Rabu, 29 Julai 2009

PERJALANAN TERAKHIR AYAHANDA

23 Julai, jam 9.45 malam berita pemergian ayahanda Ghazali Omar begitu cepat tersebar ke seluruh pelusuk tanahair. Tentunya berita itu disebarkan oleh anak-anak didiknya yang mesra dengan panggilan Sir Ghazali ataupun Cikgu Ghazali. Ada di kalangan saudara maranya yang datang dari Pulau Pinang mendapat berita sedih tersebut melalui anak buah di IPT pada jam 10.00 malam. Alhamdulillah dengan adanya semangat “Hamasatus Syabab” ; semangat pemuda dan kesungguhan mereka, dan kemudahan teknologi yang sedia ada dapat dimanfaat dengan sebaiknya.
Bagi saya Ghazali bin Omar adalah ayahanda yang telah banyak berkorban untuk saya, sahabat-sahabat dan MATRI. Pemergiannya tentu amat menyentuh hati saya dan juga hati mereka yng mengenalinya dengan akrab. Tidak hairanlah ada di kalangan bekas pelajarnya datang nun jauh dari bumi Kelantan; walaupun agak terlambat dan tidak sempat bersama majlis pengkebumiannya, datang seorang diri dengan van persendirian semata-mata untuk mengucapkan takziah kepada keluarga beliau.
Pada petang hari kematiannya saya sempat menziarahinya bersama isteri saya dan beberapa orang akhawat. Bonda Maziah (isteri Ayahanda Ghazali) memberitahu beliau tidak selera makan dan minum. Alhamdulillah pada petang tersebut saya sempat membantu menantunya memegangnya supaya dapat duduk tegak di atas katil pesakit di samping bonda Maziah menyuapkannya moi dan memberikan beliau minum air. Sebelum saya memohon izin pulang beliau cuba bercakap dengan nada yang amat lemah memberitahu hasrat beliau mahu mohon cuti tanpa gaji sehingga hujung tahun. Kami sekadar menasihatkan agar beliau tidak memikirkan sangat perkara tersebut memandangkan keadaannya yang sangat lemah itu. Beliau meneruskan dengan meminta supaya mencari guru penggantinya secepat mungkin. Namun beliau menyatakan, pelajar-pelajar tersebut akan beliau bantu mengadakan kelas tambahan di rumahnya. Saya amat terharu dengan hasratnya itu. Keadaannya dapat kami lihat amat lemah sekali. Butir-butir kata yang terbit dari mulutnya dapat saya rasai betapa beliau amat lemah. Namun dalam suasana yang seumpama itu jiwanya masih tidak dapat dipisahkan dengan pembangunan pendidikan pelajar-pelajarnya. Kata-katanya itu jelas membanyangkan betapa kasih dan akrabnya beliau terhadap anak didiknya. Saya yang belum pun mamasuki ke gerbang usia emas pun belum tentu sanggup melakukannya.
Pada malam hari selepas saya mengadakan kelas tambahan, saya terus ke rumahnya dan dapati orang sudah pun mula datang ke rumahnya. Apabila saya memasuki ke dalam rumah barulah saya maklum beliau sudah meninggal dunia. Semasa beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir Bonda Maziah, Ustaz Mahadir, Ustaz Khairul dan menantunya Ustaz Rosli ada bersama. Selepas beberapa ketika berbual, beliau dikatakan tidak lagi bersuara dan Bonda Maziah minta supaya Ustaz Mahadir metalkinkannya. Dan beliau pergi dengan kalimah “La Ilaha Illallah”. Pemergian yang amat baik untuknya mengadap Ilahi. Pemergiannya sarat dengan kasih sayang kepada anak didiknya demi mengaharapkan redho Allah Taala. Semoga ruhnya ditempatkan bersama para anbiya, syuhada dan solihin.

Tiada ulasan: