Jumaat, 28 November 2008

Pelajar tahfiz dapat hadiah haji

Oleh Petah Wazzan Iskandar
wazzan@bharian.com.my

Ibu bapa terharu kesanggupan anak belajar al-Quran, ajak bersama ke Tanah Suci

KELANA JAYA: Kesanggupan dan keinginan seorang remaja menyertai sekolah tahfiz bagi menjadi hafiz tanpa menghiraukan keseronokan bersekolah kebangsaan seperti rakan yang lain, menyebabkan ibu bapanya terharu dan berusaha mengumpul wang bagi menghadiahkan peluang menunaikan haji bersama mereka. Rogayah Abd Razak, 45, berkata keikhlasan anaknya, Mufid Munib Muhammad Khadri, 16, dari Darul Furqan di Kampung Padang Balang, Gombak, ingin menjadi pelajar tahfiz bagi menghafaz 30 juzuk al-Quran membuatkan beliau dan suami berusaha mengumpul wang bagi menampung perbelanjaannya ke Tanah Suci tanpa menghiraukan penat lelah.
Katanya, beliau dan suami sememangnya amat berharap sekurang-kurangnya ada seorang dalam keluarga menjadi Hafiz dan bersyukur apabila Munib menyambut hasrat itu. "Selepas Munib tamat sekolah rendah empat tahun lalu, beliau masuk sekolah tahfiz dan nampak sikapnya lebih rajin dan berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal penat lelah. "Kami yang berniaga kedai makan, bekerja bersungguh-sungguh bagi mengumpul wang untuk menunaikan haji dan selepas bersepakat membawanya bersama sebagai hadiah dan diharap dapat meningkatkan semangatnya menjadi seorang hafiz," katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.
Rogayah berkata, walaupun Munib masih muda, beliau membuatkan mereka sekeluarga berbangga kerana menjadi Imam solat Tarawih di Surau Taman Samudera pada bulan Ramadan lalu. "Ibu bapa mana yang tidak gembira apabila melihat anaknya menjadi seorang yang berguna," katanya sambil disaksikan suaminya, Muhammad Khadri Ahmad, 52 yang berasal dari Gombak. Sementara itu, Munib, anak bongsu daripada empat beradik berkata, beliau tidak menyangka diberikan hadiah tidak ternilai serta tidak mampu dibalas dengan wang itu dan terharu kerana ia adalah daripada ibu bapanya.



Sumber: Berita Harian 28 November 2008

Tiada ulasan: