Jumaat, 10 Disember 2010

TITIPAN TARBIAH

Selepas Matri dibuka, ijtimak yang sebelum ini diadakan disurau Tanjong Gorah dipindahkan ke surau Matri. Antara lain tujuannya, bagi memudahkan pelajar Matri turut serta dalam penyampaian ijtimak. Setiap pelajar Matri dikehendaki hadir ke ijtimak tersebut. Ijtimak tersebut kekal hari jumaat petang sehinggalah hari jumaat diisytihar sebagai hari bekerja dan hari persekolahan negeri Perlis. Selepas itu ijtimak tersebut di tukar pula ke hari sabtu. Antara penekanan Almarhum Ustaz Dahlan setiap kali muqaddimah penyampaian ijtimaknya, kembali kepada kefahaman Islam yang sebenar sepertimana yang dijelaskan oleh ulamak muktabar, iaitu mereka yang jelas kehidupan mereka untuk Islam. Antara kitab yang dikupaskan oleh almarhum semasa penyampaian ijtimaknya ialah fi Dzilalil Quran, karangan as-syahid Syed Qutb dan Shakhsiah Muslim, karangan Ali Hashimi.

Setiap jumaat petang surau Matri akan dibanjiri ahli-ahli masyarakat yang jauh dan dekat bagi mengikuti ijtimak tersebut. Ada juga yang datang daripada Jitra, Alor Setar dan lain-lain tempat. Surau yang besar agam tadi semakin sempit untuk memuatkan para hadirin. Saf solah asar hari tersebut sampai ke belakang surau bahagian lelaki. Pernah suatu hari hadir seorang lelaki; besar ragam badannya, mukanya bukan melayu, turut serta dalam ijtimak . Saya pernah melihatnya beberapa kali di Kedah sebelum saya masuk Matri. Kata orang, dia orang Afghan, datang ke sini kerana negaranya bergolak dalam kancah peperangan dengan Soviet Union. Dia datang lebih awal, melihat sekitar bangunan Matri sebelum naik ke atas surau, tempat ijtimak. Dia berada di hadapan sekali, hampir dengan tempat almarhum membuat penyampaian. Seusai penyampaian, lelaki itu meminta kebenaran untuk menyampai sedikit ucapan. Dengan senang hati almarhum menyerahkan pembesar suara kepada beliau. Antara lain kandungan ucapan beliau yang saya masih ingat ialah beliau melahirkan kekagumannya, kerana dalam ramai yang hadir ijtimak itu tiada seorangpun yang merokok. Dia juga menyentuh tentang jilbab dengan gaya yang melucukan. Beliau mengatakan makanan kita tutup dengan tudung (tudung saji), botol juga ada tudung, tong sampah juga ada tudung (penutup), ular juga ada tudung (tedung). Apa pasal banyak orang perempuan susah mahu pakai tudung? Selepas ucapan, beliaupun memaklumkan dia mahu menjual minyak atar. Suara tawa bersipongang di ruang surau agam itu.

Selepas solah asar Lelaki Afghan itu membuka kain di lobi Matri. Di situ dia meletakkan pelbagai jenis atar yang harum baunya. Saya pergi juga ke situ untuk mengambil bau sahaja. Ada beberapa orang yang mencuba harumannya dan membeli. Selang beberapa ketika datang almarhum ustaz Dahlan mencubanya. Saya memerhatikannya dengan penuh hormat. Tiba-tiba beliau menyuruh saya mengambil satu botol yang mana yang saya suka. Saya agak terkejut dengan pelawaannya itu. Saya rasa amat keberatan untuk menerima pelawaan almarhum. Di hati kecil memang mahu tetapi ada rasa malu. Tambahan pula latihan daripada kedua ibubapa sejak kecil jangan meminta-minta. Lantas saya terus menolak pelawaan ustaz tersebut. Lagipun saya rasa bersalah pula nak terima pemberian daripada tok guru. Saya fikir sepatutnya sayalah yang hadiahkan kepadanya. Almarhum menyuruh saya mengambilnya beberapa kali, malu-malu saya menolaknya. Saya fikir juga kalau beliau sendiri yang ambilkan botol atar itu dan hulurkan kepada saya, ahh, pasti saya akan mengambilnya.

Setelah sekian bulan berlalu, saya terbaca hadis nabi S.A.W daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh Muslim, Nasa'i dan Abu Daud tentang bau-bauan semasa, maksudnya, ''Siapa yang diberikan wangian janganlah menolak, kerana ia mudah dibawa dan semerbak harumnya''. Ingatan saya segera mendarat di lapangan peristiwa pemberian atar oleh almarhum. Masya Allah, di saat itu saya perasan sebenarnya almarhum mahu melihat sejauh mana kefahaman dan fikrah saya. Daripada pemerhatiannya itu, nanti beliau tentunya akan taburkan sentuhan-sentuhan tarbawi dari mulutnya dan juga tingkahlakunya secara disedari ataupun tidak. Tentunya sentuhan-sentuhan mursyid yang amat berhikmah itu merupakan sentuhan nurani yang akan menyinari jiwa saya dengan kesedaran Tarbiah Islamiah lebih-lebih lagi ketika kesedaran Islam saya baru di fajar menyingsing.


Sebahagian kenderaan hadirin ijtimak

Selasa, 30 November 2010

BERBAHASA ARAB

Antara perkara awal yang diminta oleh Almarhum ustaz Dahlan selaku mudir Matri kepada kami, setelah bermulanya sesi pembelajaran supaya berurusan dalam bahasa Arab sesama kami. Saya sendiri amat lemah dalam bahasa Arab sama ada bertutur, menulis atau memahami bahasanya. Begitu jugalah dalam kalangan rakan saya yang lain. Cuma ada seorang sahaja yang mampu menguasai bahasa Arab dengan amat baik. Pengajaran yang disampaikan dalam kelas juga dalam bahasa Arab sepenuhnya kecuali bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sahaja. Lebih banyak yang saya tak faham daripada yang saya faham. Hasrat almarhum itu sebenarnya selari dengan matlamat penubuhan Matri yang kedua; Memberi pelajaran/Pengetahuan bahasa Arab hingga ke peringkat membolehkan pelajar-pelajarnya memahami kandungan Al-Quran Al-Karim, Sunnah Nabawiyah dan kitab-kitab ilmu yang berbahasa Arab.

Iklan pertama tawaran permohononan kemasukan Matri

Almarhum ustaz Dahlan tidak putus-putus memotivasikan kami supaya menggunakan bahasa Arab dalam semua urusan sesama kami sama ada di dalam atau luar Matri. Pelbagai nasihat dan kata-kata semangat terus-menerus menghujani kami dari mulut Murabbi Besar itu. Ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi, kata-kata imam dan para ulama tentang pentingnya bahasa Arab dalam kehidupan umat Islam dan peri penting bahasa Arab yang Fusha antara peluru yang digunakannya sebagai nasihat dan motivasi. Rasulullah bersabda atau seperti mana yang disabdakan dari mulutnya yang bermaksud, “cintailah bahasa Arab kerana tiga perkara; kerana aku berbahasa Arab, kerana Al-Quran bahasa Arab dan kerana percakapan ahli syurga bahasa Arab”. Itu antara hadis yang pernah dibacakan kepada kami. Almarhum juga pernah berhujah mempelajari bahasa Arab itu termasuk juga fardhu Ain.

Sehinggakan Almarhum meminta sekiranya sesuatu perkataan yang kami tidak tahu, gunakan perkataan Melayu sahaja untuk sementara, tapi bunyikan ala Arab dengan menambahkan tanwin (tanda baris bacaan dalam tulisan arab) di belakang perkataan tersebut atau tambah alif dam lam pada awal perkataan tersebut. Jika kami terserempak dengan almarhum dia pasti akan bertanyakan sesuatu dalam bahasa Arab kepada kami. Jika soalan diajukan kepada saya, berjerih saya menjawabnya. Namun demikian kadang-kadang sengaja saya mendekatinya supaya almarhum tanyakan sesuatu dalam bahasa Arab kepada saya. Saya dan kawan-kawan juga saling memberikan semangat antara satu sama lain walaupun dalam senda gurau. Kami terus mencuba dan mencuba, berusaha dan terus berusaha dengan sedaya upaya. Kadang-kadang terpaksa kami pinjamkan bahasa Melayu yang ditanwinkan atau diletakkan alif Lam seperti yang dicadangkan oleh almarhum. Pelbagai kelucuan berlaku antara kami.

Pernah pada suatu hari, gotong royong mingguan di Matri, di kawasan yang saya bertugas memerlukan cangkul. Saya terus bergegas mencari cangkul di mana-mana kawasan yang saya fikirkan boleh dapatkan cangkul. Saya ke setor bawah tangga surau. Ketika saya berlari anak ke arah setor, rupanya almarhum dari bilik lobi sedang menuju keluar dan saya sempat mengerling kepadanya. Semasa saya berdiri di hadapan setor, mata saya melilau mencari cangkul, almarhum sudah berada di hadapan pintu utama lobi, tidak jauh dari saya, memerhatikan gelagat saya.
“Ya Yazid! Madza tabhath?” Saya terdengar suara almarhum mengajukan kepada saya. Berjerih perih saya selongkar perkataan cangkul dalam kotak memori saya, ternyata perbendaharaan itu tidak ada. Ingatan saya segera tergambar nasihatnya di kelas. Mulut saya segera menutur, “abhathu shangkulun, ya ustadzh, sahabat yurid”.
Almarhum mengukirkan senyuman kepada saya seraya berkata, “ohhh! Mijrafatun!”
“Madza ya Ustadz”, saya juga hampir tergelak sambil membalas ucapan untuk mendapatkan kepastian.
“Mijrafatun, mim… jim… ra… fa… tha marbhuthoh…, mijrafatun”, balas almarhum.

Kesungguhan almarhum Ustadz Dahlan mewujud Biah al arabiah (suasana berbahasa Arab) ternyata amat berkesan kepada jiwa saya . Tidak berapa bulan berada di Matri, alhamdulillah saya semakin mampu bertutur dalam bahasa Arab. Semakin hari semakin baik. Saya dan rakan-rakan serta guru-guru sudah mampu berdialog dalam bahasa Arab dalam kebanyakan suasana. Biah itu juga turut memberi kesan kepada mereka yang salalu datang berkunjung ke Matri. Begitu juga kumpulan kedua dan ketiga Matri yang saya sempat bersama mereka.

Pernah pada tahun kedua penubuhan, Matri dilawati oleh seorang wakil dari Universiti Islam Madinah bernama as Syeikh Abdullah. Satu bertemuan dan dialog bersamanya diadakan. Alhamdulillah kami berpuas hati kerana mampu memahami dan mampu berbual bicara dengannya dalam bahasa Arab. Walaupun ada beberapa perkataan yang tidak faham tetapi yang pentingnya mesej yang mahu disampaikannya rasanya kami faham. Pada tahun berikutnya Matri mengadakan lawatan ke Kuala Lumpur. Lawatan kali ini melibatkan tiga kumpulan pelajar yang berlainan tahun kemasukan. Antara tempat yang kami lawati ialah Mustasyar Alam Islami, di Jalan U Thant. Di sana kami bertemu dengan as Syeikh Abdul Rahman al Gannam sebagai pengarahnya. Suasana itu semua suasana berbahasa Arab. Kami sempat bersamanya mendengar ucapan aluan serta kami juga sempat berbual dengannya. Saya lihat As-Syeikh sentiasa terukir senyuman sepanjang kami berada di Mustasyar Alam Islami. Saya harap dia berpuas hati dengan kami.

As-syeikh Abdul Rahman beramah mesra dengan almarhum ustaz Dahlan dan rombongan Matri


Setelah tamat belajar di Matri semangat saya untuk belajar di Timur Tengah berkobar-kobar. Saya amat mengharapkan dengan melanjutkan pelajaran di timur tengah tentunya dapat memantapkan lagi tahap penguasaan bahasa Arab saya. Doa saya dapat sambung belajar di tempat-tempat belajar secara percuma atau dibiayai oleh mana-mana institusi lantaran ketidakcukupan perbelanjaan. Saya pernah pergi ke kedutaan Libya dan Mesir. Asal sahaja saya dengar ada temuduga di negara Arab saya akan usahakan untuk hadirkan diri. Beberapa orang rakan seperjuangan saya yang lain, dengan belanja sendiri mereka merantau ke Negara Arab mencari tempat belajar. Muhammad Rahalim ke Syria, Shaari dan Muhammad Zaki ke Sudan. Akhirnya semua mereka itu berjaya menamatkan pembelajaran mereka masing-masing di universiti di Jordan dan al Azhar, Mesir.

Biah al Arabiah yang diwujudkan di Matri benar-benar memberikan kesan yang mendalam kepada jiwa saya bukan sahaja di Matri, malah setelah saya keluar Matri pun, bahkan sehingga ke hari ini. Selepas saya tamat belajar di Matri saya pernah diminta oleh beberapa orang yang tinggal di perkampungan Tunjung supaya mengajar mereka bahasa Arab. Saya sedar saya baru setahun jagung dalam bahasa Arab, pengusaannya juga tidak sepenuhnya, tetapi atas dasar semangat berbahasa Arab saya mencuba untuk bersama mereka yang sudah berpangkat bapa kepada saya itu. Begitu juga saya pernah diminta oleh Hj. Abdul Samad (sekarang Imam masjid Kampung Darat) untuk mengisi slot bahasa Arab dalam kumpulan usrahnya (kumpulan diskusi). Kelas-kelas tersebut terhenti apabila saya ditawarkan mengajar di Sekolah Rendah Ibn Khaldun, Taman Jasa, Sungai Tua, Batu Caves, Selangor. Antara subjek yang diberikan kepada saya di sekolah-sekolah sepanjang tempoh pekhidmatan sebagai guru juga bahasa Arab untuk peringkat rendah. Masya Allah, saya amat bersyukur atas anugerah ilahi ini. Berkat doa dan kesungguhan almarhum walaupun saya belum berkesempatan untuk bermustautin di negara Arab, namun setakat ini alhamdulillah mampu berbahasa Arab walaupun tentunya banyak lagi kelemahannya. Cita-cita saya untuk menjejaki bumi anbiya tidak berkubur lagi. Saya berharap dalam hidup saya dapat juga menjejakinya dan dapat berbicara dengan mereka dengan bahasa ibunda mereka serta memahami budaya bahasa mereka.

Ahad, 21 November 2010

PENGORBANAN MURABBI

Alhamdulillah, syukur kini saya sudah menjadi warga Matri pada 7 Zulhijjah 1407 bersamaan 2 Ogos 1987. Di situ saya dipertemukan dengan rakan dari pelbagai negeri. Ada juga dari luar negara; mereka itu tidak boleh berbahasa Melayu. Bilangan kami yang kekal di Matri akhirnya 8 putera dan 9 orang puteri iaitu:-
1. Harun bin Ja’afar (Thailand)
2. Rahmat bin Syukur (Johor)
3. Qari bin Yahya (Thailand)
4. Muhammad Abu Bakar bin Ismail (Trengganu)
5. Sha’ari bin Awang (Pulau Pinang)
6. Mohd. Zaki bin Ahmad (Trengganu)
7. Yazid bin Noh (Kedah)
8. Mohd. Rahalim bin Sulaiman (Trengganu)
9. Fauziah bt. Hj. Hassan (Kedah)
10. Marhaini bt. Mohamad (Perlis)
11. Nur ‘Izzah Husna bt. Md. Zaki (Perak)
12. Noni Fina bt. Ismail (Perlis)
13. Saadiah bt. Nordin (Perak)
14. Hashima bt. Ishak (Perlis)
15. Zakiah bt. Ismail (Perak)
16. Hanisah bt. Ismail (Trengganu)
17. Azawiyah bt. Abdullah (Perlis)

Pelajar putera ditempatkan di satu bilik di bawah surau kayu yang agam itu sebagai bilik penginapan kami. Pelajar puteri pula di ditempatkan di rumah-rumah keluarga angkat yang berada di sekitar bangunan surau Matri.

Waktu pemelajaran yang dijalankan secara anjal serta cukup toleransi. Waktu pagi belajar dari pukul 9.00 hingga 11.00 pagi. Kelas pemelajaran disambung pula pada 2.30 petang hingga 4.30 petang. Kelas malam pula dari pukul 8.00 hingga 11.00 malam. Kadang-kadang waktu pemelajaran ditukar ke waktu lain sekiranya para pengajar ada kekangan.

Selain pemelajaran formal di dalam kelas, kami juga dikehendaki menyertai kelas pengajian informal seperti kuliah-kuliah, ijtimak umum (yang sebelum ini diadakan di surau Tanjung Gorah dipindahkan ke Matri selepas Matri dibuka), usrah dan sebagainya. Kami juga dikehendaki melibatkan diri dalam bermain, bersukan, aktiviti lawatan, amal jamai’ (membina, menyiapkan dan membersihkan Matri), perkhemahan dan sebagainya. Bahkan, pernah juga kami dibawa oleh ustaz Dahlan sendiri ke kebunnya di Semadong. Pelajar-pelajar lelaki pula dikehemdaki memasak sendiri. Kami menyediakan jadual giliran memasak sesama kami. Semuanya itu suasana yang mempengaruhi sahsiah saya dalam pengorbanan, persaudaraan, mahabbah, jiddiah, keikhlasan dan lain-lainnya.

Guru-gurunya pula adalah tenaga sukarela daripada guru-guru sekolah kementerian dan pensyarah ITM (sekarang UiTM). Mereka yang mengajar di sekolah kementerian di sebelah pagi atau petang dan pada paginya atau petangnya atau malamnya mereka datang menabur bakti pula di Matri. Ustaz Dahlan sendiri selepas tamat sesi persekolahan di Sekolah Menengah Agama Alawiyah (perempuan), Kangar, terus ke Matri. Dia tidak pulang ke rumahnya dahulu. Sering kali saya melihatnya hanya menjamah nasi bungkus sahaja sebaik tiba di Matri. Guru-guru lain yang turut menyumbang tenaga pada Awal pembukaan Matri ialah ustaz Omar bin Hj. Salleh, ustaz Abdul Hadi bin Osman, ustaz Abdul Karim bin Hasim, ustaz Tohir bin Saad, almarhum Cikgu Ghazali bin Omar, almarhum cikgu Yahya bin Ismail, Cikgu Mohd. Abduh bin Zainal Abidin dan cikgu Salim bin Omar. Kebanyakan mereka terus menyumbang khidmat mereka tanpa terukirpun di wajah mereka coretan kejemuan atau kebosanan sampai sekarang, bahkan ada yang sampai ke penghujung hayat mereka. Sesetengah mereka ada yang sudah mencecah usia melebihi tujuh puluh tahun. Almarhum Ustaz Dahlan sendiri menjangkau umurnya 76 tahun sebelum kembali ke rahmatullah. Subhanallah, pengorbanan yang amat mulia sebagai semaian jariah, mudah-mudahan.

Walaupun Matri pada ketika itu tidak dikenali; baru dibuka, sijilnya pun tiada pengiktirafan mana-mana institusi (mudah-mudahan Allah sahaja iktiraf), namun sedikitpun tidak mematahkan semangat saya dan rakan-rakan menggali ilmu di Matri. Kami belajar bagaikan peperiksaan bakal tiba. Walaupun pengajarannya gaya pengajaran pondok; pengajaran syarahan, namun keterbatasan teknologi tersebut tidak pernah melunturkan minat belajar di dada saya. Saya rasa semakin bersemangat untuk terus menggali ilmu dan semangat itu kekal membara sampai sekarang pada usia empat puluhan. Walaupun keadaan sedemikian rupa, namun alhamdulillah kebanyakan pelajar sulung Matri berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading di dalam dan di luar negara. Muhammad Abu Bakar bin Ismail merupakan pelajar pertama dalam kalangan kami yang ditawarkan ke Universiti Islam Antarabangsa, Madinah. Kini, generasi sulung Matri berusia 23 tahun, tiga daripada pelajar sulung itu kembali ke matri untuk sama-sama menyemai benih keikhlasan dan pengorbanan bersama mereka yang masih ada. Yang lain ada yang menjadi pensyarah di Universiti-Universiti, guru-guru di sekolah kerajaan, pegawai penyiaran radio dan lain-lain. Itulah kehebatan penyusunan Allah. Segala-galanya dari Allah.


Pelajar generasi pertama Matri bergambar kenangan bersama anak-anak Perkampungan Tunjung dan Pelajar dari IPT di hadapan Bangunan Surau Matri.


Saya di bilik penginapan.


Bergambar kenangan di padang USM semasa lawatan generasi pertama ke Pulau Pinang.