Ahad, 30 Ogos 2009

Hikmah Syuyukh

Semalam saya dijemput ke majlis berbuka puasa di sebuah cafe berdekatan Masjid Putera, Kangar. Sebelum itu satu perjumpaan ringkas diadakan untuk membincangkan satu majlis mempertemukan bekas-bekas pelajar sekolah lama saya yang juga sekolah saya sekarang iaitu Ma'had Attarbiyyah Al-Islamiah (MATRI). Syukur alhamadulillah dan terima kasih kepada mereka. Hampir 13 oang yang hadir bersama. Walaupun berasal dari satu sekolah, sebahagiannya saya tidak mengenali. Ada juga juga rasa-rasa macam biasa tengok muka. Saya tinggalkan sekolah itu tahun 1990. Saya sempat mengajar di situ sekitar tahun 1994. Kalau pernah jumpa mereka di Matri pun mereka masih di tingkatan satu dua begitu. Sekarang sudah berjanggut, berjambang; manalah nak kenal?

Susah payah mereka mengadakan pertemuan dan seterusnya hadir untuk sama-sama membincangkan pertemuan tersebut amat saya kagumi. Tentunya pertemuan dan perbincangan tersebut tercetus dari perasaan yang merasai hakikat kewujudan Matri itu sendiri. Tentunya juga mereka masih dapat menghidu aroma kewujudan Matri walaupun sudah sekian lama mereka tinggalkan alam pelajar di Matri. Kini masing-masing sibuk pula dengan alam profesyen tersendiri. Tentunya juga pertemuan itu diatur atas rasa bertanggungjawab kepada Allah S.W.T.

Kewujudan Matri itu juga ada sejarahnya tersendiri. Saya amat bersyukur kerana wira-wira yang telah banyak mengorbankan tenaga mereka masih lagi bersama saya. Saya amat bersyukur pada tahun ini Allah S.W.T. telah memilih saya untuk kembali berkhidmat di tempat yang saya idam-idamkan sejak saya bergelar lepasan Matri. Tentunya jasa pengorbanan mereka membangunkan Matri akan sentiasa segar kepada saya. Walaupun ada beberapa orang dari kalangan mereka yang telah mengadap Yang Maha Esa. Justeru itu untuk merasai kewujudan Matri tentunya lebih mudah difahami dengan berkongsi pengalaman dengan pakcik-pakcik; bahkan sebahagiannya tokwan-tokwan pun. Semoga semangat berkobar-kobar para pemuda dapat digandingkan dengan hikmah orang-orang lama.

Selasa, 11 Ogos 2009

Kenapa pemuda menjadi sasaran?

Hakikatnya pemuda adalah usia cergas, darahnya bergelora dan cita-citanya membara. Usia memberi, menyumbang dan bebas. Usia yang bersemangat, bermotivasi, dan proaktif.

Bertolak dari sini, Islam melihat pemuda mempunyai tanggungjawab dan nilai yang istimewa bagi merealisasikan tuntutan Rasululullah S.A.W. terhadap perasaan para pemuda antaranya sabda baginda bermaksud: “Ambillah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara; Usia mudamu sebelum tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, Kekayaanmu kamu sebelum kepapaanmu, masa hidupmu sebelum matimu, dan masa kosongmu sebelum sibukmu.”

Umat manusia, tabiat kejadiannya dan pembentukannya, pada umur tertentu merupakan kemuncak sumbangannya yang menimbun, kemudian kemuncaknya itu kembali menyorot dan merosot.

Maksud Firman Allah Taala: “dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini Dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), Kami gilirkannya antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran)” – (Surah al Imran: 140)

Dan benarlah Rasulullah S.A.W. dengan sabdanya yang bermaksud: “Bahawa setiap amalan itu ada kemuncaknya, setiap kemuncak ada lemahnya. Maka sesiapa yang lemah kepada sunnahku, maka di telah mendapat petunjuk, dan sesiapa yang lemah kepada yang lain, maka sesungguhnya dia akan binasa.”

Dari sini jelaslah betapa usia pemuda perlu dikaut manfaat sepenuhnya. Dan daripada pemudalah, pelaksanaan urusan-urusan sukar mengharungi kepayahan dan kesukaran, menghadapi cabaran yang menuntutnya menyuarakan perubahan bertamadun.

Sumber: Sedutan penulisan Fathi Yakan dalam bukunya Assyabab wa-Attaghyir.