Sudah lima jam mengerah tenaga membina jaluran langkah menuju ke puncak kepuasan. Tidak pasti berapa lama lagi perlu mengayun langkah. Laluan di celah pokok-pokok sepemeluk semakin jauh ditinggalkan. Ayunan kaki pun semakin terasa lemah. Setiap kali kaki diangkat makin terasa daya untuk meneruskan perjalanan semakin lemah. Badan pun rasa tak berupaya lagi. Namun semangat yang tersemat di jiwa mahu menawan puncak sana, digagahi jua tapak demi tapak, langkah demi langkah.
Kedinginan makin terasa. Sesekali pipi dibelai lembut oleh kabus yang berkejaran dicelah ranting-ranting pokok. Keletihan hampir terbang keluar dari peti fikiran apabila menjejaki di suatu kawasan yang dihiasi dengan pokok-pokok renek di celah bongkah-bongkah batu. Di hujung kaki langit sana kelihatan deretan bukit memagari bumi. Terdapat seketul dua awan terapung-apung di puncak bukit sana. Di sini juga amat indah. Seekor dua burung gunung berterbangan sambil bersiul suara manja. Memang mengasyikkan lebih-lebih lagi dalam keadaan badan yang teramat letih. Kalau boleh mahu sahaja melepaskan lelah dan berehat terus di situ. Berat rasanya hendak meneruskan pendakian. Pendakian menuju ke puncak yang tinggi memanglah akan diuji dengan kepayahan dan kesukaran. Kadang-kadang keseronokan yang melupakan tujuan asal kita juga adalah ujian yang lebih dahsyat lagi. Kepuasan sebenar hanyalah kita perolehi apabila tiba di puncak sana. ''Jom!'' suara tegas seorang sahabat memadamkan fantasi indah di situ. Darah perwira menyerap ke jiwa. Alhamdulillah ada rakan mengingatkan. Itulah pentingnya memilih rakan yang baik. Rakan yang rosak akan merosakkan kita. Rakan yang lemah cita-citanya pasti akan sama-sama berfantasi di situ dan terus berkhayal di situ.
Beberapa meter berjalan terserempak pula dengan rakan serombongan yang mendahului kami, sedang kepucatan. Tangannya terdepa dan kepalanya menyandar di atas batu besar. Matanya dipejam rapat. Bila mendengar suara kami memanggil namanya dia pun berkata dengan suara lemah ''Tak apa, ana okey''. Walau apapun katanya kami memang faham bahawa dia amat letih dan tidak bermaya lagi. Kami kipaskannya walaupun suasana sejuk. Kami berikan dia sedikit air garam. Kami memberikan kata-kata peransang untuknya. Alhamdulillah dia semakin pulih. Kalau mahu sesuatu yang tinggi dan mulia perlu ada kerjasama, tolong menolong dan bantu membantu. Perlu ada rakan-rakan yang mampu memberikan nasihat, bimbingan dan motivasi untuk kita. Alangkah indahnya perjalanan ini; dalam kesukaran dan kepayahan terlakar pengalaman-pengalaman berukhuah (bersaudara).
Hari hampir malam. Pendaki perlu juga mendapat bekalan untuk dirinya. Sekadar semangat sahaja tidak memadai. Karbohidrat dan proten perlu di isi untuk menambah tenaga. Setelah perut diisi, badan juga perlu diberikan sedikit kerehatan. Kerehatan hanyalah sekadar mendapatkan kekuatan untuk menghadapi cabaran yang lebih dahsyat dan amat merbahaya. Semakin tinggi semakin kuat godaannya, semakin dahsyat cabarannya, semakin dalam jurangnya. Ada yang pernah tergelincir ke jurang itu lalu hancur berkecai jasadnya bila tiba di bawah jurang sana. Justeru itu perlu ada persiapan spritual, fizikal dan juga mental. Perlu juga ada keberanian. Perlu bersedia menghadapi dugaannya. Mungkin itulah caranya untuk dianugerahi sebagai pejuang kemulian seterusnya melayakkannya berada di tempat yang tinggi dan mulia.
Perjalanan diteruskan pada awal-awal pagi. Keadaannya amat gelap. Tiada apa yang kelihatan lagi. Di bawah sana hanya kelihatan butiran cahaya dari Inanam, Menggatal, Telipok, Tuaran, Ranau, dan kampung-kampung yang berdekatan bertaburan seperti juga di atas sana bintang-bintang bergemerlapan. Dalam keadaan gelap gelita tidak nampak jalan, hanya mengekori rakan di hadapan sahaja. Rakan di hadapan juga mengekori rakan di hadapannya sehinggalah kepada pemandu jalan paling di hadapan. Kegelapan yang tidak nampak jalan hendak dituju, amat memerlu pemandu jalan. Pemandu jalan yang kita pilih juga mestilah yang kita kenal dia. Paling tidak kita tahu dia adalah orang yang mahu menuju ke atas. Mungkin ada yang menyambut tangan kita untuk memandu kita, tetapi ke mana dia hendak membawa kita? Dia boleh menyatakan janji-janji indah untuk kita tetapi waspadalah dengan kuncu-kuncu iblis yang tidak pernah lupa janjinya mahu menyesatkan manusia. Jangan pula kita bertindak sendiri menentukan jalan kita. Kesannya amat bahaya sekali. Tersilap langkah boleh menjerumuskan kita ke jurang Jahannam.
Nafas semakin semput, langkah semakin sempit, dan jiwa makin kalut. Jauh di timur dunia sana pancaran fajar menyibar di permukaan laut dan di celahan awan. Panoramanya sungguh indah. Tak mampu untuk digambarkan dengan kata, mahupun dengan lukisan. Tentu sekali tidak kita temuinya di bawah sana.
Puncak kelihatan amat dekat sekali. Rasanya tak sampai lima minit pun boleh sampai. Namun langkah-langkah yang diatur bagaikan mengangkat ketulan batu besar. Selangkah dua bergerak sudah semput. Walaupun dekat namun berat langkahnya alang kepalang. Namun langkah itulah yang membawa jiwa perwira, pendaki ketinggian tiba di mercunya. Sepontan terbit dari mulut Alhamdulillah... Allahu Akbar...
Kegembiraan itu hanya milik mereka yang berjaya sampai di mercunya dan tentu sekali mustahil berkongsi dengan orang lain. Kesusahan dan kepayahan untuk sampai ke mercu kini amat berbaloi ditambah lagi pengalaman-pengalaman yang amat banyak. Ada orang di bawah sana mengatakan kepada pencari ketinggian melakukan kerja bodoh sepertimana golongan kafir mengejek para Rasul. Hakikatnya mereka yang mengejek itu sendiri berada di bawah dan di tempat yang rendah. Mereka tidak pernah merasai alam ketinggian. Kenyataan-kenyataan mereka semata-mata hanyalah andaian-andaian liar sahaja dan tentu sekali tidak pernah menepatinya.
Pendaki ketinggian tentulah beruntung. Carilah ketinggian dan kemulian lebih-lebih lagi dalam kehidupan sebagai manusia. Ketinggian hidup hanya ada pada Islam seperti sabda junjungan : “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya”. Susah payah yang di tempuhi untuk menghayatinya adalah dugaan dan ujian untuk menempah ketinggian dan kemuliaan. Mudah-mudahan selari pengertian firman Allah dalam surah an Nashrah: 5 – 8
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila Engkau telah selesai (daripada sesuatu amal Soleh), maka bersungguh-sungguhlah Engkau berusaha (mengerjakan amal soleh Yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah Engkau memohon (Apa Yang Engkau gemar dan ingini)”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan