Rabu, 1 Jun 2011

USIKAN YANG BENAR

Setahun berlalu pemelajaran dan pendidikan di Perkampungan Tunjung, seterusnya Matri buat kali keduanya menawarkan pengambilan pelajarnya pada tahun 1988. Ambilan kali ini seramai 15 orang Pelajar yang kekal belajar di matri sehingga ke akhirnya iaitu:-
1. Abdul Hadi bin Abdul Hamid (Thailand).
2. Abdul Pata bin Abu Bakar (Pahang)
3. Alminnoeur bin Nordin (Perlis)
4. Hamzani bin Hassan (Kelantan)
5. Mohd. Zaki bin Mohamed (Kelantan- meninggal dunia 1993)
6. Rumizan bin Yusof (Kelantan)
7. Wan Jismaini bin (Trengganu)
8. Yahya bin Muhammad (Thailand)
9. Azizah bt. Zakaria (Trengganu)
10. Basrah bt. Ishak (Thailand)
11. Mariani bt. Ali (Thailand)
12. Naimah bt. Japeri ( Perak)
13. Solehah bt. Amir Hamzah (Thailand)
14. Suhaida bt. Mohd. Jailani (Perak)
15. Zawiyah bt. Yahya (Pahang)

Kami sebagai pelajar sulung ditugaskan menyambut dan meraikan pelajar baru tersebut dengan penuh rasa ukhuah dan mahabbah. Pelajar-pelajar putera ditempatkan di sebuah bilik di bawah bangunan surau Matri sebagai bilik penginapan. (sekarang bilik rehat guru lelaki dan bilik setiausaha peperiksaan). Pelajar-pelajar puteri pula ditempatkan di rumah-rumah keluarga angkat. Manakala pelajar puteri ambilan pertama ditempatkan di rumah Pak Syed Jaladdin. Pemelajaran masih berjalan separa formal seperti sebelum ini juga.


Puteri sulung bergambar kenangan di hadapan rumah Pak Syed Jaladdin.


Ada beberapa aktiviti yang telah dirancang oleh pihak pengurusan Matri. Antara aktivitinya adalah mewujudkan taman rekreasi mini Matri. Cikgu Yahya Ismail (almarhum) bersama kami membersihkan satu kawasan untuk dijadikan taman rekreasi (sekarang tempat letak bas Matri). Kami telah membuatkan meja dan kerusi daripada kayu-kayu lebihan bangunan surau Matri.

Di samping itu juga Matri juga telah menganjurkan satu rehlah tarbawiyah ke Langkawi. Lokasi pilihan adalah Pantai Kok. Pantai tersebut agak terpencil dan masih tiada pembangunan pada masa itu. Hanya yang ada beberapa buah chalet yang Matri sewa. Pengunjung pun amat kurang. Suasana tersebut mungkin amat sesuai untuk mewujud suasana atau disebutkan di Matri sebagai Biah Solehah. Rehlah tersebut meningkatkan lagi taaruf generasi pertama dan kedua Matri.

Bersama-sama kami juga, rehlah tersebut turut disertai oleh tenaga kerja Matri serta anak-anak didik Ustaz Dahlan. Anak-anak didik Ustaz Dahlan merupakan kalangan mereka yang mengikuti pengajian Ustaz Dahlan secara komited. Jalinan ukhuah yang amat erat antara mereka dapat saya rasai. Mereka bagaikan ada ikatan persaudaraan, malah rasanya lebih lagi. Dalam kalangan mereka juga ada beberapa keluarga turut serta dalam rehlah tarbawiyah tersebut. Kehadiran mereka ke rehlah tersebut melebarkan suasana tarbawi atau didikan Islam dan taaruf kami dengan murabbi dari kalangan tenaga kerja Matri dan juga luar matri.

Untuk sampai ke Langkawi kami semua perlulah menaiki bot atau feri. Kami ke jeti Kuala Perlis menaiki bas yang disewa oleh pihak Matri. Ada juga yang menaiki kenderaan sendiri dan memakirkan kereta mereka di Kuala Perlis. Kami bertolak sebelum zohor dan menunaikan solah zohor di Masjid Kuala Perlis.

Petang itu jeti Kuala Perlis dibanjiri pelajar-pelajar Matri dan juga rombongan. Ada yang dewasa, ada remaja dan ada juga kanak-kanak. Masing-masing dengan gelagat masing-masing. Saya seperti biasa suka bersembang dan bergurau dengan sahabat-sahabat pelajar Matri. Kadang-kadang berceloteh dengan pakcik dan makcik yang lebih berumur.

Di kala saya bercakap-cakap itu, anak salah seorang kakitangan Matri menangis. Anaknya masih bayi, baru nak belajar bercakap. Lalu saya capai bayi itu mendokongnya dan memujuknya supaya berhenti menangis. Saya katakan kepadanya: ''Jangan teriak (menangis) nanti bot tak mai''. Usik saya.

Ustaz Dahlan berada bersebelahan saya. Beliau memerhati bayi itu dengan senyuman. Beliau sambung pula apa yang saya katakan tadi tetapi saya dapat rasai ada mesejnya. Katanya: ''Ya, jangan dok teriak (menangis). bot larilah.''

Didikan yang diterima selama ini membuatkan jiwa saya tersentuh dengan kata-katanya itu. Ingatan saya terus teringat penyampaian beliau dalam Ijtimak Am tentang sirah Rasulullah bergurau dengan seorang wanita tua dengan mengatakan orang tua tidak masuk syurga. Apa yang beliau sebutkan itu tentunya lebih benar dan tepat kerana sememangnya bot tetap belayar sehinggalah waktu perjalanannya tamat. Beliau menyebutkan nanti bot tu lari (belayar), sememangnya bot akan belayar. Kalau bayi itu tak menangis pun bot itu tetap akan belayar. Beliau gunakan kata lari bersempena dengan penggunaan bahasa arab ''tajri as-safinatu' bermaksud kapal belayar. Tajri makna asal lari, namun bila digunakan untuk kapal tentunya membawa makna belayar. Saya pun tersipu-sipu turut mengulangi seperti apa yang beliau katakan.
“Ha, tok sah teriak, berhenti, berhenti! nanti bot belayaq la”.
Begitu juga dengannya turut mengulanginya beberapa kali.




Menunggu feri di jeti Kuala Perlis


Inilah bayi yang menangis tu


Tidak lama selepas itu kapal pun sampai. Bayi tadi pun tidak menangis lagi bila melihat kapal sudah tiba dan orang ramai mula mengerumuni jeti. Kami semua masuk ke dalam bot dengan penuh tertib. Selepas semua penumpang sudah mengambil tempat masing-masing, kapal yang kami naiki pun mula meluncur membelah samudra menuju ke pulau Lagenda.



kenangan di hadapan chalet Pantai Kok sebelum pulang.

2 ulasan:

Syed Ahmad Fathi berkata...

Gambar ketiga tu gambar Ustaz Fatah ke ustaz? Yang paling kanan sekali.

Cikgu Yazid berkata...

Ye, betul tu Ust. Fatah. Dia masa tu memang ramping. :)