Selasa, 29 Mac 2011

BERSAMA PLM MENYEMAI UKHUAH MEMETIK MAHABBAH



Assalamualaikum warahmatulah, awal kalam sebelum bertitah, kalam keramat penuh hikmah, dengan sepatah menyatu ummah, disuruh sebar ke setiap arah, Agar berkah melimpah ruah

بسم الله الرحمن الرحيم
Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah, lagi Maha pengasih kepada semua hamba yang lemah, Ana mula ucapan dengan rasa rendah, kepada Allah dimohon butir ucap ini keluar dengan mudah, Semoga ucap bicara ini membawa faedah, buat ana dan sekalian jamaah.

1. PENDAHULUAN

Alhamdulillah setinggi syukur kehadrat Allah, Atas anugerahNya yang tidak sudah-sudah, Dan nikmatNya yang melimpah ruah. Dengan izinNya hari ini dapatlah kita beramah, Semoga taaruf dan ukhuah bertambah-tambah, Tak kira alumni maupun khassah atas wadah PLM kita bermahabbah.

Terima kasih kepada kalian hadirin hadirat yang bertuah, Dekat dan jauh, mudah dan berkarenah, datang juga tak peduli masalah. Moga majlis bertambah barakah, hanya Allah jua membalas segala susah dan payah. (Insya Allah)

Tahun ini sekali lagi lepasan Matri berwacana, Alhamdulillah. Di Negeri Kelantan Serambi Makkah, negeri yang berkat melimpah-limpah InsyaAllah. Mudahan perjumpaan kita juga tumpang barakah, dari mula sampai penyudah.

Hadirin hadirat dirahmati Allah


2. HIMPUNAN PARA LEPASAN

Nak himpun manusia bukan kerja mudah. Dah la pula tu, dari rata ceruk, rantau dan daerah, berhimpun pula di atas wehdah. Tapi ana percaya semuanya rasai betapa kita bertuah, juga dapat kecapi nikmat mahabbah. Di atas pertemuan ini yang bersejarah, Marilah pula kita sematkan qasad beribadah, sama-sama mencari mardhotillah. Semoga himpunan ini dirahmati Allah. Sepatutnya kita sama-samalah rasa ‘izzah, sebab dapat bertemu atas dasar fillah wa lillah. Kalau dapat, kita mahu dewan ini penuh melimpah dari generasi awal sampai generasi tahun sudah.

Ada yang tanya; Ana ni kalu nak hadir layakkah? Masya Allah, tak dak masalah. Hadirlah, jemputlah, datanglah! Yang sudah tu sudahlah. Tidak payah dok rasa bersalah. Yang penting majlis kita meriah.

Kita juga sedar ada nak hadir tapi ada masalah, belanja , kerja, keluarga, dan apa-apa sajalah. Apa yang ditakdir kita pasrah. Namun, walaupun Jasadnya nun di mana entah, tapi kita tahu doanya dihantar sebagai hadiah. Hati dan jiwanya teringin masya Allah, Semoga di tahundepan Allah permudah.


3. MAKLUMAT / DATA LEPASAN

Hadirin yang dirahmati Allah

Izinkan ana ulangi permintaan tahun sudah, di Putrajaya tempat kita lakar sejarah. Kita perlukan data alumni setiap marhalah. Mohon kiranya setiap wakil sebagai masul dan masulah. Senaraikan nama-nama tholib dan juga tholibah. Paling tidak pun, bilangan tak apalah. Tolonglah, semoga usaha-usaha kita dipermudah. Mengumpul data hampir dua ribu bukannya mudah. Kalau antum tak tolong lagilah ana susah.

Untuk PLM mengorak langkah, data lepasan perlu amatlah. Agar, PLM kian utuh dan gagah, duduk sama rendah, berdiri sama gagah, bagi menghadapi arus dunia yang kian parah, keruntuhan akhlak dan hilang sahsiah Islamiah. Perlu juga kita sedar, kita juga kehilangan daulah, Praktik Islam sudah hilang dalam hayah. Waqi’ dunia dikuasai jahiliah, melanda umat setiap daerah.

Dengan data, kerja kita jadi mudah, dapatlah cari tempat dan juga rumah. Kut kalau ada lepasan berhadapan seribu masalah, atau juga kut harta mereka melimpah ruah, semuanya boleh jadi medan untuk berubudiah, menjadikannya mehrab untuk beribadah.


4. HUBUNGAN SESAMA LEPASAN

Hadirin hadirat yang dirahmati Allah

Marilah Sama-sama kita jalinkan ukhuah. Pinggirkan dahulu fahaman yang bercanggah, agar bersinar rasa mahabbah. Untuk realisasi ukhuah dan mahabbah, taaruf sesama lepasan perlu digugah. Media moden boleh diambil faedah, untuk tingkat taaruf supaya bertambah. Ikatan persahabatan perlu diserlah. Jalinan ukhuah perlu ditambah, sepertimana yang dinyatakan Rasulullah, Kiri sakit, kanan juga terima padah.

Ukhuah disemai taawun dicambah, terbit dari niat ubudiah. Bantu membantu amalan sunnah. Sahabat sahibah yang ditimpa musibah, sama-sama kita rungkaikan masalah. Hati gajah sama dilapah, Hati kuman sama dicecah.


5. BANTU MATRI

Disamping ukhuah kita gugah, Matri juga perlu kita ketengah. Mengharapkan kita, infak fi sabilillah, peluang kita berjariah untuk institusi berbiah tarbawiyah.

5.1. Sumbangan Tenaga dan pemikiran.

Tenaga dan buah fikiran sama-samalah kita curah. Kebolehan kepakaran yang kita ada hulurkanlah. Tenaga kita yang masih tersisa berikanlah. Apa lagi bekalan kita untuk berehlah menghadapi kehidupan di alam barazakh? Moga-moga, inilah sekelumit sebagai jariah untuk bekalan bertemu Allah.

5.2. Sumbangan kewangan

Di samping tenaga dan juga fikrah, Matri juga perlukan dermawan pemurah. Sepuluh ringgit kita berpakat sudah dalam perjumpaan yang sudah-sudah di dua Putra kita berbaiah, setiap bulan setuju RM 10 infak fi sabilillah. Kalau tak mampu tak apalah, tapi kalau dah mampu boleh menambah. Satu akaun PLM lagi kita sudah tambah khas untuk antum buat sumbangan fi sabilillah.

Almarhum Pengasas Matri pergilah sudah, tinggalkan kita khazanah berfaedah, iaitu sebuah madrasah yang cukup indah. Apakah kita sanggup buat tak kisah, melihat Matri dilambung badai musykilah?



6. SAYAP

Agar PLM boleh melangkah, sayap PLM perlu ditambah. Diharapkan semua ambil masuliah, susun strategi dan laksanakan amanah.

6.1. HQ

Generasi baru bersemangat waja, buat kerja masya Allah pulun tak sangga. Sebagai contoh program wacana, depalah yang banyak dok tolong kita. Yang berusia jangan pula terasa, kerana pada sisi Allah nilainya adalah Taqwa. Generasi baru ada di mana-mana; Di IPT, IPS, dan ada juga yang terus bekerja. Kita amat harapkan mereka terus bersama, PLM sebagai payung kita. Mereka juga sudah wujudkan jawatankuasa. Mereka juga adalah sayap PLM yang akan menerbangkan kita bersama-sama menuju keredhoaan yang Maha Esa.

Saban tahun lepasan baru kita terima. Jadi, ana harap jawatankuasa ini buatlah sesuatu untuk mereka, supaya mereka tidak terputus hubungan dengan kita bahkan mereka juga bersama dalam PLM yang sama-sama kita cipta.

Begitu juga sahabat-sahabat lepasan yang berada di IPT, IPS mahupun yang sudah menjadi usahawan muda, diharapkan jawatankuasa ini sebagai penghubung dengan mereka. Rancanglah sesuatu untuk mereka supaya mereka bahagia hidup bersama.

6.2. USAHAWAN

Sayap Usahawan sudah memulakan langkahnya. Sudah merancang beberapa agenda. Ana doakan semoga berjaya. Semoga merencana bisnes sampai ke peringkat antarabangsa. Sebagai ahli pula sama-sama kita sokong mereka.

6.3. GUAMAN DAN PERUBATAN

Wahai peguam dan doktor bagaimana? Panggillah siapa yang ada, rancang sesuatu senaraikan agenda. Matlamat kita, PLM berjaya, menghadapi arus dan isu semasa. PLM perlukan kita, Matri juga perlukan kita, rancanglah sesuatu untuk tolong mereka. Buka mata, bukalah minda. Jangan lihat pada kita sahaja. Yang penting wujudkan dulu jawatankuasa. Kalau tak tahu nak buat apa, tak mengapa, beritahu ana, kita cari masa supaya kita dapat bertukar-tukar idea. Selepas itu teruskan kerja. Ana faham ramai kalangan antum sudah banyak kerja. Macam-macam amanah telah diterima, ada sampai tak sempat nak lena. Macam-macam wasilah yang sedia ada untuk antum laksanan kerja dakwah dan tarbiah. Namun, ana mohon kepada antum yang ada peka, suarakan kepada mereka yang masih ada masa. Motivasi mereka, galakkan mereka untuk bekerja. Walaupun tak dapat apa, mudah-mudahan Allah sahaja akan ganjari pahala untuk bekal hidup di alam Fana.


6.4. GURU

Para guru juga kita tidak lupa. Mereka golongan profesional yang paling ketara. Jika dikumpul tentu banyak agenda yang dapat kita utara, mungkin sekolah pun boleh kita buka. Diharapkan adalah ketului yang boleh mula.


6.5. DEENIAH

Buat mereka jurusan deeniah, Izinkan ana lontarkan fikrah, tak kira IPT, IPS dan Timur Tengah, baik Usuludian mahupun Syariah, Wujudkan team, bentuk halaqah, Sayap Plm kita tambah. Antum seharusnya jadi rujukan syariah, membimbing PLM di atas asolah berpandu al Quran dan juga sunnah. Moga ahli juga tumpang hikmah jadi rujukan bila ada masalah. Ana dengar sahabat-sahabat di Wilayah Tengah, sudahpun ada lujnah bincang isu-isu dan masalah deeniah. Eloklah kalau sudah, Cuma ana nak cadang mai kita jadikan sayap jamaah supaya ramai lagi ahli boleh kita tambah. Barulah kerja diharap makin mudah.

6.6. LEPASAN LUAR NEGARA.

Kita juga sedar ramai juga lepasan di luar negara. Jiwa mereka juga bersama kita pada hari. Batasan Geografi sedikit tergendala, namun tidak halang untuk mereka bersama. Alhamdulillah, di sini mereka juga turut bersama. Ana doakan semoga mereka juga tidak terputus hubungan dengan kita, dan juga meneruskan masuliah yang telah sama-sama kita terima. Cuma mungkin sesuatu perlu dirangka agar perancangan lebih terencana. Insya Allah AJK baru boleh fikirkannya.


6.7. LAIN-LAIN

Yang lain juga ada kerja. Yang penting kerjasama. Antum bolehlah hulurkan tenaga, lihatlah mana-mana yang dapat kita sua. Tak kiralah tenaga mahupun jiwa. Yang penting PLM adalah hak kita bersama. Sama-samalah kita membinanya.


7. AHLI BERKUALITI

Almarhum Pengasas Matri pergi sudah, tinggalkan kita khazanah berfaedah, selembaran amanah untuk sama-sama kita renungi dengan berhemah. Dakwah dan tarbiah itulah maddah untuk dipikul sebagai amanah. Untuk itu kualiti lepasan menjadi dorurah.


7.1. DAKWAH DAN TARBIAH

Pesanan mudir buat semua, dakwah dan tabiah jangan dilupa. Untuk Islam kita bekerja, itulah yang terutama. Matri dan PLM wasilah sahaja, untuk dakwah dan tarbiah berjalan sepanjang masa. Jangan pula jadikan ia segala-galanya, kerana yang dikira adalah taqwa, bekalan kita di hari muka, juga praktik kita sebagai hamba.


7.2. PROFESIONAL

Satu lagi ana nak ingatkan, untuk ana dan juga kalian. Menuntut ilmu jangan ditinggalkan. Walaupun sudah berumur, rambut dah gugur, mata dah kabur, kulit dah kendur, uban berterabur, menuntut ilmu perlu diteruskan. Tidak sama si jahil dan yang berilmu pengetahuan, demikianlah yang kita petik daripada firman. Menuntut ilmu adalah kewajiban, demikian juga sabda junjungan.

Bagi ahli akademik mahupun profesional, tingkatkan lagi pengkhususan kalian, ke peringkat sarjana, phd dan seterusnya, walaupun sampai ke hujung dunia atau juga ke langit sana. Semua itu akan diguna, untuk Islam dan dakwah kita. Tidak rugi usaha kita, kerana semua mencari redho. Untuk di labur di alam dunia, di alam akhirat terima bonusnya.


7.3. SIHAT DAN CERGAS

Satu lagi ana nak tazkirah, jaga kesihatan jangan tak kisah. Baik sahabat mahupun sahibah carilah masa untuk beriadah. Tak payahlah mencari cari helah, kita buat untuk kita jugalah. Awat, nak tunggu jantung lemah? Atau gula bercampur darah? Ataupun tunggu kena bedah? Kalau sihat kita juga yang mudah. Buat kerja sentiasa gagah. Taklah sikit sudah lelah, tercungap-cungap termengah-mengah. Orang lain pun jadi susah. Kalau memang ada ana mohon maaflah, bukannya tujuan ana nak merendah-rendah Cuma sekadar nak bagi mata cerah, pada waktu yang makin parah. Syok la sikit kawan yang buat riadah.


8. AJK PLM 2011/ 2012

Hadirin dirahmati Allah,

Kerja meminpin bukannya mudah, lebih-lebih lagi kalau badan sudah lemah. Sebagai Presiden ana sentiasa gundah, resah. Maklumlah, amat terbatas ana punya kudrah nak bawa PLM berahli petah. Maaf kiranya PLM tak gah. Ana sedar daya ana kerdil perlu dipapah. Tenaga kalian perlu juga ditambah. Atas iman kita bina thiqah, berganding bahu mengorak langkah. InsyaAllah barulah PLM boleh menyerlah

Ana menyebut bukannya sesiapa mahu disalah. Tidak juga mahu mengalah, tapi harapan jamaah tinggi amatlah. Apakan daya inilah amanah, tak pula mampu ana nak sanggah. Kepada Allah sahajalah ana pasrah, kerana yang Maha Tahu hanyalah Allah.

Tahun ini syukur alhamdulillah, barisan peminpin akan kita ubah. Cuma hari ini ada masalah sebab korum tidak cukup penuh. Iman dan taqwa kriteria penting, ditambah lagi ilmu siasah. Moga PLM maju meluncur melayari ahli dengan bahtera tarbiah, Mencari Mardhotillah, Menuju Allah.

Bagi kami AJK PLM, usaha kami tak banyak buah. Maaf dipinta apa yang lemah, juga silap dan salah. Ana doakan AJK baru yang bakal diketengah, ahli yang gagah dipimpin oleh ketua yang tinggi sahsiah.


9. PERJUMPAAN 2012

Tahun hadapan giliran Perlis jadi tuan rumah, Insya Allah. Balik pula ke tempat kita pernah terima tarbiah. Segala urusan semoga Allah permudah. Semoga kehadiran juga bertambah. Kalau panjang umur kita bersua, insya Allah.

Lepasan Perlis diharap bersiap sedia, sebelum April sudah clear. Dari sekarang sampaikan berita, supaya lepasan lebih bersedia.


10. PENUTUP

Kepada Tuan rumah yang Ramah tamah, Negeri kelantan Serambi mekah. Kami tahu nak anjur program tidaklah mudah, Jazakumullah kharal jazak yang dapat kami hadiah, semoga diganjarkan pada sisi Allah. Buat jawatankuasa syabas dan tahniah, Melaksanakan tugas penuh tabah, tanpa mengira letih dan lelah, laksana tugas bagai nak rebah.

Penyumbang yang bermurah, hulur sumbangan sebagai jariah, Syukran jazilan, wa barakallah. Ya Allah, berkatilah ahli kami punya tijarah.

Juga tidak dilupa buat semua yang ada, dan yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sekalung penghargaan dan syukran jazilan. Tanpa antum tentunya program ini juga tak jalan.

Sebelum ana buka langkah tinggalkan pentas tempat ceramah, Ana ajak kalian jadikan PLM wadah ibadah. Bukankah kita terima dalam tarbiah, Manusia diciptakan untuk berubudiyah? Nah, sahutlah seruan ke jalan Allah! Islam agama pada sisi Allah, mari kembali kepada fitrah. Pastikan diri ada arah, Pastikan diri sentiasa di atas jalan Allah Sepanjang masa selari dengan kehendak Allah. Dalam adzariat:56 sudah terserlah Seluruh hidup untuk beribadah, berubudiah. Platfom PLM kita jadikan wasilah untuk mengikat rasa ukhuah. Semoga tertaut bunga mahabbah. Pastikan diri sentiasa di atas jalan Allah sepanjang masa setiap saah.

Sekian dahulu bicara ana yang serba lemah. Maaf kalau bicara ini ada yang salah; Salah tutur ataupun salah istilah, Salah adab atau tersalah madah. Memang Adat manusia begitulah, tak dapat lari dari silap dan salah. Terima kasih, ana nak mengalah.

Aqulu qauli hadza wa astaghfirullah, Wabillah taufiq wal Hidayah, Wassalamualaikum warahmatullah.

2 ulasan:

Faiz Shukri berkata...

jzkallah atas perkongsian ini ustaz.. :D

BroHamzah berkata...

Ucapan termantap daripada Tuan Presiden. Kami mendengarnya dengan penuh senyuman.

BroHamzah