Memaparkan catatan dengan label BERITA. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BERITA. Papar semua catatan

Selasa, 7 April 2009

Seterika panas dera junior

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

RAUB: Tiga pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong dekat sini, cedera dipercayai didera menggunakan seterika panas oleh sembilan pelajar senior sekolah berkenaan, akhir bulan lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang hari kejadian, mangsa mendakwa dibuli sembilan pelajar tingkatan dua dan tiga berusia antara 14 hingga 15 tahun.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner T Narenasagaran, berkata pemeriksaan di Hospital Raub (HR) mengesahkan terdapat beberapa kesan luka pada badan dan tangan ketiga-tiga mangsa.Selain itu, menurutnya, mangsa mendakwa dipaksa melakukan kerja berat yang tidak sepatutnya dilakukan seperti menyiram pokok bunga di kawasan asrama sekolah berkenaan.


Katanya, polis percaya ada antara pelajar senior terbabit menekap seterika panas ke badan mangsa.

Beliau yang dihubungi semalam, berkata, sembilan pelajar terbabit ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Samsudin Wan Osman, berkata kejadian itu terbongkar apabila seorang daripada mangsa membuat laporan bersama keluarganya di Balai Polis Dong, Khamis lalu berhubung penderaan itu.Katanya, siasatan awal mendapati, kejadian itu dipercayai berpunca akibat pertengkaran antara mangsa dengan pembulinya sebelum membawa kepada pergaduhan.“Sembilan pelajar senior itu dibebaskan dengan jaminan polis Jumaat lalu dan kertas siasatan kes terbabit akan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090407091520/Article/index_html

Rabu, 1 April 2009

Kes jenayah babit pelajar meningkat

Oleh Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my

Jumlah remaja ditangkap turut bertambah

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan lain-lain kesalahan jenayah membabitkan pelajar yang meningkat membimbangkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Selain peningkatan dalam kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya. Musa berkata, sepanjang 2007, 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan, manakala tahun lalu, jumlah kes jenayah meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes dengan 3,725 pelajar ditahan.
"Ini satu perkembangan yang merisaukan dan perlukan tindakan segera bagi mencari jalan penyelesaian kepada perkara ini. Gejala ini boleh dibendung jika pelajar diberikan pendedahan, penerangan jelas mengenai kesan dan akibatnya jika terjerumus dalam kegiatan jenayah," katanya ketika merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-39 Pasukan Kor Kadet Polis di sini, semalam. Perutusan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat. Musa berkata, kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia turut menunjukkan pelajar cenderung untuk terbabit dalam aktiviti kurang sihat seperti mat rempit dan gengsterisme.
"Hasil kajian itu menunjukkan 48.1 peratus mat rempit berpunca akibat kebosanan, 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang dan 27.8 peratus dipengaruhi kawan. Jadi di sinilah peranan penting boleh dimainkan ahli keluarga dan anggota masyarakat untuk mengelakkan golongan ini tidak terus dibiarkan tanpa diberikan panduan yang betul dalam kehidupan mereka. "Masalah gengsterisme yang dilaporkan semakin menular ke peringkat sekolah juga tidak boleh dipandang remeh. "Unsur negatif semakin mudah menyelinap masuk ke sekolah, justeru saya meminta anggota Kor Kadet Polis yang kini sudah mencecah 89,110 ahli ini menjadi mata dan telinga polis," katanya. Beliau berkata, Kor Kadet Polis yang dilantik perlu menyalurkan maklumat agar tindakan segera boleh diambil.

Sumber: Berita Harian 1 April 2009.

Jumaat, 27 Mac 2009

Pilih syaitan

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Nor Adilah Bukhorie
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Awas! Remaja yang gemar bermain permainan komputer perlu berhati-hati apabila memilih permainan, terutama berasaskan muzik rock dan punk berikutan sesetengahnya boleh menjejaskan akidah.Dalam permainan komputer terbaru di pasaran, ia memaparkan grafik seakan-akan kalimah Allah ketika ‘syaitan’ bermain gitar.Permainan komputer yang mensasarkan golongan remaja, terutama mereka yang cetek pengetahuan agama mampu terpesong akidah, sekali gus hanyut dibuai keghairahan mengejar gelaran juara ‘Rocker Terunggul’.Berdasarkan pendedahan ‘kaki’ permainan komputer, Ridzuan, 20, kepada wartawan Harian Metro, ada pemain menyedari ia menghina Islam, tetapi meneruskan permainan itu hingga berjam-jam lamanya.

Mereka semata-mata ingin bergelar juara untuk menjadi gitaris terkemuka barat yang digunakan pihak pengeluar dalam mempromosikan permainan berkenaan.
Ridzuan yang menyukai muzik rock dan punk sejak berusia belasan tahun, menyatakan permainan terbaru itu sedang hangat di kalangan remaja yang gilakan muzik rock dan punk.“Permainan ini pelik kerana mampu menyebabkan saya hilang kawalan kerana terlalu asyik selain merasakan diri seolah-olah berada dalam dunia lain.“Malah, saya sanggup menghabiskan masa sehari suntuk semata-mata untuk menjadi juara. Permainan ini lebih menarik serta mencabar jika bermain dengan rakan dengan masing-masing akan bersaing bagi membuktikan kejuaraan,” katanya ketika ditemui, semalam. Menurutnya, setiap pemain hanya perlu memilih satu karakter syaitan sebelum mengikut nota lagu yang ditetapkan.Pemain yang mengikut nota lagu dengan baik berdasarkan peringkat tertentu akan digelar juara serta dianugerahkan wang bagi membolehkan mereka membeli gitar terbaru yang ditawarkan.Kemuncaknya, juara akan bertanding dengan seorang idola rock Barat. Sekiranya berjaya menewaskannya, mereka akan digelar ‘Rocker Terunggul’. Ridzuan mengakui memang ada grafik seakan-akan kalimah Allah, tetapi dia masih meneruskan permainan itu.Wartawan Harian Metro yang turut mencuba permainan berkenaan mendapati satu daripada karakter memaparkan syaitan bermain gitar dengan tertera grafik seakan-akan kalimah Allah.Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Syariah Malaysia, Zainal Rijal, ketika dihubungi, berkata pengeluar sepatutnya peka terhadap sensitiviti agama sebelum mengeluarkan barangan mereka kerana boleh mengundang kemarahan.“Ini bukan kejadian pertama dan kita perlu menyiasat siapakah dalang di sebaliknya sebelum tindakan keras dikenakan terhadap mereka yang mengeluar atau mengedarkan permainan komputer ini.“Tanpa disedari atau tidak tujuan pihak tertentu sebenarnya untuk menyesatkan golongan remaja Islam dan menghina Islam,” katanya.Beliau berkata, cubaan dilakukan secara halus bagi mengikis jati diri remaja Islam dengan memastikan golongan terbabit lupa diri dan sanggup mengetepikan pegangan agama.Justeru, menurutnya, ibu bapa perlu mengawal anak mereka daripada bermain permainan seperti itu dan membuat aduan kepada pihak berkuasa agama supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan.“Bagi saya permainan ini perlu diharamkan kerana mampu memesongkan akidah,” katanya

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Friday/BeritaUtama/20090327082139/Article

Isnin, 23 Februari 2009

Remaja jatuh motor mati sakit jantung

GEORGETOWN: Seorang remaja yang dalam perjalanan pulang ke rumah bersama seorang rakannya sambil menunggang motosikal secara tiba-tiba rebah dan meninggal dunia di Jalan Van Prangh di sini, tengah malam kelmarin.Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam apabila Mohd Shazwan Abd Razak, 19, seorang penarik kereta dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Flet Lebuh Nordin di sini selepas keluar berjumpa beberapa rakannya.Bapa saudara mangsa, Mohd Ismail Abdul Rahim, 45, berkata dia mendapat tahu kejadian yang menimpa Mohd Shazwan ketika berehat di rumahnya.“Pada mulanya saya menerima beberapa versi cerita mengenai punca kematiannya termasuk dia meninggal dunia ketika menunggang motosikal selain ada juga memberitahu akibat dipukul.
“Saya memang terkejut tetapi apabila tiba di Hospital Pulau Pinang (HPP), doktor memaklumkan punca sebenar kematian Mohd Syazwan disebabkan penyakit jantung yang dihidapi sejak beberapa tahun lalu.
“Saya sendiri tidak tahu Mohd Syazwan menghidap penyakit jantung dan ia mengejutkan seluruh ahli keluarga kerana arwah anak sulung dan juga yatim piatu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, HPP di sini, semalam.Mohd Ismail berkata, keluarganya reda dengan pemergian arwah yang meninggal dunia dalam usia muda dan berharap arwah ditempatkan antara golongan beriman.Jenazah Mohd Shazwan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak, di sini selepas solat Zuhur.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Azam Abdul Hamid mengesahkan kejadian dan berdasarkan bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia akibat sakit jantung.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090223091046/Article/index_html

Khamis, 22 Januari 2009

‘Tak mampu sara ibu bapa’

Oleh Ziauddin Sharuddin
(Sharuddinbhnew@bharian.com.my )

SEREMBAN: Seorang pensyarah universiti yang disaman ibu bapanya kerana tidak memberi nafkah kepada mereka memberitahu Mahkamah Tinggi Syariah, di sini semalam gajinya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan bulanan keluarganya. Raja Suzana Kassim, 39, berkata gaji kasar RM4,400 sebulan tidak mencukupi untuk menampung semua perbelanjaan dan terpaksa ditampung pendapatan suaminya, Zulazli Hashim, 43. Dia turut memberitahu mahkamah mengenai beberapa pinjaman bank, termasuk pinjaman peribadi yang diambilnya, selain gaji diterimanya dibelanjakan untuk makanan, pakaian dan keperluan lain serta membayar insurans pendidikan anak.
Raja Suzana berkata demikian dalam perbicaraan untuk membuat taksiran mengenai kemampuannya membayar nafkah sepanjang hayat kepada ibu dan bapanya. Tahun lalu, Raja Suzana dan suami bersetuju memenuhi tuntutan ibu bapanya, terutama berkaitan nafkah sepanjang hayat dan membenarkan ibu bapanya mendiami rumah di Kampung Jiboi Baru yang sudah dijual kepada orang lain, tetapi disewakan semula dengan sewa dibayar Raja Suzana. Pada April 2007, Raja Suzana dan Zulazli sebagai defendan pertama dan kedua menghadapi tuntutan daripada pesara, Kassim Othman, 72, dan isterinya, Fatimah Salleh, 64, kerana didakwa memungkiri janji dan mengusir mereka dari rumah yang dipindah milik kepada anak dan menantunya.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Kassim menyatakan beliau dianugerahkan sebidang tanah di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, pada Ogos 1971 serta mendirikan sebuah rumah dan membesarkan lapan anak, termasuk defendan pertama. Pada 1993 Raja Suzana serta Zulazli mendirikan rumah tangga dan pada 2002, Kassim memindah pemilikan tanah kepada defendan selepas mereka berjanji, antara lain menanggung nafkah plaintif selagi mereka hidup serta membenarkan kedua-dua plaintif tinggal di rumah itu. Bagaimanapun, defendan memungkiri janji dan mengabaikan kebajikan plaintif. Pernyataan tuntutan turut menyatakan defendan pertama melakukan kekasaran terhadap plaintif kedua menyebabkan dia cedera. Raja Suzana juga didakwa gagal, abai atau cuai untuk memenuhi janji selepas tanah itu dipindah milik dan gagal melaksanakan tanggungjawab menafkahi plaintif iaitu nafkah furu'.
Hakim kemudian menetapkan 24 Februari depan untuk membuat taksiran yang sama terhadap suaminya.

Sumber:http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Nasional/20090121234005/Article/index_html

Jumaat, 9 Januari 2009

Pelajar boleh sertai protes Israel

KUALA LUMPUR: Pelajar universiti di negara ini dibenarkan menyertai perhimpunan aman yang dirancang bagi membantah tindakan kejam Israel terhadap Palestin, manakala pihak universiti pula boleh menganjurkan bantahan seumpama itu. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian tidak mempunyai halangan untuk pelajar dan universiti menyertai bantahan itu, selaras dengan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diluluskan Parlimen bulan lalu.
“Rakyat pelbagai lapisan dapat bersatu melahirkan pendirian kita mengenai keganasan dan saya percaya kita tidak dapat menerima tindakan yang menyebabkan kematian, kerosakan serta kesengsaraan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Kepimpinan Masa Depan Malaysia di Universiti Malaya (UM) di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pelajar IPTA boleh menyertai gerakan besar-besaran bagi menunjukkan bantahan terhadap pencabulan dan keganasan Israel di Semenanjung Gaza yang akan diadakan Pemuda Umno. Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, semalam dilaporkan berkata, gerakan massa secara besar-besaran oleh setiap lapisan masyarakat Malaysia melalui pertubuhan bukan kerajaan itu sudah diambil maklum dan dipersetujui oleh Kabinet.
Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pelajaran ketika bercakap kepada pemberita di Putrajaya, semalam berkata, pihaknya akan menggembleng lima juta pelajar dan lebih 300,000 guru dari sekolah di seluruh negara bagi menyertai gerakan besar-besaran itu. Sementara itu, semua pihak tanpa mengira parti, kaum dan agama, termasuk NGO turut menyatakan sokongan terhadap gerakan itu dan sanggup untuk menyertai gerakan menyuarakan bantahan rakyat terhadap rejim Zionis. Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, ketika dihubungi berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Putera MCA dan MIC dalam waktu terdekat ini bagi mengambil langkah yang perlu untuk menyelaraskan gerakan itu.
Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar berkata, parti itu akan mengetepikan sebarang sentimen politik dan sedia menyertai gerakan iti kerana membabitkan isu berkaitan kemanusiaan sejagat, khususnya kepentingan penduduk Palestin.

Sumber: Berita Harian 9 Januari 2009

Jumaat, 2 Januari 2009

59 terbunuh kelab malam terbakar

BANGKOK: Kemeriahan menyambut tahun baru 2009 bertukar tragedi apabila 59 orang terbunuh dan lebih 100 lagi cedera dalam kebakaran di sebuah kelab malam di ibu negara Thailand, awal pagi semalam. Kebakaran di Santika Pub itu, dikatakan berpunca daripada percikan bunga api dan mercun, tetapi beberapa saksi mendakwa insiden itu akibat litar pintas. Seorang saksi, Oh Benjamas, berkata kira-kira 400 pengunjung yang memenuhi kelab dua tingkat itu diberi bunga api sejurus sebelum tengah malam dan sebaik jam berdetik menandakan permulaan tahun baru 2009, ia dinyalakan disusuli dengan kebakaran besar.
“Kami sedang menari apabila berlaku kebakaran di hadapan pentas dan semua orang berlari ke arah pintu dan memecahkan tingkap,” katanya. Seorang lagi saksi, Tos Maddy, pula berkata beliau mendengar apa yang dianggap letupan elektrik kira-kira 12.20 pagi, diikuti rempuhan pengunjung yang bersesak untuk keluar. “Segala-galanya berlaku terlalu pantas dan api cepat merebak,” katanya dipetik agensi berita Reuters.
Api dikatakan menyambar siling sebelum merebak dan memusnahkan sepenuhnya kelab yang terletak di Ekkamai, iaitu jalan yang popular dengan pengunjung dari luar negara dan masyarakat kelas atasan Thai. Kebanyakan mangsa pula rentung dengan berpuluh mayat dibaluti kain putih terbaring di kaki lima di luar bangunan sebelum dialihkan pasukan penyelamat. Seorang warga Singapura, Teo Sze Siong, adalah antara yang maut tetapi pakar forensik gagal mengenal pasti sekurang-kurangnya 30 mayat. Warga asing yang cedera termasuk dari Jepun, Australia, Belanda dan Perancis.

Sumber: Berita Harian 2 Januari 2009

Rabu, 31 Disember 2008

2 sepupu puasa sunat, solat hajat sejak tingkatan satu

KUALA LUMPUR: Amalan berpuasa dan melakukan solat hajat hampir setiap malam menjadi resipi kejayaan dua sepupu, Arshad Ahamed Syed Anees dan Mohamed Mazlan Mohamad Musadiq, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki yang mendapat keputusan cemerlang 8A dalam peperiksaan PMR.Menurut Arshad, mereka mengamalkan petua itu sejak dari tingkatan satu lagi untuk mendapat keberkatan dalam pelajaran selain fokus apabila berada di dalam kelas.“Saya percaya selain belajar bersungguh-sungguh, kita perlu menyucikan hati dan sentiasa melakukan perkara baik bagi mendapatkan hasil yang diingini,” katanya.Menurutnya, dia tidak pernah ponteng kelas dan sering berbincang bersama rakan bagi memudahkan pemahaman mengenai sesuatu subjek.
Selain itu, mereka menjadikan ibu masing-masing sebagai idola untuk belajar bersungguh-sungguh dan berjaya dalam hidup.
“Ibu kami, Dr Mumtaz Abdul Razak, 45, dan Dr Mariam Abdul Razak, 43, serta sembilan lagi adik-beradik mereka berjaya sebagai doktor. “Kejayaan mereka mendorong kami untuk berusaha lebih gigih lagi bagi menyambung ‘warisan’ keluarga sebagai pakar dalam bidang perubatan,” katanya.

Sumber: Harian Metro 31 Disember 2008.

Jumaat, 28 November 2008

Pelajar tahfiz dapat hadiah haji

Oleh Petah Wazzan Iskandar
wazzan@bharian.com.my

Ibu bapa terharu kesanggupan anak belajar al-Quran, ajak bersama ke Tanah Suci

KELANA JAYA: Kesanggupan dan keinginan seorang remaja menyertai sekolah tahfiz bagi menjadi hafiz tanpa menghiraukan keseronokan bersekolah kebangsaan seperti rakan yang lain, menyebabkan ibu bapanya terharu dan berusaha mengumpul wang bagi menghadiahkan peluang menunaikan haji bersama mereka. Rogayah Abd Razak, 45, berkata keikhlasan anaknya, Mufid Munib Muhammad Khadri, 16, dari Darul Furqan di Kampung Padang Balang, Gombak, ingin menjadi pelajar tahfiz bagi menghafaz 30 juzuk al-Quran membuatkan beliau dan suami berusaha mengumpul wang bagi menampung perbelanjaannya ke Tanah Suci tanpa menghiraukan penat lelah.
Katanya, beliau dan suami sememangnya amat berharap sekurang-kurangnya ada seorang dalam keluarga menjadi Hafiz dan bersyukur apabila Munib menyambut hasrat itu. "Selepas Munib tamat sekolah rendah empat tahun lalu, beliau masuk sekolah tahfiz dan nampak sikapnya lebih rajin dan berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal penat lelah. "Kami yang berniaga kedai makan, bekerja bersungguh-sungguh bagi mengumpul wang untuk menunaikan haji dan selepas bersepakat membawanya bersama sebagai hadiah dan diharap dapat meningkatkan semangatnya menjadi seorang hafiz," katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.
Rogayah berkata, walaupun Munib masih muda, beliau membuatkan mereka sekeluarga berbangga kerana menjadi Imam solat Tarawih di Surau Taman Samudera pada bulan Ramadan lalu. "Ibu bapa mana yang tidak gembira apabila melihat anaknya menjadi seorang yang berguna," katanya sambil disaksikan suaminya, Muhammad Khadri Ahmad, 52 yang berasal dari Gombak. Sementara itu, Munib, anak bongsu daripada empat beradik berkata, beliau tidak menyangka diberikan hadiah tidak ternilai serta tidak mampu dibalas dengan wang itu dan terharu kerana ia adalah daripada ibu bapanya.



Sumber: Berita Harian 28 November 2008

Khamis, 27 November 2008

‘Saya sudah maafkan dia’

KUALA LUMPUR 26 Nov. – “Saya sudah maafkan dia sejak kejadian itu. Sebagai seorang ibu, saya tahu dia tidak sengaja,” demikian kata Norida Abd. Rahman, 45, yang cedera di dada selepas terkena tembakan anaknya semalam.
Jururawat Pusat Perubatan Sentosa, Jalan Pahang itu berkata, sebagai ibu, dia sanggup memaafkan walau sebesar mana kesilapan yang dilakukan oleh anaknya itu.
“Saya harap insiden ini menjadi pengajaran kepada semua pihak,” ujarnya sebak ketika ditemui di wad pesakit luar Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.
Suaminya, anggota Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak turut berada di sisi Norida.
Dalam kejadian semalam, wanita itu cedera akibat terkena tembakan pistol yang dilepaskan oleh anaknya, seorang pelajar berusia 15 tahun ketika bertengkar dengan bapanya dalam satu kejadian di Taman Desa Mas dekat Country Homes.
Suspek yang melarikan diri bagaimanapun ditahan bersama seorang rakannya semasa menaiki motosikal di Kuala Selangor setelah hebahan mengenai kejadian itu dibuat.
Pistol milik bapanya berjaya ditemui semula di sebuah rumah tumpangan di sekitar Kuala Selangor.
Menceritakan detik-detik cemas semasa kejadian, anggota polis yang enggan dikenali itu berkata, berlaku perselisihan faham antara mereka di rumah setelah beliau menemui anaknya di kafe siber petang semalam.
Untuk meredakan keadaan, katanya, beliau kemudian keluar untuk mengalihkan kereta di hadapan rumah atas nasihat Norida.
Bagaimanapun tanpa disangka tambahnya, anaknya naik ke tingkat atas dan mengambil pistol jenis Glock miliknya dari dalam laci.
“Sambil marah-marah dia menghala pistol ke arah saya lalu terlepas tembakan. Ketika itu Norida cuba melindungi saya dan mengenai belakangnya,” jelasnya.
Norida menambah, sebaik sahaja terkena peluru, dia hanya mampu menyebut nama ‘Allah’ beberapa kali sementara anaknya menjerit meminta pertolongan daripada jiran.
Dalam keadaan panik itu, menurutnya, anaknya sendiri mengangkatnya ke dalam kereta jiran untuk dibawa ke hospital sambil meminta maaf berkali-kali.
“Saya minta dia serahkan pistol berkenaan tetapi dia enggan sebaliknya melarikan diri dengan motosikal,” ujarnya.
Menurut Norida, anaknya itu seorang yang panas baran dan selalu bertengkar dengan bapanya terutama apabila kebebasannya disekat.
“Kami pernah membawanya ke sesi kaunseling tetapi gagal kerana dia enggan memberi kerjasama," ujarnya yang mempunyai empat anak berusia antara tiga dan 15 tahun.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.
“Kes telah selesai siasat kes itu dalam tempoh masa kira-kira empat jam dan suspek direman selama enam hari di Kuala Selangor,” katanya.
Mengenai kemungkinan tindakan disiplin dikenakan terhadap anggota polis itu akibat cuai menjaga senjata, jelasnya, perkara tersebut akan diserahkan kepada Lembaga Tatatertib.

Sumber: Utusan Melayu 27 November 2008

Jumaat, 14 November 2008

Amaran polis jika pertikai haramkan pengkid

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberi amaran kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bukan Islam tertentu agar tidak mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah mengharamkan pengkid. Beliau berkata, tindakan NGO yang mempertikaikan keputusan tersebut boleh menjejaskan keselamatan negara dan dikhuatiri mendapat tindak balas di kalangan orang Islam. “Saya memberi amaran dan akan mengambil tindakan tegas kerana ini membabitkan soal keselamatan negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama sempena ‘Seminar Isu-Isu Mahkamah Syariah ke-10: Ke Arah Memperkasa Pentadbiran Keadilan Jenayah Di Mahkamah Syariah Malaysia’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, dekat sini, semalam. Beliau berkata, tindakan NGO bukan Islam yang melakukan demonstrasi berhubung pengharaman pengkid di ibu negara baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh menimbulkan pergaduhan. “Ini menunjukkan mereka tidak menghormati agama orang lain, kerana fatwa itu dikeluarkan untuk orang Islam, kenapa mereka harus membuat demo dan tidak berpuas hati,” katanya. Musa berkata, beliau memandang serius perkara tersebut dan akan terus memantaunya bagi memastikan tiada pihak lain yang campur tangan. “Agama Islam ada cara untuk letakkan peraturan dari segi undang-undang Islam, jadi tiada sesiapa yang boleh campur tangan. Tapi masyarakat Islam haruslah menerangkan perkara tersebut agar pihak lain faham mengenainya,” katanya. Beliau berkata, polis sentiasa memerlukan kerjasama Jabatan Agama Islam dan jabatan-jabatan lain untuk mendapatkan maklumat terutama berhubung isu yang boleh menggugat keselamatan negara dan agama Islam. Baru-baru ini, NGO bukan Islam, Katagender dan Food-not-Bombs mengadakan demonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan fatwa mengharamkan perlakuan “pengkid’ atau wanita yang menyamai lelaki. - BERNAMA



Sumber: Sinar Harian 14 November 2008

Selasa, 28 Oktober 2008

4 dicekup

KUALA LUMPUR: Cubaan nekad empat Mat Rempit junior bergelut dengan sepasukan polis untuk meloloskan diri tidak berhasil apabila mereka ditahan dalam operasi cegah lumba haram di Tasik Titiwangsa, di sini, petang kelmarin.Difahamkan, semua remaja berusia 17 tahun terbabit sebelum itu dilihat melakukan pelbagai aksi bahaya terutama mengangkat tayar depan atau ‘wheelie’ di sekitar Jalan Tun Abdul Rahman di sini.Selepas puas beraksi, remaja yang menunggang dua motosikal jenis Honda EX5 bergerak ke kawasan tasik berkenaan dipercayai untuk berehat. Menyedari kegiatan diintip, mereka mula panik dan mahu melarikan diri namun tindakan pantas polis memberkas keempat-empat remaja berkenaan termasuk dua pelajar sekolah yang membonceng motosikal terbabit.

Sumber: Harian Metro 28 Oktober 2008.

Jumaat, 24 Oktober 2008

Majlis Fatwa haramkan perlakuan 'pengkid'

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my

KOTA BHARU: Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan perlakuan 'pengkid' atau wanita yang menampilkan diri menyamai lelaki, sama ada dari segi pergaulan, tingkah laku atau berpakaian, haram dan dilarang sama sekali.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata pengharaman itu dibuat berdasarkan perkembangan terkini di kalangan remaja perempuan yang cenderung mengamalkan cara hidup lelaki.

Beliau berkata, fenomena pengkid kini menjadi isu serius di kalangan anak gadis di negara ini dan ia perlu ditangani segera supaya tidak berkembang hingga sukar diatasi pada masa depan.

"Majlis Fatwa mendapati isu pengkid kini semakin ketara. Remaja perempuan kini lebih gemar dengan cara hidup lelaki dari segi pergaulan, perbuatan dan berpakaian, yang bukan saja bertentangan dengan fitrah asal manusia, tetapi cuba menafikan hak kewanitaan.

"Lebih membimbangkan, pengkid kini sudah melarat kepada perkara berkaitan seksual dengan meminati sama sejenis," katanya pada sidang media selepas berakhirnya muzakarah dua hari Majlis Fatwa Kebangsaan di sini. Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Sehubungan itu, Dr Abdul Shukor meminta ibu bapa, keluarga dan masyarakat menasihatkan golongan terbabit supaya tidak melakukan perkara menyalahi ajaran Islam.

Sumber: Berita Harian 24 Oktober 2008

Khamis, 23 Oktober 2008

Peluang kerjaya 60,000 graduan

Oleh ROSMALINA A. KADIR
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Senario pengangguran yang tinggi dalam negara bakal berubah dengan wujudnya program latihan pusat perhubungan yang menjanjikan banyak peluang pekerjaan kepada para graduan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, industri itu khususnya yang mengkhusus kepada pengendalian pusat-pusat perhubungan dijangka menyediakan sebanyak 60,000 peluang pekerjaan mulai sekarang hingga 2012.
Untuk itu, kementerian berkenaan dengan kerjasama sebuah syarikat latihan kemahiran, My-Partners Sdn. Bhd. menawarkan skim latihan dengan jaminan pekerjaan dalam syarikat pusat perhubungan bergaji minimum RM2,000 sebulan.

Sumber: Kosmo 23 Okteber 20008

Rabu, 22 Oktober 2008

Pelajar kutip tangan putus

KOTA BHARU: Seorang ibu terkejut melihat anaknya berlumuran darah, manakala pergelangan tangannya berada dalam raga motosikal selepas terputus akibat ditetak di Kampung Wakaf Mek Zainab di sini, tengah malam semalam.Tuan Mariam Raja Ahmad, 56, berkata dia sedang bersiap untuk tidur sebelum terdengar suara anaknya, Ahmad Mustakim Ariff Jusoh @ Alwi, 17, menjerit meminta tolong. Dia bergegas keluar dan mendapati anak ketujuh daripada sembilan beradik itu parah.Menurutnya, dia membawa Mustakim ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, untuk pembedahan menyambungkan semula pergelangan tangannya dan berjaya dilakukan kira-kira jam 3 pagi.
Dalam kejadian itu, Mustakim yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November ini, juga hampir putus lengan kanan selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki dikenalinya.
Tuan Mariam berkata, sebelum kejadian, anaknya keluar bersendirian menunggang motosikal membeli burger di gerai tidak jauh dari rumahnya dan pada masa sama dua lelaki turut menunggang motosikal mengekorinya.Menurutnya, secara tiba-tiba seorang daripada lelaki itu melibas parang ke arah Mustakim.“Dalam keadaan berlumuran darah Ahmad Mustakim sempat mengutip pergelangan tangannya yang putus dan meletakkannya dalam raga motosikal lalu menunggang sejauh 100 meter pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di HUSM. Abang mangsa, Armi, 33, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini, kira-kira jam 4.30 pagi semalam.Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Sumber: Harian Metro 22 Oktober 2008

Selasa, 21 Oktober 2008

2 remaja curi motosikal ditahan

JITRA: Polis menahan dua remaja lelaki berusia 15 tahun, seorang daripadanya calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana disyaki dalam kegiatan mencuri dan menjual bahagian motosikal curi di sekitar pekan ini. Remaja terbabit ditahan di rumah masing-masing pada Khamis dan Jumaat lalu. Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohamad Yusoff, berkata kedua-dua remaja terbabit dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan itu sejak tiga bulan lalu.
Beliau berkata, suspek pertama yang tidak bersekolah ditahan di rumahnya di Kampung Padang Saujana, Kepala Batas kira-kira jam 2 pagi, Khamis lalu. Penahanannya membawa kepada penemuan satu rangka motosikal dan komponen motosikal curi yang sudah dileraikan di belakang rumah remaja berkenaan. “Suspek kemudian membawa polis ke tali air di Kampung Alor kira-kira lima kilometer dari rumahnya dan menjumpai satu lagi rangka motosikal yang dibuang di situ," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Hasil siasatan, polis kemudian menahan seorang lagi suspek yang juga pelajar di rumahnya di sekitar Kepala Batas dekat sini, kira-kira jam 5 petang, Jumaat lalu, iaitu hari sama dia selesai menduduki peperiksaan PMR. Kedua-dua suspek kemudian membawa polis ke kawasan tapak pasar malam Kepala Batas dan menemui enjin dan pelbagai komponen motosikal dicuri. Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan itu. Difahamkan, selain mencuri motosikal, remaja terbabit mereka juga dipercayai terbabit dalam penagihan dadah. Pada masa sama, katanya, polis mencari dua remaja lain iaitu Shahrul Rizal, 17, dari Kampung Hilir, Kepala Batas, dan Farizan Zulkifli, 15, dari Kampung Tepi Alor, Kepala Batas, yang dipercayai boleh membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati mereka tidak terbabit dengan mana-mana sindiket, tetapi menjalankan kegiatan itu untuk mencari wang tambahan," katanya. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Sumber: Berita Harian 21 Oktober 2008

Isnin, 20 Oktober 2008

Buat duit klip video 'panas'

KUALA TERENGGANU - Klip video 'aksi panas' pelajar sekolah rupa-rupanya memberi keuntungan kepada sesetengah pihak yang bertindak menjualnya kepada orang ramai.
Beberapa rakaman yang dibuat oleh pelajar kini dipercayai dijadikan koleksi untuk dimuat turun ke telefon bimbit dengan caj berjumlah RM20.
Peniaga aksi seks secara maya ini juga jadikan golongan pendidik sebagai sasaran mereka yang sememangnya begitu sensitif terhadap aspek-aspek moral melibatkan para pelajar.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, pihaknya bimbang dengan trend pengedaran klip video berkenaan.
Menurutnya, berlaku kegelisahan di kalangan guru dalam usaha mendisiplin pelajar terutama yang kian berani membawa bahan terlarang seperti telefon bimbit ke sekolah.
"Bahan lucah itu seolah-olah beredar dengan begitu mudah tapi berlaku secara senyap-senyap serta sukar ditangani oleh guru.
"Sekarang, guru macam perlu jadi penyiasat. Masa mereka banyak dihabiskan untuk menjejak pelajar nakal pada hal sepatutnya mereka beri tumpuan pencapaian akademik.
"Guru betul-betul dalam dilema, bertegas sikit, mereka kena marah oleh pelajar dan ibu bapa. Tak bertegas, pelajar jadi terlalu nakal," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambahnya, jika terdapat pelajar dalam kelas itu terlibat dengan klip berkenaan, guru dan pelajar berasa terganggu dan tidak selesa.
Menurut seorang guru, Azman Jusoh, beliau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) memujuknya memuat turun sembilan klip video pelajar sekolah kira-kira seminggu lalu.
"SMS tu dihantar secara tiba-tiba ke telefon bimbit saya. Saya percaya klip-klip video tersebut sama seperti yang didedahkan Kosmo! sebab kesemuanya melibatkan aksi budak sekolah.

SUMBER: KOSMO 20 Oktober 2008