Kali pertama saya melihat wajah
ustaz Dahlan semasa saya menghadiri ijtimak umum Abim Perlis di Surau Tanjung
Gorah, Repoh, Perlis, sekitar tahun 1986. Ijtimak tersebut adalah aktiviti mingguan Abim
Perlis yang diadakan setiap hari jumaat sekitar jam 3 petang. Ketika itu saya masih
belajar di tingkatan 5, Maktab Mahmud,
Alor Setar.
Bila sahabat saya yang hampir
sebaya dengan ayah saya memberitahu Ustaz Dahlah sudah sampai, mata saya terus
beralih ke arah susuk tubuh yang sedang manaiki tangga kayu lalu bersalaman
dengan hadirin berhampiran muka pintu belakang sambil berjalan menuju ke
hadapan surau. Dia memakai baju ala baju Raihan, berkain pelikat, berkopiah
putih dan menyangkut sehelai serban nipis di atas bahunya. Dia bersalaman
dengan mereka yang berada di laluannya dan yang lainnya dia mengangkat tangan
dan melemparkan senyuman manis darinya. Itulah kali pertama saya melihat
wajahnya.
Pada bulan Julai 1987 saya
ditawarkan belajar di Mahad Attarbiyah Al-Islamiah (Matri) sebagai pelajar
sulung. Di sini, selain menuntut ilmu saya juga dapat mempelajari banyak
perkara khususnya melalui Ustaz Dahlan sendiri. Beliau pernah membawa kami pelajar-pelajar Matri
berkelah di kebunnya. Dia mengajar kami memasak sayur rebung, membuat sambal
belacan dan sebagainya. Mungkin beliau fikir saya minat berkebun, di situ beliau
mengajarkan saya cara menjaga pokok cempedak daripada dimakan ulat. Selain itu
kami sama-sama membersihkan sekitar pondoknya.
Ustaz Dahlan dan juga isterinya Umi
Halimaton (Umi) juga sering menjemput kami ke rumah mereka untuk menjamu selera.
Biasanya kami sama-sama masak bersama Umi dan Ustaz Dahlan. Di samping itu kami
menawarkan diri untuk memberikan khidmat kami seperti membersihkan sekitar
rumah mereka. Hal yang demikian
membuatkan perasaan kami begitu dekat dengan mereka berdua. Kami dapat rasai layanan
mereka berdua seperti juga seorang bapa dan ibu. Sebelum Matri di buka, Ustaz Dahlan juga
sering membawa pelajar-pelajarnya ke rumahnya. Demikianlah yang dimaklumkan
oleh anak sulung beliau apabila saya ajukan persoalan tersebut kepadanya.
Demikianlah sifat pemurah yang dimiliki oleh Ustaz Dahlan.
Saya sendiri melakukan Ustaz Dahlan
dan Umi bagai ayah dan ibu saya sendiri.
Semasa saya bekerja di Gombak dan Shah Alam, setiap kali saya balik
kampung di Naka, Kedah, saya pasti akan menziarahi mereka di Mata Air, Perlis.
Pernah dalam perjalanan ke rumah mereka kereta yang saya pinjam daripada
sahabat saya rosak lebih kurang dua atau tiga kilometer dari rumah mereka. Ada
pemuda yang bermurah hati membawa saya dan keluarga ke rumah Ustaz Dahlan. Sementara
menunggu kereta siap diperbaiki, kami sekeluarga terpaksa tinggal di rumah
Ustaz Dahlan tiga hari dua malam. Alhamdulillah banyak juga perkara dan
maklumat yang saya perolehi daripadanya.
![]() |
Seorang pelajar sedang membantu Ustaz Dahlan menumbuk sambal |
Sepanjang yang saya kenali Ustaz
Dahlan, beliau pandai memasak dan
membuat makanan kampung. Jika saya berbicara dengannya tentang makanan kampung,
beliau amat gembira menceritakan kepada saya tentang pelbagai jenis makanan
kampung. Semua yang diceritakannya seakan sama dengan selera saya. Beliau
pernah mengajar saya membuat sambal belacan untuk dimakan dengan buah larak
(Sejenis buah hutan). Beliau pernah menceritakan masakan tapak kaki lembu yang
disalai yang biasa ayahnya dan beliau sendiri masak. Beliau pernah menceritakan
dan menjamu saya masakan kulit kerbau goreng yang dimasak oleh beliau.
Selain pandai memasak cara kampung,
Ustaz Dahlan juga memiliki kemahiran tangan yang tinggi. Sepanjang tempoh
kehidupan saya bersama beliau banyak juga yang saya pelajari daripadanya. Pernah
beliau mengajar saya mengenali bahagian atas dan bahagian bawah sebatang tiang
kayu yang kelihatan sama sahaja. Beliau mengajar saya cara memotong kayu dan
sebagainya. Beliau juga pernah memberitahu saya bahawa dia pernah membuat
songkok. Demikianlah antara kemahiran tangan yang pernah beliau ceritakan
kepada saya.
Kehidupan kampung sebati dengan kehidupan
beliau. Apa kerja-kerja kampung yang beliau
tidak buat? Beliau pernah menceritakan di usia remajanya beliau pernah bersawah
dari membajak, menyemai, hinggalah
menuai. Anak jarinya terputus semasa menyabit pokok padi. Beliau merawat
jarinya sendiri dengan mengunakan
sejenis daun yang terdapat di sawah dengan membalutkan jarinya dan mengikatnya
untuk dicantumkan semula. Namun demikian, anak jarinya bercantum tidak sama seperti yang beliau tunjukkan
kepada saya disebabkan semasa dia mengikat jarinya itu tidak letakkan dengan
betul. Selain itu beliau juga pernah menoreh getah dan menanam sayuran, pokok buah-buahan
dan lain-lain lagi kerja kampung.
Bagi saya, Ustaz Dahlan bukan
sahaja sebagai ayah tetapi jauh daripada itu beliau merupakan guru yang mursyid
kepada saya. Pembawakannya yang amat sederhana memberikan aspirasi kepada saya.
Rumahnya, pakaiannya, dan penampilannya amat sederhana. Beliau dapat mengauli
pelbagai peringkat manusia. Beliau dapat bergaul dan berinteraksi dengan baik dengan
pekerja am rendah Matri. Sering juga Ustaz Dahlan bersembang dengannya dan
mengajaknya minum di warung. Sebaliknya, beliau juga boleh bergaul dengan seorang Raja. Pernah beliau
menjemput DYMM Raja Perlis ke majlis perkahwinan anaknya. Beliau juga pernah
menyebutkan kepada saya mahu menjemput Raja Perlis ke Majlis sambutan 25 tahun
Matri. Saya mengatakan kepada kepada beliau banyak protokol. Namun Ustaz Dahlan
mengatakan itu mudah sahaja. Lagipun katanya, beliau kenal dengan Raja Perlis.
Pengurusan masa sangat penting
dalam urusan hidup. Saya dapati dalam beberapa keadaan beliau amat menepati
masa seperti yang ditetapkan. Pernah juga saya mengendalikan beberapa program
terutamanya program yang melibatkan lepasan Matri. Setiap kali kami
menjemputnya, saya dapati beliau akan tiba beberapa minit sebelum masa yang
diperuntukan kepadanya. Malahan, kadang-kadang saya rasa malu pula dengannya
disebabkan rakan-rakan belum memenuhi bilik sedangkan beliau sedang menunggu di
luar. Namun demikian, beliau tidak pernah menyindir para hadirin tentang
kelewatan mereka. Begitu juga, saya tidak pernah mendengar beliau menyindir
para hadirin yang tidur semasa penyampaiannya.
Saya amat tertarik dengan gaya
penyampaiannya yang saya rasakan setiap penyampaiannya berfokus kepada mentauhidkan Allah Taala dalam setiap keadaan. Walaupun
tajuk yang sama, bahan yang sama, namun, apa yang saya rasai penekanannya
berbeza daripada penyampai yang lain. Wallahu Aklam, mengapa saya tidak jemu
mengikuti penyampaiannya walhal kadang-kadang dua tiga kali mendengar tajuk
yang sama. Setiap kali penyampaian umum yang disampaikan olehnya saya dapat
kesani penyampaiannya menepati situasi dan permasalahan para hadirin setempat. Kadang-kadang
ada juga hadirin yang menyatakan; Alhamdulillah selesai masalah, selepas
mendengar ucapannya.
Akhirnya, saya ingin menyatakan di sini harapan beliau
terhadap para lepasan Matri. Pernah satu ketika beliau menyatakan dia berharap
Persatuan Lepasan Matri (PLM) dapat mengadakan muktamarnya di dewan hotel dan
menjemput beberapa individu yang ternama dari luar negara untuk mengisi slot
dalam muktamar. Dalam tahun 2009 pernah juga beliau meluah kepada saya bahawa
bilangan lepasan Matri ketika itu sekitar dua ribu orang mengikut perkiraannya.
Mengikut congakkannya sekiranya setiap lepasan Matri dapat menyumbang RM 10.00
sebulan sudah cukup membantu pengurusan Matri. Itu jika RM10, tapi ada yang lebih
mampu daripada itu katanya. Luahannya itu turut dilontarkan dalam ucapannya di Wacana
PLM, 2009, di Putra Palace, Kangar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan