Jumaat, 2 Mei 2008

PELUANG

Semasa cuti panjang yang lalu saya berkesempatan pulang menziarahi ibu di kampung. Bumbung rumah yang bocor, alhamdulillah sudah pun dibaiki oleh adik saya. Adik saya seorang pengusaha kedai makan. Walaupun dia sibuk namun dia tetap memberikan masanya untuk ibunya. Cuma saya tinggal agak jauh berbanding dengannya. Saya juga cuba sedaya upaya mendapatkan masa untuk menjenguk ibu yang baru sahaja ketiadaan suaminya di kampung.

Suasana kampung saya masih suasana kampung tradisional. Jarak antara rumah agak berjauhan. Di sekitar rumah-rumah dipenuhi dengan pokok-pokok buahan ataupun pokok-pokok hutan dan belukar. Sepanjang kampung dipenuhi Kebun-kebun getah yang melebar sampai ke kaki-kaki bukit atau bersambung pula dengan kampung sebelah. Rumah ibu saya pun bersebelahan dengan kebun getah. Memang orang kampung saya ramai pengusaha kebun kecil, namun penorehnya pula ramai diambil daripada Thailand. Remaja-remaja kampung kebanyakannya keluar ke bandar menuntut ilmu. Kalau yang tinggal pun hanyalah remaja yang memecut motosikal keluar masuk kampung dan menghabiskan masa berbual-bual sehingga larut malam simpang-simpang jalanraya. Pemuda-pemuda pula kebanyakannya mencari rezeki di luar kampung.

Bila dah balik kampung tu saya buatlah apa yang patut dilakukan seperti memotong rumput, menebas belukar, dan membersih sekitar rumah. Sedang saya membersih sekitar rumah sayup-sayup kedengaran suara seakan azan, berzanji atau bacaan al Quran. Saya cuba mencari-cari suara tersebut dari mana arahnya. Namun tiada sesiapa kelihatan dan saya meneruskan kerja saya membersihkan sekitar rumah ibu saya tanpa mempedulikan suara itu lagi. Sesekali suara itu hilang dan sesekali suara itu datang semula. Sehinggalah bacaan ayat suci al Quran jelas kedengaran. Secara sepontan mata saya terpandang kepada orang muda sedang tekun menoreh sepohon demi sepohon getah. Mulutnya pula terkumat kamit menghafaz ayat-ayat suci..

Penoreh tersebut adalah warga Thailand datang mengambil upah menoreh di sini. Di kampungnya pula berlaku kekacauan. Mungkin di tempatnya rezeki tidak semurah di bumi bertuah ini. Walaupun usia kelihatan akhir belasan atau awal dua puluhan namun dia terpaksa keluar ke negara untuk memperolehi pendapatan. Mungkin juga dia terpaksa keluar daripada kampung halamannya kerana keganasan. Keupayaan dan kesungguhan belajarnya agak tinggi kerana kemampuannya menghafal al Quran. Mungkin pendapatan atau peluang untuknya belajar terbatas menyebab dia terpaksa lupakan belajar.

Kita amat beruntung kerana peluang belajar dan pekerjaan terbentang luas di hadapan kita. Namun mampukah remaja dan muda-mudi kita manfaatkan peluang yang terbentang itu? Mampukah remaja kita lupakan hiburan-hiburan yang tidak bermanfaat dan melangkah menuju kehidupan yang lebih bermakna? Ianya tidak semudah bagai dikata. Ianya perlu miliki jiwa yang bersih. Untuk memiliki jiwa yang bersih kita perlukan suasana yang baik. Maka carilah suasana yang baik. Suasana yang baik kita boleh dapati melalui rakan yang baik, ceramah berkaitan deen Islam, amal ibadah wajib dan sunat yang kita lakukan, dan sebagainya. Semoga Allah pilih kita bersama golongan yang di naungi pada hari yang tiada naungan.

3 ulasan:

Muhammad Amal berkata...

Alhamdulillah, gimana nak lahir remaja macam saudara dari thai ni, adakah kena wujudkan suasana bersusah payah, baru nak rapat dengan Allah??

Kembara ILMU berkata...

jemput ke tinta-tarbawi@blogspot.com

Cikgu Yazid berkata...

Muhammad Amal yang dirahmati Allah.

Saya kira tidak semua remaja di Thai yang sebegitu. Itu mungkin kebetulan yang saya jumpai. Di negara kita tercinta ni juga tentu ada remaja yang sebegitu. Bagaimana nak lahirkan remaja yang seumpama itu, itulah juga sebenarnya persoalan yang ingin saya ketengahkan. Semoga Allah sentiasa rahmati bumi bertuah ini kerana ada usaha-usaha untuk melahirkan remaja muttaqin. Wallahu aklam.