Isnin, 15 Jun 2009

CINTA REMAJA

Pada 11 Jun 2009, pukul 4.12 pagi satu pesanan ringkas saya terima daripada sahabat saya; Ustaz Mahadir, berbunyi; “Salam. Ex Matri Muhammad Ammar Zulkifli kembali ke rahmatullah. Kemalangan d mesir ..” Ketika itu saya sedang memandu Toyota Avanza membawa enam guru Sekolah Rendah Seri Melati (SRIM) untuk menghadiri Bengkel Pembinaan Skrip Soalan Penilaian Rendah Agama Islam. Tiada langsung lakaran wajah Muhammad Ammar di kotak fikiran saya. Saya bertanya saudara Hairey Hamzah dengan melihat wajahnya melalui cermin belakang. Gambaran yang dikatakan Hairey juga tidak dapat saya khayalkan.
Semasa guru-guru SRIM menjalani bengkel mereka saya mengambil kesempatan tersebut menziarahi rerakan di sekolah yang pernah saya taburi khimat satu ketika dahulu. Di samping itu dapatlah saya mendengar dan bertukar-tukar maklumat berkaitan pendidikan anak-anak pelajar di sekolah masing-masing. Cerita Ammar juga tidak terkecuali diperkatakan. Saya sekadar bersimpati di atas kejadian yang berlaku. Cerita kejadian kemalangan yang saya diterima pelbagai versi. Saya sekadar mendengar dan cuba menggambarkan rupa Muhammad Ammar . Manalah tahu kalau-kalau pernah saya terjumpa di kem-kem atau di mana-mana program yang pernah saya hadiri, namun tidak juga muncul di dalam ingatan.
Bengkel penyediaan skrip soalan berlangsung selama dua hari satu malam. Petang hari jumaat selesai bengkel tersebut. Saya sekali lagi memandu Toyota Avanza mengharungi kepekatan malam menghantar guru-guru SRIM pulang ke rumah masing. Saya amat gembira kerana berkesempatan memnabur khidmat tersebut. Saya dimaklumkan jenazah Muhammad Ammar akan tiba di Bertam pada pukul 3.00 pagi hari Ahad. Hati saya tiba-tiba terdetik ingin mengunjungi keluarga Muhammad Ammar dan bersama-sama keluarganya menyambut kepulangannya. Tiba-tiba saya lontarkan hasrat yang berterbangan di ruang pemikiran saya tersebut kepada penumpang-penumpang kereta yang bersama-sama pada malam itu. Ketua rombongan kami Cikgu Ishak Osman yang juga Guru Besar SRIM menyatakan persetujuannya dan menyatakan hasratnya untuk pergi ke Bertam pada keesokan pagi. Dari mana hubungan dan talian yang mengikat antara kami berdua dengan Muhammad Ammar. Seingat saya, kami berdua tidak pernah mengajarnya di sekolah. Juga bukan kenalan yang sangat rapat.
Pukul 2.00 pagi Ahad saya dan Cikgu Ishak bertolak ke Bertam. Keletihan semalam masih terasa. Pukul 3.30 pagi saya tiba di masjid Bertam, namun tiada terdapat sesiapa di situ. Saya dimaklumkan rakan-rakan dari MATRI akan menginap di situ. Kami mengambil keputusan terus ke rumah En. Zulkifli iaitu ayah Allahyarham Muhammad Ammar. Di sana sudah Ramai orang turut menunggu ketibaan Muhammad Ammar. Khemah juga ada di dirikan di sana. Makanan juga disediakan oleh jirannya untuk para tetamu. Para hadirin sabar menunggu ketibaan van jenazah di hadapan rumah En. Zulkifli yang diuruskan oleh kerajaan Malaysia. Ada juga beberapa remaja yang datang bersalaman dengan saya. Sebahagian saya tidak mengecami wajah mereka. Mereka menyebutkan nama saya ‘Ustaz’ semasa bersalam dengan saya. Mereka adalah sahabat-sahabatnya ; mantan pelajar Mahad Attarbiah Al-Islamiah (MATRI). Mereka juga bukanlah remaja Bertam tetapi mereka datang dari pelbagai tempat yang jauh beratus kilometer. Walaupun Muhammad Ammar telah pasti ruhnya kembali ke alam baqa, namun sinar ukhuah amat terserlah di kalangan mereka yang pernah mengenalinya. Tidak apapun yang dapat mereka lakukan kepada Ammar. Sekujur jasad yang mereka tunggu juga adalah jasad yang tiada lagi istimewanya.
Seusai solah Subuh, solah jenazah Muhammad Ammar dilaksanakan di Masjid Bertam. Saya berada di saf ke tiga. Sebelum solah jenazah saya sempat melempar pandangan saya kepada ahli jemaah di belakang saya. Amat ramai walaupun di subuh hari. Jarang sekali solah jenazah seramai itu walaupun di siang hari. Ramai juga guru-guru daripada MATRI yang berada di saf jemaah. Bahkan Mudir MATRI juga turut bersama walaupun keadaannya agak uzur. Satu penghormatan Mudir yang amat istimewa buat Muhammad Ammar. Subuh itu juga di penuhi remaja-remaja yang mengenali Muhammad Ammar. Alangkah indahnya cinta mereka kepada Muhammad Ammar. Betapa sayangnya mereka kepada Muhammad Ammar. Cinta yang tulus ikhlas yang lahir dari keimanan melalui Tarbiah Islamiyah yang mereka terima. Semoga hubungan dan keakraban persahabat tersebut tercatat sebagai remaja yang saling berkasih sayang kerana Allah dan berpisah kerana Allah. Semoga ianya menjadi penaung kepada mereka ketika berada di hari yang tiada lagi naungan panas bakaran terik matahari kecuali naungan Allah Taala.

Tiada ulasan: