Jumaat, 31 Disember 2010

MURABBI MURSYID

Hari-hari yang dilalui di Matri semakin hari semakin menyeronokkan. Jiwa makin tertambat. Hati makin terikat. Mana tidaknya, guru-guru yang mengajar kami semuanya berjiwa mursyid. Kejujuran dan keiklasan mereka amat kami rasai. Penduduk yang tinggal berdekatan dengan Matri juga semuanya masya Allah baik-baik belaka. Bahkan, mereka melayani kami seperti anak mereka. Mereka itu semua adalah anak didik almarhum Ustaz Dahlan. Begitu juga selain mereka, yang iltizam dan komited mengikuti didikan, tarbiah dan pemelajaran bersama almarhum, jika mereka bersua dengan kami di ijtimak, gotong-royong atau di mana-mana, mereka akan bertanya khabar dan mengambil berat serta membantu kami jika diperlukan. Mereka amat ringan tangan untuk menghulurkan bantuan dan bimbingan. Begitulah kesan didikan yang mereka terima daripada mursyid ulung itu. Itulah pengakuan mereka. Nilai didikan itu pula mereka tumpahkan kepada kami. Itulah pula yang saya rasai.

Aktiviti pendidikan Matri pada peringkat awal seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, tidak tertumpu di kelas semata-mata. Aktiviti pemelajaran di kelas hanyalah sebahagian daripada program pendidikan di Matri. Kami selalu di bawa oleh almarhum cikgu Tajul bermain badminton di dewan badminton ITM Arau (sekarang UiTM). Sepanjang perjalanan ke dewan badminton, dalam keretanya itu beliau mengambil kesempatan berbual pelbagai topik dengan kami. Dari kisah perjalanan hidupnya membebaskan diri daripada tawanan jahiliah, juga beliau cuba menyelongkar latar peribadi kami, kemudian beliau kaitkan dengan tarbiah (didikan Islam). Beberapa hari selepas kami daftar di Matri kami juga diminta bersama-sama membantu majlis ibadah Qurban berbelas ekor lembu. Cikgu Yahya pula mengajak kami berkebun di lot tanah bersebelahan bangunan Matri. (sekarang rumah Tuan Haji Abdul Malek). Dalam kalangan anak didik almarhum ada juga yang suka membawa kami ke rumah mereka untuk menjamu selera, berbuka puasa, tidur dan sebagainya. Ada juga yang membawa kami ke pantai Sungai Berembang mencari mentarang, ke dusun mengait buah rambutan. Maklum sahajalah pada masa itu bilangan kami tidak ramai, tentu mudah untuk mereka uruskan kenderaan membawa kami. Begitulah gandingan pelbagai murabbi membentuk arus Islamiah di Matri yang disebutkan sebagai Biah Solehah. Suasana tersebut sebenarnya mendidik kami yang masih di awal Dhuha Tarbiah Islamiah.

Alhamdulillah, saya mengambil kesempatan ini sebaiknya untuk menyirat benang ukhuah Islamiah.Sehingga kini mereka itu semua amat akrab dengan saya walaupun dalam kalangan mereka sudah mencapai umur tujuh puluhan sedangkan saya baru menunas di awal empat puluhan. Sebahagian mereka juga telah pergi meninggal kita buat selama-lamanya.

Begitu jugalah guru-guru mursyid yang mengajar kami di kelas, amat mesra dan tawadhuk. Boleh duduk menghadap talam makanan bersama anak muridnya tanpa kekok. Selepas pemelajaran kelas petang mereka bersama kami menjamu selera di lobi sementara menunggu solah asar. Selepas solah asar pula ada dalam kalangan mereka bersama kami pula berkejaran bola di padang. Hubungan sebegini langsung tidak mengurangkan hormat kami kepada mereka. Kami tetap meletakkan mereka sebagai tok guru dan memperlakukan sepertimana sepatutnya seorang anak murid. Hubungan sedemikian membuatkan kami mudah berbincang dengan mereka di dalam mahupun di luar waktu kelas.

