Sabtu, 5 April 2008

WILAYAH JASAD

Semua penghuni di wilayah jasad memahami bidang kuasa masing-masing. Ketaatan dan kepatuhan mereka kepada Raja tidak berbelah bahagi. A kata Raja A lah semua mereka. Satu kata Raja, satulah semua. Memang itulah resam kehidupan masyarakat di Wilayah Jasad. Beruntunglah penghuni Wilayah Jasad yang diperintah oleh raja mereka yang berilmu dan bertaqwa. Amat rugilah Wilayah Jasad yang diperintah oleh raja yang jahil, bodoh dan tolol. Rakyat di Wilayah Jasad tidak pernah menyoal tentang untung atau rugi, sakit atau sihat, lemah atau kuat. Sebaliknya ketaatan mereka kepada Raja amat jitu, walau mereka dihumban ke gaung api membara.
Alkisah Wilayah Jasad bermula dari sebuah wilayah yang kecil, lemah dan lembek. Seorang Raja telah diberikan amanah untuk meminpin Wilayah Jasad. Raja dari awal lagi mempunyai cita-cita yang besar. Namun kelemahan Raja mengarah dan kelemahan rakyat jelatanya menerima arahan membuatkan Raja perlu bersabar untuk memenuhi impiannya. Semasa Wilayah Jasad dilahirkan Raja hanya tahu arahkan mulut nganga luas-luas, arahkan mulut keluarkan suara yang nyaring, arahkan kaki supaya menghentak-hentak dan arahkan tangan supaya mendepa-depa.
Sekian masa berlalu, semua penghuni wilayah jasad memperolehi banyak pengalaman untuk melaksanakan ketaatan kepada raja mereka. Mereka juga belajar peri pentingnya kerjasama sesama rakyat jelata. Mereka semua sedar setiap penghuni di Wilayah Jasad mempunyai pertalian yang sangat erat. Tangan tidak boleh hidup sendirian. Begitu juga kaki, mulut, dan seluruh anggota Wilayah Jasad. Jika tangan tidak menangkis lontaran batu yang mengena perut, bukan ertinya perut sahaja yang akan menanggung penderitaannya. Sebaliknya tangan juga akan merasainya. Tangan juga nanti perlu merawati perut yang parah itu. Tangan juga nanti akan mengangkat setingginya memanggil bantuan. Tangan juga nanti akan menggosok-gosokkan perut yang sakit itu. Jika Dubul tidak memberikan laluan kepada perut untuk mengeluarkan angin yang memulas di dalamnya, bukan ertinya perut sahaja memulas tetapi dubul juga akan terasa tidak keselesaannya. Oleh itu ketaatan kepada Raja dan kerjasama sesama rakyat amat-amat penting bagi menjamin kehidupan dalam masyarakat di Wilayah Jasad yang harmoni.
Keharmonian dan kedaulatan masyarakat di Wilayah Jasad tidak disenangi oleh musuh Raja. Puan Nafsu Ammarah Bissu’ adalah rakyat Raja yang membelot. Raja sering dinasihati supaya sentiasa berhati-hati dengan musuh dalaman ini, kerana dia adalah pengkhianat kadaulatan Wilayah Jasad. Puan Nafsu Ammarah Bissu’ mempamirkan pelbagai bentuk kenikmatan kepada Raja menyebabkan kadang-kadang Raja hilang pertimbangannya. Jika Raja terpesona dengan kenikmatan tersebut pasti seluruh rakyatnya nanti akan dikerahkan bekerja untuk meperolehi kenikmatan itu. Kadang-kadang Raja terlalu asyik dengan kenikmatan itu sehingga membahayakan penghuni Wilayah Jasad. Raja juga ditakut-takutkan dengan pelbagai ancaman oleh Puan Nafsu Ammarah Bissu’sehingga Raja takut untuk melakukan kebajikan. Puan Nafsu Ammarah Bissu’ tidak senang melihat raja senang. Dia sangat susah hati melihat raja tidak susah. Kebencian Puan Nafsu Ammarah Bissu’ seperti kebencian isteri Abu Lahab kepada Nabi Muhammad.
Raja juga dimusuhi oleh musuh luar yang dikepalai Jeneral Iblis Lahanat. Bala tentera yang dikepalai Jeneral Iblis Lahanat itu sangat ganas, jahat dan tidak ada belas kasihan. Namun Raja memiliki skuad elit yang hebat, perkasa dan berwibawa untuk menghadapi Puan Nafsu Ammarah bissu’ dan Jeneral Iblis Lahanat. Raja sepatutnya memastikan kumpulan elitnya, Iman dan Taqwa mengikuti modul latihan secara konsisten. Modul latihan seperti tahajjud, zikir, tilawah, amanah, jujur dan ikhlas adalah antara medan latihan yang sedia ada di Wilayah Jasad. Namun Puan Nafsu Ammarah bissu’ dan Jeneral Iblis Lahanat juga tahu kumpulan elit Raja yang melalui modul latihannya memang sukar untuk ditewaskan. Justeru itu, melalaikan Raja dari memikirkan kekuatan tentera elitnya adalah strategi yang sangat baik bagi Puan Nafsu dan Jeneral Iblis.
Peperangan dan permusuhan tersebut berterusan sehingga Wilayah Jasad itu dimusnahkan oleh satu kuasa Yang Maha Perkasa. Raja Wilayah Jasad yang telah dimusnahkan itu akan diadili oleh Kuasa Agung Yang Maha Adil. Raja yang berjaya dalam peperangan menentang Puan Nafsu Ammarah Bissu’ dan Jeneral Iblis Lahanat tentu sekali akan diberikan ganjaran yang amat ternilai. Raja yang tewas pula pasti tidak akan terlepas daripada hukuman yang amat dahsyat daripada kuasa Agung itu. Amat beruntung Raja yang awal-awal lagi sudah sedar tanggungjawabnya sebagai peminpin sepertimana yang Rasul sabdakan : “Setiap kamu adalah peminpin. Dan setiap peminpin bertanggungjawab terhadap jagaannya....”. Raja yang lalai, tidak bertanggungjawab dan pecah amanah akan dihukum hidup dalam buangan. Mereka akan di tempatkan di negara Api Menjulang-julang. Di negara Api Menjulang-julang hanya kedengaran suara-suara tangisan, rayuan, raungan dan pekikan yang tiada kesudahan. Di situlah mereka akan menjalani kehidupan yang tiada penghujungnya. “Nauzubillah min dzalik”.

Tiada ulasan: