عَنْ أَبِيْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللهِ بِنِ عمْرِو بْنِ العَاصِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: "لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يَكُونَ هَواهُ تَبَعَاً لِمَا جِئْتُ بِهِ" )حَدِيْثٌ صَحِيْحٌ رَوَيْنَاهُ فِي كِتَابِ الحُجَّةِ بِإِسْنَادٍ صَحِيْحٍ(
Maksudnya: Daripada Abi Muhammad Abdillah bin Amru bin Al-‘As Radiallahu anhuma berkata bahawa Rasulullah bersabda: “Tidak beriman seseorang kamu sehingga hawa nafsunya mengikut apa yang aku bawakan”.- Hadis sahih, kami riwayatkan dalam kitab “al-Hujjah” dengan sanad yang sahih.
Hadis ini menyatakan penghalang kepada merealisasikan keimanan kita kepada Allah dan RasulNya. Di sinilah berlakunya pertentangan sehingga sama ada perintah atau larangan yang jelas dan tegas daripada Allah Taala dan RasulNya ditempohkan, dikemudiankan ataupun ditinggalkan. Bahkan kadang-kadang ditolak terus – kerana pengaruh hawa nafsu.
Kata "Hawa" memberi erti kecenderungan, Cinta, dan taat kepada kebenaran. Maksud hawa yang kita selalu temui dalam ayat-ayat atau hadis ialah kecenderungan untuk memenuhi syahwat. Hawa nafsu lebih cenderung kepada keburukan dan tidak pedulikan syariat. Dengan itu hawa nafsu membawa kepada kesesatan dan kesengsaraan sepertimana yang Allah Taala firmankan dalam ayat 26: surah Sad,
“Wahai Daud, Sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia Dengan (Hukum syariat) Yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah Engkau menurut hawa nafsu, kerana Yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang Yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab Yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.”
Marilah kita jauhkan diri kita dari memanjakan hawa nafsu kerana hawa nafsu akan mengheret kita kepada berbagai perbuatan maksiat dan dosa. Dalam kitab Al Wafi karangan Dr. Mustofa Al-Bugha dan Mahyiddin Misto; Pada dasarnya, orang-orang yang menyeleweng, melakukan perbuatan bid’ah, dan ingkar dari manhaj yang benar dan jelas itu bukan disebabkan kerana tidak memiliki pemahaman yang jelas dan benar terhadap kebenaran, akan tetapi mereka lebih mengikuti hawa nafsu mereka.
“Kemudian, kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (Wahai Muhammad), maka ketahuilah, Sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka; dan tidak ada Yang lebih sesat daripada orang Yang menurut hawa nafsunya Dengan tidak berdasarkan hidayah petunjuk dari Allah. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum Yang zalim (yang berdegil Dalam keingkarannya)”. Ayat 50: Al-Qasas
Ibadah itu maksudnya taat dan patuh. Oleh itu barang siapa yang patuh dan taat kepada hawa nafsunya bererti dia menjadikan hawa nafsunya sebagai Ilahnya. Hawa nafsu akan menguasai manusia sehingga hawa nafsu itu mengendalikan kehidupannya. Sehingga gerak gerinya, pemikirannya, tindak tanduknya dikuasai oleh nafsu walaupun semuanya itu bertentangan dengan akal yang sihat. Mereka yang menjadi hamba kepada hawa nafsu akan menutup pintu kebenaran sehingga tidak dapat lagi mengenal kebenaran.
“Nampakkah (Wahai Muhammad) keburukan keadaan orang Yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan Yang dipuja lagi ditaati? maka Dapatkah Engkau menjadi Pengawas Yang menjaganya jangan sesat?” - Ayat 43: Al-Furqan
Kita manusia yang Allah Taala muliakan kita dengan akal. Dengan akal inilah Allah Taala angkatkan darjat kita melebihi makhluk-makhluk Allah yang lain. Inilah yang di firmankan oleh Allah Taala dalam ayat 70: surah Al-Isra’
“dan Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka Dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk Yang telah Kami ciptakan.”
Dengan kurniaan akal ini kita dapat bezakan antara kebaikan dan keburukan. Dengan akal yang dimiliki ini juga dapat mendorong kita untuk meningkatkan diri kepada darjat yang tinggi dan mulia sepertimana yang dikehendaki Allah Taala. Sebenarnya inilah orang yang berjaya dan cemerlang dalam erti kata yang sebenarnya. Namun, sebaliknya jika ia tidak menggunakan akalnya untuk memuliakan dirinya sendiri, sudah pasti ia akan menuruti segala kehendak hawa nafsunya. Ia akan tenggelam dalam kehinaan. Sifat kemanusiaannya akan hilang. Allah S.W.T berfirman dalam ayat 9-10 surah As-Syams
“Sesungguhnya berjayalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),dan Sesungguhnya hampalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).”
Untuk meningkatkan kita ke darjat mulia maka kita perlu tundukkan hawa nafsu kita sehingga menuruti apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. حَتَّى يَكُونَ هَواهُ تَبَعَاً لِمَا جِئْتُ بِهِ . Mengikut Rasulullah bererti juga mengikut al Quran dan sunnah Nabi S.A.W. Kata Imam Nawawi: Seorang mukmin wajib menyesuaikan amalan-amalannya dengan kitab (al-Quran) dan Sunnah dan menyanggahi hawa nafsunya dan mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W.
Oleh itu sebaiknya kita serahkan diri kita kepada Allah selaras dengan pengakuan kita sebagai seorang Islam dengan mengikut segala titah perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Tindakan ini sebagai merealisasikan keimanan kita kerana Iman dan Islam itu seperti mana yang dinyatakan oleh Imam Abu Hanifah:
والإسلام هو التَّسليمُ والإنْقِيادُ لأوامِرِ الله تعالى، فَمن طريق اللغة بين الإيمانِ والإسلامِ ، ولكن لايكونُ إيمانٌ بِلا إسلام ولا يوجد إسلامٌ بلا إيمانٍ. وهما كالظَهْرِ مع البَطْنِ، والدين إسمٌ واقعٌ على الإيمانِ والإسلامِ والشَّرَائِعِ كلِّهاَ.
Maksudnya: Dan Islam itu ialah penyerahan dan kepatuhan kepada perintah-perintah Allah Taala. Dari segi bahasa terdapat perbezaan antara iman dan Islam. Akan tetapi tiada Iman tanpa Islam dan tiada Islam tanpa Iman. Keduanya umpama belakang dengan perut. Dan Deen itu nama yang meliputi Iman, Islam dan seluruh syariat.
Memang sukar sekali kita hendak menghadapai kemelut hawa nafsu. Sebab itulah kita perlu terlebih dahulu menanamkan dalam jiwa kita kecintaan kita kepada Rasul S.A.W.
لا يؤمن أحدُكُم حتى أكونَ أحبَّ إليه من نفسِهِ وولَدِهِ وأَهْلهِ والناسِ أجمعين. رواه البخاري والمسلم.
“Tidak sempurna iman seseorang kamu hingga aku lebih dicintai darinya, anaknya, keluarganya, dan semua manusia.”
Sebagai kesimpulannya
a. Orang yang sempurna iman itu ialah orang yang menundukkan hawa nafsunya dengan mengikut apa yang di bawa oleh Rasulullah S.A.W yakni mengikut al Quran dan sunnah.
b. Kita perlu berwaspada dengan hawa nafsu yang menghalang kita untuk meningkatkan kemuliaan kita. Dan kemulian kita yang sebenar adalah kemulian kita pada sisi Allah Taala.
2 ulasan:
assalamualaikum ust.
salam rindu dari kami di jordan.
( Qawiem baqi, Qawiem khairi, afdhol, karnain, nabil, muhsin dan yg lain2)
harap ustaz sihat dan dirahmati. Amin.
Waalaikumussalam
Masya Allah
Alhamdulillah sihat semua
Aminn
Salam buat semua.
Catat Ulasan