Jumaat, 14 November 2008

Amaran polis jika pertikai haramkan pengkid

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberi amaran kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bukan Islam tertentu agar tidak mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah mengharamkan pengkid. Beliau berkata, tindakan NGO yang mempertikaikan keputusan tersebut boleh menjejaskan keselamatan negara dan dikhuatiri mendapat tindak balas di kalangan orang Islam. “Saya memberi amaran dan akan mengambil tindakan tegas kerana ini membabitkan soal keselamatan negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama sempena ‘Seminar Isu-Isu Mahkamah Syariah ke-10: Ke Arah Memperkasa Pentadbiran Keadilan Jenayah Di Mahkamah Syariah Malaysia’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, dekat sini, semalam. Beliau berkata, tindakan NGO bukan Islam yang melakukan demonstrasi berhubung pengharaman pengkid di ibu negara baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh menimbulkan pergaduhan. “Ini menunjukkan mereka tidak menghormati agama orang lain, kerana fatwa itu dikeluarkan untuk orang Islam, kenapa mereka harus membuat demo dan tidak berpuas hati,” katanya. Musa berkata, beliau memandang serius perkara tersebut dan akan terus memantaunya bagi memastikan tiada pihak lain yang campur tangan. “Agama Islam ada cara untuk letakkan peraturan dari segi undang-undang Islam, jadi tiada sesiapa yang boleh campur tangan. Tapi masyarakat Islam haruslah menerangkan perkara tersebut agar pihak lain faham mengenainya,” katanya. Beliau berkata, polis sentiasa memerlukan kerjasama Jabatan Agama Islam dan jabatan-jabatan lain untuk mendapatkan maklumat terutama berhubung isu yang boleh menggugat keselamatan negara dan agama Islam. Baru-baru ini, NGO bukan Islam, Katagender dan Food-not-Bombs mengadakan demonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan fatwa mengharamkan perlakuan “pengkid’ atau wanita yang menyamai lelaki. - BERNAMA



Sumber: Sinar Harian 14 November 2008

Tiada ulasan: