Selasa, 13 September 2011

KETENTUAN MENDAHULUI PERANCANGAN

Lebih kurang pukul 9.20pagi, 11 September 2011, saya bergegas menuju ke Matri bagi menunaikan tanggungjawab menghadiri seminar. Sebenarnya saya agak terlewat sedikit. Tiba di Matri rakan-rakan seprogram juga tidak begitu ramai kecuali perserta wanita. Tidak lama selepas ketibaan saya, Ustaz Sharihan bin Shahidan selaku pengarah seminar tersebut memaklumkan berlaku sedikit perubahan jadual seminar. Hal ini demikian, kerana penceramah yang dijadual pada pukul 9.15 pagi tidak dapat hadir kerana urusan kenduri di rumahnya yang diadakan sehari sebelum itu masih belum selesai. Oleh itu berlaku perubahan jadual seminar; di mana pada masa itu digantikan dengan bengkel yang sepatutnya diadakan selepas itu.

Semasa saya mula duduk dalam kumpulan bengkel saya menerima panggilan telefon daripada Ustaz Mahadir. Dia memaklumkan tidak dapat hadir seminar pada pagi itu kerana dia bersama ustaz Shaari sedang menuju ke kilang gula kerana pelajar Matri terlibat dalam kemalangan jalanraya. Katanya, seramai sembilan orang yang menaiki van yang dipandu oleh pakcik Shahidan yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Saya pun memaklumkan kepada ustaz Sharihan supaya memaklumkan kepada peserta seminar. Ustaz Sharihan terlebih dahulu mendapatkan maklumat lanjut daripada ustaz Mahadir tentang maklumat tersebut yang melibatkan ayahnya. Selepas ustaz Sharihan memaklumkan kepada peserta seminar, ustaz Sharihan tanpa membuang masa bergegas ke tempat kejadian dengan ditemani pakcik Johari. Urusan seminar diserahkan kepada cikgu Azmi bin Bahri.

Kami meneruskan bengkel. Tidak berapa lama sekali lagi ustaz Mahadir menelefon saya bercakap dengan suara tertahan-tahan memaklumkan van yang dipandu oleh pakcik Shahidan dan bersama 8 pelajar Matri ditimpa pokok besar. Dia meminta kami supaya berdoa moga Allah menyelamatkan kerana ada empat penumpang termasuk pakcik Shahidan masih tersepit dalam van. Saya memaklumkan kepada peserta perkembangan tersebut dan kami meneruskan bengkel. Hati saya berdebar dan terasa mahu ke tempat kejadian. Ahli kumpulan bengkel kami berbincang apa tindakan kami sekarang; meneruskan bengkel atau ke tempat kemalangan? Pak Usu meminta saya mendapatkan maklumat lanjut daripada ustaz Mahadir apakah perlu kami ke sana. Ustaz Mahadir bersetuju jika kami ke sana. Pak Usu meminta mana-mana peserta lelaki boleh ke tempat kemalangan dan bawalah apa yang difikirkan boleh membantu.

Saya tanpa membuang masa terus ke kenderaan saya bersama cikgu Azmi Bahri bergegas ke tempat kejadian. Begitu juga beberapa orang yang lain dan kami sengajakan membawa kenderaan dengan meminimakan penumpang. Saya sempat singgah di rumah mengambil parang. Hujan ketika itu agak lebat. Oleh itu saya terpaksa memandu dengan lebih berhati-hati. Ketika kami menghampiri sempadan ladang tebu melalui jalan Sungai Serai kami berselisih sebuah ambulan melalui jalan bertentangan.

Dari jauh kelihatan kereta bomba, jenkaut, kenderaan dan orang ramai. Hujan masih turun agak lebat. Selepas memakirkan kereta saya terus menghampiri van yang ditimpa musibah. Saya bertemu Ustaz Shaari yang merupakan staf Matri yang pertama menerima berita kemalangan tersebut. Beliau memberitahu seorang pelajar yang agak kritikal sudah di bawa ke hospital. Yang tinggal dalam dalam pada masa itu adalah tiga jenazah iaitu pakcik Shahidan dan dua pelajar. Saya cuba menghampiri mayat-mayat tetapi tidak jadi untuk melihat mereka. Saya terus mundar mandir dicelah-celah orang ramai yang berkerumun dan berhenti berdiri di bawah sepohon pokok berhampiran pagar batu kilang gula. Hujan terus menerus turun dengan lebat. Ramai berpayung tetapi saya tidak ada payung. Seluruh pakaian dan badan saya basah kuyup. Dari situ saya memerhatikan van yang renyuk dan saya juga memerhatikan dua Jenkaut berusaha menolak batang pokok yang telah dipotong ke tepi jalan. Nampaknya tiada akar tunjang pokok itu. "Masya Allah" dalam banyak-banyak pokok, pokok itu yang dipilih untuk tumbang. Dalam banyak masa pula, tepat pada masa van itu tiba di situ dan masa itu juga pokok itu menyembah bumi. Dalam banyak-banyak kenderan yang lalu-lalang di situ tetapi van itu yang dipilih. Itulah ketentuan...

Setelah selesai batang-batang pokok itu di tolak ke tepi, polis mula menarik tali kawasan larangan polis. Dua Jenkaut ketika itu mula beredar meninggalkan tempat kemalangan. Pihak bomba mula berusaha mengeluarkan mayat-mayat tetapi agak sukar. Sekali lagi jenkaut dipanggil untuk merenggangkan "Dashboard" menyepit mayat di hadapan. Ketika itu saya fikir adalah lebih elok saya ke Hospital Tengku Fauziah, Kangar, untuk mengetahui perkembangan anak-anak Matri di sana pula.

Takziah buat keluarga pakcik Shahidan, Hazman Bakhtiar dan Ahmad Izzat. Perjalanan mereka perjalanan para mujahid. Ya Allah, tempatkanlah mereka bersama para anbiyak, shuhadak, dan solohin.

Tiada ulasan: