertanyakan Haji Hosni tentang kepergiannya ke Ijtimak tersebut. Jika ada kekosongan, tanpa segan silu saya mohon menumpang bersama mereka ke ijtimak.

Sabtu, 4 September 2010

TETAMU MULIA MAHU BERANGKAT


Marilah kita merafa’kan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T. kerana kita dipanjangkan umur oleh Allah S.W.T. hingga kini kita sudah berada di fasa akhir bulan Ramadhan. Dan berpeluang lagi meneruskan dan menyempurnakan ibadah dan ubudiah kita kepada Allah S.W.T. dalam bulan yang penuh berkat ini. Semoga kita semua mendapat rahmatnya, keampunannya dan dilepaskan daripada azab Allah S.W.T. Lebih-lebih lagi di bahagian sepuluh yang akhir dalam bulan ramadhan ini. Insya Allah mudah-mudahan di dalamnya terdapat malam yang dikenali sebagai malam “lailatul Qadr”. Kelebihan malam tersebut seperti mana kita sedia maklum melebihi amalan dalam seribu bulan seperti mana yang difirmankan oleh Allah S.W.T. dalam surah al Qadr.

Al Imam al Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis Rasulullah S.A.W.
عن أبي هريرة رضى الله عنه أن النبي  قال: "مَنْ قَامَ لَيلَةَ القَدْرِ إيماَناً واحْتِساَباً غُفِرَلَهُ ماَ تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.
Maksudnya: “Sesiapa yang bangun beribadah pada malam (lailatul Qadr) dengan penuh keimanan dan muhasabah diri akan diberikan keampunan (oleh Allah) terhadap apa-apa dosa yang telah lalu.

Bersempena Ramadhan ini juga tentunya ramai dalam kalangan kita umat Islam sudah mengkhatam 30 juzuk al-Quran. Bahkan ada yang sudah bebarapa kali mengkhatamnya. Atau sekurang-kurangnya InsyaAllah akan mengkhatamkannya sebelum berakhirnya Ramadhan ini. Alhamdulillah. Itu merupakan usaha yang sangat baik untuk membangunkan Ramadhan yang tentunya tercetus dari rasa keimanan kepada Allah. Usaha itu tidak seharusnya terhenti sehingga akhir Ramadhan sahaja sebaliknya mestilah diteruskan pada bulan-bulan yang berikutnya.

Di samping membaca al Quran, kita juga dituntut “tadabbur” yakni mengambil pengajaran serta petunjuk daripada ayat-ayat yang dibaca. Firman Allah S.W.T. dalam ayat 24; surah Muhammad, maksudnya:
"Maka apakah mereka tidak memperhatikan Al Quran ataukah hati mereka terkunci?"

Berdasarkan ayat tersebut al Imam Al Qurtubi dalam Tafsirnya (tafsir al Qurtubi); bahawa ayat itu menjadi dalil wajib “tadabbur” memerhatikan ayat-ayat al Quran untuk memahami maksudnya. Sehubungan dengan itu Dr.Majdi al Hilali menyatakan bahawa manusia sering berusaha memahami ucapan manusia yang dibaca atau didengar walaupun sukar. Maka mengapa pula kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk memahami ayat-ayat al-Quran yang merupakan kalam Allah yang terang dan jelas?

Al Quran bukan hanya mukjizat di sudut tatabahasa, gaya bahasa, kandungannya, kesesuainya pada semua zaman, bahkan al Quran juga mampu merubah hidup manusia dengan izin Allah. Iaitu merubah dari Jahiliah kepada Islam. Dari Jahil kepada kenal (makrifah) Allah. Dari memperhambakan diri kepada makhluk kepada memperhambakan diri kepada Allah S.W.T. semata-mata.

Promosi hari raya makin galak di mana-mana. Hampir menenggelamkan tawaran-tawaran hebat di akhir ramadhan. Haruslah diingat, bahawa hari Raya dalam Islam bukan perayaan-perayaan biasa seperti yang disambut oleh masyarakat. Hari Raya dalam Islam adalah Ibadah. Hari Raya adalah wasilah melaksanakan ubudiah (perhambaan) kita kepada Allah Ta’ala. Walaupun kita dianjurkan bergembira dan bersuka ria pada Hari Raya, namun batasan syarak jangan dilupa. Syarat-syarat dan peraturan-peraturan ketetapan Allah Ta’ala jangan pula kita alpa. Puasa kita ibadah, iftar kita ibadah, sahur kita ibadah, solah tarawikh kita ibadah, qiam ramadhan kita ibadah, tilawah al Quran ibadah dan Hari Raya yang akan disambut InsyaAllah juga ibadah. Tidak sewajarnya ibadah itu dinodai dan dikotori dengan perkara munkar. Jangan sekali-kali kita samakan sambutan Hari Raya dengan perayaan-perayaan lain dari Islam. Islam adalah Deen Allah Taala. Allah S.W.T. telah meletakkan dengan jelas garis pemisah itu. Marilah kita renungi ayat-ayat yang sering kita baca iaitu surah al kafirun maksudnya:

"Katakanlah: "Hai orang-orang kafir, Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang Aku sembah. Dan Aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah, Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang Aku sembah.Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku."

Hari Raya dalam Islam jauh berbeza daripada perayaan-perayaan biasa yang lain. Perayaan-perayaan lain mendewa-dewakan dan mengagungkan makhluk, sebaliknya Hari Raya yang bakal kita sambut mengagungkan Yang Maha Pencipta, Allah S.W.T. Sambutan hari raya disambut dengan laungan takbir, tahlil, tahmid dan juga solat hari raya. Jelas sekali hari raya dalam Islam adalah ibadah dan ubudiah yang berteraskan akidah tauhid dan iman kepada Allah S.W.T. Hari raya dalam Islam bukan amalan tradisi sesuatu kaum, atau menciplak perayaan dari sesutu ajaran lain atau upacara-upacara khurafat yang diambil dari entah dari mana-mana sumber.

Laungan Takbir, Tahlil dan tahmid itu seharusnya terbit dari keimanan dan ketaqwaan yang mendalam. Benar-benar meyakini keagungan Allah dan kebesaran Allah. Keyakinan itu pula membuahkan perlakuan, tingkah laku, peribadi yang menerima pakai ajaran Allah. Mengikuti peraturan serta hukum-hukum yang ditentukan dalam al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Terima dengan penuh redha dan penyerahan hati kepada Allah S.W.T.

Ramadhan pasti akan meninggalkan kita. Apakah Ramadhan yang berlalu dan yang berbaki dapat kita kutip bekal taqwa untuk hadapi hidup sebagai hamba. Yang pasti kita yang punya nyawa pasti akan mengadapNya.

Ahad, 15 Ogos 2010

TETAMU MULIA

Debaran menantinya sudah berakhir. Kini Dia bersama di mana-mana. Perasaan bercampur baur; seronok pun ada, terharu pun ada. Seronok kerana sekali lagi diberi peluang bertemu dengannya. Terharu kerana kebaikan dan kemuliannya. Hajat di hati biar bersamanya. Tidur bersamanya. Makan bersamanya. Apa-apapun bersamanya.

Dulu, melalui Dia dihadiahkan berupa kata-kata yang Qadim; tiada siapa pun jemu mendengarnya, kepada umat manusia. Kata-kata yang penuh dengan mukjizat. Kata-kata yang menjadi petunjuk dan cahaya. Sesiapa yang mengikutinya pasti selamat. Sesiapa yang mengikutinya pasti tidak akan sesat. Sesiapa yang mengikutinya pasti berada di atas hakikat. Sesiapa yang memakai kata-kata itu akan menyelamatkannya dari terjerumus ke lubang api yang membara panasnya yang tidak terperi. Itulah janjiNya Yang Maha Berkuasa.

Dia mengajar sesiapa yang menerimanya sebagai tetamu, supaya sentiasa dekat dengan Pencipta. Dia mengajarkan bahawa Allah sentiasa bersama. Allah di mana-mana. Allah sentiasa memerhati. Ada yang ditugaskan merakam segala tindak-tanduk. Walau sekecil manapun tetap dia akan rakamkan. Yang buruk dimasukkan dalam peti ‘Sijjin’ dan yang baik pula di simpan dalam peti ‘Illiyin’. Justeru Dia mengajar keikhlasan dan ketaqwaan setiap tindak tanduknya. Sesiapa yang mengenalinya dan menjadikannya tetamu tidak akan berani mengelat.

Dia amat baik hati. Dia datang untuk mengajak manusia meninggalkan kejahatan. Dia tutup semua pintu-pintu kejahatan. Gelora nafsu yang membuak-buak dikurangkan. Siapa yang mengenalinya dan menerimanya sebagai tetamu pasti malu amat berbuat jahat di hadapannya. Walaupun senyuman tidak pernah lekang di bibirnya, namun jiwa yang bersih pasti akan malu melakukannya lebih-lebih lagi ketika dia bertamu di rumah.

Dia juga membuka seluasnya pintu kebaikan. Dia amat menggalakkan membuat kebajikan dan kebaikan. Sesiapa yang buat kebajikan walaupun kecil tetapi insentifnya amat besar. Tidak ada siapa pun tahu apakah insentifnya itu melainkan Allah jua. Mereka yang sedar kebaikan tersebut pasti tidak kenal kenyang dengan ibadah ketika ia bertamu. Mereka akan akan laksanakan kebajikan dan ibadah tanpa rasa jemu dan puas.

Semasa dia datang bertamu, pintu-pintu penjara yang memuatkan orang-orang yang sombong di tutup sementara. Penjara itu adalah jurang yang dipenuhi dengan api. Api itu pula amat panas. Panasnya melebihi tujuh puluh kali ganda kepanasan yang kita rasai di dunia ini. Di dalam Penjara Api itu ada sepohon pokok. Buahnya pahit amat dan busuk sangat. Buahnya penuh dengan duri. Lantaran dahaga yang amat dan lapar yang amat, penghuni penjara itu tidak pedulikan pahit mahupun busuk. Mereka akan makan dengan lahapnya. Mereka menyuapkan buah itu ke dalam mulut mereka dengan gelojoh sekali. Akibat makan buah itu perut mereka mencair lantaran duri dan panas buah itu. Namun pintu Penjara Api yang amat mengerikan itu ditutup sementara ketika dia bertamu. Itulah baiknya Dia.

Dia juga mengajak sesiapa yang dia bertamu supaya berbuat baik dengan fakir miskin. Tolong mereka. Bantu mereka. Itulah yang Dia ajarkan setiap kali Dia datang. Setiap orang mesti menghulurkan sumbangan berupa makanan untuk fakir miskin. Orang fakir dan orang miskin sepatutnya berterima kasih kepadanya.

Dia juga mengajar tentang penjagaan kesihatan. Dia ajar cara diet yang betul. Dia mengajar cara makan yang betul. Dia mengajar supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat makanan anugerahNya. Dia mengajar supaya memohon rahmat kepadaNya setiap makanan yang mahu dijamah. Semua nikmat yang kita jamah hanyalah anugerah daripadaNya. Justeru tidak layak untuk kita bersikap sombong dengan apa yang kita miliki. Dietetik tentunya mendapati cara diet yang diajarkannya itu adalah amat baik untuk kesihatan.

Sebelum dia pulang dia menghadiahkan satu malam yang paling Istimewa. Malam yang amat mulia. Malam yang dipenuhi kebaikan sehingga tidak ada satu malam pun yang menyamainya. Malam itu terlalu istimewa sehingga satu malam itu sahaja boleh menyamai kebajikan 83 tahun. Hanya orang yang terpilih sahaja akan memperolehinya. Orang yang terpilih tentunya orang yang bersedia dari awal. Orang yang tepilih tentulah orang yang mendambakannya. Orang yang terpilih tentunya orang yang amat mengharap-harapkannya.

Itulah Tetamu Mulia yang sedang bertamu. Hanya Allah jua yang memberikan keupayaan untuk terimainya sebagai tetamu yang paling istimewa. Yang pasti masanya akan tiba untuk dia berangkat meninggalkan kita. Amat rugilah kalau kehadirannya tidak diambil peluang dengannya. Rugilah semasa Dia datang tak sempat dapat rekomendasi darinya untukNya. Rugi kerana terlepas segala hadiah dan ganjarannya. Rugi kerana terlepas memperolehi kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan menatap wajah Kekasih yang Agung. Rugi kerana terlepas dari tarbiah keikhlasan dan ketaqwaan. Kepada Allah berserah segalanya.

Selasa, 6 Julai 2010

MERBAU PULAS



Merbau baru sahaja membuka mata melihat dunia. Ibu mencampakkannya di celahan banir pakcik-pakciknya. Ibunya bukan bertujuan untuk membuang anak kesayangannya itu. Ibu sebenarnya mahu memastikan anaknya itu dibesarkan bersama-sama pakcik-pakciknya yang berjiwa perwira. Mereka berpegang teguh kepada prinsip kesejahteraan yang mereka pertahankan setelah sekian kurun lamanya. Pada zaman penjajah, keturunannya tetap dengan prinsip ini. Ada dalam kalangan datuk neneknya dahulu dihukum pancung dengan gergaji enjin kerana tidak rela ikut telunjuk penjajah. Penjajah mengatakan datuknya pengkhianat dan pengganas. Talibarut penjajah daripada keturunan hutan juga turut mengiya dengan gelaran biadab oleh penjajah itu. Namun pakcik-pakciknya tidak rasa lemah dan tidak mengalah. Mereka tetap berpegang kepada prinsip mereka itu kerana mereka tahu inilah yang akan membawa kesejahteraan mereka sebenar di dunia ini dan juga di akhirat nanti.

Anak Merbau faham harapan ibunya. Dia juga berazam menjadi perwira yang mewarisi keteguhan dan keperwiraan bangsanya menjulang langit dan mencengkam bumi. Sedikit demi sedikit akarnya menggenggam bumi dan pucuknya dihulur ke langit mencari cahaya hidayah yang menyinari alam ini. Cahaya hidayah yang bersinar itulah yang telah banyak memberikannya dan keluarganya kesejahteraan. Hari demi hari yang dia lalui, cabaran demi cabaran yang dia tempuhi sehingga tiba masa keremajaannya. Cengkaman akarnya pada bumi tidak lagi seteguh cengkaman pakcik-pakciknya kerana dia masih muda. Pakcik-pakciknya sering berpesan supaya buat persiapan di masa muda untuk bekalan di hari muka. Pakcik-pakciknya sering berpesan supaya memakan baja asli anugerah ilahi sahaja kerana ianya adalah sumber yang asal dan bersih. Walaupun baja asli hasil dari pereputan tidak sebegitu gah pada mata masyarakat tetapi baja itulah yang telah menyebabkan pakcik-pakciknya tetap mengenggam teguh sehingga ke hari ini walaupun puting beliung datang untuk mencabut mereka. Arus air memang tidak putus-putus membawa baja-baja kimia yang diekspot oleh bekas penjajah lalu ke kawasannya. Merbau tidak lupa tazkirah-tazkirah daripada pakciknya. Dia juga sedar baja kimia adalah baja ciptaan musuh-musuh yang mahu menumbangkan kaum kerabatnya. Musuh-musuhnya memang tidak senang melihat kaum kerabatnya terus menghijau segar menjulang langit dan terus menggenggam bumi.

Masa terus berlalu, usia semakin maju, perjalanan hidup mengajarnya pengalaman. Merbau menempuh zaman kedewasaannya. Dia semakin yakin dengan nasihat-nasihat pakciknya dahulu. Kini dia melihat rakan-rakan yang sebaya dengannya sudah mula terhoyong hayang. Jangankan ribut melanda tapi angin sepoi bahasa pun boleh tumbang. Akar-akar merela makin mereput kerana terlalu banyak baja kimia disedut. Dia benar-benar merasai betapa penting menjaga akar-akar yang berpegang kepada bumi. Dia benar-benar merasai betapa perlunya mengambil keaslian sumber baja untuk menguatkan otot-otot akar mengenggam bumi dengan lebih padu. Dia juga amat menyedari musuh-musuh berusaha keras untuk menyogokkan baja ciptaan mereka kepada kaumnya untuk melemahkan akar-akar mereka. Apabila akar-akar keimanan itu sudah lemah maka mudah mereka merperkudakan kaumnya. Merbau tidak boleh tidur lena bila memikirkan nasib kaumnya. Dia lagi tidak boleh lena bila memikirkan kaumnya diperbodohkan oleh bekas penjajah. Dengan kesedaran itu dia bekerja keras menasihatkan kaumnya supaya kembali kepada sumber yang asli anugerah Ilahi. Dia mengajar anak-anak muda kaumnya supaya mengenali keaslian sumber. Dia membimbing mereka menjauhi segala macam sogokan kaum penjajah kepada kaumnya. Berkat usaha gigihnya alhamdulillah masyarakat kaumnya mula sedar dan mula berubah cara hidup. Kaum penjajah dan talibarutnya tidak senang melihat perubahan itu. Mereka mula memikirkan cara untuk menghapuskan merbau yang sebatang itu.


Di satu pagi yang hening selepas selesai solah subuh, tiba-tiba sahaja sayup-sayup terdengar satu suara yang halus. Suara itu semakin dekat, semakin kuat dan amat menakutkan. Terdengar suara riuh rendah menjerit-jerit supaya selamatkan diri. Dalam masa yang singkat sahaja datang puting beliung berpusing-pusing di dalam belantara itu. Banyak juga yang tumbang. Tidak kurang juga yang patah ranting. Puting beliung itu terus berputar mencari merbau. Merbau juga tahu puting beliung mencarinya. Cahaya yang menakutkan turun dari langit menyambar merbau disusuli satu dentuman yang amat dahsyat. Dalam keadaan kacau bilau itu merbau teguh di situ dan bersedia menerima apa yang bakal terjadi. Dia yakin genggamannya tidak akan mampu dicabut oleh puting beliung. Puting beliung semakin menggila memusing-musing dan memulas-mulas merbau tetapi nampaknya merbau tetap utuh mengenggam bumi. Dia tetap berpegang teguh 'biarlah aku hidup mulia atau mati sebagai shahid'. Puting terus memulas tetapi kali ini lagi kuat dan bertambah ganas. Bunyi suaranya juga amat menggerunkan. Dari jauh nampak kepulan asap berputar amat pantas naik ke langit. Merbau tetap dengan pegangannya tetapi kali ini puting beliung berjaya memulas batang merbau yang sasa itu namun dia tidak berjaya mencabutnya akarnya yang mengenggam bumi. Sebelum batang Merbau yang sasa itu rebah ke bumi dia sempat berkata 'kamu berjaya mematahkan batangku namun kamu tidak akan dapat mencabut akar keimananku. Kamu berjaya mengambil tubuhku namun kamu gagal memusnahkan hatiku'.

Selasa, 8 Jun 2010

MASA

Masa adalah ni'mat Allah S.W.T. untuk manusia. Allah S.W.T. berfirman dalam surah Ibrahim: 33 - 34, bermaksud; "Dan dia telah menundukkan (pula) bagimu matahari dan bulan yang terus menerus beredar (dalam orbitnya) dan telah menundukkan bagimu malam dan siang. Dan Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan apa yang kamu mohonkan kepadanya, dan jika kamu menghitung ni'mat Allah tidaklah dapat kamu mengiranya, sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan ingkar".

Masa sangat penting dalam kehidupan manusia. Dengan sebab itu beberapa surah Allah memulakan bersumpah dengan masa seperti surah al-Lail, al-Fajr, dan al-Asr. Pada hari akhirat nanti setiap hamba akan diajukan dengan empat soalan dan dua daripadanya adalah soalan berkaitan masa. Sabda Nabi S.A.W. maksudnya; "tidak berganjak kaki Anak Adam pada hari kiamat nanti sehinggalah ditanyai tentang empat perkara; iaitu tentang umurnya di manakah dihabiskan, tentang umur keremajaannya di manakah digunakan, tentang hartanya dari manakah dia perolehi, dan tentang ilmunya apakah yang dibuat dengannya".

Hakikatnya kehidupan di dunia ini amat pantas ataupun sekejap sahaja. Allah gambarkan melalui ayat-ayatnya kehidupan di dunia ini hanyalah sampai ke petang hari atau sekadar sehingga ke waktu pagi sahaja. Masa yang berlalu pula pastinya tidak akan kembali. Justeru kita perlu uruskan masa dengan sebaik mungkin. Dr. Yusof al-Qardhawi menyatakan bahawa tidak pandai menguruskan masa lebih bahaya daripada tidak pandai menguruskan harta. Katanya lagi, buang masa sia-sia merupakan jenayah. Mampukah manusia memulangkan masa yang luput berbanding harta yang hilang?

Ahad, 11 April 2010

JIWA MURABBI

Ketika saya menjejaki kaki di dewan musalla jam 1.15 petang untuk menunaikan solah jumaat, sudah ramai ahli jemaah memenuhi ruang musalla. Namun, masih banyak kelompongan saf di sana-sini. Ahli Jemaah sibuk dengan ibadah masing-masing. Murabbi menghayun tangannya lemah; isyarat kepada mutarabbinya supaya memenuhi ruang-ruang kosong di saf hadapan. Sebelah tangannya lagi memegang tiang musalla, tentu sekali mahu mengukuhkan kedudukan dirinya yang masih lemah untuk berdiri. Mulutnya seakan berkata sesuatu namun suara itu tidak sampai ke telinga saya yang berada lebih kurang 3 meter darinya. Beberapa orang mutarabbi yang berada dalam saf di hadapan Murabbi itu mengesot lemah ke ruang-ruang kosong di saf hadapan. Sebahagian besar yang lain cuba melarikan mata mereka ke arah lain.

Langkah Saya terhenti di anak tangga terakhir. Pelbagai perasaan meyerbu masuk dalam fikiran saya. Murabbi itu sudah lanjut usia. Uzur pula tu. Penyakit goutnya berat dan lain-lain penyakit lagi tidak menentu. Umurnya menjangkau 76 tahun. Tidak ramai rakan seangkatannya mampu melakukan sepertinya. Kalau ada pun mereka tidak lagi nak menyibukan fikiran mereka dengan permasalahan semasa lebih-lebih lagi mentarbiyyah anak-anak remaja. Sudah sekian masa Murabbi berehat di rumah lantaran penyakitnya. Dua minggu lepas dia mulai datang ke sekolah di bawa oleh anaknya dengan kereta Myvy. Minggu ini dia sudah mulai memandu sendiri kereta itu walaupun keadaannya masih lemah. Murabbi itu tidak mampu tinggal di rumah tanpa bersama mutarabbinya. Sebak perasaan saya melihat Murabbi itu.

Saya lontarkan pandangan kepada mutarabbi yang ramai di saf-saf akhir. Mutarabbi di saf yang paling akhir pula begitu asyik melayani khayalannya menyandarkan badan mereka ke dinding sempadan dewan solat wanita. Saya mengisyaratkan tangan supaya cepatlah bergerak ke saf hadapan. Sesekali saya juga menunjukkan ke arah Murabbi sebagai isyarat meminta mutarabbi hormatilah Murabbi itu. Mutarabbi langsung tidak pedulikan; bahkan tak tengok pun ke arah saya mahu pun Murabbi. Kalau tertengok pun cepat-cepat mereka mengalihkan pandangan mereka ke arah lain, atau berbisik dengan rakan atau buat-buat menyengguk (lena).

Saya terus mengatur langkah melintasi belakang murabbi menuju ke saf hadapan yang masih ada ruang di sana. Murabbi masih di situ dan terus dengan isyarat tangannya sambil berkata "Penuh dulu saf depan". Ketika memberi salam solah sunat Murabbi baru sahaja duduk di atas kerusi yang memang telah disediakan untuknya bersebelahan saya. Selepas itu Murabbi mengangkat takbir menunaikan solah sunat.

Rabu, 13 Januari 2010

Bagaimana Rasulullah SAW mentarbiyah remaja?

Hadith ke 19 (Imam Nawawi)

عن أبي العباس عبد الله بن عباس رضي الله عنهما قال: كنت خلف النبي (صلى الله عليه وسلم) يوماً، فقال لي: "يا غلام إني أعلّمك كلمات: احفظ الله يحفظك، احفـظ الله تجده تجاهك، إذا سألت فاسأل الله، وإذا استعنت فاستعن بالله، واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لـم ينفعـوك إلا بشيء قـد كتبـه الله لك، وإن اجتمعوا على أن يضرّوك بشيء لم يضرّوك إلا بشيء قد كتبه الله عليك، رفعت الأقلام وجفّت الصحف". (رواه الترمذي وقال: حسن صحيح)

Dari Abu Abbas, Abdullah bin Abbas r.a : Bahawa pada suatu hari saya sedang berada di belakang Rasulullah SAW (di atas binatang tunggangannya) , lalu sabda baginda : ' Wahai anak kecil, sesungguhnya aku telah mengajar kamu beberapa perkataan. Peliharalah (perintah) Allah, nescaya Dia akan memelihara kamu, peliharalah (kehormatan) Allah, nescaya engkau akan merasakan Dia berada bersama-samamu. Jika engkau memohon, pohonlah kepada Allah semata-mata. Jika engkau meminta pertolongan mintalah kepada Allah semata-mata. Ketahuilah bahawa jika semua umat manusia berkumpul untuk memberikan kepadamu sesuatu menafaat, nescaya mereka tidak akan mampu memberi menafaat itu, melainkan dengan sesuatu yang telah ditaqdirkan oleh Allah. Begitu juga sekiranya mereka berkumpul untuk menentukan suatu mudharat untuk kamu, nescaya mereka tidak akan mampu menentukannya, melainkan dengan suatu yang telah ditentukan Allah ke atas kamu. Telah diangkat kalam ( tulisan ) dan telah kering ( tinta ) buku catitan. ' (HR. Turmuzi dan dia berkata : Haditsnya hasan shahih).

Pengajaran:

1. Untuk Ibn Abbas, sejak kecil Rasulullah SAW telah berdoa untuknya - "Ya Allah berikanlah kepadanya pemahaman tentang din, dan ajarkanlah kepada hikmah". Apabila beliau di peringkat remaja, baginda bermusafir bersama-samanya dan terus mengambil peluang mentarbiyahnya.
2. Baginda memanfaatkan setiap detik masa, hatta sewaktu bermusafir pun baginda mentarbiyah mad'unya yang masih remaja. Baginda tidak merasa enteng terhadap mad'u kecil, bahkan baginda mengambil hal ehwal tarbiyahnya.
3. Baginda sentiasa bersemangat untuk mentarbiyah mad'unya, sehinggakan sewaktu penat bermusafir pun baginda tidak melepaskan peluang untuk mentarbiyah.
4. Baginda, seorang ketua negara yang agung dan manusia paling mulia, tidak merasa terhina menaiki kenderaan bersama remaja kecil. Baginda memperlihatkan contoh KEDEKATAN FIZIKAL dan kemesraan dengan anak remaja. Baginda tiada "generation gap" dengan orang muda.
5. Baginda mentarbiyah orang muda dengan silibus yang berpada, ringan tetapi berterusan - sepertimana kata baginda - "aku ingin mengajar kamu BEBERAPA PERKATAAN".
6. Baginda sentiasa meletakkan asas tauhid sebagai asas tarbiyah generasi muda.
7. Generasi muda yang sering gelisah dan sering dilanda pelbagai ketidaktentuan, baginda berpesan supaya bergantung dan memohon pertolongan kepada Allah.
8. Hakikatnya, baginda merencanakan tarbiyah jangka panjang untuk Ibn Abbas. Akhirnya lahirlah Ibn Abbas sebagai tokoh, pejuang dan pewaris risalah baginda.

ath