Rabu, 2 Julai 2008

ARUS SUNGAI

Pohon-pohon hutan dara di rimba raya banjaran titiwangsa sibuk bersaing menjulang pucuknya ke langit. Masing-masing mahu menghulur pucuknya supaya dapat di perhatikan oleh sang matahari. Sesekali ranting-ranting kayu bergeseran mengalunkan bunyinya disambut pula dengan gesekan bebatang buluh menghasilkan irama yang mendamaikan. Burung kuang serta makhluk rimba yang lain tidak melepaskan peluang turut menyanyikan pelbagai irama asli, memeriahkan suasana rimba bagaikan pesta. Terdapat pula mata air—mata air membasahi bumi lalu terbentuk laluan air. Laluan-laluan air yang kecil itu bergerak-gerak mencari kawasan yang rendah untuk mendapatkan teman yang dapat bermain dan berkejaran. Jika air yang mengalir itu bertemu batu atau akar kayu maka aliran air itu akan mencari-cari jalan yang selamat untuk dilaluinya sama ada meresap kedalam tanah atau lalu di tepian akar atau batu tersebut. Laluan-laluan air tersebut akhirnya bertemu antara satu sama lain dengan penuh kemesraan, sehingga terbentuk pula alur-alur kecil yang mengalirkan air. Laluan dua tiga alur tersebut pula akhirnya bergabung dan membentuk himpunan air yang lebih besar di anak sungai. Di sini air bersatu, maju ke hadapan dengan tujuan dan matlamat yang suci sejernih airnya. Kesucian air ini menyebabkan mereka sanggup melakukan apa sahaja walaupun terpaksa terjun nun jauh ke bawah menghempap batu, maka mereka tetap terjun bersama-sama. Kesucian air itu sebenarnya mendamaikan sehingga dapat merungkai kekusutan yang membelenggu. Kemudian, dia melepaskan wap-wap air yang menyegarkan disekitarnya.
Walaupun gabungan air sudah semakin besar, namun dia tetap terus bergerak dengan matlamat yang satu. Ianya bersatu untuk mengalir dan menyebarkan baktinya buat makhluk Allah. Sebelum sampai ke lautan ia bercita-cita untuk memberikan manfaat kepada sekalian makhluk yang memerlukannya. Air di sungai ini sangat jernih dan menyejukkan. Air di sini tidak dicemari toksid dan bahan kimia. Lantaran bersihnya kadang-kadang diambil manusia untuk dijadikan air penawar. Di situlah tempat tumpuan pelbagai jenis binatang hutan dari yang sekecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya untuk menghilangkan kehausan. Binatang buas di rimba itu pula mengambil kesempatan mengintip mangsanya yang datang ke sekitar kawasan air itu. Di dalam air anak-anak seluang berkejaran dengan riang sekali. Sesekala datang bapak tengas mengganggu suasana kegembiraan anak-anak ikan tersebut, lalu berkocak air yang deras melalui calah-celah batu. Di situ juga tempat manusia dari rimba batu mencari kedamaian dan ketenangan. Begitulah resamnya yang suci dan bersih. Sesuatu yang bersih tentu sekali disukai ramai. Kadang-kadang orang lain juga dapat menumpang kesuciannya itu untuk manfaat diri sendiri. Kadang-kadang tengok wajahnya sudah cukup untuk mengubat hati yang lara. Lantaran itulah bayi yang baru lahir umpama kain putih yang suci bersih. Tentu sekali melihat wajah si anak kecil sudah cukup untuk mendamaikan jiwa lantaran bersihnya mereka dari segala dosa. Tentu sekali ketenangan akan terasa apabila berhadapan dengan mereka yang bersih hati lantaran luhur jiwanya serta dekat jiwanya dangan yang Maha Pencipta. Tentu sekali keinsafan menyelinap ke jiwa apabila berjabat mesra tangan si ibu lantaran keluhuran jiwanya berkorban untuk membesarkan anaknya.
Ketenangan, kesejukan dan kedamaian air sungai itu semakin menghilang apabila air terus mengalir semakin jauh ke bawah. Di sana air sungai itu terpaksa menghadapi pancaroba kehidupan dunia meterialistik. Tentu sekali kehidupan di sana amat berbeza dengan kehidupan di puncak titiwangsa. Suasana yang harmoni itu semakin dilupakannya. Semakin ke bawah semakin air bertukar warna, rasa dan perangainya. Mungkin itulah resam hidup, terikut-ikut atau terpengaruh dengan kuantiti yang ramai. Sedangkan Allah mengingatkan kita “ Dan jika kamu mengikut kebanyakan manusia di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah, tidaklah mereka ikut melainkan hanyalah kerana sangkaan sahaja dan mereka itu adalah pendusta”. Kalau dulu pepohon kayu di kiri kanan sungai hanya mencampakkan daun-daun nasihatnya, menjadikan air sungai itu lebih bertenaga, tetapi kini corong-corong asap, paip-paip pembuangan sisa dan longkang-longkang di kiri kanan sungai setiap hari hanya melepaskan segala anika sisa budaya jahiliah mereka ke dalam sungai. Pada mulanya mungkin air yang sudah banyak itu mampu bertahan tetapi kalau dah setiap hari dan setiap malam asyik dilepaskan segala macam sisa yang menjijikkan tentulah menyebabkan air sungai itu terpengaruh juga akhirnya dan tercemar. Kadang-kadang sisa-sisa toksid munkar dan bahan sisa kimia kufur yang beracun juga dilepaskan ke dalam sungai itu lalu menjadikan air sungai itu dicemari dengan racun pula. Bahkan kadang-kadang airnya sangat busuk dan membusukkan. Di beberapa sudut kelihatan perut-perut ikan bulat memutih terapung-apung di celah-celah kiambang yang semakin layu. Hanya biawak dan babi sahaja yang kadang-kadang mendekatinya untuk mendapatkan makanannya yang kotor dan busuk. Itulah perjalanan kehidupan air sungai yang tersalah laluan dan terpaksa melalui kehidupan yang memusnahkan masa depannya. Kini ia tidak lagi mampu untuk memberikan manfaat kepada orang lain bahkan dia juga turut terlibat untuk memusnahkan kehidupan yang lain.
Air di sini sudah rosak kerana telah dinodai oleh pengaruh persekitarannya yang mencemarkan. Kesuciannya telah dijahanamkan oleh makhluk yang yang berjiwa perosak yang mahu memuaskan nafsunya yang seketika. Air sungai yang rosak tentunya amat sukar untuk dipulihkan. Bahkan air itu dulunya dipuji dan di puja tetapi kini ia dicemuh, dihina dan tidak lagi dipedulikan. Kalau adapun yang mahu mengambil berat mungkin badan-badan sukarela, dewan bandaraya , badan-badan kebajikan dan pusat-pusat pemulihan. Nah, sekarang mungkin air sungai itu baru nampak hakikat kehidupan. Namun perjalanan sudah jauh ke bawah bahkan sudah hampir dengan penghujungnya. Mahu undur kebelakang dengan kebusukannya tidak mungkin sama sekali, kerana air dari gunung yang juga sudah dicemarii dalam perjalanan hidupnya, mencurah-curah turun mendesak supaya teruskan perjalanan yang menjijikkan itu. Lorong-lorong yang dilaluinya dulu dibayangkan dengan keindahan dan warna-warni siraman cahaya kotaraya hanyalah umpan yang memusnahkan kehidupannya. Sesalan tiada gunanya lagi. Awasilah tipudaya alunan kata-kata indah yang diterbitkan oleh paip-paip dan longkang-longkang yang menghanyutkan segala sisa. Alangkah bahagianya sungai-sungai yang mampu mengelak diri memasuki lorong-lorong di celah-celah kota batu yang penuh dengan tipu daya itu. Walau pun mereka terpaksa meredah hutan belukar, kejernihan mereka tidak dinodai bahkan kekal sebagai air mutlak dan selamat untuk semua makhluk. Haruan, keli, puyu, baung dan lain-lain lagi hidup dengan gembira di dalam sungai yang bersih itu tanpa gangguan pencemaran.
Bak kata orang, terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan buruk padahnya. Mengapa perlu meraba-raba masuk ke lorong-lorong yang gelap sedangkan cahaya Ilahi terang benderang menerangi jalan hidayahNya. Cahaya al-Quran dan as-Sunnah menerangi jalan yang pasti tidak memusnahkan kehidupan. Lilin-lilin hidayah yang dibawa oleh para salafus soleh dan Imam-imam, juga turut menerangi jalan-jalan yang seharusnya di lalui oleh kita. Bagaimana cahaya Ilahi mampu menembusi air yang keroh dan berkeladak. Sebaliknya air yang jernih tentu sekali mampu melihat segala apa yang terkandung di dalamnya. Justeru itu jagalah jiwa ini supaya setiasa jernih. Jika sudah terpercik dengan titisan kotoran maksiat, bersegeralah membersihkannya dengan penapis taubat dan masukilah ke sungai Taqwa.

1 ulasan:

umaq_eiman berkata...

ni kena hantar ke haluan ni bahsa mantap point padat...