Jumaat, 27 Mac 2009

Pilih syaitan

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Nor Adilah Bukhorie
am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Awas! Remaja yang gemar bermain permainan komputer perlu berhati-hati apabila memilih permainan, terutama berasaskan muzik rock dan punk berikutan sesetengahnya boleh menjejaskan akidah.Dalam permainan komputer terbaru di pasaran, ia memaparkan grafik seakan-akan kalimah Allah ketika ‘syaitan’ bermain gitar.Permainan komputer yang mensasarkan golongan remaja, terutama mereka yang cetek pengetahuan agama mampu terpesong akidah, sekali gus hanyut dibuai keghairahan mengejar gelaran juara ‘Rocker Terunggul’.Berdasarkan pendedahan ‘kaki’ permainan komputer, Ridzuan, 20, kepada wartawan Harian Metro, ada pemain menyedari ia menghina Islam, tetapi meneruskan permainan itu hingga berjam-jam lamanya.

Mereka semata-mata ingin bergelar juara untuk menjadi gitaris terkemuka barat yang digunakan pihak pengeluar dalam mempromosikan permainan berkenaan.
Ridzuan yang menyukai muzik rock dan punk sejak berusia belasan tahun, menyatakan permainan terbaru itu sedang hangat di kalangan remaja yang gilakan muzik rock dan punk.“Permainan ini pelik kerana mampu menyebabkan saya hilang kawalan kerana terlalu asyik selain merasakan diri seolah-olah berada dalam dunia lain.“Malah, saya sanggup menghabiskan masa sehari suntuk semata-mata untuk menjadi juara. Permainan ini lebih menarik serta mencabar jika bermain dengan rakan dengan masing-masing akan bersaing bagi membuktikan kejuaraan,” katanya ketika ditemui, semalam. Menurutnya, setiap pemain hanya perlu memilih satu karakter syaitan sebelum mengikut nota lagu yang ditetapkan.Pemain yang mengikut nota lagu dengan baik berdasarkan peringkat tertentu akan digelar juara serta dianugerahkan wang bagi membolehkan mereka membeli gitar terbaru yang ditawarkan.Kemuncaknya, juara akan bertanding dengan seorang idola rock Barat. Sekiranya berjaya menewaskannya, mereka akan digelar ‘Rocker Terunggul’. Ridzuan mengakui memang ada grafik seakan-akan kalimah Allah, tetapi dia masih meneruskan permainan itu.Wartawan Harian Metro yang turut mencuba permainan berkenaan mendapati satu daripada karakter memaparkan syaitan bermain gitar dengan tertera grafik seakan-akan kalimah Allah.Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Syariah Malaysia, Zainal Rijal, ketika dihubungi, berkata pengeluar sepatutnya peka terhadap sensitiviti agama sebelum mengeluarkan barangan mereka kerana boleh mengundang kemarahan.“Ini bukan kejadian pertama dan kita perlu menyiasat siapakah dalang di sebaliknya sebelum tindakan keras dikenakan terhadap mereka yang mengeluar atau mengedarkan permainan komputer ini.“Tanpa disedari atau tidak tujuan pihak tertentu sebenarnya untuk menyesatkan golongan remaja Islam dan menghina Islam,” katanya.Beliau berkata, cubaan dilakukan secara halus bagi mengikis jati diri remaja Islam dengan memastikan golongan terbabit lupa diri dan sanggup mengetepikan pegangan agama.Justeru, menurutnya, ibu bapa perlu mengawal anak mereka daripada bermain permainan seperti itu dan membuat aduan kepada pihak berkuasa agama supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilakukan.“Bagi saya permainan ini perlu diharamkan kerana mampu memesongkan akidah,” katanya

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Friday/BeritaUtama/20090327082139/Article

Jumaat, 6 Mac 2009

MEMPELAM MUDA

Bunga-bungaan mempelam kekuningan menghiasi dedaunan yang kehijauan. Serangga-serangga perosak dari jauh mengintai dengan penuh ghairah dan memikirkan strategi yang perlu diatur untuk menggoda masa depan bunga-bungaan mempelam itu sebelum ianya membesar dalam neraca dan acuan yang dikehendaki oleh tuannya. Setiap serangga perosak itu tentunya mahu bunga-bunga mempelam itu akan menjadi miliknya tanpa penduli siapa tuannya dan siapa pun yang menanamnya. Di samping itu juga tuan punya pohon mempelam amat perlu berwaspada dengan taktik musuh-musuh pohon mempelamnya. Tuan pohon mempelam tidak boleh lupa memikirkan bagaimana menjaga dan mengawasi agar bunga-bungaan mempelamnya selamat daripada didekati oleh makhluk perosak di sekelilingnya. Namun ada juga tuan punya pohon mempelam yang hanya menyerahkan kepada takdir apa yang bakal berlaku kepada masa depan bunga-bungaan mempelamnya. Bunga-bunga mempelamnya nak didengarkan dengan suara lalatkah, nak lihat aneka warna serangga perosak yang berterbangan di depan bunga-bunga mempelamnyakah, nak digoyangkan oleh lotong-lotongkah, tidak dipedulikannya. Namun hasratnya cukup tinggi. Dia mahu bunga-bunga mempelamnya itu membesar dengan sihat. Dia mahu bunga-bunga mempelamnya itu menjadi mempelam yang berguna kepadanya. Satu hari nanti dia mahu mengecapi mempelam itu dengan seenaknya.

Bunga-bunga mempelam terus mengharungi kehidupannya sebagai bunga dan menjadi putik. Namun sepanjang perjalanan dari bunga dan bertukar menjadi putik terpaksa mengahadapi jatuh bangunnya. Ada juga yang keguguran sebelum menjadi putik akibat dari hinggutan lotong-lotong dan juga sang tupai atau terkena kipasan sayap si lalat atau tebuan atau juga kumbang-kumbang. Itulah hakikat kehidupan. Ianya memerlukan penjagaan yang sangat rapi supaya ia membesar dengan selamat daripada fitnah makhluk perosak lebih-lebih lagi bila berada dalam suasana jahiliah, kemungkaran, kerosakan, fitnah dan segala macam aneka budaya songsang yang merosakkan. Ada juga tuan-tuan punya pohon mempelam yang prihatin lalu membungkuskan bunga-bunga mempelamnya dengan karung. Putik-putik mempelam tentunya merasa rimas dengan tindakan tuannya membungkusnya. Kalau boleh dia mahu bebas dan mendedahkan dirinya kerana dapat menunjukkan kepada orang lain akan keberadaannya dan keanggunannya. Tapi apa kan daya itulah kehendak tuannya. Ada juga tuan-tuan punya pohon mempelam itu yang menerbangkan racun pengawal keselamatan untuk menjaga bunga mempelamnya dari di goda oleh serangga-serang perosak. Tindakannya menerbangkan racun keselamatan dapat menyelamatkan putik mempelam diganggu oleh serangga. Putik mempelam masih boleh mendedahkan bentuk badannya. Namun kesan jangka panjangnya sangat merbahaya kerana mempelam nanti hanya nampak seolah-olah cantik tetapi hakikatnya isinya telah dirosakkan oleh racun-racun tanpa disedari. Suatu hari nanti mempelam tersebut mungkin akan dijangkiti kanser yang membusukkan seluruh isinya.

Setelah sekian hari putik-putik mempelam bergantungan di pepohonan mempelam, kini hujung-hujung dahan mempelam menampakkan semakin tunduk bak kata pepatah semakin tunduk semakin berisi. Serangga perosak pula semakin bergelora nafsu mereka melihat perkembangan putik-putik mempelam yang semakin muda ceria. Perkembangan itu sebenarnya dihidu juga oleh makhluk-makhluk lain yang lebih besar dan ganas seperti lotong, beruk, monyet dan tupai. Bahkan makhluk-makhluk ini sanggup berhadapan dengan sesiapa sahaja kecuali tuannya membawa senapang patah yang menakutkannya. Mungkin itulah caranya berhadapan golongan-golongan perosak tersebut. Tiada perlu disusun dengan kata-kata pujuk rayu atau kata-kata nista untuk mereka. Mereka hanya perlu memilih antara dua, sama ada mahu mati dengan senapang patah ataupun nyahlah dari kawasan mempelam dan jangan mengganggu mempelam yang sedang membesar itu.

Putik-putik mempelam yang kehijauan pekat beransur-ansur bertukar warna menjadi hijau kekuningan. Warna itu adalah sebagai bukti mempelam tadi tidak lagi putik. Setelah sekian lama mengharungi liku-liku kehidupan akhirnya telah tiba masanya untuk semua menikmati keenakkan mempelam muda. Siapa sahaja yang terpandang mempelam muda tentunya meleleh air liurnya, sama ada lotong, tupai, kelawar, keluang, beruk, monyet dan lain-lain spesis yang sama dengannya. Tak kurang juga manusia lebih-lebih lagi kaki sambal belacan atau wanita yang sedang mengidam. Kerapuhannya ketika mengunyah menyebabkan air liur semakin galak meleleh. Kelazatannya tak terkata apabila hirisan mempelam mencecah sambal belacan dan disuapkan ke dalam mulut. Satu demi satu masuk ke dalam mulut hingga tak sedar sudah berapa biji ditelannya. Mungkin itulah sifat muda. Semuanya dipandang indah. Semua orang suka. Semua orang mahu memilikinya. Namun dalam situasi mempelam sedang muda remaja, sahamnya tengah melonjak naik sepatutnya mempelam muda patut sedar siapa dirinya. Siapa yang membesarkannya, siapa yang menanamnya, siapa yang memberikannya makan dan siapa yang menghidupkannya. Mempelam muda tidak sepatutnya menyerah diri dengan mudahnya kepada siapa sahaja yang memegangnya. Mempelam muda perlu mengenali siapa yang mahu menikmati kemudaannya dengan baik atau hanya sekadar mahu mengambil kesempatan kemudaannya. Akhirnya setelah mereka kekenyangan mereka hanya sampahkannya tanpa belas kasihan. Ada juga yang meratahnya sampai tercirit-birit dan akhirnya dia menyumpah dan memaki pula mempelam yang ditelannya itu bahkan disepak dan diterajangnya.
Inilah resam dunia yang harus difahami oleh setiap mereka yang mencecah alam muda. Jangan terlalu ghairah dengan masa muda sebab tidak semestinya yang muda akan bertemu tua kerana ada juga yang putik tidak bertemu muda. Jangan terlalu asyik dengan muda kerana tersilap langkah masa muda inilah yang akan menggelap seluruh kehidupan sampai ke akhir hayat. Setiap langkah yang mahu diatur, setiap gerak yang mahu disusun, setiap tempat yang mahu dituju perlu berwaspada. Lotong, beruk, monyet dan kera sentiasa mencari peluang untuk memerangkap kita dan seterusnya menghancurkan, merosakkan dan memusnahkan kita. Lalat-lalat pula hanya menunggu masa buruk membusuk untuk mereka mengiang-ngiang menyorak keseronokkan lantaran kerosakkan dan kemusnahan kita. Oleh itu tidak ada jalan lain melainkan perlu kembali memahami diri sendiri, Memahami hakikat diri ini, memahami hakikat penciptaan ini dan memahami kehidupan yang sebenarnya. Carilah asal usul kita, hakikat kehidupan di dunia ini dan tempat tinggal kita yang sebenar di dalam kitab Al Quranul Karim dan Hadis an-nabawi. Semoga alam muda dihiasi dengan kehidupan sebagai mempelam yang sebenar atau sebagai manusia yang betul-betul manusia.