Khamis, 30 Mei 2013

UCAPAN SEMPENA MESYUARAT AGUNG PLM 2013

Assalamualaikum warahmatulah,
 بسم الله الرحمن الرحيم الحمد لله رب العالمين، نحمده ونستعينه ونسترشده ونتوب اليه. والصلاة والسلام على نبيينا محمدصلى الله عليه والسلام وعلى آله واصحابه اجمعين. .
Pengerusi mesyuarat yang dikasihi, Yang berusaha Saudara Ikrimah selaku pengarah Wacana 2013 serta ahli-ahli jawatankuasa, Yang bebahagia Ahli Jawatankuasa induk PLM Yang berbahagia Cikgu Mohd Abdoh Zainal Abidin selaku penyampai ucap utama Yang berbahagia saudara-saudari jemputan penyampai forum petang ini Yang dimuliakan para alim ulama Yang dikasihi sahabat-sahabat dari persatuan-persatuan IPS. Seterusnya hadirin dan hadirat Wacana PLM 2013.

 1. PENDAHULUAN

 Alhamdulillah setinggi syukur kehadrat Allah, Atas anugerah-Nya; anugerah iman dan anugerah Islam, anugerah ukhuah dan anugerah mahabbah, kepada para lepasan Matri dari pelbagai peringkat dan pangkat. Syukur kita kepada Allah di atas ni’matNya dan rahmat-Nya yang melimpah ruah. Dengan rahmat-Nya hari ini dapatlah kita bertemu dan beramah mesra sesama kita. Semoga usaha diadakan pertemuan seumpama ini pada saban tahun diredhai Allah Taala. Abu Hurairah R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
إن الله تعالى يقول يوم القيامة: أين المتَحَابونَ بجَلالي؟ اليَوْمَ أُظِلُّهُمْ في ظِلِّي يَوْمَ لا ظِلَّ إلا ظِلِّي. رواه مسلم.
 “Sesungguhnya Allah Taala berfirman pada hari kiamat nanti: Manakah mereka yang berkasih-sayang (semasa di dunia) kerana keagungan-Ku? Hari ini Aku akan lindungi mereka pada hari yang tiada lagi perlindungan melainkan perlindungan-Ku."

 Terima kasih kepada semua yang hadir, sama ada yang jauh atau dekat, sama ada dalam negara mahu pun luar negara. Semoga kehadiran tuan-tuan dan puan-puan menyemarakkan lagi rasa tanggungjawab kita kepada Allah dan terhadap Deen Allah. Walaupun yang hadir pada hari ini adalah sebilangan kecil daripada bilangan yang sepatutnya lebih besar, namun kita berkeyakinan sebagian besar daripada mereka mempunyai cita-cita yang tinggi untuk turut serta bersama kita. Namun, disebabkan masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan seperti kekangan masa, masalah keluarga, kewangan, jarak yang jauh dan sebagainya. Namun mereka ini walaupun tidak bersama kita pada hari ini tetapi insya Allah hati-hati mereka bersama kita. Selain itu, saya berkeyakinan juga sebahagian daripada lepasan tidak menerima maklumat Wacana pada kali ini. Ini disebabkan, selepas menerima keputusan SPM, masing-masing membawa diri entah ke mana lansung tiada hubungan. Walaupun rakan seangkatan juga tidak dapat menghubungi. Oleh itu, kita memang mengharapkan kerjasama semua Lepasan untuk menghubungi semua lepasan supaya berdaftar di Laman Web Matri.

 2. KUMPUL AHLI

Wacana termeterai nian indah
melakar sejarah di auditorium utama
gerabak alumni kian bertambah
carilah arah kumpulkan anggota

 Hadirin Para Lepasan Yang dirahmati Allah Taala.

 Bilangan Lepasan Matri di jangkakan melebihi dua ribu orang setakat ini. Mereka ini perlu dikumpul dalam satu wadah. Lidi sebatang mudah dipatahkan. Namun bila batang lidi tadi dikumpulkan dalam satu ikatan kekuatannya tentu bertambah dan sukar pula untuk mematahkannya. Kerjasama anai-anai mampu membina sebuah bukit. Justeru usaha-usaha mengumpulkan para lepasan Matri dari pelbagai lapisan dan kedudukan terus menjadi agenda utama dalam PLM. Antara usaha-usaha yang telah kita laksanakan, melantik wakil-wakil lepasan mengikut mengikut ambilan SPM. Walaupun dia tidak sempat ambil SPM di Matri, hanya sempat belajar di tingkatan satu sahaja atau sekejap sahaja maka dia layak untuk kita pelawanya bersama kita berada dalam gerabak PLM. Di samping itu kita juga telah membuka pendaftaran secara online di Laman Web PLM. Diharapkan dengan sistem alam maya ini dapat memudahkan urusan para lepasan Matri untuk mendaftarkan nama.

 Setakat 1 April 2013, hanya 527 baru direkodkan dalam laman web PLM. Daripada senarai tersebut, mereka ini menurut rekod kami, seramai 161orang daripada mereka telah berdaftar sebagai ahli PLM. Nama-nama lepasan Matri amat penting untuk kita. Setiap kita berperanan mendapatkan maklumat sahabat-sahabat kita yang pernah bersama kita di Matri suatu ketika dahulu. Kita amat berharap setiap nama lepasan Matri dapat direkodkan dalam laman web PLM. Seterusnya bayar RM 5.00 kepada Bendahari untuk diaktifkan sebagai ahli PLM. Seterusnya bayar RM10.00 setiap tahun sebagai yuran tahunan. Wang-wang tersebut Insya Allah digunakan untuk kepentingan persatuan dan para lepasan Matri. Semoga lagi banyak ahli, lagi banyak wang, maka lagi banyak aktiviti yang dapat kita laksanakan.

 Saya mengambil kesempatan ini memohon maaf kepada semua lepasan Matri kerana masih banyak kelemahan dalam sistem online ini kerana masih baru lagi. Banyak maklumat lepasan Matri yang tidak dikemaskinikan. Kita menghadapi kekangan tertentu tetapi kita sedang usahakan untuk mengatasinya.

 3. BANTU MATRI

U I A tempat berwacana
berhimpun bersua bagai keluarga
membantu matri agenda bersama
hulurlah harta mahupun tenaga

 Antara tujuan diwujudkan Persatuan Lepasan Matri, adalah untuk membantu madrasah yang telah sama-sama kita terima didikan khususnya Tarbiah Islamiah. Mereka yang terdahulu telahpun berkorban masa, tenaga dan harta mereka untuk membangunkan institusi tersebut. Tanpa usaha jerih perih mereka tentu kita tidak merasa berada di institusi tarbiah ini. Mereka telah curahkan segalanya sebelum institusi tersebut dibina lagi. Namun sebelum itu mereka telah dibekal dengan pengisian jiwa dengan modul yang diasaskan oleh Almarhum Ustaz Dahlan Mohd. Zain Rahimahullah Taala. Setelah sekian tahun jiwa-jiwa tadi dididik dengan tarbiah Islamiah Harakiah, maka lahirlah jiwa-jiwa yang siap sedia untuk berkorban. Mereka telah berkorban dengan jiwa mereka untuk membangunkan institusi tersebut. Mereka senantiasa dingatkan dengan hadis nabi S.A.W. yang diriwayatkan oleh Muaz bin Jabal R.A.
 لاتزول قدما عبد يوم القيامة حتى يسأل عن أربع خصال : عن عمره فيما أفناه ، وعن ماله من أين اكتسبه ، وفيما أنفقه ، وعن علمه ماذا عمل فيه
“Tidak berganjak tapak kaki seorang hamba di hari qiamat nanti sehingga disoal tentang empat perkara; tentang umurnya di mana di habiskan, tentang hartanya dari mana dia perolehi dan di mana pula dia infakkan dan tentang ilmunya apa yang dia telah lakukan.”

 Sebahagian mereka yang telah melakukan pengorbanan besar membangunkan institusi tarbiah ini telah pergi meninggalkan kita. Sebagian daripada mereka sudah uzur dimamah usia. Sebahagian mereka masih memerah kudrat mereka di Matri untuk mencari husnul khatimah di institusi tarbiah itu. Itulah pengorbanan mereka yang terdahulu. Atas Iman kepada Allah Taala mereka telah berkorban membangunkan institusi tarbiah itu demi untuk umat. Untuk Islam. Untuk kita juga.

 Walaupun institusi itu telah terbangun, malah telah mengeluarkan hasilnya, dan sebahagian hasilnya ialah kita yang berada di dewan ini, namun pengorbanan masih diperlukan untuk meneruskan apa yang telah diusahakan oleh mereka yang terdahulu. Kenyataannya, membina institusi itu amat sukar. Memerlukan pengorbanan yang tinggi daripada anggota. Memerlukan jiwa-jiwa yang kuat yang berdegup dengan zikrullah. Namun sebenarnya mempertahankan istitusi yang telah dibina itu adalah lebih sukar dan payah. Mempertahankan institusi bukan sekadar mempertahankan bangunan daripada dimakan anai-anai. Itu mungkin senang, kita boleh upah pest kill. Itupun perlukan duit juga. Begitu juga mempertahankan bangunan itu supaya sentiasa bersih. Itupun mungkin gampang. Mempertahan bangunan bukan bererti mempertahankan fizikal bangunan semata-mata. Malah melangkaui mempertahankan agenda penubuhan Institusi itu sendiri. Sama ada mempertahankan fizikal bangunan ataupun mempertahankan ruhnya, atau kandungannya, atau isinya, semuanya memerlukan sokongan dan dokongan dan pengorbanan. Maka, siapa yang akan menyokong dan mendokong mempertahankan institusi tarbiah yang kita sendiri telah berada dan menerima didikan di dalamnya? Siapakah yang dapat diharap untuk meneruskan agenda penubuhan institusi ini. 

“Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa Yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa Yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa Yang telah mereka lakukan.”

 Mereka yang terdahulu telah melakukan yang terbaik untuk ditinggalkan untuk kita. Kita pula bagaimana? Sumbangan RM10.00 sebulan terus berjalan. Sumbangan daripada tuan-tuan dan puan-puan, encik-encik dan cik-cik masih terbuka luas. Masukkan ke Akaun bank Islam Persatuan Lepasan Matri atau terus serahkan kepada bendahari PLM. Di samping itu juga saya difahamkan pada wacana kali ini ada satu lagi kejutan yang insya Allah akan di lancarkan satu tabung untuk membantu Matri. Insya Allah petang nanti. Saya ucapkan syabas dan tahniah atas usaha tersebut. Moga Allah permudahkan usaha tersebut.

4. KESATUAN ANGGOTA

Pandu kereta bermusafir jauh
bersama taulan hadiri wacana
elak sengketa jauhi bermusuh
atas iman muafakat terbina.

 Di samping pengorbanan yang telah kita sebutkan, kita juga perlukan kesatuan dalam kalangan ahli PLM. Bagaimana kita dapat melaksanakan tugas dengan baik sedangkan sesama ahli bercakaran. Kita bukan melaksanakan tugas secara individu tetapi secara oraganisasi. Secara kolektif. Secara jamai. Sama-samalah kita renungi sabda Rasulullah S.A.W.
 التَّحَدُّث بنعمة الله شكر ، و تركها كفر ، و من لا يشكر القليل لا يشكر الكثير ، و من لا يشكر الناس لا يشكر الله ، و الجماعة بركة ، و الفرقة عذاب - حديث حسن
“Berbicara tentang nikmat Allah itu syukur, sedangkan meninggalkannya kufur, sesiapa yang tidak bersyukur sedikit dia tidak akan bersyukur banyak. Sesiapa yang tidak mensyukuri (berterima kasih) kepada manusia dia tidak bersyukur kepada Allah. Berjamaah itu barakah dan berpecah belah itu azab” – Hadis Hasan. 

Walaupun rambut sama hitam tetapi hati lain lain. Walaupun kita sama-sama terima didikan di tempat yang sama, tetapi merasainya tentu berbeza. Justeru, utamakan soal asas daripada soal rantingan. Api persengketaan perlu dipadamkan dengan segera. Jangan sekali-kali kita curahkan minyak perbalahan sesama kita. Perlu ada bertolak ansur. Jangan mudah menghukum sesama kita. Banyakkan husnun Dzan. Kita dididik dengan keikhlasan dalam berkerja. Kita dilatih melaksanakan kerja hanya sanya untuk Allah Taala. Elakkan daripada bangga diri, menunjuk-nunjuk, berbangga dengan kerja kita dan sebagainya. Seterusnya, kita serahkan kepada Allah Taala tentang apa yang ada dalam hati mereka. Kembalilah kepada Al-Quran. Kembalilah kepada As-Sunnah An Nabawiyah. Marilah kita bina kesatuan kita ini atas asas iman kepada Allah Taala. Marilah kita bina kasih sayang kita atas ukhuah fil-Lah. Kita usahakan sedaya mungkin membina kasih sayang seumpama kasih sayang para sahabat R.A. di sisi Rasulullah S.A.W.

 "Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama mereka”. Al-fath: 29

Sahabat-sahabatku yang dikasihi.

 Elakkan perkara yang membawa kepada sengketa, prasangka, syak wasangka, kata mengata, sindir menyindir, dan mengkritik tanpa mengetahui hujung pangkal. Kemudahan yang Allah anugerahkan di alam fana kita manfaatkan sepenuhnya untuk Islam dan untuk umat. Untuk tingkatkan iman kita bersama. Untuk tingkatkan ukhuah dalam kalangan kita. Untuk menunaskan bunga-bunga cinta dan kasih sayang sesama kita. Kemudahan-kemudahan yang Allah anugerahkan ini semuanya sebagai wasilah untuk hamba-Nya merealisasikan ubudiyah kepada Allah Taala dan ingatlah, kita akan dipertanggungjawabkan setiap anugerah itu kepada kita di akhirat nanti. Kita akan disoal dengan apa yang telah kita lakukan dengan kemudahan yang Allah berikan kepada kita, dan dengan kebolehan, kemahiran yang Allah anugerah kepada kita. Marilah, kita tingkatkan kasih sayang sesama kita. Ingatlah pedoman yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W.
 مَنْ لَا يَرْحَمْ لَا يُرْحَمْ
“Sesiapa yang tidak menyayangi maka dia tidak akan disayangi”.

 5. PEKERJA YANG AKTIF

 Padang terap tanah ibunda
bertemu jodoh di Darul Ridwan
memang diharap saranan berganda
bukankah luluh laksana abaikan?

 Selain kesatuan terbina dengan utuh dan kasih sayang tersirat dengan kukuh atas keimanan kepada Allah Taala, kita juga memerlukan tenaga untuk mengerakkan jentera PLM. Makin banyak gerabak lepasan, maka makin banyak tenaga yang kita perlukan untuk menggerakkan gerabak-gerabak alumni Matri. Tidak terdaya hanya seorang dua sahaja hendak mengheret paling kurang pun 19 gerabak menengah dan 23 gerabak khassah.

 Oleh itu kita memang memerlukan tenaga yang banyak. Kita memerlukan Sokongan dan dokongan daripada hadirin dan hadirat sekalian. Kita memerlukan sumbangan idea, cadangan, saranan dan pandangan daripada tuan-tuan dan puan-puan. Media seperti FB PLM sememangnya mengalu-alukan curahan idea suci daripada kalian. (Bukan sekadar iklan bisnes kita sahaja). Selain FB, kita juga boleh mengemukakan pandangan dalam apa jua cara. Sememangnya banyak pun pandangan-pandangan yang kita terima sama ada dalam kalangan lepasan Matri sendiri mahupun mereka yang perihatin dengan lepasan yang bukan daripada kalangan lepasan Matri. Memanglah, nak bagi pandangan itu mudah. Tak perlu modal. Namun suka saya ingatkan diri saya dan sahabat-sahabat sekalian Firman Allah Taala: “Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu Yang kamu tidak melakukannya”. Saff: ayat 3.

 Oleh sebab itu, dalam keghairahan memberikan pandangan dan cadangan kita perlu berhati-hati jangan sampai jatuh dalam murka Allah. Saya berharap kita semua fahami bahawa cadangan atau pandangan dikemukan itu merupakan cadangan dan pandangan semata-mata. Bukannya keputusan yang mesti dilaksanakan. Keputusannya kita serahkan kepada pihak yang diamanahkan oleh kalian. Berdasarkan ilmu, pengalaman dan perkiraan dari pelbagai sudut, kita berdoa semoga dengan kebijaksanaan yang ada pada mereka dapat mempertimbangkan dengan sebaiknya untuk dilaksanakan. Moga-moga Allah Taala memberikan mereka petunjuk yang terbaik untuk memutuskan sesuatu tindakan. Oleh itu kita tidak perlu mendesak kerana kita sedar bahawa cadangan kita ikhlas kerana Allah. Kita juga sedar mereka yang menerima amanah juga bertanggungjawab dihadapan Allah untuk menilai dengan seadilnya pandangan yang telah kita kemukakan.

 Sebenarnya yang lebih penting daripada cadangan bagi kita “Rijal”. Kita memerlukan tenaga penggerak yang terjun di medan amal. Kita memerlu mereka yang turut serta dalam melaksanakan agenda PLM. Kita tidak mahu mereka yang hanya duduk sambil mengarah sana dan sini, tetapi hanya melihat dan mendengar sahaja apa orang lain buat.

“Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) Dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar”; - An-Nisa’: 95.

 Kita sangat memerlukan peminpin yang bijak merancang, yang berwawasan, jelas hala tujunya dan dapat menggerakkan jenteranya menuju matlamat. Kita juga memerlukan pekerja dan jundi yang setia dan komited dalam membantu kepimpinan yang dilantik untuk melaksanakan perancangannya. Bagaimana seorang peminpin yang memiliki wawasan yang hebat tetapi dia hanya dibarisi dengan exco pahat atau kabinet lesu dan jumud? Bagaimana jika setiap orang begitu ghairah memberikan pandangan, cadangan, dan saranan, tetapi apabila tiba masa bertindak tiada siapapun berani menghulurkan kepala. Atau saling menunjukkan orang lain. Kalau ada pun, mungkin tiada pula rasa masuliah atau tanggungjawab. Maka hasilnya perancangan tinggal perancangan, cadangan hanya tinggal cadangan. Duit habis merangka perancangan, masa habis melontarkan idea tetapi cadangan hanya tinggal cadangan, pandangan tinggal pandangan. Kadang-kadang ada juga selepas cadangan, datang pula kritikan-kritikan tanpa mengetahui hujung pangkal. Itu lagilah dahsyat.

 Ingatlah Masuliah kita, tanggungjawab kita dengan Allah Taala. Kita memberikan saranan, pandangan dan cadangan kerana rasa masuliah, rasa tanggungjawab kita di hadapan Allah Taala. Bukan kerana nak tunjuk kita pandai, kita banyak idea. Begitu juga kita menerima dan melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada kita juga kerana rasa masuliah kita kepada Allah Taala.

“(Keluarnya manusia dari kubur masing-masing itu ialah) kerana Allah akan membalas tiap-tiap seorang apa yang ia telah usahakan; Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya”.

 Sama-sama kita renungi kata-kata Al-Imam Hassan: “Wahai Ikhwan, saya mahu berterus terang dengan kamu kerana tiada guna lagi saya berselindung. Medan bercakap tidak sama dengan medan berkhayal. Medan beramal tidak sama dengan medan bercakap. Medan berjihad tidak sama dengan medan beramal. Medan berjihad yang hakiki tidak sama dengan medan berjihad yang palsu”.

 Oleh itu, kita perlu berusaha sehingga sampai berada di medan jihad hakiki. Kita utamakan amali daripada teori. Kita utamakan kerja daripada bercerita. Kita utamakan amal daripada angan-angan. Kita utamakan pelaksanaan daripada pelan.

 6. MATLAMAT YANG BETUL

 Masakan Pak lah sudah serasi
sayur petola goreng keli
mardhotillah matlamat asasi
Islam berwibawa itu di hajati

 Sahabat-sahabat, sahibah-sahibah hadirin dan hadirat

 Mengapa perlunya kita kepada organisasi ini?
 Mengapa perlunya kita hadir ke perjumpaan lepasan Matri saban tahun?
 Apakah kita hadir di sini untuk bertemu sahabat lama kita semata-mata?
 Apakah kita hadir di sini untuk memenuhi jemputan wakil batch kita sahaja?

 Saya yakin dalam kalangan kita yang hadir di sini selain persolan-persoalan di atas, tentu ada sesuatu yang tersemat di sanubari yang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Hati dan jiwa membuak-buak mendesak kita supaya hadir. Kita tahu nak hadir ke sini perlu korban masa, korban tenaga dan korban wang ringgit lagi. Ada yang tiada wang usaha juga datang. Ada juga dalam kalangan kita ini yang memiliki pelbagai komitmen pada hari ini, tetapi ambil keputusan bertekad untuk datang ke sini.

 Pertama sekali marilah kita berdoa kepada Allah Taala semoga Allah Taala terima tindakan kita ini dan Allah Taala redha dengan tindakan kita ini. Saya berkeyakinan kerja-kerja kita ini tergolong dalam kerja-kerja ibadah. Selari dengan tuntutan Allah Taala yang bermaksud: "Tidaklah Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku"

 Ibadah yang kita fahami ialah ibadah dalam mafhum yang mencakup semua bidang hidup termasuk bidang pendidikan (tarbiah) yang mana hala tuju tarbiah Islam adalah amat besar iaitu menyedia dan membina insan soleh. Allah Taala menerangkan ciri-ciri orang soleh ini antaranya dalam ayat 114: surah Al- Imran: “ mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat Segala perkara yang baik, dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang Yang soleh”.

 Inilah antara ciri orang soleh yang dikehendaki oleh Allah Taala. Oleh itu, kita telah merendahkan diri kita dengan rasa khusyuk dan tawaduk di hadapan Allah untuk turut serta dalam perjumpaan ini kerana hadir untuk ditarbiah ditingkatkan menjadi insan soleh. Dalam perjumpaan ini kita diingatkan oleh para murabbi kita dan rakan-rakan murabbi kita, supaya menghayati peribadi insan soleh dalam amalannya, tingkah lakunya dan sebagainya. Dalam perjumpaan ini juga kita berusaha mewujudkan suasana solehah ataupun biah solehah sepertimana yang dikehendaki oleh Allah. Suasana seumpama ini memang penting kepada kita supaya kita sentiasa kekal sebagai insan soleh. Kita juga menyedari untuk melakukan perubahan kepada individu bukan boleh diubah dengan hanya mengadakan perjumpaan ini sahaja, namun perlu disusuli dengan suasana-suasana yang mendidik secara bereterusan.

 Bahkan, kita dituntut bukan sekadar soleh seorang diri sahaja tetapi juga ditingkat menjadi Musleh kepada sahabat-sahabat lepasan Matri Khasnya dan masyarakat amnya. Jika kita teliti dalam ayat-ayat surah Al-Asr yang kita bacakan setiap kali selepas pertemuan maka kita dapat perhatikan Allah Taala mengisyaratkkan orang yang tidak rugi pada sisi Allah ialah mereka yang soleh dan juga musleh. Mereka yang dikecualikan daripada rugi oleh Allah Taala, ialah mereka yang beriman dan beramal soleh. Ini mengisyaratkan sifat peribadi iaitu soleh. Tidak cukup dengan dia soleh dirinya sendiri tetapi Allah SWT menambahkan lagi berpesan kepada kebenaran dan berpesan kepada kesabaran. Kata berpesan itu sendiri menunjukkan interaksi dengan orang lain. Oleh itu, jelaslah di sini selain kita mengislahkan diri sendiri kita juga perlu mengajak dan mengislahkan orang lain.

 Bukankah ini antara tujuan kita hadir ke sini. Kita perlu jelas matlamat kita berkumpul di sini. Di samping kepuasan-kepuasan yang kita perolehi ketika berada di sini, tetapi yang lebih utama kita juga mendapat redha Allah Taala. Itulah yang lebih utama dan besar. At-Taubah:72

 Menganyam atap daun nipah
dibuat bumbung untuk berteduh
gandingan mantap memikul masuliah
Hamasatus Syabab hikmatus Syuyukh

 Sahabat-sahabat/ Ikhwah dan Akahawat yang dikasihi sekalian

 Pada tahun ini kita diberi peluang untuk memilih muka baru menerajui PLM. Saya amat berharap keikhlasan kalian dalam pemilihan jawatankuasa sebentar lagi bagi menentukan hala tuju masa depan PLM. Sekali lagi ingin saya tegaskan di sini pimpinan yang terpilih sebenarnya menerima masuliah atau tanggungjawab di hadapan Allah. Kalian yang memilih juga sebenarnya bertanggungjawab dengan pilihan tersebut. Oleh itu, kita perlu berhati-hati dalam memilih bakal peminpin yang akan melaksanakan tugasan-tugasan yang dipertanggungjawabkan. Saudara-saudara hadirin harus takut dengan amaran Rasulullah SAW:
 من استعمل رجلًا على عِصابةٍ وفيهم من هو أرضَى للهِ منه فقد خان اللهَ ورسولَه والمؤمنين
“Sesiapa yang melantik seseorang (untuk jawatan tertentu) berdasarkan kroni sedangkan dalam kalangan mereka ada yang lebih diredhai oleh Allah daripada orang itu, sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman".

 Pada hemat saya, ada beberapa perkara yang perlu kita berikan perhatian dalam pemilihan kepimpinan PLM ini.

 1. Keutamaan kita berikan kepada mereka yang paling mulia dalam kalangan kita. Maka di sini ingin saya umumkan lepasan yang paling mulia dalam kalangan kita ialah "Sesungguhnya semulia-mulia dalam kalangan kalian di sisi Allah mereka yang paling taqwanya."

 2. Berikutnya, kita juga perlu mengambil kira calon yang dipilih adalah dalam kalangan mereka yang memiliki ilmu khususnya ilmu syarak dan ilmu pengurusan . Di samping itu juga, beliau tidak ketinggalan dalam maklumat asas berkaitan undang-undang pertubuhan. Maka dengan itu tindakannya lebih cenderung kebenaran daripada kesilapan. Apabila dia bertindak bukan atas dasar ilmu maka dibimbangi dengan peringatan Rasulullah SAW
 مَن أفتى بغيرِ علمٍ لعنتهُ ملائِكةُ السَّماءِ والأرضِ – حديث حسن
“Sesiapa yang memutuskan sesuatu tanpa ilmu pengetahuan maka para malaikat langit dan bumi akan melaknatnya”

 3. Di samping itu, calon yang dipilih mestilah sihat dan gagah perkasa. Barulah dia boleh buat kerja dengan cergas. Bergerak laju. Demikian jugalah antara syarat yang dinyatakan oleh Allah Taala dalam memilih Talut sebagai panglima angkatan perang, selain daripada memiliki ilmu, Talut juga memiliki fizikal yang gagah;
 “Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. mereka menjawab: "Bagaimana Dia mendapat kuasa memerintah kami sedangkan kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan Dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". dan (ingatlah), Allah jualah Yang memberikan Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.” – Al-Baqarah: 247.

4. Seseorang yang dicalonkan perlulah ada hubungan dan ikatan yang kuat dengan institusi dan organisasi tersebut. Jika dia sendiri tidak ada rasa apa-apa dengan institusi itu, kalau institusi itu nak rosak dia buat tak tahu, kalau institusi itu berjaya dia “oh ana tak tau pun”, jadi bagaimana dia dapat meminpin oraganisasi atau intitusi tersebut dengan berkesan. Oleh itu, dia perlu ada hubungan yang kuat dengan Islam dan hubungan yang kuat dengan Matri. Saya tidak bermaksud dia mesti kerja di Matri baru ada hubungan dengan Matri. Walaupun dia bekerja di luar Matri, tetapi hati dan jiwa sentiasa memikirkan berkaitan Matri, Hatinya senantiasa berhubungan dengan Matri. Maksud saya hubungan dengan Matri itu hubungan dengan kerja-kerja Islam yang ada di Matri, iaitu bagaimana mahu menyemarakkan pendidikan dan pentarbiahan di Matri sama ada guru-gurunya, staf bukan akademiknya, pelajar-pelajarnya dan ibubapanya. Jika hubungannya dengan dengan Matri kuat, maka insya Allah dia akan berekerja kuat dalam PLM untuk Matri ataupun untuk kerja-kerja Islam, Insya Allah.

5. Akhirnya, antara kriteria pilihan kepimpinan, saya harap dalam pemilihan ini ada dalam kalangan mahasiswa di IPT membarisi pimpinan PLM kali ini sebagai barisan pelapis. Tenaga pemuda sangat penting. Imam Hassan sendiri mengeluarkan satu risalah yang berjudul “Aiyuhas- Syabab”.

 Menurut Al-Imam, fikrah itu akan meraih kejayaan apabila keimanan yang kuat terhadap fikrah itu, keikhlasan yang menyeluruh dalam tindakannya, meluap-luap semangat dengannya, dan kesediaannya untuk berkorban dan melaksanakannya. Keempat-empat ciri ini merupakan ciri-ciri pemuda yang akan memikul masuliah ini dengan keyakinan, ikhlas, bersemangat dan bersedia untuk bertindak.

Namun, suka saya ingatkan Gelora semangat pemuda perlu diimbangi dengan hikmah orang lama. Mudah-mudahan ilmu serta pengalaman yang mereka telah lalui menjadi pedoman dalam tindakan yang kadang-kadang sudah terbabas daripada landasan lantaran semangat yang tinggi. Oleh itu dalam semangat kerja yang tinggi dalam kalangan pemuda jangan lupa juga orang lama. Biarlah kepimpinan PLM kali ini ada keseimbangan antara semangat orang muda dan hikmah orang lama.

 Semoga Allah memberikan petunjuk-Nya bagi menentukan kepimpinan kita yang terbaik sepertimana yang dikehendaki Allah dan Rasulnya.

Nama Matri sudah semerbak
warisan suci Ustaz Dahlan
umur Matri Jubli Perak
Menanti hari kita raikan

 Akhir sekali sebelum saya mengakhiri ucapan ini, izinkan saya memaklumkan Sambutan Jubli Perak Matri 2013 (SJPM13). Awalnya dicadangkan sambutan tersebut di adakan pada 23 Mei – 26 Mei 2013. Disebabkan tarikh pilihanraya yang tidak menentu maka tarikh tersebut telah ditunda pada 29 Ogos hingga 1 September. Pihak penganjur meminta lepasan Matri melibatkan diri secara aktif. Insya Allah nanti kita akan hubungi mereka yang terpilih untuk membantu menjayakan SJMP13.

 Banyak aktiviti yang telah dirancang antaranya Jual Meja Jamuah Makan Malam untuk mengumpul dana Matri. Saya amat berharap dalam kalangan Lepasan Matri yang berkempuan lebih berkongsi membeli untuk satu meja. Kalau kita tidak dapat hadir pun tak apa sebab ada yang boleh tolong ganti. Kalau tidak salah saya, 1 meja RM 1,000 untuk sepuluh orang. Antara tetamu Vvip yang dijangka hadir ialah DYMM Raja Muda Perlis dan MB pada masa itu. Saya difahamkan juga, kehadiranHafiz Hamidon menyerikan lagi majlis makan malam. Insya Allah majlis pelancaran buku “Mengenang Murabbiku Ustaz Dahlan yang disusun oleh Hilal Asyraf juga pada malam tersebut. Selain itu ada juga forum yang menjemput tokoh-tokoh tanahair termasuklah Imam Muda Asyraf.  Kita PLM insya Allah akan buka gerai jualan dan khemah promosi PLM. 

Wang Mu dusun Pak Aji
tempat melatih wira wirawati
hadiah tiada untuk memberi
terima kasih sebagai ganti

 Akhir sekali sebelum saya mengundur diri, saya bagi pihak Persatuan Lepasan Matri, mengucapkan Jazakumullah kharal jazak kepada tuan rumah, warga UIA khususnya dan sahabat-sahabat di wilayah tengah amnya, kami tahu nak anjur wacana ni bukan mudah, semoga Allah memberkati dan melipatgandakan amalan kalian. Buat jawatankuasa, syabas dan tahniah, Melaksanakan tugas penuh tabah, tanpa mengira letih dan lelah. Buat penyumbang yang bermurahhati menghulur sumbangan sebagai jariah, Syukran jazilan, wa barakallah. Ya Allah, berkatilah perniagaan mereka. Juga tidak dilupakan buat semua hadirin yang dirahmati Allah, dan yang terlibat dalam apa jua wadah, bagi menjayakan wacana yang diberkati Allah, sekalung penghargaan dan syukran jazilan. Tanpa kehadiran antum tentunya program ini tiada serinya.

 Saya bagi pihak AJK induk PLM memohon maaf kepada semua lepasan Matri di atas kelemahan pengurusan kami. Kami sedar sememangnya banyak kelemahan yang perlu kami baiki.

Basah kepala peluh berlecun
main bola tak sedar diri
salah bicara mohon ampun
izinkan saya mengundur diri

 Sekian aqulu qawli hadza, wa astaghfirullah al-Adzim wassalamualaikum warahmatullah.