FANTASI
Annaky_abolmujahid@yahoo.com
www.2 firdaus.blogspot.com
Alangkah indahnya, sesiapa sahaja melihat wajahnya terasa kedamaiannya. Aromanya dan ditambah lagi dengan wangian bayi menggamit mata untuk menjeling kepadanya.Dia dijaga dengan rapi. Serangga-serangga yang berlegar di sekitarnya akan disembur dengan racun serangga ataupun dipukul hingga mati oleh ibunya. Ibunya juga tidak akan membiarkan sebarangan memasuki mana-mana liang atau rongga yang ada pada badan si comelnya.
Namun sekian masa berlalu dia tidak terus menerus dipandang indah. Bila dia sudah mula boleh bercakap dengan bahasa yang difahami, merayau ke sana dan ke sini dan melakukan sesuatu dengan sendiri, nur kedamaian itu semakin hilang dari wajahnya. Apabila langkah kakinya semakin jauh, dia mula meneroka dan mencuba bermacam-macam termasuk sesuatu yang dilarang keras oleh ibunya dahulu. Dia memeberanikan diri mencuba menyedut asap putih. Kali pertama dia menyedut tersembur keluar dari mulutnya air liur dan disusuli pula dengan suara keras beberapa kali. Tangan pula menggosok-gosok dada. Lama kelamaan sedutan itu sudah semakin menghairahkannya. Keredupan mula menapak di wajahnya apabila asap putih menghitami jiwanya. Baginya asap putih adalah sumber inspirasinya dan sumber ideanya. Walaupun para ulama menyatakan betapa bahayanya asap itu dan para doktor pun menasihatkan betapa kita perlu menghindari asap itu kerana bahaya kepada dirinya dan juga orang lain. Sebenarnya hati yang dihitami dengan asap putih itu tidak mampu duduk tenang, malah terus tertipu dengan perasaannya lalu mencari dan terus mencari idea baru kononnya untuk menjana idea yang lebih luas.
Atas panduan rakan senior yang telah mencebur diri dalam alam fantasi dan ilusi, dia telah mencuba satu lagi teknik baru iaitu dengan mencampurkan bahan bakar tambahan. Walaupun kepulan asapnya sama namun ransangannya amat berbeza. Wajahnya bertambah suram walaupun senyuman sentiasa terukir. Susunan tuturnya juga semakin celaru. Aturan hidupnya juga mula kelam kabut. Perubahan pada dirinya dapat dirasai oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya sebelum ini. Namun dia tetap menafikannya.
Hati yang makin menghitam, jiwa yang makin gelap terus membuak-buak dan menjerit-jerit mahukan kedamaian, ketenangan, dan keamanan. Namun ianya agak sukar untuk kembali ke pangkal jalan walaupun sesekali dia teringat satu ketika dahulu hati dan jiwa itu telah dididik dengan ketulusan dan kejernihan iman oleh ibunya yang semakin tua. Lantaran hati yang gelap pekat itu cahaya agak sukar untuk menembusinya. Maka dalam kegelapan itulah dia terus mencari-cari idea untuk memuaskan perasaannya. Akhirnya, tangannya dipimpin oleh teman yang juga buta, mendakwa akan membawa cahaya kepadanya. Cahaya yang dijanjikan sebenarnya adalah percikan api dari pergeseran akhlak-akhlak yang telah rosak. Ianya bukan lagi cahaya sebaliknya api yang membakar kehidupannya. Untuk menyembunyikan hakikat kehidupannya dia sentiasa ketawa kerana dia menyangka orang bahagia akan ketawa, sebaliknya orang yang pernah mengenalinya merasakan dia sakit jiwa.
Bila dia bersendirian fikirannya sering berterbangan mengintai kenangan lampau. Ternampak wajah ibunya yang sarat dengan harapan. Terbayang juga wajah fitrahnya yang jernih tersenyum bersama kejayaannya. Di kala itu matanya berlenangan dengan air lalu menitis jatuh ke ribanya. Datanglah rasa keinsafan dan berazam mengubah keadaannya. Pada masa yang sama dia juga menyedari tidak siapapun yang akan sanggup menerimanya melainkan kawan-kawan yang senasib dengannya. Dia sedar masyarakat menyingkirkan mereka.
Hidupnya makin lama makin parah. Hidupnya seakan tiada erti lagi. Badannya terasa benar lemah walaupun umurnya belum mencecah tiga puluhan. Kulitnya berkudis di sana sini. Bibir mulutnya juga berkudis dan bernanah. Jiwanya kosong dan terasa amat sunyi. Hidupnya bagaikan mayat walaupun masih bernyawa. Lagu yang dia nyanyikan di majlis penyampaian hadiah di sekolah rendah dahulu yang berbunyi ''Hidup mulia atau mati sebagai shuhada'' tiada lagi bermakna untuknya. Dia terfikir lebih baik mati dari hidup. Tiba-tiba mata terus tertumpu pada tali kasutnya. Fikirannya terus bercelaru dan telinganya berdegung. Jiwanya menjerit 'Tak guna aku hidup lagi. Lebih baik aku mampus. ampunkan saya ibu. maafkan saya ayah'. Setelah tali kasutnya selesai dirungkai matanya liar mencari sesuatu sekitar tempat tinggalnya di bawah jambatan. Dia cuba sedaya upaya bangun dan berjalan. Perlahan-lahan dia mengangkat langkah lemah dan menapak satu demi satu. Selangkah dua dia mula atur langkah, kakinya terpijak seketul batu sebesar ibu jari kaki lalu tergelincir. Badannya yang lemah tidak mampu mengawal dirinya lalu tersungkur dan terus melungsur ke sungai. Arus sungai yang deras terus menyambar dan menghanyutkannya dengan pantas. Badannya dilambung, dihempap, diselam, dan timbulkan semula dengan kekuatan arus yang amat dahsyat. Begitulah gaya arus melakukan kepada jasad itu sepanjang perjalanannya ke muaara.
Begitulah berakhirnya sebuah fantasi. Kedamaian yang dicari hanyalah satu penipuan terhadap dirinya sendiri. Keseronokan yang dicari hanyalah seketika tetapi merananya tidak terkira. Sebenarnya kedamaian dan kebahagiaan akan kita perolehi dengan melihat kepada saranan daripada Maha Pencipta. Pencipta Yang Agung mengingatkan hamba-hambaNya di dalam ayat 7 hingga 10: surah as Syams: ”Demi diri dan Yang menyempurnakan kejadiaannya. Serta mengilhamkannya jalan yang membawa kepada kejahatan dan jalan yang membawa kepada bertaqwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan jiwanya. Dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya”.
1 ulasan:
Ustaz best la cerpen ni..sungguh bermakna..moga diberkati ALLAH.
Catat Ulasan