Selasa, 28 Oktober 2008

4 dicekup

KUALA LUMPUR: Cubaan nekad empat Mat Rempit junior bergelut dengan sepasukan polis untuk meloloskan diri tidak berhasil apabila mereka ditahan dalam operasi cegah lumba haram di Tasik Titiwangsa, di sini, petang kelmarin.Difahamkan, semua remaja berusia 17 tahun terbabit sebelum itu dilihat melakukan pelbagai aksi bahaya terutama mengangkat tayar depan atau ‘wheelie’ di sekitar Jalan Tun Abdul Rahman di sini.Selepas puas beraksi, remaja yang menunggang dua motosikal jenis Honda EX5 bergerak ke kawasan tasik berkenaan dipercayai untuk berehat. Menyedari kegiatan diintip, mereka mula panik dan mahu melarikan diri namun tindakan pantas polis memberkas keempat-empat remaja berkenaan termasuk dua pelajar sekolah yang membonceng motosikal terbabit.

Sumber: Harian Metro 28 Oktober 2008.

Jumaat, 24 Oktober 2008

Majlis Fatwa haramkan perlakuan 'pengkid'

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my

KOTA BHARU: Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan perlakuan 'pengkid' atau wanita yang menampilkan diri menyamai lelaki, sama ada dari segi pergaulan, tingkah laku atau berpakaian, haram dan dilarang sama sekali.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata pengharaman itu dibuat berdasarkan perkembangan terkini di kalangan remaja perempuan yang cenderung mengamalkan cara hidup lelaki.

Beliau berkata, fenomena pengkid kini menjadi isu serius di kalangan anak gadis di negara ini dan ia perlu ditangani segera supaya tidak berkembang hingga sukar diatasi pada masa depan.

"Majlis Fatwa mendapati isu pengkid kini semakin ketara. Remaja perempuan kini lebih gemar dengan cara hidup lelaki dari segi pergaulan, perbuatan dan berpakaian, yang bukan saja bertentangan dengan fitrah asal manusia, tetapi cuba menafikan hak kewanitaan.

"Lebih membimbangkan, pengkid kini sudah melarat kepada perkara berkaitan seksual dengan meminati sama sejenis," katanya pada sidang media selepas berakhirnya muzakarah dua hari Majlis Fatwa Kebangsaan di sini. Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Sehubungan itu, Dr Abdul Shukor meminta ibu bapa, keluarga dan masyarakat menasihatkan golongan terbabit supaya tidak melakukan perkara menyalahi ajaran Islam.

Sumber: Berita Harian 24 Oktober 2008

Khamis, 23 Oktober 2008

Peluang kerjaya 60,000 graduan

Oleh ROSMALINA A. KADIR
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Senario pengangguran yang tinggi dalam negara bakal berubah dengan wujudnya program latihan pusat perhubungan yang menjanjikan banyak peluang pekerjaan kepada para graduan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, industri itu khususnya yang mengkhusus kepada pengendalian pusat-pusat perhubungan dijangka menyediakan sebanyak 60,000 peluang pekerjaan mulai sekarang hingga 2012.
Untuk itu, kementerian berkenaan dengan kerjasama sebuah syarikat latihan kemahiran, My-Partners Sdn. Bhd. menawarkan skim latihan dengan jaminan pekerjaan dalam syarikat pusat perhubungan bergaji minimum RM2,000 sebulan.

Sumber: Kosmo 23 Okteber 20008