Selasa, 7 April 2009

Seterika panas dera junior

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

RAUB: Tiga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong dekat sini, cedera dipercayai didera menggunakan seterika panas oleh sembilan pelajar senior sekolah berkenaan, akhir bulan lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang hari kejadian, mangsa mendakwa dibuli sembilan pelajar tingkatan dua dan tiga berusia antara 14 hingga 15 tahun.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata pemeriksaan di Hospital Raub (HR) mengesahkan terdapat beberapa kesan luka pada badan dan tangan ketiga-tiga mangsa.Selain itu, menurutnya, mangsa mendakwa dipaksa melakukan kerja berat yang tidak sepatutnya dilakukan seperti menyiram pokok bunga di kawasan asrama sekolah berkenaan.


Katanya, polis percaya ada antara pelajar senior terbabit menekap seterika panas ke badan mangsa.

Beliau yang dihubungi semalam, berkata, sembilan pelajar terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Samsudin Wan Osman, berkata kejadian itu terbongkar apabila seorang daripada mangsa membuat laporan bersama keluarganya di Balai Polis Dong, Khamis lalu berhubung penderaan itu.Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian itu dipercayai berpunca akibat pertengkaran antara mangsa dengan pembulinya sebelum membawa kepada pergaduhan.“Sembilan pelajar senior itu dibebaskan dengan jaminan polis Jumaat lalu dan kertas siasatan kes terbabit akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090407091520/Article/index_html

Tiada ulasan: