Selasa, 4 Jun 2013

Ustaz Dahlan yang kukenali

Kali pertama saya melihat wajah ustaz Dahlan semasa saya menghadiri ijtimak umum Abim Perlis di Surau Tanjung Gorah, Repoh, Perlis, sekitar tahun 1986.  Ijtimak tersebut adalah aktiviti mingguan Abim Perlis yang diadakan setiap hari jumaat sekitar jam 3 petang. Ketika itu saya masih belajar di tingkatan 5,  Maktab Mahmud, Alor Setar.

Bila sahabat saya yang hampir sebaya dengan ayah saya memberitahu Ustaz Dahlah sudah sampai, mata saya terus beralih ke arah susuk tubuh yang sedang manaiki tangga kayu lalu bersalaman dengan hadirin berhampiran muka pintu belakang sambil berjalan menuju ke hadapan surau. Dia memakai baju ala baju Raihan, berkain pelikat, berkopiah putih dan menyangkut sehelai serban nipis di atas bahunya. Dia bersalaman dengan mereka yang berada di laluannya dan yang lainnya dia mengangkat tangan dan melemparkan senyuman manis darinya. Itulah kali pertama saya melihat wajahnya.

Pada bulan Julai 1987 saya ditawarkan belajar di Mahad Attarbiyah Al-Islamiah (Matri) sebagai pelajar sulung. Di sini, selain menuntut ilmu saya juga dapat mempelajari banyak perkara khususnya melalui Ustaz Dahlan sendiri.  Beliau pernah membawa kami pelajar-pelajar Matri berkelah di kebunnya. Dia mengajar kami memasak sayur rebung, membuat sambal belacan dan sebagainya. Mungkin beliau fikir saya minat berkebun, di situ beliau mengajarkan saya cara menjaga pokok cempedak daripada dimakan ulat. Selain itu kami sama-sama membersihkan sekitar pondoknya.

Ustaz Dahlan dan juga isterinya Umi Halimaton (Umi) juga sering menjemput kami ke rumah mereka untuk menjamu selera. Biasanya kami sama-sama masak bersama Umi dan Ustaz Dahlan. Di samping itu kami menawarkan diri untuk memberikan khidmat kami seperti membersihkan sekitar rumah mereka.  Hal yang demikian membuatkan perasaan kami begitu dekat dengan mereka berdua. Kami dapat rasai layanan mereka berdua seperti juga seorang bapa dan ibu.  Sebelum Matri di buka, Ustaz Dahlan juga sering membawa pelajar-pelajarnya ke rumahnya. Demikianlah yang dimaklumkan oleh anak sulung beliau apabila saya ajukan persoalan tersebut kepadanya. Demikianlah sifat pemurah yang dimiliki oleh Ustaz Dahlan.

Saya sendiri melakukan Ustaz Dahlan dan Umi bagai ayah dan ibu saya sendiri.  Semasa saya bekerja di Gombak dan Shah Alam, setiap kali saya balik kampung di Naka, Kedah, saya pasti akan menziarahi mereka di Mata Air, Perlis. Pernah dalam perjalanan ke rumah mereka kereta yang saya pinjam daripada sahabat saya rosak lebih kurang dua atau tiga kilometer dari rumah mereka. Ada pemuda yang bermurah hati membawa saya dan keluarga ke rumah Ustaz Dahlan. Sementara menunggu kereta siap diperbaiki, kami sekeluarga terpaksa tinggal di rumah Ustaz Dahlan tiga hari dua malam. Alhamdulillah banyak juga perkara dan maklumat yang saya perolehi daripadanya.
Seorang pelajar sedang membantu Ustaz Dahlan menumbuk sambal

Sepanjang yang saya kenali Ustaz Dahlan, beliau  pandai memasak dan membuat makanan kampung. Jika saya berbicara dengannya tentang makanan kampung, beliau amat gembira menceritakan kepada saya tentang pelbagai jenis makanan kampung. Semua yang diceritakannya seakan sama dengan selera saya. Beliau pernah mengajar saya membuat sambal belacan untuk dimakan dengan buah larak (Sejenis buah hutan). Beliau pernah menceritakan masakan tapak kaki lembu yang disalai yang biasa ayahnya dan beliau sendiri masak. Beliau pernah menceritakan dan menjamu saya masakan kulit kerbau goreng yang dimasak oleh beliau.

Selain pandai memasak cara kampung, Ustaz Dahlan juga memiliki kemahiran tangan yang tinggi. Sepanjang tempoh kehidupan saya bersama beliau banyak juga yang saya pelajari daripadanya. Pernah beliau mengajar saya mengenali bahagian atas dan bahagian bawah sebatang tiang kayu yang kelihatan sama sahaja. Beliau mengajar saya cara memotong kayu dan sebagainya. Beliau juga pernah memberitahu saya bahawa dia pernah membuat songkok. Demikianlah antara kemahiran tangan yang pernah beliau ceritakan kepada saya.

Kehidupan kampung sebati dengan kehidupan beliau. Apa  kerja-kerja kampung yang beliau tidak buat? Beliau pernah menceritakan di usia remajanya beliau pernah bersawah dari membajak, menyemai,  hinggalah menuai. Anak jarinya terputus semasa menyabit pokok padi. Beliau merawat jarinya sendiri dengan  mengunakan sejenis daun yang terdapat di sawah dengan membalutkan jarinya dan mengikatnya untuk dicantumkan semula. Namun demikian, anak jarinya bercantum  tidak sama seperti yang beliau tunjukkan kepada saya disebabkan semasa dia mengikat jarinya itu tidak letakkan dengan betul. Selain itu beliau juga pernah menoreh getah dan menanam sayuran, pokok buah-buahan dan lain-lain lagi kerja kampung.

Bagi saya, Ustaz Dahlan bukan sahaja sebagai ayah tetapi jauh daripada itu beliau merupakan guru yang mursyid kepada saya. Pembawakannya yang amat sederhana memberikan aspirasi kepada saya. Rumahnya, pakaiannya, dan penampilannya amat sederhana. Beliau dapat mengauli pelbagai peringkat manusia. Beliau dapat bergaul dan berinteraksi dengan baik dengan pekerja am rendah Matri. Sering juga Ustaz Dahlan bersembang dengannya dan mengajaknya minum di warung. Sebaliknya, beliau juga boleh  bergaul dengan seorang Raja. Pernah beliau menjemput DYMM Raja Perlis ke majlis perkahwinan anaknya. Beliau juga pernah menyebutkan kepada saya mahu menjemput Raja Perlis ke Majlis sambutan 25 tahun Matri. Saya mengatakan kepada kepada beliau banyak protokol. Namun Ustaz Dahlan mengatakan itu mudah sahaja. Lagipun katanya, beliau kenal dengan Raja Perlis.

Pengurusan masa sangat penting dalam urusan hidup. Saya dapati dalam beberapa keadaan beliau amat menepati masa seperti yang ditetapkan. Pernah juga saya mengendalikan beberapa program terutamanya program yang melibatkan lepasan Matri. Setiap kali kami menjemputnya, saya dapati beliau akan tiba beberapa minit sebelum masa yang diperuntukan kepadanya. Malahan, kadang-kadang saya rasa malu pula dengannya disebabkan rakan-rakan belum memenuhi bilik sedangkan beliau sedang menunggu di luar. Namun demikian, beliau tidak pernah menyindir para hadirin tentang kelewatan mereka. Begitu juga, saya tidak pernah mendengar beliau menyindir para hadirin yang tidur semasa penyampaiannya.

Saya amat tertarik dengan gaya penyampaiannya yang saya rasakan setiap penyampaiannya berfokus kepada mentauhidkan  Allah Taala dalam setiap keadaan. Walaupun tajuk yang sama, bahan yang sama, namun, apa yang saya rasai penekanannya berbeza daripada penyampai yang lain. Wallahu Aklam, mengapa saya tidak jemu mengikuti penyampaiannya walhal kadang-kadang dua tiga kali mendengar tajuk yang sama. Setiap kali penyampaian umum yang disampaikan olehnya saya dapat kesani penyampaiannya menepati situasi dan permasalahan para hadirin setempat. Kadang-kadang ada juga hadirin yang menyatakan; Alhamdulillah selesai masalah, selepas mendengar ucapannya.

Akhirnya, saya  ingin menyatakan di sini harapan beliau terhadap para lepasan Matri. Pernah satu ketika beliau menyatakan dia berharap Persatuan Lepasan Matri (PLM) dapat mengadakan muktamarnya di dewan hotel dan menjemput beberapa individu yang ternama dari luar negara untuk mengisi slot dalam muktamar. Dalam tahun 2009 pernah juga beliau meluah kepada saya bahawa bilangan lepasan Matri ketika itu sekitar dua ribu orang mengikut perkiraannya. Mengikut congakkannya sekiranya setiap lepasan Matri dapat menyumbang RM 10.00 sebulan sudah cukup membantu pengurusan Matri. Itu jika RM10, tapi ada yang lebih mampu daripada itu katanya. Luahannya itu turut dilontarkan dalam ucapannya di Wacana PLM, 2009, di Putra Palace, Kangar.

 Pemergian Ustaz Dahlan satu kehilangan besar dalam hidup saya. Selepas saya tamat belajar di Matri saya lebih banyak menabur khidmat bakti di luar Perlis. Walaupun hati kecil saya berharap saya dapat berkhidmat di Matri selepas tamat belajar kerana masih banyak lagi yang saya perlu timba di Matri khususnya daripada Ustaz Dahlan sendiri. Namun apakan daya saya diminta berkhidmat di Gombak, seterusnya di Alor Setar dan Shah Alam.  Akhirnya saya dapat kembali berkhidmat  di Matri atas usaha Umi dan persetujuan Ustaz Dahlan juga. Namun, tidak sampai setahun saya kembali ke Matri, Umi telah kembali ke Rahmatullah dan setahun berikutnya Ustaz Dahlan pula. Oleh itu, tidak banyak tahun  yang  saya dapat bekesempatan dengan mereka berdua. Namun dengan rahmat Allah Taala, mereka kembali ketika saya berkhidmat bersama-sama mereka. Khidmat bakti mereka sampai ke hujung hayat. Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka bersama-sama para anbiya, syuhadak dan solihin. 

Khamis, 30 Mei 2013

UCAPAN SEMPENA MESYUARAT AGUNG PLM 2013

Assalamualaikum warahmatulah,
 بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين، نحمده ونستعينه ونسترشده ونتوب اليه. والصلاة والسلام على نبيينا محمدصلى الله عليه والسلام وعلى آله واصحابه اجمعين. .
Pengerusi mesyuarat yang dikasihi, Yang berusaha Saudara Ikrimah selaku pengarah Wacana 2013 serta ahli-ahli jawatankuasa, Yang bebahagia Ahli Jawatankuasa induk PLM Yang berbahagia Cikgu Mohd Abdoh Zainal Abidin selaku penyampai ucap utama Yang berbahagia saudara-saudari jemputan penyampai forum petang ini Yang dimuliakan para alim ulama Yang dikasihi sahabat-sahabat dari persatuan-persatuan IPS. Seterusnya hadirin dan hadirat Wacana PLM 2013.

 1. PENDAHULUAN

 Alhamdulillah setinggi syukur kehadrat Allah, Atas anugerah-Nya; anugerah iman dan anugerah Islam, anugerah ukhuah dan anugerah mahabbah, kepada para lepasan Matri dari pelbagai peringkat dan pangkat. Syukur kita kepada Allah di atas ni’matNya dan rahmat-Nya yang melimpah ruah. Dengan rahmat-Nya hari ini dapatlah kita bertemu dan beramah mesra sesama kita. Semoga usaha diadakan pertemuan seumpama ini pada saban tahun diredhai Allah Taala. Abu Hurairah R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
إن الله تعالى يقول يوم القيامة: أين المتَحَابونَ بجَلالي؟ اليَوْمَ أُظِلُّهُمْ في ظِلِّي يَوْمَ لا ظِلَّ إلا ظِلِّي. رواه مسلم.
 “Sesungguhnya Allah Taala berfirman pada hari kiamat nanti: Manakah mereka yang berkasih-sayang (semasa di dunia) kerana keagungan-Ku? Hari ini Aku akan lindungi mereka pada hari yang tiada lagi perlindungan melainkan perlindungan-Ku."

 Terima kasih kepada semua yang hadir, sama ada yang jauh atau dekat, sama ada dalam negara mahu pun luar negara. Semoga kehadiran tuan-tuan dan puan-puan menyemarakkan lagi rasa tanggungjawab kita kepada Allah dan terhadap Deen Allah. Walaupun yang hadir pada hari ini adalah sebilangan kecil daripada bilangan yang sepatutnya lebih besar, namun kita berkeyakinan sebagian besar daripada mereka mempunyai cita-cita yang tinggi untuk turut serta bersama kita. Namun, disebabkan masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan seperti kekangan masa, masalah keluarga, kewangan, jarak yang jauh dan sebagainya. Namun mereka ini walaupun tidak bersama kita pada hari ini tetapi insya Allah hati-hati mereka bersama kita. Selain itu, saya berkeyakinan juga sebahagian daripada lepasan tidak menerima maklumat Wacana pada kali ini. Ini disebabkan, selepas menerima keputusan SPM, masing-masing membawa diri entah ke mana lansung tiada hubungan. Walaupun rakan seangkatan juga tidak dapat menghubungi. Oleh itu, kita memang mengharapkan kerjasama semua Lepasan untuk menghubungi semua lepasan supaya berdaftar di Laman Web Matri.

 2. KUMPUL AHLI

Wacana termeterai nian indah
melakar sejarah di auditorium utama
gerabak alumni kian bertambah
carilah arah kumpulkan anggota

 Hadirin Para Lepasan Yang dirahmati Allah Taala.

 Bilangan Lepasan Matri di jangkakan melebihi dua ribu orang setakat ini. Mereka ini perlu dikumpul dalam satu wadah. Lidi sebatang mudah dipatahkan. Namun bila batang lidi tadi dikumpulkan dalam satu ikatan kekuatannya tentu bertambah dan sukar pula untuk mematahkannya. Kerjasama anai-anai mampu membina sebuah bukit. Justeru usaha-usaha mengumpulkan para lepasan Matri dari pelbagai lapisan dan kedudukan terus menjadi agenda utama dalam PLM. Antara usaha-usaha yang telah kita laksanakan, melantik wakil-wakil lepasan mengikut mengikut ambilan SPM. Walaupun dia tidak sempat ambil SPM di Matri, hanya sempat belajar di tingkatan satu sahaja atau sekejap sahaja maka dia layak untuk kita pelawanya bersama kita berada dalam gerabak PLM. Di samping itu kita juga telah membuka pendaftaran secara online di Laman Web PLM. Diharapkan dengan sistem alam maya ini dapat memudahkan urusan para lepasan Matri untuk mendaftarkan nama.

 Setakat 1 April 2013, hanya 527 baru direkodkan dalam laman web PLM. Daripada senarai tersebut, mereka ini menurut rekod kami, seramai 161orang daripada mereka telah berdaftar sebagai ahli PLM. Nama-nama lepasan Matri amat penting untuk kita. Setiap kita berperanan mendapatkan maklumat sahabat-sahabat kita yang pernah bersama kita di Matri suatu ketika dahulu. Kita amat berharap setiap nama lepasan Matri dapat direkodkan dalam laman web PLM. Seterusnya bayar RM 5.00 kepada Bendahari untuk diaktifkan sebagai ahli PLM. Seterusnya bayar RM10.00 setiap tahun sebagai yuran tahunan. Wang-wang tersebut Insya Allah digunakan untuk kepentingan persatuan dan para lepasan Matri. Semoga lagi banyak ahli, lagi banyak wang, maka lagi banyak aktiviti yang dapat kita laksanakan.

 Saya mengambil kesempatan ini memohon maaf kepada semua lepasan Matri kerana masih banyak kelemahan dalam sistem online ini kerana masih baru lagi. Banyak maklumat lepasan Matri yang tidak dikemaskinikan. Kita menghadapi kekangan tertentu tetapi kita sedang usahakan untuk mengatasinya.

 3. BANTU MATRI

U I A tempat berwacana
berhimpun bersua bagai keluarga
membantu matri agenda bersama
hulurlah harta mahupun tenaga

 Antara tujuan diwujudkan Persatuan Lepasan Matri, adalah untuk membantu madrasah yang telah sama-sama kita terima didikan khususnya Tarbiah Islamiah. Mereka yang terdahulu telahpun berkorban masa, tenaga dan harta mereka untuk membangunkan institusi tersebut. Tanpa usaha jerih perih mereka tentu kita tidak merasa berada di institusi tarbiah ini. Mereka telah curahkan segalanya sebelum institusi tersebut dibina lagi. Namun sebelum itu mereka telah dibekal dengan pengisian jiwa dengan modul yang diasaskan oleh Almarhum Ustaz Dahlan Mohd. Zain Rahimahullah Taala. Setelah sekian tahun jiwa-jiwa tadi dididik dengan tarbiah Islamiah Harakiah, maka lahirlah jiwa-jiwa yang siap sedia untuk berkorban. Mereka telah berkorban dengan jiwa mereka untuk membangunkan institusi tersebut. Mereka senantiasa dingatkan dengan hadis nabi S.A.W. yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal R.A.
 لاتزول قدما عبد يوم القيامة حتى يسأل عن أربع خصال : عن عمره فيما أفناه ، وعن ماله من أين اكتسبه ، وفيما أنفقه ، وعن علمه ماذا عمل فيه
“Tidak berganjak tapak kaki seorang hamba di hari qiamat nanti sehingga disoal tentang empat perkara; tentang umurnya di mana di habiskan, tentang hartanya dari mana dia perolehi dan di mana pula dia infakkan dan tentang ilmunya apa yang dia telah lakukan.”

 Sebahagian mereka yang telah melakukan pengorbanan besar membangunkan institusi tarbiah ini telah pergi meninggalkan kita. Sebagian daripada mereka sudah uzur dimamah usia. Sebahagian mereka masih memerah kudrat mereka di Matri untuk mencari husnul khatimah di institusi tarbiah itu. Itulah pengorbanan mereka yang terdahulu. Atas Iman kepada Allah Taala mereka telah berkorban membangunkan institusi tarbiah itu demi untuk umat. Untuk Islam. Untuk kita juga.

 Walaupun institusi itu telah terbangun, malah telah mengeluarkan hasilnya, dan sebahagian hasilnya ialah kita yang berada di dewan ini, namun pengorbanan masih diperlukan untuk meneruskan apa yang telah diusahakan oleh mereka yang terdahulu. Kenyataannya, membina institusi itu amat sukar. Memerlukan pengorbanan yang tinggi daripada anggota. Memerlukan jiwa-jiwa yang kuat yang berdegup dengan zikrullah. Namun sebenarnya mempertahankan istitusi yang telah dibina itu adalah lebih sukar dan payah. Mempertahankan institusi bukan sekadar mempertahankan bangunan daripada dimakan anai-anai. Itu mungkin senang, kita boleh upah pest kill. Itupun perlukan duit juga. Begitu juga mempertahankan bangunan itu supaya sentiasa bersih. Itupun mungkin gampang. Mempertahan bangunan bukan bererti mempertahankan fizikal bangunan semata-mata. Malah melangkaui mempertahankan agenda penubuhan Institusi itu sendiri. Sama ada mempertahankan fizikal bangunan ataupun mempertahankan ruhnya, atau kandungannya, atau isinya, semuanya memerlukan sokongan dan dokongan dan pengorbanan. Maka, siapa yang akan menyokong dan mendokong mempertahankan institusi tarbiah yang kita sendiri telah berada dan menerima didikan di dalamnya? Siapakah yang dapat diharap untuk meneruskan agenda penubuhan institusi ini. 

“Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa Yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa Yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa Yang telah mereka lakukan.”

 Mereka yang terdahulu telah melakukan yang terbaik untuk ditinggalkan untuk kita. Kita pula bagaimana? Sumbangan RM10.00 sebulan terus berjalan. Sumbangan daripada tuan-tuan dan puan-puan, encik-encik dan cik-cik masih terbuka luas. Masukkan ke Akaun bank Islam Persatuan Lepasan Matri atau terus serahkan kepada bendahari PLM. Di samping itu juga saya difahamkan pada wacana kali ini ada satu lagi kejutan yang insya Allah akan di lancarkan satu tabung untuk membantu Matri. Insya Allah petang nanti. Saya ucapkan syabas dan tahniah atas usaha tersebut. Moga Allah permudahkan usaha tersebut.

4. KESATUAN ANGGOTA

Pandu kereta bermusafir jauh
bersama taulan hadiri wacana
elak sengketa jauhi bermusuh
atas iman muafakat terbina.

 Di samping pengorbanan yang telah kita sebutkan, kita juga perlukan kesatuan dalam kalangan ahli PLM. Bagaimana kita dapat melaksanakan tugas dengan baik sedangkan sesama ahli bercakaran. Kita bukan melaksanakan tugas secara individu tetapi secara oraganisasi. Secara kolektif. Secara jamai. Sama-samalah kita renungi sabda Rasulullah S.A.W.
 التَّحَدُّث بنعمة الله شكر ، و تركها كفر ، و من لا يشكر القليل لا يشكر الكثير ، و من لا يشكر الناس لا يشكر الله ، و الجماعة بركة ، و الفرقة عذاب - حديث حسن
“Berbicara tentang nikmat Allah itu syukur, sedangkan meninggalkannya kufur, sesiapa yang tidak bersyukur sedikit dia tidak akan bersyukur banyak. Sesiapa yang tidak mensyukuri (berterima kasih) kepada manusia dia tidak bersyukur kepada Allah. Berjamaah itu barakah dan berpecah belah itu azab” – Hadis Hasan. 

Walaupun rambut sama hitam tetapi hati lain lain. Walaupun kita sama-sama terima didikan di tempat yang sama, tetapi merasainya tentu berbeza. Justeru, utamakan soal asas daripada soal rantingan. Api persengketaan perlu dipadamkan dengan segera. Jangan sekali-kali kita curahkan minyak perbalahan sesama kita. Perlu ada bertolak ansur. Jangan mudah menghukum sesama kita. Banyakkan husnun Dzan. Kita dididik dengan keikhlasan dalam berkerja. Kita dilatih melaksanakan kerja hanya sanya untuk Allah Taala. Elakkan daripada bangga diri, menunjuk-nunjuk, berbangga dengan kerja kita dan sebagainya. Seterusnya, kita serahkan kepada Allah Taala tentang apa yang ada dalam hati mereka. Kembalilah kepada Al-Quran. Kembalilah kepada As-Sunnah An Nabawiyah. Marilah kita bina kesatuan kita ini atas asas iman kepada Allah Taala. Marilah kita bina kasih sayang kita atas ukhuah fil-Lah. Kita usahakan sedaya mungkin membina kasih sayang seumpama kasih sayang para sahabat R.A. di sisi Rasulullah S.A.W.

 "Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama mereka”. Al-fath: 29

Sahabat-sahabatku yang dikasihi.

 Elakkan perkara yang membawa kepada sengketa, prasangka, syak wasangka, kata mengata, sindir menyindir, dan mengkritik tanpa mengetahui hujung pangkal. Kemudahan yang Allah anugerahkan di alam fana kita manfaatkan sepenuhnya untuk Islam dan untuk umat. Untuk tingkatkan iman kita bersama. Untuk tingkatkan ukhuah dalam kalangan kita. Untuk menunaskan bunga-bunga cinta dan kasih sayang sesama kita. Kemudahan-kemudahan yang Allah anugerahkan ini semuanya sebagai wasilah untuk hamba-Nya merealisasikan ubudiyah kepada Allah Taala dan ingatlah, kita akan dipertanggungjawabkan setiap anugerah itu kepada kita di akhirat nanti. Kita akan disoal dengan apa yang telah kita lakukan dengan kemudahan yang Allah berikan kepada kita, dan dengan kebolehan, kemahiran yang Allah anugerah kepada kita. Marilah, kita tingkatkan kasih sayang sesama kita. Ingatlah pedoman yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W.
 مَنْ لَا يَرْحَمْ لَا يُرْحَمْ
“Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi”.

 5. PEKERJA YANG AKTIF

 Padang terap tanah ibunda
bertemu jodoh di Darul Ridwan
memang diharap saranan berganda
bukankah luluh laksana abaikan?

 Selain kesatuan terbina dengan utuh dan kasih sayang tersirat dengan kukuh atas keimanan kepada Allah Taala, kita juga memerlukan tenaga untuk mengerakkan jentera PLM. Makin banyak gerabak lepasan, maka makin banyak tenaga yang kita perlukan untuk menggerakkan gerabak-gerabak alumni Matri. Tidak terdaya hanya seorang dua sahaja hendak mengheret paling kurang pun 19 gerabak menengah dan 23 gerabak khassah.

 Oleh itu kita memang memerlukan tenaga yang banyak. Kita memerlukan Sokongan dan dokongan daripada hadirin dan hadirat sekalian. Kita memerlukan sumbangan idea, cadangan, saranan dan pandangan daripada tuan-tuan dan puan-puan. Media seperti FB PLM sememangnya mengalu-alukan curahan idea suci daripada kalian. (Bukan sekadar iklan bisnes kita sahaja). Selain FB, kita juga boleh mengemukakan pandangan dalam apa jua cara. Sememangnya banyak pun pandangan-pandangan yang kita terima sama ada dalam kalangan lepasan Matri sendiri mahupun mereka yang perihatin dengan lepasan yang bukan daripada kalangan lepasan Matri. Memanglah, nak bagi pandangan itu mudah. Tak perlu modal. Namun suka saya ingatkan diri saya dan sahabat-sahabat sekalian Firman Allah Taala: “Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya”. Saff: ayat 3.

 Oleh sebab itu, dalam keghairahan memberikan pandangan dan cadangan kita perlu berhati-hati jangan sampai jatuh dalam murka Allah. Saya berharap kita semua fahami bahawa cadangan atau pandangan dikemukan itu merupakan cadangan dan pandangan semata-mata. Bukannya keputusan yang mesti dilaksanakan. Keputusannya kita serahkan kepada pihak yang diamanahkan oleh kalian. Berdasarkan ilmu, pengalaman dan perkiraan dari pelbagai sudut, kita berdoa semoga dengan kebijaksanaan yang ada pada mereka dapat mempertimbangkan dengan sebaiknya untuk dilaksanakan. Moga-moga Allah Taala memberikan mereka petunjuk yang terbaik untuk memutuskan sesuatu tindakan. Oleh itu kita tidak perlu mendesak kerana kita sedar bahawa cadangan kita ikhlas kerana Allah. Kita juga sedar mereka yang menerima amanah juga bertanggungjawab dihadapan Allah untuk menilai dengan seadilnya pandangan yang telah kita kemukakan.

 Sebenarnya yang lebih penting daripada cadangan bagi kita “Rijal”. Kita memerlukan tenaga penggerak yang terjun di medan amal. Kita memerlu mereka yang turut serta dalam melaksanakan agenda PLM. Kita tidak mahu mereka yang hanya duduk sambil mengarah sana dan sini, tetapi hanya melihat dan mendengar sahaja apa orang lain buat.

“Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) Dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar”; - An-Nisa’: 95.

 Kita sangat memerlukan peminpin yang bijak merancang, yang berwawasan, jelas hala tujunya dan dapat menggerakkan jenteranya menuju matlamat. Kita juga memerlukan pekerja dan jundi yang setia dan komited dalam membantu kepimpinan yang dilantik untuk melaksanakan perancangannya. Bagaimana seorang peminpin yang memiliki wawasan yang hebat tetapi dia hanya dibarisi dengan exco pahat atau kabinet lesu dan jumud? Bagaimana jika setiap orang begitu ghairah memberikan pandangan, cadangan, dan saranan, tetapi apabila tiba masa bertindak tiada siapapun berani menghulurkan kepala. Atau saling menunjukkan orang lain. Kalau ada pun, mungkin tiada pula rasa masuliah atau tanggungjawab. Maka hasilnya perancangan tinggal perancangan, cadangan hanya tinggal cadangan. Duit habis merangka perancangan, masa habis melontarkan idea tetapi cadangan hanya tinggal cadangan, pandangan tinggal pandangan. Kadang-kadang ada juga selepas cadangan, datang pula kritikan-kritikan tanpa mengetahui hujung pangkal. Itu lagilah dahsyat.

 Ingatlah Masuliah kita, tanggungjawab kita dengan Allah Taala. Kita memberikan saranan, pandangan dan cadangan kerana rasa masuliah, rasa tanggungjawab kita di hadapan Allah Taala. Bukan kerana nak tunjuk kita pandai, kita banyak idea. Begitu juga kita menerima dan melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada kita juga kerana rasa masuliah kita kepada Allah Taala.

“(Keluarnya manusia dari kubur masing-masing itu ialah) kerana Allah akan membalas tiap-tiap seorang apa yang ia telah usahakan; Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya”.

 Sama-sama kita renungi kata-kata Al-Imam Hassan: “Wahai Ikhwan, saya mahu berterus terang dengan kamu kerana tiada guna lagi saya berselindung. Medan bercakap tidak sama dengan medan berkhayal. Medan beramal tidak sama dengan medan bercakap. Medan berjihad tidak sama dengan medan beramal. Medan berjihad yang hakiki tidak sama dengan medan berjihad yang palsu”.

 Oleh itu, kita perlu berusaha sehingga sampai berada di medan jihad hakiki. Kita utamakan amali daripada teori. Kita utamakan kerja daripada bercerita. Kita utamakan amal daripada angan-angan. Kita utamakan pelaksanaan daripada pelan.

 6. MATLAMAT YANG BETUL

 Masakan Pak lah sudah serasi
sayur petola goreng keli
mardhotillah matlamat asasi
Islam berwibawa itu di hajati

 Sahabat-sahabat, sahibah-sahibah hadirin dan hadirat

 Mengapa perlunya kita kepada organisasi ini?
 Mengapa perlunya kita hadir ke perjumpaan lepasan Matri saban tahun?
 Apakah kita hadir di sini untuk bertemu sahabat lama kita semata-mata?
 Apakah kita hadir di sini untuk memenuhi jemputan wakil batch kita sahaja?

 Saya yakin dalam kalangan kita yang hadir di sini selain persolan-persoalan di atas, tentu ada sesuatu yang tersemat di sanubari yang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Hati dan jiwa membuak-buak mendesak kita supaya hadir. Kita tahu nak hadir ke sini perlu korban masa, korban tenaga dan korban wang ringgit lagi. Ada yang tiada wang usaha juga datang. Ada juga dalam kalangan kita ini yang memiliki pelbagai komitmen pada hari ini, tetapi ambil keputusan bertekad untuk datang ke sini.

 Pertama sekali marilah kita berdoa kepada Allah Taala semoga Allah Taala terima tindakan kita ini dan Allah Taala redha dengan tindakan kita ini. Saya berkeyakinan kerja-kerja kita ini tergolong dalam kerja-kerja ibadah. Selari dengan tuntutan Allah Taala yang bermaksud: "Tidaklah Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku"

 Ibadah yang kita fahami ialah ibadah dalam mafhum yang mencakup semua bidang hidup termasuk bidang pendidikan (tarbiah) yang mana hala tuju tarbiah Islam adalah amat besar iaitu menyedia dan membina insan soleh. Allah Taala menerangkan ciri-ciri orang soleh ini antaranya dalam ayat 114: surah Al- Imran: “ mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat Segala perkara yang baik, dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang Yang soleh”.

 Inilah antara ciri orang soleh yang dikehendaki oleh Allah Taala. Oleh itu, kita telah merendahkan diri kita dengan rasa khusyuk dan tawaduk di hadapan Allah untuk turut serta dalam perjumpaan ini kerana hadir untuk ditarbiah ditingkatkan menjadi insan soleh. Dalam perjumpaan ini kita diingatkan oleh para murabbi kita dan rakan-rakan murabbi kita, supaya menghayati peribadi insan soleh dalam amalannya, tingkah lakunya dan sebagainya. Dalam perjumpaan ini juga kita berusaha mewujudkan suasana solehah ataupun biah solehah sepertimana yang dikehendaki oleh Allah. Suasana seumpama ini memang penting kepada kita supaya kita sentiasa kekal sebagai insan soleh. Kita juga menyedari untuk melakukan perubahan kepada individu bukan boleh diubah dengan hanya mengadakan perjumpaan ini sahaja, namun perlu disusuli dengan suasana-suasana yang mendidik secara bereterusan.

 Bahkan, kita dituntut bukan sekadar soleh seorang diri sahaja tetapi juga ditingkat menjadi Musleh kepada sahabat-sahabat lepasan Matri Khasnya dan masyarakat amnya. Jika kita teliti dalam ayat-ayat surah Al-Asr yang kita bacakan setiap kali selepas pertemuan maka kita dapat perhatikan Allah Taala mengisyaratkkan orang yang tidak rugi pada sisi Allah ialah mereka yang soleh dan juga musleh. Mereka yang dikecualikan daripada rugi oleh Allah Taala, ialah mereka yang beriman dan beramal soleh. Ini mengisyaratkan sifat peribadi iaitu soleh. Tidak cukup dengan dia soleh dirinya sendiri tetapi Allah SWT menambahkan lagi berpesan kepada kebenaran dan berpesan kepada kesabaran. Kata berpesan itu sendiri menunjukkan interaksi dengan orang lain. Oleh itu, jelaslah di sini selain kita mengislahkan diri sendiri kita juga perlu mengajak dan mengislahkan orang lain.

 Bukankah ini antara tujuan kita hadir ke sini. Kita perlu jelas matlamat kita berkumpul di sini. Di samping kepuasan-kepuasan yang kita perolehi ketika berada di sini, tetapi yang lebih utama kita juga mendapat redha Allah Taala. Itulah yang lebih utama dan besar. At-Taubah:72

 Menganyam atap daun nipah
dibuat bumbung untuk berteduh
gandingan mantap memikul masuliah
Hamasatus Syabab hikmatus Syuyukh

 Sahabat-sahabat/ Ikhwah dan Akahawat yang dikasihi sekalian

 Pada tahun ini kita diberi peluang untuk memilih muka baru menerajui PLM. Saya amat berharap keikhlasan kalian dalam pemilihan jawatankuasa sebentar lagi bagi menentukan hala tuju masa depan PLM. Sekali lagi ingin saya tegaskan di sini pimpinan yang terpilih sebenarnya menerima masuliah atau tanggungjawab di hadapan Allah. Kalian yang memilih juga sebenarnya bertanggungjawab dengan pilihan tersebut. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam memilih bakal peminpin yang akan melaksanakan tugasan-tugasan yang dipertanggungjawabkan. Saudara-saudara hadirin harus takut dengan amaran Rasulullah SAW:
 من استعمل رجلًا على عِصابةٍ وفيهم من هو أرضَى للهِ منه فقد خان اللهَ ورسولَه والمؤمنين
“Sesiapa yang melantik seseorang (untuk jawatan tertentu) berdasarkan kroni sedangkan dalam kalangan mereka ada yang lebih diredhai oleh Allah daripada orang itu, sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman".

 Pada hemat saya, ada beberapa perkara yang perlu kita berikan perhatian dalam pemilihan kepimpinan PLM ini.

 1. Keutamaan kita berikan kepada mereka yang paling mulia dalam kalangan kita. Maka di sini ingin saya umumkan lepasan yang paling mulia dalam kalangan kita ialah "Sesungguhnya semulia-mulia dalam kalangan kalian di sisi Allah mereka yang paling taqwanya."

 2. Berikutnya, kita juga perlu mengambil kira calon yang dipilih adalah dalam kalangan mereka yang memiliki ilmu khususnya ilmu syarak dan ilmu pengurusan . Di samping itu juga, beliau tidak ketinggalan dalam maklumat asas berkaitan undang-undang pertubuhan. Maka dengan itu tindakannya lebih cenderung kebenaran daripada kesilapan. Apabila dia bertindak bukan atas dasar ilmu maka dibimbangi dengan peringatan Rasulullah SAW
 مَن أفتى بغيرِ علمٍ لعنتهُ ملائِكةُ السَّماءِ والأرضِ – حديث حسن
“Sesiapa yang memutuskan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan maka para malaikat langit dan bumi akan melaknatnya”

 3. Di samping itu, calon yang dipilih mestilah sihat dan gagah perkasa. Barulah dia boleh buat kerja dengan cergas. Bergerak laju. Demikian jugalah antara syarat yang dinyatakan oleh Allah Taala dalam memilih Talut sebagai panglima angkatan perang, selain daripada memiliki ilmu, Talut juga memiliki fizikal yang gagah;
 “Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. mereka menjawab: "Bagaimana Dia mendapat kuasa memerintah kami sedangkan kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan Dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". dan (ingatlah), Allah jualah Yang memberikan Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.” – Al-Baqarah: 247.

4. Seseorang yang dicalonkan perlulah ada hubungan dan ikatan yang kuat dengan institusi dan organisasi tersebut. Jika dia sendiri tidak ada rasa apa-apa dengan institusi itu, kalau institusi itu nak rosak dia buat tak tahu, kalau institusi itu berjaya dia “oh ana tak tau pun”, jadi bagaimana dia dapat meminpin oraganisasi atau intitusi tersebut dengan berkesan. Oleh itu, dia perlu ada hubungan yang kuat dengan Islam dan hubungan yang kuat dengan Matri. Saya tidak bermaksud dia mesti kerja di Matri baru ada hubungan dengan Matri. Walaupun dia bekerja di luar Matri, tetapi hati dan jiwa sentiasa memikirkan berkaitan Matri, Hatinya senantiasa berhubungan dengan Matri. Maksud saya hubungan dengan Matri itu hubungan dengan kerja-kerja Islam yang ada di Matri, iaitu bagaimana mahu menyemarakkan pendidikan dan pentarbiahan di Matri sama ada guru-gurunya, staf bukan akademiknya, pelajar-pelajarnya dan ibubapanya. Jika hubungannya dengan dengan Matri kuat, maka insya Allah dia akan berekerja kuat dalam PLM untuk Matri ataupun untuk kerja-kerja Islam, Insya Allah.

5. Akhirnya, antara kriteria pilihan kepimpinan, saya harap dalam pemilihan ini ada dalam kalangan mahasiswa di IPT membarisi pimpinan PLM kali ini sebagai barisan pelapis. Tenaga pemuda sangat penting. Imam Hassan sendiri mengeluarkan satu risalah yang berjudul “Aiyuhas- Syabab”.

 Menurut Al-Imam, fikrah itu akan meraih kejayaan apabila keimanan yang kuat terhadap fikrah itu, keikhlasan yang menyeluruh dalam tindakannya, meluap-luap semangat dengannya, dan kesediaannya untuk berkorban dan melaksanakannya. Keempat-empat ciri ini merupakan ciri-ciri pemuda yang akan memikul masuliah ini dengan keyakinan, ikhlas, bersemangat dan bersedia untuk bertindak.

Namun, suka saya ingatkan Gelora semangat pemuda perlu diimbangi dengan hikmah orang lama. Mudah-mudahan ilmu serta pengalaman yang mereka telah lalui menjadi pedoman dalam tindakan yang kadang-kadang sudah terbabas daripada landasan lantaran semangat yang tinggi. Oleh itu dalam semangat kerja yang tinggi dalam kalangan pemuda jangan lupa juga orang lama. Biarlah kepimpinan PLM kali ini ada keseimbangan antara semangat orang muda dan hikmah orang lama.

 Semoga Allah memberikan petunjuk-Nya bagi menentukan kepimpinan kita yang terbaik sepertimana yang dikehendaki Allah dan Rasulnya.

Nama Matri sudah semerbak
warisan suci Ustaz Dahlan
umur Matri Jubli Perak
Menanti hari kita raikan

 Akhir sekali sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya memaklumkan Sambutan Jubli Perak Matri 2013 (SJPM13). Awalnya dicadangkan sambutan tersebut di adakan pada 23 Mei – 26 Mei 2013. Disebabkan tarikh pilihanraya yang tidak menentu maka tarikh tersebut telah ditunda pada 29 Ogos hingga 1 September. Pihak penganjur meminta lepasan Matri melibatkan diri secara aktif. Insya Allah nanti kita akan hubungi mereka yang terpilih untuk membantu menjayakan SJMP13.

 Banyak aktiviti yang telah dirancang antaranya Jual Meja Jamuah Makan Malam untuk mengumpul dana Matri. Saya amat berharap dalam kalangan Lepasan Matri yang berkempuan lebih berkongsi membeli untuk satu meja. Kalau kita tidak dapat hadir pun tak apa sebab ada yang boleh tolong ganti. Kalau tidak salah saya, 1 meja RM 1,000 untuk sepuluh orang. Antara tetamu Vvip yang dijangka hadir ialah DYMM Raja Muda Perlis dan MB pada masa itu. Saya difahamkan juga, kehadiranHafiz Hamidon menyerikan lagi majlis makan malam. Insya Allah majlis pelancaran buku “Mengenang Murabbiku Ustaz Dahlan yang disusun oleh Hilal Asyraf juga pada malam tersebut. Selain itu ada juga forum yang menjemput tokoh-tokoh tanahair termasuklah Imam Muda Asyraf.  Kita PLM insya Allah akan buka gerai jualan dan khemah promosi PLM. 

Wang Mu dusun Pak Aji
tempat melatih wira wirawati
hadiah tiada untuk memberi
terima kasih sebagai ganti

 Akhir sekali sebelum saya mengundur diri, saya bagi pihak Persatuan Lepasan Matri, mengucapkan Jazakumullah kharal jazak kepada tuan rumah, warga UIA khususnya dan sahabat-sahabat di wilayah tengah amnya, kami tahu nak anjur wacana ni bukan mudah, semoga Allah memberkati dan melipatgandakan amalan kalian. Buat jawatankuasa, syabas dan tahniah, Melaksanakan tugas penuh tabah, tanpa mengira letih dan lelah. Buat penyumbang yang bermurahhati menghulur sumbangan sebagai jariah, Syukran jazilan, wa barakallah. Ya Allah, berkatilah perniagaan mereka. Juga tidak dilupakan buat semua hadirin yang dirahmati Allah, dan yang terlibat dalam apa jua wadah, bagi menjayakan wacana yang diberkati Allah, sekalung penghargaan dan syukran jazilan. Tanpa kehadiran antum tentunya program ini tiada serinya.

 Saya bagi pihak AJK induk PLM memohon maaf kepada semua lepasan Matri di atas kelemahan pengurusan kami. Kami sedar sememangnya banyak kelemahan yang perlu kami baiki.

Basah kepala peluh berlecun
main bola tak sedar diri
salah bicara mohon ampun
izinkan saya mengundur diri

 Sekian aqulu qawli hadza, wa astaghfirullah al-Adzim wassalamualaikum warahmatullah.

Rabu, 25 Januari 2012

NOSTALGIA MENJALIN UKHUAH


Assalamualaikum warahmatulah,


بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، نحمده ونستعينه ونسترشده ونتوب اليه. والصلاة والسلام على نبيينا محمدصلى الله عليه والسلام وعلى آله واصحابه اجمعين.
.

1. PENDAHULUAN

Alhamdulillah setinggi syukur kehadrat Allah, Atas anugerahNya; anugerah iman dan anugerah Islam, anugerah ukhuah dan anugerah mahabbah, kepada para lepasan Matri dari pelbagai peringkat dan pangkat. Syukur kita kepada Allah di atas ni’matNya dan rahmatNya yang melimpah ruah. Dengan rahmatNya hari ini dapatlah kita bertemu dan beramah, bertaaruf dan mengembalikan nostalgia kita di bumi yang pernah kita diami dan pernah kita serahkan diri kita untuk disiram dengan Tarbiah Islamiah. Dengan siraman tersebut, Insya Allah hari ini hati-hati kita tergerak untuk bersama dalam wacana PLM 2012.

Terima kasih kepada semua yang hadir, sama ada yang jauh atau dekat, sama ada dalam negara mahu pun luar negara. Semoga kehadiran tuan-tuan dan puan-puan menyemarakkan lagi rasa tanggungjawab kita terhadap Allah dan dengan Deen Allah. Walaupun sesetengahnya memandang sinis dengan bilangan yang hadir ke wacana pada setiap kali kita adakan. Yalah kalau dikira bilangan lepasan Matri yang sudah mencecah 2 ribu orang kalau datang 200 baru kira 10 peratus memanglah kecil, namun saya ingin tegaskan di sini bukan suatu kerja mudah untuk menghimpun para lepasan bagi sesebuah institusi pendidikan. Lebih-lebih lagi Para lepasan pula sudah masuk 25 tahun, Ya bagai anak dan bapa dan sememangnya pun ada anak dan bapanya sudah jadi lepasan Matri. Sebab itu kita memandang tinggi kepada setiap yang hadir dan kita amat menghargai kepada semua yang hadir. Kita juga merasakan ramai dalam kalangan yang tidak hadir teringin sangat nak hadir. Namun atas kekangan yang ada maka hasrat dan cita-cita terpaksa ditangguhkan ke masa akan datang. Mereka ini juga amat kita hargai dan kita sama-sama doakan semoga Allah permudahkan mereka untuk masa-masa akan datang. Kita juga merasakan ada yang nak datang namun pelbagai igauan dan andaian bermain dalam minda; aku ni layakkah?, malulah, nanti ustaz-ustaz kat Matri tu kata apa pulak kat aku. Kita nak beritahu kepada mereka ini hapuskan igauan itu. Padamkan andaian itu. Ambil kunci kereta atau motosikal start dan datanglah. Kalau tak ada kereta atau motosikal datang dengan apa yang boleh.


Hadirin hadirat dirahmati Allah


2. MAKLUMAT / DATA LEPASAN

Alhamdulillah pada tahun 2011 kita telah mengaktifkan gerak kerja menjejaki data para lepasan Matri melalui wakil-wakil lepasan. Insya Allah menampakkan hasil. Syabas dan terima kasih kepada Setiausaha Agung dan para wakil lepasan yang mengumpulkan maklumat dan data. Usaha-usaha menjejaki para lepasan Matri akan diteruskan sehingga data-data para lepasan Matri yang lengkap dan terkini dapat kita kumpulkan.

Kita juga mengajak seluruh Lepasan Matri agar menjadi ahli Persatuan Lepasan Matri. Isi borang dan bayar RM5.00 untuk pendaftaran. Selepas bayar setiap tahun sumbang RM 10 sebagai yuran tahunan. Insya Allah wang sumbangan yuran tahunan tuan/puan akan dimanfaat di jalan Allah. Sampaikan, maklumkan dan peringatkan kepada rakan-rakan kita bekas pelajar-pelajar Matri melalui pelbagai media yang ada termasuk media canggih dan terkini yang sedia ada.

Insya Allah melalui keahlian PLM kita akan dapat berkomunikasi dengan lebih berkesan. Di samping itu, apabila keahlian semakin ramai maka banyak kerja dan usaha kita menjadi lebih mudah. Malahan kesatuan kita juga menjadi semakin kuat. Mudah-mudahan dengan itu melalui PLM kita dapat tolong menolong dan bantu membantu antara satu sama lain dalam kalangan ahli PLM. Yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing.

"dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. dan bertaqwalah kepada Allah, kerana Sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa Yang melanggar perintahNya)".
(Al Maidah : 2)


3. KESATUAN ANGGOTA

Hadirin hadirat yang dirahmati Allah

Untuk membangunkan sebuah bangunan yang tersergam kukuh memerlukan bata-bata yang baik yang tersusun rapi. Bangunan tersebut pula perlu dibina diatas asas yang kukuh. Perlukan cerucuk, konkrit dan sebagainya. Untuk kita membangunkan Islam kita memerlukan bata-bata ukhuah yang utuh. Ukhuah yang dibina pula tentunya atas dasar keimanan kepada Allah Taala. Justeru hapuskan anasir-anasir yang melemahkan keimanan kita. Elakkan perkara-perkara yang melunturkan ukhuah kita. Sama-sama kita memberikan sokongan kepada unsur-unsur yang dapat meningkatkan taaruf kita. Sama-sama kita sertai program yang dapat meningkatkan tafahum kita. Mudah-mudahan melalui taaruf dan tafahum itu dapatlah kita tingkatkan kepada takaful. Insya Allah kita dapat merealisasikannya melalui wadah PLM.


4. TENAGA/ KEKUATAN LEPASAN

Kita sebenarnya tidak miskin tenaga profesional. Usaha-usaha mengumpul maklumat tenaga-tenaga profesional PLM juga sedang diusahakan. Bagi melaksanakan tugas tersebut kita telah wujudkan biro profesional.
4.1. PLM kini sudah memiliki tenaga doktor perubatan. Saya mendapat maklumat lebih 80 orang lepasan Matri yang berada dalam bidang ini.
4.2. Di samping itu juga tidak kurang juga bidang guaman.
4.3. Selain itu juga terdapat dalam kalangan Lepasan Matri yang sedang dan telah memperolehi Phd.
4.4. Bahkan juga terdapat usahawan muda Muslim yang cukup berjaya dalam kalangan Lepasan Matri.
4.5. Di samping itu juga ada dalam kalangan lepasan Matri sudah dikenali dalam masyarakat; selibriti.

Inilah kekuatan yang ada dalam kalangan lepasan Matri yang dapat dimanfaati oleh Matri khasnya dan Islam amnya. Cuma kita perlukan tenaga yang membantu dan menyokong usaha tersebut. Sokongan yang diberikan bukan sekadar sebagai penyokong bola sepak namun kita harapkan lebih dari itu. Buat masa ini kita harapkan dalam kalangan bidang masing-masing ada yang proaktif berusaha mendapatkan maklumat seperti nama, alamat, tempat belajar/ kerja, no hp, email, dan sebagainya. Serahkan maklumat tersebut kepada setiausaha Agung atau kepada saya sendiri.


5. SUMBANGAN UNTUK MATRI

Keutuhan tali ukhuah bukan hanya dimanfaati oleh sesama ahli malahan juga dapat dimanfati oleh institusi yang pernah kita diami, yang pernah mendidik kita, yang pernah memberikan kita peluang merakamkan nostalgia pahit manis. Rasanya apa yang pernah kita perolehi di Matri tidak mampu kita balas. Bahkan begitulah juga yang dirasakan oleh mereka yang diberikan peluang oleh Matri untuk melaksanakan ibadah di Mehrab Matri. Sebab itu kita dapati beberapa orang murabbi kita yang telah pergi walaupun uzur namun menggagahi juga melaksanakan tugas mereka seakan-akan mahukan nafas terakhir mereka dalam khidmat di Matri. Oleh itu melalui wadah PLM ini kita sama-sama berganding bahu melakukan sesuatu untuk menyumbang kepada Matri. Hasrat ini pernah disuarakan oleh al Marhum Ustaz Dahlan sendiri dalam Wacana Pertama PLM pertama di Putra Palace. Hasrat tersebut dibangkitkan semula oleh ahli PLM di Putrajaya. Ekoran daripada itu satu akaun khas sumbangan ahli-ahli PLM kepada Matri telah dibuka. Kita masih menanti sumbangan-sumbangan tersebut untuk kita hulurkan kepada Matri. Kita tahu ada dalam kalangan lepasan Matri yang salurkan terus kepada Matri. Walaubagaimanapun sebagai organisasi yang diiktiraf oleh Matri maka saya harapkan sumbangan daripada para lepasan Matri kepada Matri sebaiknya melalui Persatuan Lepasan Matri. Ini disebabkan sumbangan yang diterima oleh Matri daripada pelbagai pihak. Sekurang-kurang kita dan Matri dapat melihat sejauh mana sumbangan yang dihulurkan oleh para Lepasan Matri kepada Matri.


6. MATRI MEMERLUKAN

Matri memang memerlukan bantuan daripada kita khususnya. Dalam waqi’ yang tidak banyak membantu, Matri merangkak dengan sisa upaya yang ada utuk terus maju ke hadapan. Matri telah melaksananakan pelbagai usaha seperti AJRUN (Amal Jariah Untuk Umum), Infak Ramadhan dan pelbagai lagi. Matri telah lama dihimpit pelbagai masalah dan kekangan untuk bergerak;
1. Wang bantuan daripada kerajaan yang terbatas. –perkapita dan baitulmal. Banyak bergantung kepada yuran. Yuran pula agak rendah sedangkan kos hidup semakin meningkat.
2. Kekurangan tempat dan bilik. Ada hamba Allah sumbang sebuah bangunan.
3. Sekolah Rendah juga didaftar di bawah Matri sengan nama SRA Matri.

Namun Matri berusaha sendiri untuk terus menyediakan kepada masyarakat mehrab yang untuk semua lapisan masyrakat berpeluang melaksanakan ibadah mereka di sini. Kita tidak seharusnya membiarkan Matri sendiri-sendiri. Semua ini memerlukan tenaga bantuan dan sokongan daripada kalangan lepasan Matri khususnya.
1. Kewangan
2. Kepakaran
3. Idea
4. Dan lain-lain bantuan yang dapat kita hulurkan untuk mengekalkan hadaf Matri.


7. LEPASAN LUAR NEGARA

Kita juga tidak lupa para Lepasan Matri daripada Luar Negara. Alhamdulillah hari ini ada bersama kita para Lepasan Matri daripada Indonesia, Thailand dan Kemboja. Kita mengharapkan ada dalam kalangan kita mengusahakan sesuatu untuk mengumpulkan para Lepasan Matri di sana. Menautkan kembali tali ukhuah sesama lepasan Matri. Mudah-mudahan gabungan atas dasar ukhuah fillah tersebut akan dapat dimanfaatkan oleh Deen Islam amnya dan Matri khusunya.

Pada tahun yang yang lalu ada lebih kurang enam keluarga Lepasan Matri daripada Perlis yang mengadakan program ziarah Lepasan Matri di Thailand. Turut serta dalam rombongan tersebut Tuan Guru yang kita kasihi Ustaz Abdul Hadi dan Cikgu Mohd Abdoh. Alhamdulillah kita dapat adakan pertemuan dengan beberapa orang Lepasan di sana serta mendengar nasihat daripada dua orang tokoh Matri.

8. MATLAMAT PENUBUHAN MATRI

Hadirin yang dirahmati Allah Taala.

Kesempatan ini ingin saya mengungkapkan kembali matlamat penubuhan Matri sepertimana yang diselalu disebut-sebutkan oleh almarhum Dato Ustaz Dahlan sebelum penubuhan dan di awal pasca penubuhan Matri.
1. Memberi pelajaran/ pengetahuan Islam secara meluas dan teratur kepada pelajar-pelajarnya.
2. Memberi pelajaran/ pengetahuan bahasa Arab hingga ke peringkat membolehkan pelajar-pelajarnya memahami kandungan Al-Quran Al-Karim, Sunnah Nabawiyah dan kitab-kitab ilmu yang berbahasa Arab.
3. Mendidik pelajar-pelajar Ma’had ini dengan didikan Islam (Tarbiyah Islamiyah) yang sempurna melalui berbagai-bagai proses yang disediakan.
4. Melahirkan muslim-muslimah yang multazim dengan ajaran dan akhlak Islam dalam kehidupan mereka.

Semoga kita sama-sama dapat halusi dan teliti matlamat ini dan kita cuba memahaminya dengan penuh keikhlasan kepada Allah. Apa yang diharapkan melalui gabungan para Lepasan Matri atas wadah PLM dapat meletakkan lepasan matri senantiasa di atas landasan yang diredhai Allah Taala.


9. AJK PLM

Sebelum saya mengundur diri sebagai makluman kepada anggota PLM bahawa pada tahun ini tidak ada pemilihan AJK PLM berdasarkan perlembagaan Matri Fasal 8 (3c) dan Fasal 9(2). Pemilihan AJK akan diadakan setiap 2 tahun sekali. Insya Allah pemilihan AJK baru akan diadakan pada tahun 2013.

10. WACANA PLM 2013

Ingin saya maklumkan juga di sini dalam mesyuarat AJK PLM kelmarin (22 Januari 2012), kita telah memutuskan Wacana PLM 2013 akan diadakan di Wilayah Tengah (Selangor atau KL). Semoga kita dapat berwacana lagi pada tahun hadapan.

11. PENUTUP

Akir sekali sebelum saya mengundur diri, saya bagi pihak Persatuan Lepasan Matri, kepada tuan rumah, Negeri Perlis Darussunnah, kami tahu nak anjur wacana bukan mudah, hanya Jazakumullah kharal jazak yang dapat kami hadiah, semoga diganjarkan pada sisi Allah. Buat jawatankuasa syabas dan tahniah, Melaksanakan tugas penuh tabah, tanpa mengira letih dan lelah, sampai demam macam tak mau kebah.

Buat penyumbang yang bermurah, hulur sumbangan sebagai jariah, Syukran jazilan, wa barakallah. Ya Allah, berkatilah antum punya tijarah.

Juga tidak dilupakan buat semua hadirin yang dirahmati Allah, dan yang terlibat dalam apa jua wadah, bagi menjayakan wacana yang diberkati Allah, sekalung penghargaan dan syukran jazilan. Tanpa antum tentunya program ini juga ada masalah.

Sebelum ana buka langkah, Ana mengajak diri ana yang banyak lemah dan juga kalian yang ana kasihi jadikan PLM wadah ibadah. Bukankah kita terima melalui tarbiah, Manusia diciptakan untuk berubudiyah? Nah, sahutlah seruan ke jalan Allah! Islam agama pada sisi Allah, mari kembali kepada fitrah. Pastikan diri ada arah, Pastikan diri sentiasa di atas jalan Allah, sepanjang masa selari dengan kehendak Allah. Dalam ad-Dzariat:56 sudah terserlah, seluruh hidup hanya berubudiyah. Platfom PLM kita jadikan wasilah, nostalgia silam menjalin ukhuah. Semoga tertaut bunga mahabbah. Pastikan diri sentiasa di atas jalan Allah, setiap masa setiap saah.

Sekian dahulu bicara ana yang serba lemah. Maaf kalau bicara ini ada yang salah; Salah tutur ataupun salah istilah, Salah adab atau tersalah madah. Memang Adat manusia begitulah, tak dapat lari dari silap dan salah. Terima kasih, semoga berfaedah.

Aqulu qauli hadza wa astaghfirullah,
Wabillah taufiq wal Hidayah,
Wassalamualaikum warahmatullah.

Ahad, 4 Disember 2011

Halangan Iman

عَنْ أَبِيْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللهِ بِنِ عمْرِو بْنِ العَاصِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: "لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَواهُ تَبَعَاً لِمَا جِئْتُ بِهِ" )حَدِيْثٌ صَحِيْحٌ رَوَيْنَاهُ فِي كِتَابِ الحُجَّةِ بِإِسْنَادٍ صَحِيْحٍ(
Maksudnya: Daripada Abi Muhammad Abdillah bin Amru bin Al-‘As Radiallahu anhuma berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga hawa nafsunya mengikut apa yang aku bawakan”.- Hadis sahih, kami riwayatkan dalam kitab “al-Hujjah” dengan sanad yang sahih.

Hadis ini menyatakan penghalang kepada merealisasikan keimanan kita kepada Allah dan RasulNya. Di sinilah berlakunya pertentangan sehingga sama ada perintah atau larangan yang jelas dan tegas daripada Allah Taala dan RasulNya ditempohkan, dikemudiankan ataupun ditinggalkan. Bahkan kadang-kadang ditolak terus – kerana pengaruh hawa nafsu.

Kata "Hawa" memberi erti kecenderungan, Cinta, dan taat kepada kebenaran. Maksud hawa yang kita selalu temui dalam ayat-ayat atau hadis ialah kecenderungan untuk memenuhi syahwat. Hawa nafsu lebih cenderung kepada keburukan dan tidak pedulikan syariat. Dengan itu hawa nafsu membawa kepada kesesatan dan kesengsaraan sepertimana yang Allah Taala firmankan dalam ayat 26: surah Sad,
“Wahai Daud, Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia Dengan (Hukum syariat) Yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah Engkau menurut hawa nafsu, kerana Yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang Yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab Yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”

Marilah kita jauhkan diri kita dari memanjakan hawa nafsu kerana hawa nafsu akan mengheret kita kepada berbagai perbuatan maksiat dan dosa. Dalam kitab Al Wafi karangan Dr. Mustofa Al-Bugha dan Mahyiddin Misto; Pada dasarnya, orang-orang yang menyeleweng, melakukan perbuatan bid’ah, dan ingkar dari manhaj yang benar dan jelas itu bukan disebabkan kerana tidak memiliki pemahaman yang jelas dan benar terhadap kebenaran, akan tetapi mereka lebih mengikuti hawa nafsu mereka.

“Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (Wahai Muhammad), maka ketahuilah, Sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka; dan tidak ada Yang lebih sesat daripada orang Yang menurut hawa nafsunya Dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum Yang zalim (yang berdegil Dalam keingkarannya)”. Ayat 50: Al-Qasas

Ibadah itu maksudnya taat dan patuh. Oleh itu barang siapa yang patuh dan taat kepada hawa nafsunya bererti dia menjadikan hawa nafsunya sebagai Ilahnya. Hawa nafsu akan menguasai manusia sehingga hawa nafsu itu mengendalikan kehidupannya. Sehingga gerak gerinya, pemikirannya, tindak tanduknya dikuasai oleh nafsu walaupun semuanya itu bertentangan dengan akal yang sihat. Mereka yang menjadi hamba kepada hawa nafsu akan menutup pintu kebenaran sehingga tidak dapat lagi mengenal kebenaran.

“Nampakkah (Wahai Muhammad) keburukan keadaan orang Yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan Yang dipuja lagi ditaati? maka Dapatkah Engkau menjadi Pengawas Yang menjaganya jangan sesat?” - Ayat 43: Al-Furqan

Kita manusia yang Allah Taala muliakan kita dengan akal. Dengan akal inilah Allah Taala angkatkan darjat kita melebihi makhluk-makhluk Allah yang lain. Inilah yang di firmankan oleh Allah Taala dalam ayat 70: surah Al-Isra’
“dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka Dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk Yang telah Kami ciptakan.”

Dengan kurniaan akal ini kita dapat bezakan antara kebaikan dan keburukan. Dengan akal yang dimiliki ini juga dapat mendorong kita untuk meningkatkan diri kepada darjat yang tinggi dan mulia sepertimana yang dikehendaki Allah Taala. Sebenarnya inilah orang yang berjaya dan cemerlang dalam erti kata yang sebenarnya. Namun, sebaliknya jika ia tidak menggunakan akalnya untuk memuliakan dirinya sendiri, sudah pasti ia akan menuruti segala kehendak hawa nafsunya. Ia akan tenggelam dalam kehinaan. Sifat kemanusiaannya akan hilang. Allah S.W.T berfirman dalam ayat 9-10 surah As-Syams
“Sesungguhnya berjayalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),dan Sesungguhnya hampalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”

Untuk meningkatkan kita ke darjat mulia maka kita perlu tundukkan hawa nafsu kita sehingga menuruti apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. حَتَّى يَكُونَ هَواهُ تَبَعَاً لِمَا جِئْتُ بِهِ . Mengikut Rasulullah bererti juga mengikut al Quran dan sunnah Nabi S.A.W. Kata Imam Nawawi: Seorang mukmin wajib menyesuaikan amalan-amalannya dengan kitab (al-Quran) dan Sunnah dan menyanggahi hawa nafsunya dan mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

Oleh itu sebaiknya kita serahkan diri kita kepada Allah selaras dengan pengakuan kita sebagai seorang Islam dengan mengikut segala titah perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Tindakan ini sebagai merealisasikan keimanan kita kerana Iman dan Islam itu seperti mana yang dinyatakan oleh Imam Abu Hanifah:
والإسلام هو التَّسليمُ والإنْقِيادُ لأوامِرِ الله تعالى، فَمن طريق اللغة بين الإيمانِ والإسلامِ ، ولكن لايكونُ إيمانٌ بِلا إسلام ولا يوجد إسلامٌ بلا إيمانٍ. وهما كالظَهْرِ مع البَطْنِ، والدين إسمٌ واقعٌ على الإيمانِ والإسلامِ والشَّرَائِعِ كلِّهاَ.
Maksudnya: Dan Islam itu ialah penyerahan dan kepatuhan kepada perintah-perintah Allah Taala. Dari segi bahasa terdapat perbezaan antara iman dan Islam. Akan tetapi tiada Iman tanpa Islam dan tiada Islam tanpa Iman. Keduanya umpama belakang dengan perut. Dan Deen itu nama yang meliputi Iman, Islam dan seluruh syariat.

Memang sukar sekali kita hendak menghadapai kemelut hawa nafsu. Sebab itulah kita perlu terlebih dahulu menanamkan dalam jiwa kita kecintaan kita kepada Rasul S.A.W.
لا يؤمن أحدُكُم حتى أكونَ أحبَّ إليه من نفسِهِ وولَدِهِ وأَهْلهِ والناسِ أجمعين. رواه البخاري والمسلم.
“Tidak sempurna iman seseorang kamu hingga aku lebih dicintai darinya, anaknya, keluarganya, dan semua manusia.”

Sebagai kesimpulannya
a. Orang yang sempurna iman itu ialah orang yang menundukkan hawa nafsunya dengan mengikut apa yang di bawa oleh Rasulullah S.A.W yakni mengikut al Quran dan sunnah.
b. Kita perlu berwaspada dengan hawa nafsu yang menghalang kita untuk meningkatkan kemuliaan kita. Dan kemulian kita yang sebenar adalah kemulian kita pada sisi Allah Taala.

Selasa, 13 September 2011

KETENTUAN MENDAHULUI PERANCANGAN

Lebih kurang pukul 9.20pagi, 11 September 2011, saya bergegas menuju ke Matri bagi menunaikan tanggungjawab menghadiri seminar. Sebenarnya saya agak terlewat sedikit. Tiba di Matri rakan-rakan seprogram juga tidak begitu ramai kecuali perserta wanita. Tidak lama selepas ketibaan saya, Ustaz Sharihan bin Shahidan selaku pengarah seminar tersebut memaklumkan berlaku sedikit perubahan jadual seminar. Hal ini demikian, kerana penceramah yang dijadual pada pukul 9.15 pagi tidak dapat hadir kerana urusan kenduri di rumahnya yang diadakan sehari sebelum itu masih belum selesai. Oleh itu berlaku perubahan jadual seminar; di mana pada masa itu digantikan dengan bengkel yang sepatutnya diadakan selepas itu.

Semasa saya mula duduk dalam kumpulan bengkel saya menerima panggilan telefon daripada Ustaz Mahadir. Dia memaklumkan tidak dapat hadir seminar pada pagi itu kerana dia bersama ustaz Shaari sedang menuju ke kilang gula kerana pelajar Matri terlibat dalam kemalangan jalanraya. Katanya, seramai sembilan orang yang menaiki van yang dipandu oleh pakcik Shahidan yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Saya pun memaklumkan kepada ustaz Sharihan supaya memaklumkan kepada peserta seminar. Ustaz Sharihan terlebih dahulu mendapatkan maklumat lanjut daripada ustaz Mahadir tentang maklumat tersebut yang melibatkan ayahnya. Selepas ustaz Sharihan memaklumkan kepada peserta seminar, ustaz Sharihan tanpa membuang masa bergegas ke tempat kejadian dengan ditemani pakcik Johari. Urusan seminar diserahkan kepada cikgu Azmi bin Bahri.

Kami meneruskan bengkel. Tidak berapa lama sekali lagi ustaz Mahadir menelefon saya bercakap dengan suara tertahan-tahan memaklumkan van yang dipandu oleh pakcik Shahidan dan bersama 8 pelajar Matri ditimpa pokok besar. Dia meminta kami supaya berdoa moga Allah menyelamatkan kerana ada empat penumpang termasuk pakcik Shahidan masih tersepit dalam van. Saya memaklumkan kepada peserta perkembangan tersebut dan kami meneruskan bengkel. Hati saya berdebar dan terasa mahu ke tempat kejadian. Ahli kumpulan bengkel kami berbincang apa tindakan kami sekarang; meneruskan bengkel atau ke tempat kemalangan? Pak Usu meminta saya mendapatkan maklumat lanjut daripada ustaz Mahadir apakah perlu kami ke sana. Ustaz Mahadir bersetuju jika kami ke sana. Pak Usu meminta mana-mana peserta lelaki boleh ke tempat kemalangan dan bawalah apa yang difikirkan boleh membantu.

Saya tanpa membuang masa terus ke kenderaan saya bersama cikgu Azmi Bahri bergegas ke tempat kejadian. Begitu juga beberapa orang yang lain dan kami sengajakan membawa kenderaan dengan meminimakan penumpang. Saya sempat singgah di rumah mengambil parang. Hujan ketika itu agak lebat. Oleh itu saya terpaksa memandu dengan lebih berhati-hati. Ketika kami menghampiri sempadan ladang tebu melalui jalan Sungai Serai kami berselisih sebuah ambulan melalui jalan bertentangan.

Dari jauh kelihatan kereta bomba, jenkaut, kenderaan dan orang ramai. Hujan masih turun agak lebat. Selepas memakirkan kereta saya terus menghampiri van yang ditimpa musibah. Saya bertemu Ustaz Shaari yang merupakan staf Matri yang pertama menerima berita kemalangan tersebut. Beliau memberitahu seorang pelajar yang agak kritikal sudah di bawa ke hospital. Yang tinggal dalam dalam pada masa itu adalah tiga jenazah iaitu pakcik Shahidan dan dua pelajar. Saya cuba menghampiri mayat-mayat tetapi tidak jadi untuk melihat mereka. Saya terus mundar mandir dicelah-celah orang ramai yang berkerumun dan berhenti berdiri di bawah sepohon pokok berhampiran pagar batu kilang gula. Hujan terus menerus turun dengan lebat. Ramai berpayung tetapi saya tidak ada payung. Seluruh pakaian dan badan saya basah kuyup. Dari situ saya memerhatikan van yang renyuk dan saya juga memerhatikan dua Jenkaut berusaha menolak batang pokok yang telah dipotong ke tepi jalan. Nampaknya tiada akar tunjang pokok itu. "Masya Allah" dalam banyak-banyak pokok, pokok itu yang dipilih untuk tumbang. Dalam banyak masa pula, tepat pada masa van itu tiba di situ dan masa itu juga pokok itu menyembah bumi. Dalam banyak-banyak kenderan yang lalu-lalang di situ tetapi van itu yang dipilih. Itulah ketentuan...

Setelah selesai batang-batang pokok itu di tolak ke tepi, polis mula menarik tali kawasan larangan polis. Dua Jenkaut ketika itu mula beredar meninggalkan tempat kemalangan. Pihak bomba mula berusaha mengeluarkan mayat-mayat tetapi agak sukar. Sekali lagi jenkaut dipanggil untuk merenggangkan "Dashboard" menyepit mayat di hadapan. Ketika itu saya fikir adalah lebih elok saya ke Hospital Tengku Fauziah, Kangar, untuk mengetahui perkembangan anak-anak Matri di sana pula.

Takziah buat keluarga pakcik Shahidan, Hazman Bakhtiar dan Ahmad Izzat. Perjalanan mereka perjalanan para mujahid. Ya Allah, tempatkanlah mereka bersama para anbiyak, shuhadak, dan solohin.

Rabu, 1 Jun 2011

USIKAN YANG BENAR

Setahun berlalu pemelajaran dan pendidikan di Perkampungan Tunjung, seterusnya Matri buat kali keduanya menawarkan pengambilan pelajarnya pada tahun 1988. Ambilan kali ini seramai 15 orang Pelajar yang kekal belajar di matri sehingga ke akhirnya iaitu:-
1. Abdul Hadi bin Abdul Hamid (Thailand).
2. Abdul Pata bin Abu Bakar (Pahang)
3. Alminnoeur bin Nordin (Perlis)
4. Hamzani bin Hassan (Kelantan)
5. Mohd. Zaki bin Mohamed (Kelantan- meninggal dunia 1993)
6. Rumizan bin Yusof (Kelantan)
7. Wan Jismaini bin (Trengganu)
8. Yahya bin Muhammad (Thailand)
9. Azizah bt. Zakaria (Trengganu)
10. Basrah bt. Ishak (Thailand)
11. Mariani bt. Ali (Thailand)
12. Naimah bt. Japeri ( Perak)
13. Solehah bt. Amir Hamzah (Thailand)
14. Suhaida bt. Mohd. Jailani (Perak)
15. Zawiyah bt. Yahya (Pahang)

Kami sebagai pelajar sulung ditugaskan menyambut dan meraikan pelajar baru tersebut dengan penuh rasa ukhuah dan mahabbah. Pelajar-pelajar putera ditempatkan di sebuah bilik di bawah bangunan surau Matri sebagai bilik penginapan. (sekarang bilik rehat guru lelaki dan bilik setiausaha peperiksaan). Pelajar-pelajar puteri pula ditempatkan di rumah-rumah keluarga angkat. Manakala pelajar puteri ambilan pertama ditempatkan di rumah Pak Syed Jaladdin. Pemelajaran masih berjalan separa formal seperti sebelum ini juga.


Puteri sulung bergambar kenangan di hadapan rumah Pak Syed Jaladdin.


Ada beberapa aktiviti yang telah dirancang oleh pihak pengurusan Matri. Antara aktivitinya adalah mewujudkan taman rekreasi mini Matri. Cikgu Yahya Ismail (almarhum) bersama kami membersihkan satu kawasan untuk dijadikan taman rekreasi (sekarang tempat letak bas Matri). Kami telah membuatkan meja dan kerusi daripada kayu-kayu lebihan bangunan surau Matri.

Di samping itu juga Matri juga telah menganjurkan satu rehlah tarbawiyah ke Langkawi. Lokasi pilihan adalah Pantai Kok. Pantai tersebut agak terpencil dan masih tiada pembangunan pada masa itu. Hanya yang ada beberapa buah chalet yang Matri sewa. Pengunjung pun amat kurang. Suasana tersebut mungkin amat sesuai untuk mewujud suasana atau disebutkan di Matri sebagai Biah Solehah. Rehlah tersebut meningkatkan lagi taaruf generasi pertama dan kedua Matri.

Bersama-sama kami juga, rehlah tersebut turut disertai oleh tenaga kerja Matri serta anak-anak didik Ustaz Dahlan. Anak-anak didik Ustaz Dahlan merupakan kalangan mereka yang mengikuti pengajian Ustaz Dahlan secara komited. Jalinan ukhuah yang amat erat antara mereka dapat saya rasai. Mereka bagaikan ada ikatan persaudaraan, malah rasanya lebih lagi. Dalam kalangan mereka juga ada beberapa keluarga turut serta dalam rehlah tarbawiyah tersebut. Kehadiran mereka ke rehlah tersebut melebarkan suasana tarbawi atau didikan Islam dan taaruf kami dengan murabbi dari kalangan tenaga kerja Matri dan juga luar matri.

Untuk sampai ke Langkawi kami semua perlulah menaiki bot atau feri. Kami ke jeti Kuala Perlis menaiki bas yang disewa oleh pihak Matri. Ada juga yang menaiki kenderaan sendiri dan memakirkan kereta mereka di Kuala Perlis. Kami bertolak sebelum zohor dan menunaikan solah zohor di Masjid Kuala Perlis.

Petang itu jeti Kuala Perlis dibanjiri pelajar-pelajar Matri dan juga rombongan. Ada yang dewasa, ada remaja dan ada juga kanak-kanak. Masing-masing dengan gelagat masing-masing. Saya seperti biasa suka bersembang dan bergurau dengan sahabat-sahabat pelajar Matri. Kadang-kadang berceloteh dengan pakcik dan makcik yang lebih berumur.

Di kala saya bercakap-cakap itu, anak salah seorang kakitangan Matri menangis. Anaknya masih bayi, baru nak belajar bercakap. Lalu saya capai bayi itu mendokongnya dan memujuknya supaya berhenti menangis. Saya katakan kepadanya: ''Jangan teriak (menangis) nanti bot tak mai''. Usik saya.

Ustaz Dahlan berada bersebelahan saya. Beliau memerhati bayi itu dengan senyuman. Beliau sambung pula apa yang saya katakan tadi tetapi saya dapat rasai ada mesejnya. Katanya: ''Ya, jangan dok teriak (menangis). bot larilah.''

Didikan yang diterima selama ini membuatkan jiwa saya tersentuh dengan kata-katanya itu. Ingatan saya terus teringat penyampaian beliau dalam Ijtimak Am tentang sirah Rasulullah bergurau dengan seorang wanita tua dengan mengatakan orang tua tidak masuk syurga. Apa yang beliau sebutkan itu tentunya lebih benar dan tepat kerana sememangnya bot tetap belayar sehinggalah waktu perjalanannya tamat. Beliau menyebutkan nanti bot tu lari (belayar), sememangnya bot akan belayar. Kalau bayi itu tak menangis pun bot itu tetap akan belayar. Beliau gunakan kata lari bersempena dengan penggunaan bahasa arab ''tajri as-safinatu' bermaksud kapal belayar. Tajri makna asal lari, namun bila digunakan untuk kapal tentunya membawa makna belayar. Saya pun tersipu-sipu turut mengulangi seperti apa yang beliau katakan.
“Ha, tok sah teriak, berhenti, berhenti! nanti bot belayaq la”.
Begitu juga dengannya turut mengulanginya beberapa kali.




Menunggu feri di jeti Kuala Perlis


Inilah bayi yang menangis tu


Tidak lama selepas itu kapal pun sampai. Bayi tadi pun tidak menangis lagi bila melihat kapal sudah tiba dan orang ramai mula mengerumuni jeti. Kami semua masuk ke dalam bot dengan penuh tertib. Selepas semua penumpang sudah mengambil tempat masing-masing, kapal yang kami naiki pun mula meluncur membelah samudra menuju ke pulau Lagenda.



kenangan di hadapan chalet Pantai Kok sebelum pulang.

Selasa, 29 Mac 2011

BERSAMA PLM MENYEMAI UKHUAH MEMETIK MAHABBAH



Assalamualaikum warahmatulah, awal kalam sebelum bertitah, kalam keramat penuh hikmah, dengan sepatah menyatu ummah, disuruh sebar ke setiap arah, Agar berkah melimpah ruah

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha pengasih kepada semua hamba yang lemah, Ana mula ucapan dengan rasa rendah, kepada Allah dimohon butir ucap ini keluar dengan mudah, Semoga ucap bicara ini membawa faedah, buat ana dan sekalian jamaah.

1. PENDAHULUAN

Alhamdulillah setinggi syukur kehadrat Allah, Atas anugerahNya yang tidak sudah-sudah, Dan nikmatNya yang melimpah ruah. Dengan izinNya hari ini dapatlah kita beramah, Semoga taaruf dan ukhuah bertambah-tambah, Tak kira alumni maupun khassah atas wadah PLM kita bermahabbah.

Terima kasih kepada kalian hadirin hadirat yang bertuah, Dekat dan jauh, mudah dan berkarenah, datang juga tak peduli masalah. Moga majlis bertambah barakah, hanya Allah jua membalas segala susah dan payah. (Insya Allah)

Tahun ini sekali lagi lepasan Matri berwacana, Alhamdulillah. Di Negeri Kelantan Serambi Makkah, negeri yang berkat melimpah-limpah InsyaAllah. Mudahan perjumpaan kita juga tumpang barakah, dari mula sampai penyudah.

Hadirin hadirat dirahmati Allah


2. HIMPUNAN PARA LEPASAN

Nak himpun manusia bukan kerja mudah. Dah la pula tu, dari rata ceruk, rantau dan daerah, berhimpun pula di atas wehdah. Tapi ana percaya semuanya rasai betapa kita bertuah, juga dapat kecapi nikmat mahabbah. Di atas pertemuan ini yang bersejarah, Marilah pula kita sematkan qasad beribadah, sama-sama mencari mardhotillah. Semoga himpunan ini dirahmati Allah. Sepatutnya kita sama-samalah rasa ‘izzah, sebab dapat bertemu atas dasar fillah wa lillah. Kalau dapat, kita mahu dewan ini penuh melimpah dari generasi awal sampai generasi tahun sudah.

Ada yang tanya; Ana ni kalu nak hadir layakkah? Masya Allah, tak dak masalah. Hadirlah, jemputlah, datanglah! Yang sudah tu sudahlah. Tidak payah dok rasa bersalah. Yang penting majlis kita meriah.

Kita juga sedar ada nak hadir tapi ada masalah, belanja , kerja, keluarga, dan apa-apa sajalah. Apa yang ditakdir kita pasrah. Namun, walaupun Jasadnya nun di mana entah, tapi kita tahu doanya dihantar sebagai hadiah. Hati dan jiwanya teringin masya Allah, Semoga di tahundepan Allah permudah.


3. MAKLUMAT / DATA LEPASAN

Hadirin yang dirahmati Allah

Izinkan ana ulangi permintaan tahun sudah, di Putrajaya tempat kita lakar sejarah. Kita perlukan data alumni setiap marhalah. Mohon kiranya setiap wakil sebagai masul dan masulah. Senaraikan nama-nama tholib dan juga tholibah. Paling tidak pun, bilangan tak apalah. Tolonglah, semoga usaha-usaha kita dipermudah. Mengumpul data hampir dua ribu bukannya mudah. Kalau antum tak tolong lagilah ana susah.

Untuk PLM mengorak langkah, data lepasan perlu amatlah. Agar, PLM kian utuh dan gagah, duduk sama rendah, berdiri sama gagah, bagi menghadapi arus dunia yang kian parah, keruntuhan akhlak dan hilang sahsiah Islamiah. Perlu juga kita sedar, kita juga kehilangan daulah, Praktik Islam sudah hilang dalam hayah. Waqi’ dunia dikuasai jahiliah, melanda umat setiap daerah.

Dengan data, kerja kita jadi mudah, dapatlah cari tempat dan juga rumah. Kut kalau ada lepasan berhadapan seribu masalah, atau juga kut harta mereka melimpah ruah, semuanya boleh jadi medan untuk berubudiah, menjadikannya mehrab untuk beribadah.


4. HUBUNGAN SESAMA LEPASAN

Hadirin hadirat yang dirahmati Allah

Marilah Sama-sama kita jalinkan ukhuah. Pinggirkan dahulu fahaman yang bercanggah, agar bersinar rasa mahabbah. Untuk realisasi ukhuah dan mahabbah, taaruf sesama lepasan perlu digugah. Media moden boleh diambil faedah, untuk tingkat taaruf supaya bertambah. Ikatan persahabatan perlu diserlah. Jalinan ukhuah perlu ditambah, sepertimana yang dinyatakan Rasulullah, Kiri sakit, kanan juga terima padah.

Ukhuah disemai taawun dicambah, terbit dari niat ubudiah. Bantu membantu amalan sunnah. Sahabat sahibah yang ditimpa musibah, sama-sama kita rungkaikan masalah. Hati gajah sama dilapah, Hati kuman sama dicecah.


5. BANTU MATRI

Disamping ukhuah kita gugah, Matri juga perlu kita ketengah. Mengharapkan kita, infak fi sabilillah, peluang kita berjariah untuk institusi berbiah tarbawiyah.

5.1. Sumbangan Tenaga dan pemikiran.

Tenaga dan buah fikiran sama-samalah kita curah. Kebolehan kepakaran yang kita ada hulurkanlah. Tenaga kita yang masih tersisa berikanlah. Apa lagi bekalan kita untuk berehlah menghadapi kehidupan di alam barazakh? Moga-moga, inilah sekelumit sebagai jariah untuk bekalan bertemu Allah.

5.2. Sumbangan kewangan

Di samping tenaga dan juga fikrah, Matri juga perlukan dermawan pemurah. Sepuluh ringgit kita berpakat sudah dalam perjumpaan yang sudah-sudah di dua Putra kita berbaiah, setiap bulan setuju RM 10 infak fi sabilillah. Kalau tak mampu tak apalah, tapi kalau dah mampu boleh menambah. Satu akaun PLM lagi kita sudah tambah khas untuk antum buat sumbangan fi sabilillah.

Almarhum Pengasas Matri pergilah sudah, tinggalkan kita khazanah berfaedah, iaitu sebuah madrasah yang cukup indah. Apakah kita sanggup buat tak kisah, melihat Matri dilambung badai musykilah?



6. SAYAP

Agar PLM boleh melangkah, sayap PLM perlu ditambah. Diharapkan semua ambil masuliah, susun strategi dan laksanakan amanah.

6.1. HQ

Generasi baru bersemangat waja, buat kerja masya Allah pulun tak sangga. Sebagai contoh program wacana, depalah yang banyak dok tolong kita. Yang berusia jangan pula terasa, kerana pada sisi Allah nilainya adalah Taqwa. Generasi baru ada di mana-mana; Di IPT, IPS, dan ada juga yang terus bekerja. Kita amat harapkan mereka terus bersama, PLM sebagai payung kita. Mereka juga sudah wujudkan jawatankuasa. Mereka juga adalah sayap PLM yang akan menerbangkan kita bersama-sama menuju keredhoaan yang Maha Esa.

Saban tahun lepasan baru kita terima. Jadi, ana harap jawatankuasa ini buatlah sesuatu untuk mereka, supaya mereka tidak terputus hubungan dengan kita bahkan mereka juga bersama dalam PLM yang sama-sama kita cipta.

Begitu juga sahabat-sahabat lepasan yang berada di IPT, IPS mahupun yang sudah menjadi usahawan muda, diharapkan jawatankuasa ini sebagai penghubung dengan mereka. Rancanglah sesuatu untuk mereka supaya mereka bahagia hidup bersama.

6.2. USAHAWAN

Sayap Usahawan sudah memulakan langkahnya. Sudah merancang beberapa agenda. Ana doakan semoga berjaya. Semoga merencana bisnes sampai ke peringkat antarabangsa. Sebagai ahli pula sama-sama kita sokong mereka.

6.3. GUAMAN DAN PERUBATAN

Wahai peguam dan doktor bagaimana? Panggillah siapa yang ada, rancang sesuatu senaraikan agenda. Matlamat kita, PLM berjaya, menghadapi arus dan isu semasa. PLM perlukan kita, Matri juga perlukan kita, rancanglah sesuatu untuk tolong mereka. Buka mata, bukalah minda. Jangan lihat pada kita sahaja. Yang penting wujudkan dulu jawatankuasa. Kalau tak tahu nak buat apa, tak mengapa, beritahu ana, kita cari masa supaya kita dapat bertukar-tukar idea. Selepas itu teruskan kerja. Ana faham ramai kalangan antum sudah banyak kerja. Macam-macam amanah telah diterima, ada sampai tak sempat nak lena. Macam-macam wasilah yang sedia ada untuk antum laksanan kerja dakwah dan tarbiah. Namun, ana mohon kepada antum yang ada peka, suarakan kepada mereka yang masih ada masa. Motivasi mereka, galakkan mereka untuk bekerja. Walaupun tak dapat apa, mudah-mudahan Allah sahaja akan ganjari pahala untuk bekal hidup di alam Fana.


6.4. GURU

Para guru juga kita tidak lupa. Mereka golongan profesional yang paling ketara. Jika dikumpul tentu banyak agenda yang dapat kita utara, mungkin sekolah pun boleh kita buka. Diharapkan adalah ketului yang boleh mula.


6.5. DEENIAH

Buat mereka jurusan deeniah, Izinkan ana lontarkan fikrah, tak kira IPT, IPS dan Timur Tengah, baik Usuludian mahupun Syariah, Wujudkan team, bentuk halaqah, Sayap Plm kita tambah. Antum seharusnya jadi rujukan syariah, membimbing PLM di atas asolah berpandu al Quran dan juga sunnah. Moga ahli juga tumpang hikmah jadi rujukan bila ada masalah. Ana dengar sahabat-sahabat di Wilayah Tengah, sudahpun ada lujnah bincang isu-isu dan masalah deeniah. Eloklah kalau sudah, Cuma ana nak cadang mai kita jadikan sayap jamaah supaya ramai lagi ahli boleh kita tambah. Barulah kerja diharap makin mudah.

6.6. LEPASAN LUAR NEGARA.

Kita juga sedar ramai juga lepasan di luar negara. Jiwa mereka juga bersama kita pada hari. Batasan Geografi sedikit tergendala, namun tidak halang untuk mereka bersama. Alhamdulillah, di sini mereka juga turut bersama. Ana doakan semoga mereka juga tidak terputus hubungan dengan kita, dan juga meneruskan masuliah yang telah sama-sama kita terima. Cuma mungkin sesuatu perlu dirangka agar perancangan lebih terencana. Insya Allah AJK baru boleh fikirkannya.


6.7. LAIN-LAIN

Yang lain juga ada kerja. Yang penting kerjasama. Antum bolehlah hulurkan tenaga, lihatlah mana-mana yang dapat kita sua. Tak kiralah tenaga mahupun jiwa. Yang penting PLM adalah hak kita bersama. Sama-samalah kita membinanya.


7. AHLI BERKUALITI

Almarhum Pengasas Matri pergi sudah, tinggalkan kita khazanah berfaedah, selembaran amanah untuk sama-sama kita renungi dengan berhemah. Dakwah dan tarbiah itulah maddah untuk dipikul sebagai amanah. Untuk itu kualiti lepasan menjadi dorurah.


7.1. DAKWAH DAN TARBIAH

Pesanan mudir buat semua, dakwah dan tabiah jangan dilupa. Untuk Islam kita bekerja, itulah yang terutama. Matri dan PLM wasilah sahaja, untuk dakwah dan tarbiah berjalan sepanjang masa. Jangan pula jadikan ia segala-galanya, kerana yang dikira adalah taqwa, bekalan kita di hari muka, juga praktik kita sebagai hamba.


7.2. PROFESIONAL

Satu lagi ana nak ingatkan, untuk ana dan juga kalian. Menuntut ilmu jangan ditinggalkan. Walaupun sudah berumur, rambut dah gugur, mata dah kabur, kulit dah kendur, uban berterabur, menuntut ilmu perlu diteruskan. Tidak sama si jahil dan yang berilmu pengetahuan, demikianlah yang kita petik daripada firman. Menuntut ilmu adalah kewajiban, demikian juga sabda junjungan.

Bagi ahli akademik mahupun profesional, tingkatkan lagi pengkhususan kalian, ke peringkat sarjana, phd dan seterusnya, walaupun sampai ke hujung dunia atau juga ke langit sana. Semua itu akan diguna, untuk Islam dan dakwah kita. Tidak rugi usaha kita, kerana semua mencari redho. Untuk di labur di alam dunia, di alam akhirat terima bonusnya.


7.3. SIHAT DAN CERGAS

Satu lagi ana nak tazkirah, jaga kesihatan jangan tak kisah. Baik sahabat mahupun sahibah carilah masa untuk beriadah. Tak payahlah mencari cari helah, kita buat untuk kita jugalah. Awat, nak tunggu jantung lemah? Atau gula bercampur darah? Ataupun tunggu kena bedah? Kalau sihat kita juga yang mudah. Buat kerja sentiasa gagah. Taklah sikit sudah lelah, tercungap-cungap termengah-mengah. Orang lain pun jadi susah. Kalau memang ada ana mohon maaflah, bukannya tujuan ana nak merendah-rendah Cuma sekadar nak bagi mata cerah, pada waktu yang makin parah. Syok la sikit kawan yang buat riadah.


8. AJK PLM 2011/ 2012

Hadirin dirahmati Allah,

Kerja meminpin bukannya mudah, lebih-lebih lagi kalau badan sudah lemah. Sebagai Presiden ana sentiasa gundah, resah. Maklumlah, amat terbatas ana punya kudrah nak bawa PLM berahli petah. Maaf kiranya PLM tak gah. Ana sedar daya ana kerdil perlu dipapah. Tenaga kalian perlu juga ditambah. Atas iman kita bina thiqah, berganding bahu mengorak langkah. InsyaAllah barulah PLM boleh menyerlah

Ana menyebut bukannya sesiapa mahu disalah. Tidak juga mahu mengalah, tapi harapan jamaah tinggi amatlah. Apakan daya inilah amanah, tak pula mampu ana nak sanggah. Kepada Allah sahajalah ana pasrah, kerana yang Maha Tahu hanyalah Allah.

Tahun ini syukur alhamdulillah, barisan peminpin akan kita ubah. Cuma hari ini ada masalah sebab korum tidak cukup penuh. Iman dan taqwa kriteria penting, ditambah lagi ilmu siasah. Moga PLM maju meluncur melayari ahli dengan bahtera tarbiah, Mencari Mardhotillah, Menuju Allah.

Bagi kami AJK PLM, usaha kami tak banyak buah. Maaf dipinta apa yang lemah, juga silap dan salah. Ana doakan AJK baru yang bakal diketengah, ahli yang gagah dipimpin oleh ketua yang tinggi sahsiah.


9. PERJUMPAAN 2012

Tahun hadapan giliran Perlis jadi tuan rumah, Insya Allah. Balik pula ke tempat kita pernah terima tarbiah. Segala urusan semoga Allah permudah. Semoga kehadiran juga bertambah. Kalau panjang umur kita bersua, insya Allah.

Lepasan Perlis diharap bersiap sedia, sebelum April sudah clear. Dari sekarang sampaikan berita, supaya lepasan lebih bersedia.


10. PENUTUP

Kepada Tuan rumah yang Ramah tamah, Negeri kelantan Serambi mekah. Kami tahu nak anjur program tidaklah mudah, Jazakumullah kharal jazak yang dapat kami hadiah, semoga diganjarkan pada sisi Allah. Buat jawatankuasa syabas dan tahniah, Melaksanakan tugas penuh tabah, tanpa mengira letih dan lelah, laksana tugas bagai nak rebah.

Penyumbang yang bermurah, hulur sumbangan sebagai jariah, Syukran jazilan, wa barakallah. Ya Allah, berkatilah ahli kami punya tijarah.

Juga tidak dilupa buat semua yang ada, dan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sekalung penghargaan dan syukran jazilan. Tanpa antum tentunya program ini juga tak jalan.

Sebelum ana buka langkah tinggalkan pentas tempat ceramah, Ana ajak kalian jadikan PLM wadah ibadah. Bukankah kita terima dalam tarbiah, Manusia diciptakan untuk berubudiyah? Nah, sahutlah seruan ke jalan Allah! Islam agama pada sisi Allah, mari kembali kepada fitrah. Pastikan diri ada arah, Pastikan diri sentiasa di atas jalan Allah Sepanjang masa selari dengan kehendak Allah. Dalam adzariat:56 sudah terserlah Seluruh hidup untuk beribadah, berubudiah. Platfom PLM kita jadikan wasilah untuk mengikat rasa ukhuah. Semoga tertaut bunga mahabbah. Pastikan diri sentiasa di atas jalan Allah sepanjang masa setiap saah.

Sekian dahulu bicara ana yang serba lemah. Maaf kalau bicara ini ada yang salah; Salah tutur ataupun salah istilah, Salah adab atau tersalah madah. Memang Adat manusia begitulah, tak dapat lari dari silap dan salah. Terima kasih, ana nak mengalah.

Aqulu qauli hadza wa astaghfirullah, Wabillah taufiq wal Hidayah, Wassalamualaikum warahmatullah.

Ahad, 23 Januari 2011

Kelongsong Sentuhan Murabbi Tidak Terisi


Jiwaku dicengkam resah lantaran kelongsong Sentuhan Murabbi sekian lama tidak terisi. Lebih tiga minggu. Sibuk memang sibuk, maklumlah sesi persekolahan baru bermula. Bukan sibuk yang menghalangku mencoret kisahku bersama murabbi mursyid itu. Langkahku terhenti kerana banyak peristiwa yang dirakam dalam memoriku sudah lusuh, kabur, berkulat, bahkan ada yang sudah hilang warna. Memang kudapat menulis atau mereka, tetapi apa yang kumahu adalah yang sebenar dan benar-benar. Kucuba dapatkan daripada isteriku yang juga sekelasku dan juga rakan seangkatanku. Ini semua juga meminta waktu untuk dapatkan maklumat tersebut.

Ya, itulah nilai catatan. Memang amat terasa sekarang harganya, bahkan tak ternilai dengan wang ringgit atau harta benda. Catat memang kucatat, tetapi hanya mencatat penyampaian ijtimak am dan kuliah-kuliah para murabbi. Alhamdulillah catatan itu masih tersimpan dan kujagai sehingga kini. Satu sudah hilang entah di mana. Aku pun dah lupa. Tetapi perjalanan hidupku di Matri dan perjalanan Matri tak pernah kucatat. Cuma selepas kembalinya almarhum murabbiku yang disayangi, baru kurasai betapa perjalanan Matri perlu didokumentasikan.

Mereka yang sentiasa selongkar kelongsong Sentuhan Murabbi kumohon maaf jika tidak ketemui coretan baru. Doakan semoga Allah segarkan kembali memoriku dan memudahkan kembali kuhubungi rerakanku seangkatan.

Jumaat, 31 Disember 2010

MURABBI MURSYID

Hari-hari yang dilalui di Matri semakin hari semakin menyeronokkan. Jiwa makin tertambat. Hati makin terikat. Mana tidaknya, guru-guru yang mengajar kami semuanya berjiwa mursyid. Kejujuran dan keiklasan mereka amat kami rasai. Penduduk yang tinggal berdekatan dengan Matri juga semuanya masya Allah baik-baik belaka. Bahkan, mereka melayani kami seperti anak mereka. Mereka itu semua adalah anak didik almarhum Ustaz Dahlan. Begitu juga selain mereka, yang iltizam dan komited mengikuti didikan, tarbiah dan pemelajaran bersama almarhum, jika mereka bersua dengan kami di ijtimak, gotong-royong atau di mana-mana, mereka akan bertanya khabar dan mengambil berat serta membantu kami jika diperlukan. Mereka amat ringan tangan untuk menghulurkan bantuan dan bimbingan. Begitulah kesan didikan yang mereka terima daripada mursyid ulung itu. Itulah pengakuan mereka. Nilai didikan itu pula mereka tumpahkan kepada kami. Itulah pula yang saya rasai.

Aktiviti pendidikan Matri pada peringkat awal seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, tidak tertumpu di kelas semata-mata. Aktiviti pemelajaran di kelas hanyalah sebahagian daripada program pendidikan di Matri. Kami selalu di bawa oleh almarhum cikgu Tajul bermain badminton di dewan badminton ITM Arau (sekarang UiTM). Sepanjang perjalanan ke dewan badminton, dalam keretanya itu beliau mengambil kesempatan berbual pelbagai topik dengan kami. Dari kisah perjalanan hidupnya membebaskan diri daripada tawanan jahiliah, juga beliau cuba menyelongkar latar peribadi kami, kemudian beliau kaitkan dengan tarbiah (didikan Islam). Beberapa hari selepas kami daftar di Matri kami juga diminta bersama-sama membantu majlis ibadah Qurban berbelas ekor lembu. Cikgu Yahya pula mengajak kami berkebun di lot tanah bersebelahan bangunan Matri. (sekarang rumah Tuan Haji Abdul Malek). Dalam kalangan anak didik almarhum ada juga yang suka membawa kami ke rumah mereka untuk menjamu selera, berbuka puasa, tidur dan sebagainya. Ada juga yang membawa kami ke pantai Sungai Berembang mencari mentarang, ke dusun mengait buah rambutan. Maklum sahajalah pada masa itu bilangan kami tidak ramai, tentu mudah untuk mereka uruskan kenderaan membawa kami. Begitulah gandingan pelbagai murabbi membentuk arus Islamiah di Matri yang disebutkan sebagai Biah Solehah. Suasana tersebut sebenarnya mendidik kami yang masih di awal Dhuha Tarbiah Islamiah.

Alhamdulillah, saya mengambil kesempatan ini sebaiknya untuk menyirat benang ukhuah Islamiah.Sehingga kini mereka itu semua amat akrab dengan saya walaupun dalam kalangan mereka sudah mencapai umur tujuh puluhan sedangkan saya baru menunas di awal empat puluhan. Sebahagian mereka juga telah pergi meninggal kita buat selama-lamanya.

Begitu jugalah guru-guru mursyid yang mengajar kami di kelas, amat mesra dan tawadhuk. Boleh duduk menghadap talam makanan bersama anak muridnya tanpa kekok. Selepas pemelajaran kelas petang mereka bersama kami menjamu selera di lobi sementara menunggu solah asar. Selepas solah asar pula ada dalam kalangan mereka bersama kami pula berkejaran bola di padang. Hubungan sebegini langsung tidak mengurangkan hormat kami kepada mereka. Kami tetap meletakkan mereka sebagai tok guru dan memperlakukan sepertimana sepatutnya seorang anak murid. Hubungan sedemikian membuatkan kami mudah berbincang dengan mereka di dalam mahupun di luar waktu kelas.

Lebih-lebih lagilah tuan guru mursyid kami almarhum ustaz Dahlan, dialah qudwah kepada kami dan mereka. Beliau dilihat menghayati tarbiah yang beliau sampaikan. Beliau amat menonjol dalam setiap aktiviti amal jamai (gotong royong) yang dianjurkan di Matri. Beliau juga memiliki pengetahuan asas dalam pertukangan, pertanian, masakan dan sebagainya. Pertimbangannya juga dilihat daripada pelbagai sudut terutamanya syarak dan tarbiah. Jadi tidak hairanlah kebanyakan keputusan biasanya akan dirujuk terlebih dahulu kepada beliau sama ada soal deen mahupun permasalahan lain.

Pernah suatu hari beliau membawa kami ke kebunnya di Semadong. Di situ ada sebuah pondok kecil. Buluh-buluh hutan ada beberapa perdu. Selain itu ada beberapa pokok cempedak sebesar paha, pokok kelapa dan pokok nangka. Ada juga pokok petai setinggi aras bahu. Kawasan kebunnya itu diselimuti hutan belukar. Sekitar kebunnya pula adalah kawasan kebun getah. Sampai di sana ustaz memberitahu kami ada beberapa pokok yang ditanamnya perlu dibersihkan. Beberapa rakan saya mencapai parang dan pergi menebas sekitar pokok-pokok yang telah ditanam. Saya pula mengekori beliau membantu mencari rebung di perdu buluh. Sambil-sambil mencari rebung sempat juga beliau mengintai pokok cempedaknya yang sebesar paha itu. Ada kesan-kesan lubang dimakan ulat pada dahan cempedak. Beliau mengambil ranting kayu sebesar jari kelingking sepanjang sehasta diikatkan kain buruk dihujungnya. Batang itu dicelupkan dalam minyak hitam (minyak enjin yang telah digunakan) lalu dititikkan ke dalam lubang ulat tadi. Beliau memaklumkan saya tujuannya agar ulat-ulat itu tidak datang lagi mengganggu dahan cempedak tersebut.

Hari itu al marhum Ustaz Dahlan memasak makanan tengahari di kebun itu untuk menjamu kami. Hanya mengunakan dapur kayu, semuanya beliau uruskan sendiri. Saya sekadar memerhatikan beliau memasak dan membantunya seperti yang diminta. Saya amat tertarik sekali cara beliau memasak sayur rebung buluh hutan. Rebung buluh hutan itu dirincikkan kemudian direbus bersama sedikit udang, buah terung Belanda, dan sedikit belacan. Buah terung itu juga diambil daripada pokok yang berhampiran pondok. Beliau memberitahu saya belacan dimasukkan sedikit supaya rebung nanti rasa manis. Masakan kesukaannya itu memang menepati selera saya. Rakan yang lain ada yang membantu membakar ikan kembung. Walaupun masakan ala kadar sahaja, nasi berlauk ikan bakar, sayur rebung dan sambal, namun cukup meyelerakan. Setelah selesai makan kami pulang ke Matri.

Walaupun saya sudah keluar Matri namun kenangan bersama mursyid di Semadong sentiasa dalam ingatan saya.Program tersebut menjadi sebahagian aspirasi saya untuk pelajar-pelajar saya. Semasa saya bekerja di luar Perlis, saya sering menziarahinya dirumahnya di Kampung kersik. Perkembangan kebun di Semadong antara persoalan yang saya kemukakan kepadanya. Minggu-minggu terakhir sebelum beliau di masukkan hospital buat kali terakhir, saya sempat bersamanya makan dan berkebun di Semadong beberapa kali.





Mencicah buah mempelam bersama guru bahasa Inggeris Cikgu Tuan Hassan



Rehlah ke Langkawi bersama anak didik almarhum



Makan bersama Makcik Onen dan lain-lain



Bersama Ummi Halimaton menunggu feri rehlah ke Langkawi.