Lebih-lebih lagilah tuan guru mursyid kami almarhum ustaz Dahlan, dialah qudwah kepada kami dan mereka. Beliau dilihat menghayati tarbiah yang beliau sampaikan. Beliau amat menonjol dalam setiap aktiviti amal jamai (gotong royong) yang dianjurkan di Matri. Beliau juga memiliki pengetahuan asas dalam pertukangan, pertanian, masakan dan sebagainya. Pertimbangannya juga dilihat daripada pelbagai sudut terutamanya syarak dan tarbiah. Jadi tidak hairanlah kebanyakan keputusan biasanya akan dirujuk terlebih dahulu kepada beliau sama ada soal deen mahupun permasalahan lain.

Pernah suatu hari beliau membawa kami ke kebunnya di Semadong. Di situ ada sebuah pondok kecil. Buluh-buluh hutan ada beberapa perdu. Selain itu ada beberapa pokok cempedak sebesar paha, pokok kelapa dan pokok nangka. Ada juga pokok petai setinggi aras bahu. Kawasan kebunnya itu diselimuti hutan belukar. Sekitar kebunnya pula adalah kawasan kebun getah. Sampai di sana ustaz memberitahu kami ada beberapa pokok yang ditanamnya perlu dibersihkan. Beberapa rakan saya mencapai parang dan pergi menebas sekitar pokok-pokok yang telah ditanam. Saya pula mengekori beliau membantu mencari rebung di perdu buluh. Sambil-sambil mencari rebung sempat juga beliau mengintai pokok cempedaknya yang sebesar paha itu. Ada kesan-kesan lubang dimakan ulat pada dahan cempedak. Beliau mengambil ranting kayu sebesar jari kelingking sepanjang sehasta diikatkan kain buruk dihujungnya. Batang itu dicelupkan dalam minyak hitam (minyak enjin yang telah digunakan) lalu dititikkan ke dalam lubang ulat tadi. Beliau memaklumkan saya tujuannya agar ulat-ulat itu tidak datang lagi mengganggu dahan cempedak tersebut.

Hari itu al marhum Ustaz Dahlan memasak makanan tengahari di kebun itu untuk menjamu kami. Hanya mengunakan dapur kayu, semuanya beliau uruskan sendiri. Saya sekadar memerhatikan beliau memasak dan membantunya seperti yang diminta. Saya amat tertarik sekali cara beliau memasak sayur rebung buluh hutan. Rebung buluh hutan itu dirincikkan kemudian direbus bersama sedikit udang, buah terung Belanda, dan sedikit belacan. Buah terung itu juga diambil daripada pokok yang berhampiran pondok. Beliau memberitahu saya belacan dimasukkan sedikit supaya rebung nanti rasa manis. Masakan kesukaannya itu memang menepati selera saya. Rakan yang lain ada yang membantu membakar ikan kembung. Walaupun masakan ala kadar sahaja, nasi berlauk ikan bakar, sayur rebung dan sambal, namun cukup meyelerakan. Setelah selesai makan kami pulang ke Matri.

Walaupun saya sudah keluar Matri namun kenangan bersama mursyid di Semadong sentiasa dalam ingatan saya.Program tersebut menjadi sebahagian aspirasi saya untuk pelajar-pelajar saya. Semasa saya bekerja di luar Perlis, saya sering menziarahinya dirumahnya di Kampung kersik. Perkembangan kebun di Semadong antara persoalan yang saya kemukakan kepadanya. Minggu-minggu terakhir sebelum beliau di masukkan hospital buat kali terakhir, saya sempat bersamanya makan dan berkebun di Semadong beberapa kali.





Mencicah buah mempelam bersama guru bahasa Inggeris Cikgu Tuan Hassan



Rehlah ke Langkawi bersama anak didik almarhum



Makan bersama Makcik Onen dan lain-lain



Bersama Ummi Halimaton menunggu feri rehlah ke Langkawi.