Ahad, 13 April 2008

SALAH SIAPA

ISLAH

Satu pagi seorang guru teman sekerja yang sebaya saya merungut dengan nada sesal katanya: 'Cikgu-cikgu sibuk PMR dan SPM sahaja. Anak murid kita ada yang tak boleh baca al Quran lagi'. Sekali fikir benar juga kata-kata itu. Pusat-pusat tuisyen mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Adakah pengajaran di sekolah tidak mencukupi? Ada juga sampai buat solat hajat perdana memohon kejayaan cemerlang UPSR, PMR dan SPM. Begitulah kebimbangan yang dipamerkan oleh masyarakat terhadap perkembangan prestasi akademik anak-anak. Namun jarang pula kita dengar pihak sekolah mengadakan solat hajat perdana memohon Allah taala selamatkan remaja-remaja kita terjerumus masalah sosial. Isu-isu gangster, rempit, zina dan buli. Seolah-olah sudah sinonim dengan remaja. Terdengar juga kes-kes murtad, namun kita tidak ada fakta yang pasti. Apakah ini semua masalah remeh untuk remaja muslim khususnya?

Siapakah seharusnya menangani isu keruntuhan moral remaja? Cukupkah hanya sesama kita bercakap tentang kerja-kerja musuh meruntuhkan akhlak remaja Islam? Patutkah kita meletakkan semua tanggungjawab kepada orang lain? Guru akademik mempersoalkan kualiti pengajaran guru-guru agama. Guru-guru agama pula mempersoalkan keperihatinan guru-guru akademik memberikan bimbingan akhlak terhadap pelajar. Ibu bapa pula meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada sekolah. Pelajar pula menyalahkan emak dan ayah yang sibuk dengan kerja.

Sungguh indah firman Allah Taala yang bermaksud; 'Peliharalah diri kamu, dan keluarga kamu dari siksaan neraka'. Justeru itu sama-samalah kita lihat ruang lingkup bidang kita. Kita masing-masing perbaiki kelemahan diri kita sendiri. Kesilapan masa lalu jadikan sempadan. Kualiti diri dijana dan ditingkatkan. sama-sama kita jaga penjuru-penjuru kita daripada kita sibuk meninjau penjuru orang lain. Kita akan berjaya jika kita memfokuskan matlamat urusan kita kerana Allah dan melaksanakan Islam dalam kehidupan kita.

Wallahu 'aklam.

Sabtu, 5 April 2008

WILAYAH JASAD

Semua penghuni di wilayah jasad memahami bidang kuasa masing-masing. Ketaatan dan kepatuhan mereka kepada Raja tidak berbelah bahagi. A kata Raja A lah semua mereka. Satu kata Raja, satulah semua. Memang itulah resam kehidupan masyarakat di Wilayah Jasad. Beruntunglah penghuni Wilayah Jasad yang diperintah oleh raja mereka yang berilmu dan bertaqwa. Amat rugilah Wilayah Jasad yang diperintah oleh raja yang jahil, bodoh dan tolol. Rakyat di Wilayah Jasad tidak pernah menyoal tentang untung atau rugi, sakit atau sihat, lemah atau kuat. Sebaliknya ketaatan mereka kepada Raja amat jitu, walau mereka dihumban ke gaung api membara.
Alkisah Wilayah Jasad bermula dari sebuah wilayah yang kecil, lemah dan lembek. Seorang Raja telah diberikan amanah untuk meminpin Wilayah Jasad. Raja dari awal lagi mempunyai cita-cita yang besar. Namun kelemahan Raja mengarah dan kelemahan rakyat jelatanya menerima arahan membuatkan Raja perlu bersabar untuk memenuhi impiannya. Semasa Wilayah Jasad dilahirkan Raja hanya tahu arahkan mulut nganga luas-luas, arahkan mulut keluarkan suara yang nyaring, arahkan kaki supaya menghentak-hentak dan arahkan tangan supaya mendepa-depa.
Sekian masa berlalu, semua penghuni wilayah jasad memperolehi banyak pengalaman untuk melaksanakan ketaatan kepada raja mereka. Mereka juga belajar peri pentingnya kerjasama sesama rakyat jelata. Mereka semua sedar setiap penghuni di Wilayah Jasad mempunyai pertalian yang sangat erat. Tangan tidak boleh hidup sendirian. Begitu juga kaki, mulut, dan seluruh anggota Wilayah Jasad. Jika tangan tidak menangkis lontaran batu yang mengena perut, bukan ertinya perut sahaja yang akan menanggung penderitaannya. Sebaliknya tangan juga akan merasainya. Tangan juga nanti perlu merawati perut yang parah itu. Tangan juga nanti akan mengangkat setingginya memanggil bantuan. Tangan juga nanti akan menggosok-gosokkan perut yang sakit itu. Jika Dubul tidak memberikan laluan kepada perut untuk mengeluarkan angin yang memulas di dalamnya, bukan ertinya perut sahaja memulas tetapi dubul juga akan terasa tidak keselesaannya. Oleh itu ketaatan kepada Raja dan kerjasama sesama rakyat amat-amat penting bagi menjamin kehidupan dalam masyarakat di Wilayah Jasad yang harmoni.
Keharmonian dan kedaulatan masyarakat di Wilayah Jasad tidak disenangi oleh musuh Raja. Puan Nafsu Ammarah Bissu’ adalah rakyat Raja yang membelot. Raja sering dinasihati supaya sentiasa berhati-hati dengan musuh dalaman ini, kerana dia adalah pengkhianat kadaulatan Wilayah Jasad. Puan Nafsu Ammarah Bissu’ mempamirkan pelbagai bentuk kenikmatan kepada Raja menyebabkan kadang-kadang Raja hilang pertimbangannya. Jika Raja terpesona dengan kenikmatan tersebut pasti seluruh rakyatnya nanti akan dikerahkan bekerja untuk meperolehi kenikmatan itu. Kadang-kadang Raja terlalu asyik dengan kenikmatan itu sehingga membahayakan penghuni Wilayah Jasad. Raja juga ditakut-takutkan dengan pelbagai ancaman oleh Puan Nafsu Ammarah Bissu’sehingga Raja takut untuk melakukan kebajikan. Puan Nafsu Ammarah Bissu’ tidak senang melihat raja senang. Dia sangat susah hati melihat raja tidak susah. Kebencian Puan Nafsu Ammarah Bissu’ seperti kebencian isteri Abu Lahab kepada Nabi Muhammad.
Raja juga dimusuhi oleh musuh luar yang dikepalai Jeneral Iblis Lahanat. Bala tentera yang dikepalai Jeneral Iblis Lahanat itu sangat ganas, jahat dan tidak ada belas kasihan. Namun Raja memiliki skuad elit yang hebat, perkasa dan berwibawa untuk menghadapi Puan Nafsu Ammarah bissu’ dan Jeneral Iblis Lahanat. Raja sepatutnya memastikan kumpulan elitnya, Iman dan Taqwa mengikuti modul latihan secara konsisten. Modul latihan seperti tahajjud, zikir, tilawah, amanah, jujur dan ikhlas adalah antara medan latihan yang sedia ada di Wilayah Jasad. Namun Puan Nafsu Ammarah bissu’ dan Jeneral Iblis Lahanat juga tahu kumpulan elit Raja yang melalui modul latihannya memang sukar untuk ditewaskan. Justeru itu, melalaikan Raja dari memikirkan kekuatan tentera elitnya adalah strategi yang sangat baik bagi Puan Nafsu dan Jeneral Iblis.
Peperangan dan permusuhan tersebut berterusan sehingga Wilayah Jasad itu dimusnahkan oleh satu kuasa Yang Maha Perkasa. Raja Wilayah Jasad yang telah dimusnahkan itu akan diadili oleh Kuasa Agung Yang Maha Adil. Raja yang berjaya dalam peperangan menentang Puan Nafsu Ammarah Bissu’ dan Jeneral Iblis Lahanat tentu sekali akan diberikan ganjaran yang amat ternilai. Raja yang tewas pula pasti tidak akan terlepas daripada hukuman yang amat dahsyat daripada kuasa Agung itu. Amat beruntung Raja yang awal-awal lagi sudah sedar tanggungjawabnya sebagai peminpin sepertimana yang Rasul sabdakan : “Setiap kamu adalah peminpin. Dan setiap peminpin bertanggungjawab terhadap jagaannya....”. Raja yang lalai, tidak bertanggungjawab dan pecah amanah akan dihukum hidup dalam buangan. Mereka akan di tempatkan di negara Api Menjulang-julang. Di negara Api Menjulang-julang hanya kedengaran suara-suara tangisan, rayuan, raungan dan pekikan yang tiada kesudahan. Di situlah mereka akan menjalani kehidupan yang tiada penghujungnya. “Nauzubillah min dzalik”.

FIRDAUS KEKASIHKU

FIRDAUS KEKASIHKU.

Bongkah-bongkah bukit di sebalik mega merah menggamit kedatangan pengunjung-pengunjungnya . Tidak ada siapa pun yang pernah melihat dengan matanya sendiri apa yang ada di sana. Namun itulah impian setiap insan yang punyai jiwa iman. Khabar-khabar indah disebut-sebut walaupun mereka tidak pernah ke sana. Yang pernah ke sana tidak pula pernah kembali untuk menceritakan keindahan di sana dan tidak pula pernah juga menghantar khabar berita. Khabarnya siapa yang ke sana akan lupa segala nikmat dan keenakan di persada dunia lantaran keseronokan dan kenikmatan yang tidak tolok bandingnya di sana. Khabarnya di sana segala-galanya indah belaka. Di sana terdapat taman-taman yang dialiri di bawahnya sungai-sungai. Sungai-sungai itu pula mengalirkan beraneka jenis air yang lazat lagi berzat yang tidak ada tolok bandingnya untuk minuman penghuninya. Khabarnya di sana terdapat nyanyian-nyanyian indah yang tidak ada tolok banding merdunya mendodoi telinga hingga tidak ada jemu mendengarnya. Khabarnya di sana semuanya gadis-gadis rupawan menawan kalbu yang tidak ada tolok banding jelitanya. Kedip matanya sahaja nikmat tak terhingga.Khabarnya di sana disediakan mahligai-mahligai yang tersergam indah dan lengkap dengan segala eksesorinya yang tidak ada tolok banding cantik dan canggihnya. Pendek kata segala-galanya yang ada di sana tidak mampu untuk kita bandingkan dengan segala keindahan yang pernah kita kecapi. Lantaran itu Firdaus adalah pulau idaman setiap insan yang yakin dengan khabar yang sangat yakin. Namun pelayaran ke sana adalah sebuah pelayaran yang menyeronokkan tapi cukup mencabar.

Deruan ombak nafsu menggoda minda siapa sahaja yang terlintas di fikirannya ingin menduduki pulau tersebut. “Mengapa kamu mahu tinggalkan tanah tumpah darahmu yang selama ini kamu kecapi nikmatnya”. Sesekali ombak nafsu menyapa minda. “Lihatlah kepulan awan hitam di langit sana. Apa kamu mahu mampus dengan taufan dan gelora yang besar itu”. Usik ombak fitnah pula. Sesekali bayu laut sepoi-sepoi bahasa nyaman membisikkan ke telinga : “Sapaan ombak itu hanyalah perasaan kamu sahaja. Itulah syaitan yang sengaja mahu menghalang kamu ke sana”. “Menghalang? Kenapa dia menghalang?”. “Ya! Dia menghalang sebab dia diharamkan ke sana. Dia akan dicampakkan ke Kubang Neraka. Dia tidak mahu keseorangan di dalam kubang neraka”. Sapaan ombak tidak kunjung habisnya. Cuma kadang-kadang kuat dan kadang-kadangnya lembut. Bila di lihat jiwa sudah mula terpengaruh dengan nasihat bayu laut, ombak nafsu dan syaitan terus menyapa dengan kelembutan dan keindahan material di pergigian pantai dunia pula. “Lihatlah di sini pantai memutih terbentang luas. Nanti malam kamu akan lihat bintang-bintang hollywood dan bollywood bergemerlapan di langit yang tiada sempadannya lagi. Dan apa sahaja yang kamu mahu kamu boleh dapat di sini. Kamu mahu wanita yang jelita, harta yang kaya atau takhta yang berkuasa. Rebutlah semahu kamu sementara kamu masih di sini ”. Jiwa pondan pasti goyah dibuai ombak nafsu dan syaitan. Kadang-kadang terus leka melayan belaian ombak nafsu dan syaitan yang tidak mahu hentinya. Jiwa kental Insya Allah mampu menepis belaian ombak nafsu dan syaitan. Jiwa kental ada kekuatan untuk menggemgam pendayung amal Islami untuk berangkat ke Pulau Firdaus. “Pedulikan wanita jelita, pedulikan harta yang kaya, pedulikan takhta yang berkuasa. Allah Maha Cantik, Allah Maha Kaya dan Allah Maha Berkuasa. Nyahlah dari mindaku wahai nafsu Ammarah Bissuu’ dan syaitan Laknatullah ”.

Mereka yang telah memulakan pelayarannya, ombak terus bersama sehingga ke tengah lautan. Kini dia datang pula bersama teman-temannya badai, gelora dan taufan. Hanya orang yang memiliki iman yang mantap dan tarbiyyah yang konsisten Insya Allah mampu untuk bertahan dan meneruskan pelayaran ke sana. Betapa ramai yang kelemasan akibat menghadapi badai keseronokan dunia yang menipu. Ramai juga yang kehausan lantaran kepanasan fitnah yang membahang tiada hentinya. Tak kurang yang terpesona dengan keindahan dan kecantikan batu teknologi yang beraneka bentuk dan warna dan rumpai media massa yang berlengang-lenggok hinggakan lupa tujuan asalnya. Akhirnya datang gelora nafsu menghempap dan memusnahkan segala-galanya. Ramai juga yang terpaksa berpatah balik lantaran tidak lagi mampu berhadapan dengan taufan kesibukan dunia yang hitam legam datang dari langit menerjah ke tengah lautan. Siapa sahaja yang terkena percikan airnya pasti terhoyong-hayang, lintang-pukang dan terguling-terbalik . Akal menjadi bingung dan tidak lagi dapat menentukan mana timur dan mana barat, mananya atas dan mana pula di bawah. Ada juga yang tersasar arah tujuan lantaran tidak memiliki ilmu pelayaran yang mencukupi. Entah pulau apa yang ditujunya dirasakan itulah Pulau Firdaus. Akhirnya ada yang sampai ke Pulau Jahannam dan ada juga yang sampai di Pulau Jahim. Khabarnya itulah antara pulau-pulau yang ditumbuhi dengan pepohonan api azab yang tidak terperi pedihnya walaupun hanya terkena debunganya sahaja. Bahkan ada yang mengatakan azabnya lebih tujuh puluh kali ganda azab di dunia ini. Ada juga yang kelaparan lantaran kekurangan bekalan iman dan tarbiyyah akhirnya menyebabkan lemah longlai dan tidak bermaya lagi untuk terus mendayung . Sesekali kedengaran juga guruh memekik : “Hoi ! Siapa yang mahu ke Firdaus akan aku hantarkan halilintar atau petir aku. Apa kamu tidak takut dengan panahan petirku. Pergilah jika kamu berani ”. Mereka yang punyai iman yang mantap sedar itu hanyalah pekikan untuk menakutkan sahaja. Mereka sedar bahawa guruh yang mengegarkan dunia itu hanyalah makhluk Allah yang sangat lemah. Ia tidak mampu berbuat apa-apa melainkan sekadar bagai anjing menyalak bukit. Bagi mereka yang mempunyai azam dan tekad untuk mendarat di Pulau Firdaus, baginya Pulau Firdaus adalah segala-galanya. “Biarlah aku hancur di panah petir fitnahmu, biar kamu hamparkan di depan mataku hidangan meterialistik yang yang mengiurkan di ketika aku kelaparan sekalipun, biar kamu hantar apa sahaja hantaran yang indah namun hatiku sudah melekat pada Firdaus. Bagiku segala-galanya untuk Firdaus. I Love Firdaus Island. Aku sanggup mati kerana mu Firdaus ”. Itulah kata-kata yang terbit dari mulut mereka dilamun cinta dengan Firdaus. Itulah kata-kata mereka yang punyai jiwa yang bebas dan jiwa yang sentiasa berhubung dengan Maha Pencipta. Yang mencipta diri kita, yang mencipta wanita, harta dan kuasa, Yang mencipta ombak, badai, gelora dan taufan, bahkan Ia jugalah Yang Mencipta Firdaus, Pulau Firdaus atau Jannatul Firdaus untuk didiami oleh mereka yang benar-benar cekal dan punyai kesungguhan yang tinggi. Kata-kata itu tidak akan mampu di tuturkan dengan mulut yang penuh tersumbat dengan sifat-sifat munafik. Sebaliknya ianya terbit dari mulut yang sentiasa basah dengan zikrullah. Ianya berkumandang daripada mulut yang sentiasa dibersihkan tasbih, tahmid dan takbir kepada Allah S.W.T.
Selagi bumi masih terhampar, selagi bukit bukau berdiri gagah selagi laut tidak kontang maka selagi itulah lambaian Firdaus tidak hentinya. Selagi bumi belum rekah, selagi bukit belum datar, selagi laut masih kebiruan selagi itu gelora nafsu manusia tidak henti, selagi itu hubbun dunya mampu menguasai jiwa manusia. Selagi mana bumi bergunung berapi, selagi bukit masih ada yang meluahkan laharnya, selagi laut ada ombaknya, selagi itu juga ada manusia yang berjiwa hamba merindui lambaian Firdaus. Selagi itu juga ada manusia yang merindui dakapan Firdaus. Selagi itu juga ada manusia yang merindui belaian mesra Firdaus. Dan selagi itu juga Ar Rahim Allah untuk hambaNya mencurah-curah. Dayunglah dengan segala kudrat anugerah Ilahi, belahilah segala rintangan gelora, badai mahupun taufan, teruskan pelayaran, InsyaAllah Firadaus membuka tangannya menyambut kehadiran mu.