Jumaat, 2 Januari 2009

59 terbunuh kelab malam terbakar

BANGKOK: Kemeriahan menyambut tahun baru 2009 bertukar tragedi apabila 59 orang terbunuh dan lebih 100 lagi cedera dalam kebakaran di sebuah kelab malam di ibu negara Thailand, awal pagi semalam. Kebakaran di Santika Pub itu, dikatakan berpunca daripada percikan bunga api dan mercun, tetapi beberapa saksi mendakwa insiden itu akibat litar pintas. Seorang saksi, Oh Benjamas, berkata kira-kira 400 pengunjung yang memenuhi kelab dua tingkat itu diberi bunga api sejurus sebelum tengah malam dan sebaik jam berdetik menandakan permulaan tahun baru 2009, ia dinyalakan disusuli dengan kebakaran besar.
“Kami sedang menari apabila berlaku kebakaran di hadapan pentas dan semua orang berlari ke arah pintu dan memecahkan tingkap,” katanya. Seorang lagi saksi, Tos Maddy, pula berkata beliau mendengar apa yang dianggap letupan elektrik kira-kira 12.20 pagi, diikuti rempuhan pengunjung yang bersesak untuk keluar. “Segala-galanya berlaku terlalu pantas dan api cepat merebak,” katanya dipetik agensi berita Reuters.
Api dikatakan menyambar siling sebelum merebak dan memusnahkan sepenuhnya kelab yang terletak di Ekkamai, iaitu jalan yang popular dengan pengunjung dari luar negara dan masyarakat kelas atasan Thai. Kebanyakan mangsa pula rentung dengan berpuluh mayat dibaluti kain putih terbaring di kaki lima di luar bangunan sebelum dialihkan pasukan penyelamat. Seorang warga Singapura, Teo Sze Siong, adalah antara yang maut tetapi pakar forensik gagal mengenal pasti sekurang-kurangnya 30 mayat. Warga asing yang cedera termasuk dari Jepun, Australia, Belanda dan Perancis.

Sumber: Berita Harian 2 Januari 2009

Tiada ulasan: