Ahad, 30 Ogos 2009

Hikmah Syuyukh

Semalam saya dijemput ke majlis berbuka puasa di sebuah cafe berdekatan Masjid Putera, Kangar. Sebelum itu satu perjumpaan ringkas diadakan untuk membincangkan satu majlis mempertemukan bekas-bekas pelajar sekolah lama saya yang juga sekolah saya sekarang iaitu Ma'had Attarbiyyah Al-Islamiah (MATRI). Syukur alhamadulillah dan terima kasih kepada mereka. Hampir 13 oang yang hadir bersama. Walaupun berasal dari satu sekolah, sebahagiannya saya tidak mengenali. Ada juga juga rasa-rasa macam biasa tengok muka. Saya tinggalkan sekolah itu tahun 1990. Saya sempat mengajar di situ sekitar tahun 1994. Kalau pernah jumpa mereka di Matri pun mereka masih di tingkatan satu dua begitu. Sekarang sudah berjanggut, berjambang; manalah nak kenal?

Susah payah mereka mengadakan pertemuan dan seterusnya hadir untuk sama-sama membincangkan pertemuan tersebut amat saya kagumi. Tentunya pertemuan dan perbincangan tersebut tercetus dari perasaan yang merasai hakikat kewujudan Matri itu sendiri. Tentunya juga mereka masih dapat menghidu aroma kewujudan Matri walaupun sudah sekian lama mereka tinggalkan alam pelajar di Matri. Kini masing-masing sibuk pula dengan alam profesyen tersendiri. Tentunya juga pertemuan itu diatur atas rasa bertanggungjawab kepada Allah S.W.T.

Kewujudan Matri itu juga ada sejarahnya tersendiri. Saya amat bersyukur kerana wira-wira yang telah banyak mengorbankan tenaga mereka masih lagi bersama saya. Saya amat bersyukur pada tahun ini Allah S.W.T. telah memilih saya untuk kembali berkhidmat di tempat yang saya idam-idamkan sejak saya bergelar lepasan Matri. Tentunya jasa pengorbanan mereka membangunkan Matri akan sentiasa segar kepada saya. Walaupun ada beberapa orang dari kalangan mereka yang telah mengadap Yang Maha Esa. Justeru itu untuk merasai kewujudan Matri tentunya lebih mudah difahami dengan berkongsi pengalaman dengan pakcik-pakcik; bahkan sebahagiannya tokwan-tokwan pun. Semoga semangat berkobar-kobar para pemuda dapat digandingkan dengan hikmah orang-orang lama.

Selasa, 11 Ogos 2009

Kenapa pemuda menjadi sasaran?

Hakikatnya pemuda adalah usia cergas, darahnya bergelora dan cita-citanya membara. Usia memberi, menyumbang dan bebas. Usia yang bersemangat, bermotivasi, dan proaktif.

Bertolak dari sini, Islam melihat pemuda mempunyai tanggungjawab dan nilai yang istimewa bagi merealisasikan tuntutan Rasululullah S.A.W. terhadap perasaan para pemuda antaranya sabda baginda bermaksud: “Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara; Usia mudamu sebelum tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, Kekayaanmu kamu sebelum kepapaanmu, masa hidupmu sebelum matimu, dan masa kosongmu sebelum sibukmu.”

Umat manusia, tabiat kejadiannya dan pembentukannya, pada umur tertentu merupakan kemuncak sumbangannya yang menimbun, kemudian kemuncaknya itu kembali menyorot dan merosot.

Maksud Firman Allah Taala: “dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini Dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkannya antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)” – (Surah al Imran: 140)

Dan benarlah Rasulullah S.A.W. dengan sabdanya yang bermaksud: “Bahawa setiap amalan itu ada kemuncaknya, setiap kemuncak ada lemahnya. Maka sesiapa yang lemah kepada sunnahku, maka di telah mendapat petunjuk, dan sesiapa yang lemah kepada yang lain, maka sesungguhnya dia akan binasa.”

Dari sini jelaslah betapa usia pemuda perlu dikaut manfaat sepenuhnya. Dan daripada pemudalah, pelaksanaan urusan-urusan sukar mengharungi kepayahan dan kesukaran, menghadapi cabaran yang menuntutnya menyuarakan perubahan bertamadun.

Sumber: Sedutan penulisan Fathi Yakan dalam bukunya Assyabab wa-Attaghyir.

Rabu, 29 Julai 2009

PERJALANAN TERAKHIR AYAHANDA

23 Julai, jam 9.45 malam berita pemergian ayahanda Ghazali Omar begitu cepat tersebar ke seluruh pelusuk tanahair. Tentunya berita itu disebarkan oleh anak-anak didiknya yang mesra dengan panggilan Sir Ghazali ataupun Cikgu Ghazali. Ada di kalangan saudara maranya yang datang dari Pulau Pinang mendapat berita sedih tersebut melalui anak buah di IPT pada jam 10.00 malam. Alhamdulillah dengan adanya semangat “Hamasatus Syabab” ; semangat pemuda dan kesungguhan mereka, dan kemudahan teknologi yang sedia ada dapat dimanfaat dengan sebaiknya.
Bagi saya Ghazali bin Omar adalah ayahanda yang telah banyak berkorban untuk saya, sahabat-sahabat dan MATRI. Pemergiannya tentu amat menyentuh hati saya dan juga hati mereka yng mengenalinya dengan akrab. Tidak hairanlah ada di kalangan bekas pelajarnya datang nun jauh dari bumi Kelantan; walaupun agak terlambat dan tidak sempat bersama majlis pengkebumiannya, datang seorang diri dengan van persendirian semata-mata untuk mengucapkan takziah kepada keluarga beliau.
Pada petang hari kematiannya saya sempat menziarahinya bersama isteri saya dan beberapa orang akhawat. Bonda Maziah (isteri Ayahanda Ghazali) memberitahu beliau tidak selera makan dan minum. Alhamdulillah pada petang tersebut saya sempat membantu menantunya memegangnya supaya dapat duduk tegak di atas katil pesakit di samping bonda Maziah menyuapkannya moi dan memberikan beliau minum air. Sebelum saya memohon izin pulang beliau cuba bercakap dengan nada yang amat lemah memberitahu hasrat beliau mahu mohon cuti tanpa gaji sehingga hujung tahun. Kami sekadar menasihatkan agar beliau tidak memikirkan sangat perkara tersebut memandangkan keadaannya yang sangat lemah itu. Beliau meneruskan dengan meminta supaya mencari guru penggantinya secepat mungkin. Namun beliau menyatakan, pelajar-pelajar tersebut akan beliau bantu mengadakan kelas tambahan di rumahnya. Saya amat terharu dengan hasratnya itu. Keadaannya dapat kami lihat amat lemah sekali. Butir-butir kata yang terbit dari mulutnya dapat saya rasai betapa beliau amat lemah. Namun dalam suasana yang seumpama itu jiwanya masih tidak dapat dipisahkan dengan pembangunan pendidikan pelajar-pelajarnya. Kata-katanya itu jelas membanyangkan betapa kasih dan akrabnya beliau terhadap anak didiknya. Saya yang belum pun mamasuki ke gerbang usia emas pun belum tentu sanggup melakukannya.
Pada malam hari selepas saya mengadakan kelas tambahan, saya terus ke rumahnya dan dapati orang sudah pun mula datang ke rumahnya. Apabila saya memasuki ke dalam rumah barulah saya maklum beliau sudah meninggal dunia. Semasa beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir Bonda Maziah, Ustaz Mahadir, Ustaz Khairul dan menantunya Ustaz Rosli ada bersama. Selepas beberapa ketika berbual, beliau dikatakan tidak lagi bersuara dan Bonda Maziah minta supaya Ustaz Mahadir metalkinkannya. Dan beliau pergi dengan kalimah “La Ilaha Illallah”. Pemergian yang amat baik untuknya mengadap Ilahi. Pemergiannya sarat dengan kasih sayang kepada anak didiknya demi mengaharapkan redho Allah Taala. Semoga ruhnya ditempatkan bersama para anbiya, syuhada dan solihin.

Selasa, 23 Jun 2009

Kenapa Semestinya Pemuda?

Kenapa sentiasa fokus kepada pemuda?

Kenapa berterusan bergantung kepada pemuda?

Di dalam Islam, apabila kita bergantung kepada pemuda, tidaklah bermaksud kita melupai peranan orang-orang dewasa dan juga orang tua, atau merendah-rendah tanggungjawab mereka dan memperkecil peranan mereka. Sepertimana komunis ketika salah seorang pemimpinnya, selepas revolusi telah meminta supaya dihapuskan kesemua orang-orang yang sudah lanjut usia agar tidak membebani negara.

Menurut Islam setiap manusia ada peranannya. Setiap peranan harus diberikan haknya, tanpa rasa sensitif dan tanpa permusuhan berlandaskan asas-asas dan kaedah-kaedah seperti berikut:-
1) Allah merahmati seseorang yang mengetahui batasannya dan memadai pada sisinya.
2) Bukan dari kalangan kita mereka yang tidak menghormati orang tua dan tidak mengasihi anak-anak kecil.
3) Kebenaran itu diterima walaupun datangnya dari seorang kanak-kanak atau orang dewasa walaupun ianya seseorang yang dibenci dan dijauhi, dan kebatilan pula akan ditolak walaupun mereka yang membawanya daripada kanak-kanak atau dewasa walaupun mereka itu dikasihi dan didekati.

Apabila difokuskan pembicaraan tugas melaksanakan perubahan kepada pemuda, maka ianya amat sesuai dan selari antara kemampuan dan tugasan. Pada setiap peringkat dalam kehidupan manusia mempunyai keupayaannya dan kemampuannya yang tertentu dan tidak semuanya sesuai dengan setiap tugasannya. Zaman kanak-kanak berbeza dengan zaman pemuda, berbeza dengan zaman dewasa, dan berbeza lagi dengan zaman tua, seterusnya “..dikembalikan kepada umur yang paling lemah (pikun), supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang pernah diketahuinya.” (surah an Nahl:70)

Insyalah berjumpa lagi…


Sumber: Sedutan penulisan al Marhum Dr. Fathi Yakan, dalam bukunya Assyabab wa-Attaghyir. (Sama-sama kita teladani almarhum Dr. Fathi Yakan kegigihannya menyebarkan dakwah. Semoga rohnya ditempatkan bersama para anbiya, shuhada dan solihin).

Isnin, 15 Jun 2009

CINTA REMAJA

Pada 11 Jun 2009, pukul 4.12 pagi satu pesanan ringkas saya terima daripada sahabat saya; Ustaz Mahadir, berbunyi; “Salam. Ex Matri Muhammad Ammar Zulkifli kembali ke rahmatullah. Kemalangan d mesir ..” Ketika itu saya sedang memandu Toyota Avanza membawa enam guru Sekolah Rendah Seri Melati (SRIM) untuk menghadiri Bengkel Pembinaan Skrip Soalan Penilaian Rendah Agama Islam. Tiada langsung lakaran wajah Muhammad Ammar di kotak fikiran saya. Saya bertanya saudara Hairey Hamzah dengan melihat wajahnya melalui cermin belakang. Gambaran yang dikatakan Hairey juga tidak dapat saya khayalkan.
Semasa guru-guru SRIM menjalani bengkel mereka saya mengambil kesempatan tersebut menziarahi rerakan di sekolah yang pernah saya taburi khimat satu ketika dahulu. Di samping itu dapatlah saya mendengar dan bertukar-tukar maklumat berkaitan pendidikan anak-anak pelajar di sekolah masing-masing. Cerita Ammar juga tidak terkecuali diperkatakan. Saya sekadar bersimpati di atas kejadian yang berlaku. Cerita kejadian kemalangan yang saya diterima pelbagai versi. Saya sekadar mendengar dan cuba menggambarkan rupa Muhammad Ammar . Manalah tahu kalau-kalau pernah saya terjumpa di kem-kem atau di mana-mana program yang pernah saya hadiri, namun tidak juga muncul di dalam ingatan.
Bengkel penyediaan skrip soalan berlangsung selama dua hari satu malam. Petang hari jumaat selesai bengkel tersebut. Saya sekali lagi memandu Toyota Avanza mengharungi kepekatan malam menghantar guru-guru SRIM pulang ke rumah masing. Saya amat gembira kerana berkesempatan memnabur khidmat tersebut. Saya dimaklumkan jenazah Muhammad Ammar akan tiba di Bertam pada pukul 3.00 pagi hari Ahad. Hati saya tiba-tiba terdetik ingin mengunjungi keluarga Muhammad Ammar dan bersama-sama keluarganya menyambut kepulangannya. Tiba-tiba saya lontarkan hasrat yang berterbangan di ruang pemikiran saya tersebut kepada penumpang-penumpang kereta yang bersama-sama pada malam itu. Ketua rombongan kami Cikgu Ishak Osman yang juga Guru Besar SRIM menyatakan persetujuannya dan menyatakan hasratnya untuk pergi ke Bertam pada keesokan pagi. Dari mana hubungan dan talian yang mengikat antara kami berdua dengan Muhammad Ammar. Seingat saya, kami berdua tidak pernah mengajarnya di sekolah. Juga bukan kenalan yang sangat rapat.
Pukul 2.00 pagi Ahad saya dan Cikgu Ishak bertolak ke Bertam. Keletihan semalam masih terasa. Pukul 3.30 pagi saya tiba di masjid Bertam, namun tiada terdapat sesiapa di situ. Saya dimaklumkan rakan-rakan dari MATRI akan menginap di situ. Kami mengambil keputusan terus ke rumah En. Zulkifli iaitu ayah Allahyarham Muhammad Ammar. Di sana sudah Ramai orang turut menunggu ketibaan Muhammad Ammar. Khemah juga ada di dirikan di sana. Makanan juga disediakan oleh jirannya untuk para tetamu. Para hadirin sabar menunggu ketibaan van jenazah di hadapan rumah En. Zulkifli yang diuruskan oleh kerajaan Malaysia. Ada juga beberapa remaja yang datang bersalaman dengan saya. Sebahagian saya tidak mengecami wajah mereka. Mereka menyebutkan nama saya ‘Ustaz’ semasa bersalam dengan saya. Mereka adalah sahabat-sahabatnya ; mantan pelajar Mahad Attarbiah Al-Islamiah (MATRI). Mereka juga bukanlah remaja Bertam tetapi mereka datang dari pelbagai tempat yang jauh beratus kilometer. Walaupun Muhammad Ammar telah pasti ruhnya kembali ke alam baqa, namun sinar ukhuah amat terserlah di kalangan mereka yang pernah mengenalinya. Tidak apapun yang dapat mereka lakukan kepada Ammar. Sekujur jasad yang mereka tunggu juga adalah jasad yang tiada lagi istimewanya.
Seusai solah Subuh, solah jenazah Muhammad Ammar dilaksanakan di Masjid Bertam. Saya berada di saf ke tiga. Sebelum solah jenazah saya sempat melempar pandangan saya kepada ahli jemaah di belakang saya. Amat ramai walaupun di subuh hari. Jarang sekali solah jenazah seramai itu walaupun di siang hari. Ramai juga guru-guru daripada MATRI yang berada di saf jemaah. Bahkan Mudir MATRI juga turut bersama walaupun keadaannya agak uzur. Satu penghormatan Mudir yang amat istimewa buat Muhammad Ammar. Subuh itu juga di penuhi remaja-remaja yang mengenali Muhammad Ammar. Alangkah indahnya cinta mereka kepada Muhammad Ammar. Betapa sayangnya mereka kepada Muhammad Ammar. Cinta yang tulus ikhlas yang lahir dari keimanan melalui Tarbiah Islamiyah yang mereka terima. Semoga hubungan dan keakraban persahabat tersebut tercatat sebagai remaja yang saling berkasih sayang kerana Allah dan berpisah kerana Allah. Semoga ianya menjadi penaung kepada mereka ketika berada di hari yang tiada lagi naungan panas bakaran terik matahari kecuali naungan Allah Taala.

Rabu, 10 Jun 2009

PEMUDA DAN PERUBAHAN

kebelakangan ini slogan “Perubahan” acap kali di laungkan. Sebelum itu aliran tersebut mendakwa mereka sebagai kumpulan revolusi. Marxisme merupakan aliran yang paling menonjol meyakini bahawa perubahan mestilah dengan paksaan atau kekerasan. Karl Marx secara jelas mengemukakan padangannya tentang cara yang perlu di pegang oleh Gerakan Komunis untuk merubah kemasyarakatan dan sistem kapitalis, katanya: “Tidak ada jalan lain bagi menggantikan kapitalis dengan sosialis kecuali hanya dengan revolusi."

Pemuda tentunya menjadi medan yang menjadi tumpuan bagi semua aliran yang merancang untuk melakukan perubahan. Revolusi-revolusi dan penggulingan-penggulingan yang telah berlaku dan akan berlaku di seluruh dunia telah dan akan menjadikan pemuda sebagai asas usaha mereka mencapai tujuan tersebut.

Bagaimana Islam menitik beratkan golongan pemuda? Apakah peranan pemuda dalam perubahan Islam yang dicita-citakan? Dan apakah ciri-ciri Perubahan Islam?

Semuanya itu akan kita bincangkan pada ruangan pertemuan yang menyusul (InsyaAllah), jumpa lagi.

Sumber: Sedutan penulisan Fathi Yakan dalam bukunya Assyabab wa-Attaghyir.

Isnin, 25 Mei 2009

JAAFAR BIN ABI TALIB

Setelah RasuluLlah melihat penyiksaan puak Quraisy terhadapnya dan penderitaan pengikut baginda yang amat sangat dan baginda tidak sanggup lagi untuk melindungi mereka maka baginda sendiri mengemukakan pendangan supaya umat yang kecil bilangannya itu berhijrah ke Habsyah (Ethiopia) kerana rajanya di kala itu tidak kejam. Mereka dianjurkan tinggal di sana buat sementara sehingga Tuhan membuka jalan dan ke-lapangan di masa muka. Kaum muslimin pun menerima baik pandangan RasuluLlah itu lalu mereka pun berhijrah beramai-ramai untuk melindungi diri di sana. Di antara mereka yang terkemuka yang turut sama ialah: 'Uthman bin 'Affan isterinya Ruqaiyah puteri RasuluLlah, Abu Huzaifah dan isterinya, Al-Zubair bin Al-Awwam, Mus'ab bin 'Umair dan 'Abdul Rah-man bin 'Auf. Jumlah kesemuanya lebih kurang dalam lapan puluh orang. Apabila puak Quraisy melihat kejadian ini mereka terus mengirimkan perutusan ke hadapan Najasyi maharaja Habsyah yang terdiri daripada 'Abdullah bin Abi Rabi'ah dan Amru bin Al-'Ash (mereka belum memeluk agama Islam). Perutusan ini membawa cenderamata yang banyak kepada maharaja sendiri, pengiring dan ahli agamanya dengan harapan yang Najasyi akan mcnghalau semua orang Islam dari Habsyah dan menye-rah kembali mereka kepada seteru Islam iaitu puak Quraisy.
Tujuan mereka membawa hadiah-hadiah dan ganjaran yang banyak itu ialah untuk menawan hati Najasyi dan dengan itu beliau akan menyerah kepada mereka orang-orang Islam. Tetapi Najasyi enggan menyerah sesiapapun melainkan sesudah bersoal jawab tentang agama baru yang rnereka anuti itu. Orang Islam pun masuk ke hadapan Najasyi di mana dua orang utusan Quraisy berada di samping Najasyi, raja Habsyah. Najasyi pun meminta dari orang Islam supaya menerangkan tentang diri mereka dan agama baru mereka anuti itu.
Ja'far bin Abi Talib pun bangun dan berucap: "Ke hadapan maharaja, sebenarnya kami ini di masa-masa dahulu iaitu di zaman jahiliyyah menyembah berhala, memakan bangkai, meIakukan kejahatan, berperang, bcrkelahi, yang kuat menganiaya yang lemah sehinggalah Allah mengutus seorang Rasul dari kalangan kami juga. Beliau itu memang terkenal dengan kejujuran, amanah, suci pekerti dan utusan Allah itu menyeru kami supaya bercakap benar, bersifat dengan sifat yang terpuji, jujur, ikhlas dan beramanah, menyeru kami menyembah Tuhan yang Maha Esa dan meninggalkan penyembahan berhala, berbaik-baik dengan jiran tetangga, meninggalkan kejahatan dan peperangan yang berlarutan serta segala sesuatu yang terkeji, seruannya tadi kami terima dengan baik. Segala yang dibawanya kami percaya sepenuhnya tetapi kaum kami termasuk dua orang utusan ini menyiksa dan menekan kami supaya kami balik semula kepada agama yang lama iaitu menyembah berhala. Setelah kami berasa sesak dan benar-benar di dalam penyiksaan yang tidak dapat kami menanggungnya maka kami keluar dan ke negara tuanlah yang kami pilih. Semoga dapat kami berlindung di sini jauh dari penyiksaan dan kezaliman."
Sekali lagi Najasyi meminta supaya mereka membentangkan antara apa yang dibawa oleh utusan Allah (Nabi Mu-hammad) tadi daripada Tuhannya. Ja'far bin Abi Talib sekali lagi bangun dan membaca ayat-ayat yang pertama dari surah Mariam.
Setelah Najasyi mendengarnya beliau menangis sehingga airmata mengalir membasahi pipi dan janggutnya dan kemudian beliau berkata: Sesungguhnya apa yang kau baca tadi dengan apa yang dibawa oleh 'Isa 'alaihissalam adalah dari sumber yang sama. "Lepas itu beliau berpaling kepada dua orang utusan Quraisy dan katanya: "Beredarlah kamu dari sini dan sekali-kali aku tidak akan menyerahkan mereka ini".
Sebagai percubaan yang terakhir untuk menggoda Najasyi mereka menegaskan yang orang-orang Islam yang datang ke sini terlalu sangat mengecam 'Isa dan Maryam. Sekali lagi Najasyi menyoal orang Islam tentang pandangan Islam terhadap 'Isa dan Maryam. Buat pertama kalinya Ja’far menjawab dengan katanya: "Tentang Isa dan Maryam pada pandangan kami dan orang-orang Islam seluruhnya seperti mana yang dibawa oleh Nabi kami Muhammad SallaLlahu 'alaihi Wasal-lam, 'Isa itu adalah seorang hamba Allah setelah dimasukkan roh dan kalimatnya ke dalam jiwa Maryam dara yang suci.
Najasyi pun menunjukkan persetujuan dan sependapat dengan apa yang dikemukakan oleh Ja'far tadi.
Al-Najasyi menyerah kesemua kembali hadiah yang dipersembahkan kepadanya dan disebaliknya ia bertambah mesra dengan orang-orang Islam dan lebih berazam untuk melindungi mereka. Utusan Quraisy itu pulang diburu kegagalan.

Selasa, 14 April 2009

APA PERASAAN IBUBAPA MEREKA?

APAKAH PERASAAN IBUBAPA KITA JIKA KITA BEGINI?

Selasa, 7 April 2009

Seterika panas dera junior

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

RAUB: Tiga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong dekat sini, cedera dipercayai didera menggunakan seterika panas oleh sembilan pelajar senior sekolah berkenaan, akhir bulan lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang hari kejadian, mangsa mendakwa dibuli sembilan pelajar tingkatan dua dan tiga berusia antara 14 hingga 15 tahun.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata pemeriksaan di Hospital Raub (HR) mengesahkan terdapat beberapa kesan luka pada badan dan tangan ketiga-tiga mangsa.Selain itu, menurutnya, mangsa mendakwa dipaksa melakukan kerja berat yang tidak sepatutnya dilakukan seperti menyiram pokok bunga di kawasan asrama sekolah berkenaan.


Katanya, polis percaya ada antara pelajar senior terbabit menekap seterika panas ke badan mangsa.

Beliau yang dihubungi semalam, berkata, sembilan pelajar terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Samsudin Wan Osman, berkata kejadian itu terbongkar apabila seorang daripada mangsa membuat laporan bersama keluarganya di Balai Polis Dong, Khamis lalu berhubung penderaan itu.Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian itu dipercayai berpunca akibat pertengkaran antara mangsa dengan pembulinya sebelum membawa kepada pergaduhan.“Sembilan pelajar senior itu dibebaskan dengan jaminan polis Jumaat lalu dan kertas siasatan kes terbabit akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090407091520/Article/index_html

Rabu, 1 April 2009

Kes jenayah babit pelajar meningkat

Oleh Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my

Jumlah remaja ditangkap turut bertambah

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan lain-lain kesalahan jenayah membabitkan pelajar yang meningkat membimbangkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Selain peningkatan dalam kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Musa berkata, sepanjang 2007, 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan, manakala tahun lalu, jumlah kes jenayah meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes dengan 3,725 pelajar ditahan.
"Ini satu perkembangan yang merisaukan dan perlukan tindakan segera bagi mencari jalan penyelesaian kepada perkara ini. Gejala ini boleh dibendung jika pelajar diberikan pendedahan, penerangan jelas mengenai kesan dan akibatnya jika terjerumus dalam kegiatan jenayah," katanya ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-39 Pasukan Kor Kadet Polis di sini, semalam. Perutusan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat. Musa berkata, kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia turut menunjukkan pelajar cenderung untuk terbabit dalam aktiviti kurang sihat seperti mat rempit dan gengsterisme.
"Hasil kajian itu menunjukkan 48.1 peratus mat rempit berpunca akibat kebosanan, 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang dan 27.8 peratus dipengaruhi kawan. Jadi di sinilah peranan penting boleh dimainkan ahli keluarga dan anggota masyarakat untuk mengelakkan golongan ini tidak terus dibiarkan tanpa diberikan panduan yang betul dalam kehidupan mereka. "Masalah gengsterisme yang dilaporkan semakin menular ke peringkat sekolah juga tidak boleh dipandang remeh. "Unsur negatif semakin mudah menyelinap masuk ke sekolah, justeru saya meminta anggota Kor Kadet Polis yang kini sudah mencecah 89,110 ahli ini menjadi mata dan telinga polis," katanya. Beliau berkata, Kor Kadet Polis yang dilantik perlu menyalurkan maklumat agar tindakan segera boleh diambil.

Sumber: Berita Harian 1 April 2009.

Jumaat, 27 Mac 2009

Pilih syaitan

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Nor Adilah Bukhorie
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Awas! Remaja yang gemar bermain permainan komputer perlu berhati-hati apabila memilih permainan, terutama berasaskan muzik rock dan punk berikutan sesetengahnya boleh menjejaskan akidah.Dalam permainan komputer terbaru di pasaran, ia memaparkan grafik seakan-akan kalimah Allah ketika ‘syaitan’ bermain gitar.Permainan komputer yang mensasarkan golongan remaja, terutama mereka yang cetek pengetahuan agama mampu terpesong akidah, sekali gus hanyut dibuai keghairahan mengejar gelaran juara ‘Rocker Terunggul’.Berdasarkan pendedahan ‘kaki’ permainan komputer, Ridzuan, 20, kepada wartawan Harian Metro, ada pemain menyedari ia menghina Islam, tetapi meneruskan permainan itu hingga berjam-jam lamanya.

Mereka semata-mata ingin bergelar juara untuk menjadi gitaris terkemuka barat yang digunakan pihak pengeluar dalam mempromosikan permainan berkenaan.
Ridzuan yang menyukai muzik rock dan punk sejak berusia belasan tahun, menyatakan permainan terbaru itu sedang hangat di kalangan remaja yang gilakan muzik rock dan punk.“Permainan ini pelik kerana mampu menyebabkan saya hilang kawalan kerana terlalu asyik selain merasakan diri seolah-olah berada dalam dunia lain.“Malah, saya sanggup menghabiskan masa sehari suntuk semata-mata untuk menjadi juara. Permainan ini lebih menarik serta mencabar jika bermain dengan rakan dengan masing-masing akan bersaing bagi membuktikan kejuaraan,” katanya ketika ditemui, semalam. Menurutnya, setiap pemain hanya perlu memilih satu karakter syaitan sebelum mengikut nota lagu yang ditetapkan.Pemain yang mengikut nota lagu dengan baik berdasarkan peringkat tertentu akan digelar juara serta dianugerahkan wang bagi membolehkan mereka membeli gitar terbaru yang ditawarkan.Kemuncaknya, juara akan bertanding dengan seorang idola rock Barat. Sekiranya berjaya menewaskannya, mereka akan digelar ‘Rocker Terunggul’. Ridzuan mengakui memang ada grafik seakan-akan kalimah Allah, tetapi dia masih meneruskan permainan itu.Wartawan Harian Metro yang turut mencuba permainan berkenaan mendapati satu daripada karakter memaparkan syaitan bermain gitar dengan tertera grafik seakan-akan kalimah Allah.Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Syariah Malaysia, Zainal Rijal, ketika dihubungi, berkata pengeluar sepatutnya peka terhadap sensitiviti agama sebelum mengeluarkan barangan mereka kerana boleh mengundang kemarahan.“Ini bukan kejadian pertama dan kita perlu menyiasat siapakah dalang di sebaliknya sebelum tindakan keras dikenakan terhadap mereka yang mengeluar atau mengedarkan permainan komputer ini.“Tanpa disedari atau tidak tujuan pihak tertentu sebenarnya untuk menyesatkan golongan remaja Islam dan menghina Islam,” katanya.Beliau berkata, cubaan dilakukan secara halus bagi mengikis jati diri remaja Islam dengan memastikan golongan terbabit lupa diri dan sanggup mengetepikan pegangan agama.Justeru, menurutnya, ibu bapa perlu mengawal anak mereka daripada bermain permainan seperti itu dan membuat aduan kepada pihak berkuasa agama supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan.“Bagi saya permainan ini perlu diharamkan kerana mampu memesongkan akidah,” katanya

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Friday/BeritaUtama/20090327082139/Article

Jumaat, 6 Mac 2009

MEMPELAM MUDA

Bunga-bungaan mempelam kekuningan menghiasi dedaunan yang kehijauan. Serangga-serangga perosak dari jauh mengintai dengan penuh ghairah dan memikirkan strategi yang perlu diatur untuk menggoda masa depan bunga-bungaan mempelam itu sebelum ianya membesar dalam neraca dan acuan yang dikehendaki oleh tuannya. Setiap serangga perosak itu tentunya mahu bunga-bunga mempelam itu akan menjadi miliknya tanpa penduli siapa tuannya dan siapa pun yang menanamnya. Di samping itu juga tuan punya pohon mempelam amat perlu berwaspada dengan taktik musuh-musuh pohon mempelamnya. Tuan pohon mempelam tidak boleh lupa memikirkan bagaimana menjaga dan mengawasi agar bunga-bungaan mempelamnya selamat daripada didekati oleh makhluk perosak di sekelilingnya. Namun ada juga tuan punya pohon mempelam yang hanya menyerahkan kepada takdir apa yang bakal berlaku kepada masa depan bunga-bungaan mempelamnya. Bunga-bunga mempelamnya nak didengarkan dengan suara lalatkah, nak lihat aneka warna serangga perosak yang berterbangan di depan bunga-bunga mempelamnyakah, nak digoyangkan oleh lotong-lotongkah, tidak dipedulikannya. Namun hasratnya cukup tinggi. Dia mahu bunga-bunga mempelamnya itu membesar dengan sihat. Dia mahu bunga-bunga mempelamnya itu menjadi mempelam yang berguna kepadanya. Satu hari nanti dia mahu mengecapi mempelam itu dengan seenaknya.

Bunga-bunga mempelam terus mengharungi kehidupannya sebagai bunga dan menjadi putik. Namun sepanjang perjalanan dari bunga dan bertukar menjadi putik terpaksa mengahadapi jatuh bangunnya. Ada juga yang keguguran sebelum menjadi putik akibat dari hinggutan lotong-lotong dan juga sang tupai atau terkena kipasan sayap si lalat atau tebuan atau juga kumbang-kumbang. Itulah hakikat kehidupan. Ianya memerlukan penjagaan yang sangat rapi supaya ia membesar dengan selamat daripada fitnah makhluk perosak lebih-lebih lagi bila berada dalam suasana jahiliah, kemungkaran, kerosakan, fitnah dan segala macam aneka budaya songsang yang merosakkan. Ada juga tuan-tuan punya pohon mempelam yang prihatin lalu membungkuskan bunga-bunga mempelamnya dengan karung. Putik-putik mempelam tentunya merasa rimas dengan tindakan tuannya membungkusnya. Kalau boleh dia mahu bebas dan mendedahkan dirinya kerana dapat menunjukkan kepada orang lain akan keberadaannya dan keanggunannya. Tapi apa kan daya itulah kehendak tuannya. Ada juga tuan-tuan punya pohon mempelam itu yang menerbangkan racun pengawal keselamatan untuk menjaga bunga mempelamnya dari di goda oleh serangga-serang perosak. Tindakannya menerbangkan racun keselamatan dapat menyelamatkan putik mempelam diganggu oleh serangga. Putik mempelam masih boleh mendedahkan bentuk badannya. Namun kesan jangka panjangnya sangat merbahaya kerana mempelam nanti hanya nampak seolah-olah cantik tetapi hakikatnya isinya telah dirosakkan oleh racun-racun tanpa disedari. Suatu hari nanti mempelam tersebut mungkin akan dijangkiti kanser yang membusukkan seluruh isinya.

Setelah sekian hari putik-putik mempelam bergantungan di pepohonan mempelam, kini hujung-hujung dahan mempelam menampakkan semakin tunduk bak kata pepatah semakin tunduk semakin berisi. Serangga perosak pula semakin bergelora nafsu mereka melihat perkembangan putik-putik mempelam yang semakin muda ceria. Perkembangan itu sebenarnya dihidu juga oleh makhluk-makhluk lain yang lebih besar dan ganas seperti lotong, beruk, monyet dan tupai. Bahkan makhluk-makhluk ini sanggup berhadapan dengan sesiapa sahaja kecuali tuannya membawa senapang patah yang menakutkannya. Mungkin itulah caranya berhadapan golongan-golongan perosak tersebut. Tiada perlu disusun dengan kata-kata pujuk rayu atau kata-kata nista untuk mereka. Mereka hanya perlu memilih antara dua, sama ada mahu mati dengan senapang patah ataupun nyahlah dari kawasan mempelam dan jangan mengganggu mempelam yang sedang membesar itu.

Putik-putik mempelam yang kehijauan pekat beransur-ansur bertukar warna menjadi hijau kekuningan. Warna itu adalah sebagai bukti mempelam tadi tidak lagi putik. Setelah sekian lama mengharungi liku-liku kehidupan akhirnya telah tiba masanya untuk semua menikmati keenakkan mempelam muda. Siapa sahaja yang terpandang mempelam muda tentunya meleleh air liurnya, sama ada lotong, tupai, kelawar, keluang, beruk, monyet dan lain-lain spesis yang sama dengannya. Tak kurang juga manusia lebih-lebih lagi kaki sambal belacan atau wanita yang sedang mengidam. Kerapuhannya ketika mengunyah menyebabkan air liur semakin galak meleleh. Kelazatannya tak terkata apabila hirisan mempelam mencecah sambal belacan dan disuapkan ke dalam mulut. Satu demi satu masuk ke dalam mulut hingga tak sedar sudah berapa biji ditelannya. Mungkin itulah sifat muda. Semuanya dipandang indah. Semua orang suka. Semua orang mahu memilikinya. Namun dalam situasi mempelam sedang muda remaja, sahamnya tengah melonjak naik sepatutnya mempelam muda patut sedar siapa dirinya. Siapa yang membesarkannya, siapa yang menanamnya, siapa yang memberikannya makan dan siapa yang menghidupkannya. Mempelam muda tidak sepatutnya menyerah diri dengan mudahnya kepada siapa sahaja yang memegangnya. Mempelam muda perlu mengenali siapa yang mahu menikmati kemudaannya dengan baik atau hanya sekadar mahu mengambil kesempatan kemudaannya. Akhirnya setelah mereka kekenyangan mereka hanya sampahkannya tanpa belas kasihan. Ada juga yang meratahnya sampai tercirit-birit dan akhirnya dia menyumpah dan memaki pula mempelam yang ditelannya itu bahkan disepak dan diterajangnya.
Inilah resam dunia yang harus difahami oleh setiap mereka yang mencecah alam muda. Jangan terlalu ghairah dengan masa muda sebab tidak semestinya yang muda akan bertemu tua kerana ada juga yang putik tidak bertemu muda. Jangan terlalu asyik dengan muda kerana tersilap langkah masa muda inilah yang akan menggelap seluruh kehidupan sampai ke akhir hayat. Setiap langkah yang mahu diatur, setiap gerak yang mahu disusun, setiap tempat yang mahu dituju perlu berwaspada. Lotong, beruk, monyet dan kera sentiasa mencari peluang untuk memerangkap kita dan seterusnya menghancurkan, merosakkan dan memusnahkan kita. Lalat-lalat pula hanya menunggu masa buruk membusuk untuk mereka mengiang-ngiang menyorak keseronokkan lantaran kerosakkan dan kemusnahan kita. Oleh itu tidak ada jalan lain melainkan perlu kembali memahami diri sendiri, Memahami hakikat diri ini, memahami hakikat penciptaan ini dan memahami kehidupan yang sebenarnya. Carilah asal usul kita, hakikat kehidupan di dunia ini dan tempat tinggal kita yang sebenar di dalam kitab Al Quranul Karim dan Hadis an-nabawi. Semoga alam muda dihiasi dengan kehidupan sebagai mempelam yang sebenar atau sebagai manusia yang betul-betul manusia.

Isnin, 23 Februari 2009

Remaja jatuh motor mati sakit jantung

GEORGETOWN: Seorang remaja yang dalam perjalanan pulang ke rumah bersama seorang rakannya sambil menunggang motosikal secara tiba-tiba rebah dan meninggal dunia di Jalan Van Prangh di sini, tengah malam kelmarin.Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam apabila Mohd Shazwan Abd Razak, 19, seorang penarik kereta dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Flet Lebuh Nordin di sini selepas keluar berjumpa beberapa rakannya.Bapa saudara mangsa, Mohd Ismail Abdul Rahim, 45, berkata dia mendapat tahu kejadian yang menimpa Mohd Shazwan ketika berehat di rumahnya.“Pada mulanya saya menerima beberapa versi cerita mengenai punca kematiannya termasuk dia meninggal dunia ketika menunggang motosikal selain ada juga memberitahu akibat dipukul.
“Saya memang terkejut tetapi apabila tiba di Hospital Pulau Pinang (HPP), doktor memaklumkan punca sebenar kematian Mohd Syazwan disebabkan penyakit jantung yang dihidapi sejak beberapa tahun lalu.
“Saya sendiri tidak tahu Mohd Syazwan menghidap penyakit jantung dan ia mengejutkan seluruh ahli keluarga kerana arwah anak sulung dan juga yatim piatu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, HPP di sini, semalam.Mohd Ismail berkata, keluarganya reda dengan pemergian arwah yang meninggal dunia dalam usia muda dan berharap arwah ditempatkan antara golongan beriman.Jenazah Mohd Shazwan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, di sini selepas solat Zuhur.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid mengesahkan kejadian dan berdasarkan bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat sakit jantung.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090223091046/Article/index_html

Khamis, 22 Januari 2009

‘Tak mampu sara ibu bapa’

Oleh Ziauddin Sharuddin
(Sharuddinbhnew@bharian.com.my )

SEREMBAN: Seorang pensyarah universiti yang disaman ibu bapanya kerana tidak memberi nafkah kepada mereka memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah, di sini semalam gajinya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan keluarganya. Raja Suzana Kassim, 39, berkata gaji kasar RM4,400 sebulan tidak mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan dan terpaksa ditampung pendapatan suaminya, Zulazli Hashim, 43. Dia turut memberitahu mahkamah mengenai beberapa pinjaman bank, termasuk pinjaman peribadi yang diambilnya, selain gaji diterimanya dibelanjakan untuk makanan, pakaian dan keperluan lain serta membayar insurans pendidikan anak.
Raja Suzana berkata demikian dalam perbicaraan untuk membuat taksiran mengenai kemampuannya membayar nafkah sepanjang hayat kepada ibu dan bapanya. Tahun lalu, Raja Suzana dan suami bersetuju memenuhi tuntutan ibu bapanya, terutama berkaitan nafkah sepanjang hayat dan membenarkan ibu bapanya mendiami rumah di Kampung Jiboi Baru yang sudah dijual kepada orang lain, tetapi disewakan semula dengan sewa dibayar Raja Suzana. Pada April 2007, Raja Suzana dan Zulazli sebagai defendan pertama dan kedua menghadapi tuntutan daripada pesara, Kassim Othman, 72, dan isterinya, Fatimah Salleh, 64, kerana didakwa memungkiri janji dan mengusir mereka dari rumah yang dipindah milik kepada anak dan menantunya.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Kassim menyatakan beliau dianugerahkan sebidang tanah di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, pada Ogos 1971 serta mendirikan sebuah rumah dan membesarkan lapan anak, termasuk defendan pertama. Pada 1993 Raja Suzana serta Zulazli mendirikan rumah tangga dan pada 2002, Kassim memindah pemilikan tanah kepada defendan selepas mereka berjanji, antara lain menanggung nafkah plaintif selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-dua plaintif tinggal di rumah itu. Bagaimanapun, defendan memungkiri janji dan mengabaikan kebajikan plaintif. Pernyataan tuntutan turut menyatakan defendan pertama melakukan kekasaran terhadap plaintif kedua menyebabkan dia cedera. Raja Suzana juga didakwa gagal, abai atau cuai untuk memenuhi janji selepas tanah itu dipindah milik dan gagal melaksanakan tanggungjawab menafkahi plaintif iaitu nafkah furu'.
Hakim kemudian menetapkan 24 Februari depan untuk membuat taksiran yang sama terhadap suaminya.

Sumber:http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Nasional/20090121234005/Article/index_html

Jumaat, 9 Januari 2009

Pelajar boleh sertai protes Israel

KUALA LUMPUR: Pelajar universiti di negara ini dibenarkan menyertai perhimpunan aman yang dirancang bagi membantah tindakan kejam Israel terhadap Palestin, manakala pihak universiti pula boleh menganjurkan bantahan seumpama itu. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian tidak mempunyai halangan untuk pelajar dan universiti menyertai bantahan itu, selaras dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diluluskan Parlimen bulan lalu.
“Rakyat pelbagai lapisan dapat bersatu melahirkan pendirian kita mengenai keganasan dan saya percaya kita tidak dapat menerima tindakan yang menyebabkan kematian, kerosakan serta kesengsaraan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kepimpinan Masa Depan Malaysia di Universiti Malaya (UM) di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pelajar IPTA boleh menyertai gerakan besar-besaran bagi menunjukkan bantahan terhadap pencabulan dan keganasan Israel di Semenanjung Gaza yang akan diadakan Pemuda Umno. Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam dilaporkan berkata, gerakan massa secara besar-besaran oleh setiap lapisan masyarakat Malaysia melalui pertubuhan bukan kerajaan itu sudah diambil maklum dan dipersetujui oleh Kabinet.
Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran ketika bercakap kepada pemberita di Putrajaya, semalam berkata, pihaknya akan menggembleng lima juta pelajar dan lebih 300,000 guru dari sekolah di seluruh negara bagi menyertai gerakan besar-besaran itu. Sementara itu, semua pihak tanpa mengira parti, kaum dan agama, termasuk NGO turut menyatakan sokongan terhadap gerakan itu dan sanggup untuk menyertai gerakan menyuarakan bantahan rakyat terhadap rejim Zionis. Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Putera MCA dan MIC dalam waktu terdekat ini bagi mengambil langkah yang perlu untuk menyelaraskan gerakan itu.
Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar berkata, parti itu akan mengetepikan sebarang sentimen politik dan sedia menyertai gerakan iti kerana membabitkan isu berkaitan kemanusiaan sejagat, khususnya kepentingan penduduk Palestin.

Sumber: Berita Harian 9 Januari 2009

Jumaat, 2 Januari 2009

59 terbunuh kelab malam terbakar

BANGKOK: Kemeriahan menyambut tahun baru 2009 bertukar tragedi apabila 59 orang terbunuh dan lebih 100 lagi cedera dalam kebakaran di sebuah kelab malam di ibu negara Thailand, awal pagi semalam. Kebakaran di Santika Pub itu, dikatakan berpunca daripada percikan bunga api dan mercun, tetapi beberapa saksi mendakwa insiden itu akibat litar pintas. Seorang saksi, Oh Benjamas, berkata kira-kira 400 pengunjung yang memenuhi kelab dua tingkat itu diberi bunga api sejurus sebelum tengah malam dan sebaik jam berdetik menandakan permulaan tahun baru 2009, ia dinyalakan disusuli dengan kebakaran besar.
“Kami sedang menari apabila berlaku kebakaran di hadapan pentas dan semua orang berlari ke arah pintu dan memecahkan tingkap,” katanya. Seorang lagi saksi, Tos Maddy, pula berkata beliau mendengar apa yang dianggap letupan elektrik kira-kira 12.20 pagi, diikuti rempuhan pengunjung yang bersesak untuk keluar. “Segala-galanya berlaku terlalu pantas dan api cepat merebak,” katanya dipetik agensi berita Reuters.
Api dikatakan menyambar siling sebelum merebak dan memusnahkan sepenuhnya kelab yang terletak di Ekkamai, iaitu jalan yang popular dengan pengunjung dari luar negara dan masyarakat kelas atasan Thai. Kebanyakan mangsa pula rentung dengan berpuluh mayat dibaluti kain putih terbaring di kaki lima di luar bangunan sebelum dialihkan pasukan penyelamat. Seorang warga Singapura, Teo Sze Siong, adalah antara yang maut tetapi pakar forensik gagal mengenal pasti sekurang-kurangnya 30 mayat. Warga asing yang cedera termasuk dari Jepun, Australia, Belanda dan Perancis.

Sumber: Berita Harian 2 Januari 2009