KOTA BHARU: Seorang ibu terkejut melihat anaknya berlumuran darah, manakala pergelangan tangannya berada dalam raga motosikal selepas terputus akibat ditetak di Kampung Wakaf Mek Zainab di sini, tengah malam semalam.Tuan Mariam Raja Ahmad, 56, berkata dia sedang bersiap untuk tidur sebelum terdengar suara anaknya, Ahmad Mustakim Ariff Jusoh @ Alwi, 17, menjerit meminta tolong. Dia bergegas keluar dan mendapati anak ketujuh daripada sembilan beradik itu parah.Menurutnya, dia membawa Mustakim ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, untuk pembedahan menyambungkan semula pergelangan tangannya dan berjaya dilakukan kira-kira jam 3 pagi.
Dalam kejadian itu, Mustakim yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November ini, juga hampir putus lengan kanan selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki dikenalinya.
Tuan Mariam berkata, sebelum kejadian, anaknya keluar bersendirian menunggang motosikal membeli burger di gerai tidak jauh dari rumahnya dan pada masa sama dua lelaki turut menunggang motosikal mengekorinya.Menurutnya, secara tiba-tiba seorang daripada lelaki itu melibas parang ke arah Mustakim.“Dalam keadaan berlumuran darah Ahmad Mustakim sempat mengutip pergelangan tangannya yang putus dan meletakkannya dalam raga motosikal lalu menunggang sejauh 100 meter pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di HUSM. Abang mangsa, Armi, 33, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini, kira-kira jam 4.30 pagi semalam.Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Sumber: Harian Metro 22 Oktober 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan