JITRA: Polis menahan dua remaja lelaki berusia 15 tahun, seorang daripadanya calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana disyaki dalam kegiatan mencuri dan menjual bahagian motosikal curi di sekitar pekan ini. Remaja terbabit ditahan di rumah masing-masing pada Khamis dan Jumaat lalu. Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohamad Yusoff, berkata kedua-dua remaja terbabit dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan itu sejak tiga bulan lalu.
Beliau berkata, suspek pertama yang tidak bersekolah ditahan di rumahnya di Kampung Padang Saujana, Kepala Batas kira-kira jam 2 pagi, Khamis lalu. Penahanannya membawa kepada penemuan satu rangka motosikal dan komponen motosikal curi yang sudah dileraikan di belakang rumah remaja berkenaan. “Suspek kemudian membawa polis ke tali air di Kampung Alor kira-kira lima kilometer dari rumahnya dan menjumpai satu lagi rangka motosikal yang dibuang di situ," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Hasil siasatan, polis kemudian menahan seorang lagi suspek yang juga pelajar di rumahnya di sekitar Kepala Batas dekat sini, kira-kira jam 5 petang, Jumaat lalu, iaitu hari sama dia selesai menduduki peperiksaan PMR. Kedua-dua suspek kemudian membawa polis ke kawasan tapak pasar malam Kepala Batas dan menemui enjin dan pelbagai komponen motosikal dicuri. Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan itu. Difahamkan, selain mencuri motosikal, remaja terbabit mereka juga dipercayai terbabit dalam penagihan dadah. Pada masa sama, katanya, polis mencari dua remaja lain iaitu Shahrul Rizal, 17, dari Kampung Hilir, Kepala Batas, dan Farizan Zulkifli, 15, dari Kampung Tepi Alor, Kepala Batas, yang dipercayai boleh membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati mereka tidak terbabit dengan mana-mana sindiket, tetapi menjalankan kegiatan itu untuk mencari wang tambahan," katanya. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
Sumber: Berita Harian 21 Oktober 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan