Jumaat, 28 November 2008

Pelajar tahfiz dapat hadiah haji

Oleh Petah Wazzan Iskandar
wazzan@bharian.com.my

Ibu bapa terharu kesanggupan anak belajar al-Quran, ajak bersama ke Tanah Suci

KELANA JAYA: Kesanggupan dan keinginan seorang remaja menyertai sekolah tahfiz bagi menjadi hafiz tanpa menghiraukan keseronokan bersekolah kebangsaan seperti rakan yang lain, menyebabkan ibu bapanya terharu dan berusaha mengumpul wang bagi menghadiahkan peluang menunaikan haji bersama mereka. Rogayah Abd Razak, 45, berkata keikhlasan anaknya, Mufid Munib Muhammad Khadri, 16, dari Darul Furqan di Kampung Padang Balang, Gombak, ingin menjadi pelajar tahfiz bagi menghafaz 30 juzuk al-Quran membuatkan beliau dan suami berusaha mengumpul wang bagi menampung perbelanjaannya ke Tanah Suci tanpa menghiraukan penat lelah.
Katanya, beliau dan suami sememangnya amat berharap sekurang-kurangnya ada seorang dalam keluarga menjadi Hafiz dan bersyukur apabila Munib menyambut hasrat itu. "Selepas Munib tamat sekolah rendah empat tahun lalu, beliau masuk sekolah tahfiz dan nampak sikapnya lebih rajin dan berusaha bersungguh-sungguh tanpa mengenal penat lelah. "Kami yang berniaga kedai makan, bekerja bersungguh-sungguh bagi mengumpul wang untuk menunaikan haji dan selepas bersepakat membawanya bersama sebagai hadiah dan diharap dapat meningkatkan semangatnya menjadi seorang hafiz," katanya ketika ditemui di Kompleks Tabung Haji, di sini, semalam.
Rogayah berkata, walaupun Munib masih muda, beliau membuatkan mereka sekeluarga berbangga kerana menjadi Imam solat Tarawih di Surau Taman Samudera pada bulan Ramadan lalu. "Ibu bapa mana yang tidak gembira apabila melihat anaknya menjadi seorang yang berguna," katanya sambil disaksikan suaminya, Muhammad Khadri Ahmad, 52 yang berasal dari Gombak. Sementara itu, Munib, anak bongsu daripada empat beradik berkata, beliau tidak menyangka diberikan hadiah tidak ternilai serta tidak mampu dibalas dengan wang itu dan terharu kerana ia adalah daripada ibu bapanya.



Sumber: Berita Harian 28 November 2008

Khamis, 27 November 2008

PUTERI MULIA

Budimu tulus
Pekertimu mulia
matamu rendah
nadamu terkawal
telingamu halus saringannya
litupan auratmu sempurna
temanmu terpilih,

kerana
kau bukan iklan
bukan bahan hiburan
bukan barang dagangan
bukan juga hamba manusia,

tetapi
kau puteri mulia
ciptaan Maha Pencipta
memenuhi acuan fitrahNya
pelihara dari celaka
lari dari perangkap hina.


Annaky Abolmujahid
27 November 2009
Kamar sepi, Smik.

‘Saya sudah maafkan dia’

KUALA LUMPUR 26 Nov. – “Saya sudah maafkan dia sejak kejadian itu. Sebagai seorang ibu, saya tahu dia tidak sengaja,” demikian kata Norida Abd. Rahman, 45, yang cedera di dada selepas terkena tembakan anaknya semalam.
Jururawat Pusat Perubatan Sentosa, Jalan Pahang itu berkata, sebagai ibu, dia sanggup memaafkan walau sebesar mana kesilapan yang dilakukan oleh anaknya itu.
“Saya harap insiden ini menjadi pengajaran kepada semua pihak,” ujarnya sebak ketika ditemui di wad pesakit luar Hospital Sungai Buloh di sini hari ini.
Suaminya, anggota Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak turut berada di sisi Norida.
Dalam kejadian semalam, wanita itu cedera akibat terkena tembakan pistol yang dilepaskan oleh anaknya, seorang pelajar berusia 15 tahun ketika bertengkar dengan bapanya dalam satu kejadian di Taman Desa Mas dekat Country Homes.
Suspek yang melarikan diri bagaimanapun ditahan bersama seorang rakannya semasa menaiki motosikal di Kuala Selangor setelah hebahan mengenai kejadian itu dibuat.
Pistol milik bapanya berjaya ditemui semula di sebuah rumah tumpangan di sekitar Kuala Selangor.
Menceritakan detik-detik cemas semasa kejadian, anggota polis yang enggan dikenali itu berkata, berlaku perselisihan faham antara mereka di rumah setelah beliau menemui anaknya di kafe siber petang semalam.
Untuk meredakan keadaan, katanya, beliau kemudian keluar untuk mengalihkan kereta di hadapan rumah atas nasihat Norida.
Bagaimanapun tanpa disangka tambahnya, anaknya naik ke tingkat atas dan mengambil pistol jenis Glock miliknya dari dalam laci.
“Sambil marah-marah dia menghala pistol ke arah saya lalu terlepas tembakan. Ketika itu Norida cuba melindungi saya dan mengenai belakangnya,” jelasnya.
Norida menambah, sebaik sahaja terkena peluru, dia hanya mampu menyebut nama ‘Allah’ beberapa kali sementara anaknya menjerit meminta pertolongan daripada jiran.
Dalam keadaan panik itu, menurutnya, anaknya sendiri mengangkatnya ke dalam kereta jiran untuk dibawa ke hospital sambil meminta maaf berkali-kali.
“Saya minta dia serahkan pistol berkenaan tetapi dia enggan sebaliknya melarikan diri dengan motosikal,” ujarnya.
Menurut Norida, anaknya itu seorang yang panas baran dan selalu bertengkar dengan bapanya terutama apabila kebebasannya disekat.
“Kami pernah membawanya ke sesi kaunseling tetapi gagal kerana dia enggan memberi kerjasama," ujarnya yang mempunyai empat anak berusia antara tiga dan 15 tahun.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Supritendan Rosly Hassan berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh.
“Kes telah selesai siasat kes itu dalam tempoh masa kira-kira empat jam dan suspek direman selama enam hari di Kuala Selangor,” katanya.
Mengenai kemungkinan tindakan disiplin dikenakan terhadap anggota polis itu akibat cuai menjaga senjata, jelasnya, perkara tersebut akan diserahkan kepada Lembaga Tatatertib.

Sumber: Utusan Melayu 27 November 2008

Jumaat, 14 November 2008

Amaran polis jika pertikai haramkan pengkid

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberi amaran kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bukan Islam tertentu agar tidak mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang telah mengharamkan pengkid. Beliau berkata, tindakan NGO yang mempertikaikan keputusan tersebut boleh menjejaskan keselamatan negara dan dikhuatiri mendapat tindak balas di kalangan orang Islam. “Saya memberi amaran dan akan mengambil tindakan tegas kerana ini membabitkan soal keselamatan negara,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama sempena ‘Seminar Isu-Isu Mahkamah Syariah ke-10: Ke Arah Memperkasa Pentadbiran Keadilan Jenayah Di Mahkamah Syariah Malaysia’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, dekat sini, semalam. Beliau berkata, tindakan NGO bukan Islam yang melakukan demonstrasi berhubung pengharaman pengkid di ibu negara baru-baru ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh menimbulkan pergaduhan. “Ini menunjukkan mereka tidak menghormati agama orang lain, kerana fatwa itu dikeluarkan untuk orang Islam, kenapa mereka harus membuat demo dan tidak berpuas hati,” katanya. Musa berkata, beliau memandang serius perkara tersebut dan akan terus memantaunya bagi memastikan tiada pihak lain yang campur tangan. “Agama Islam ada cara untuk letakkan peraturan dari segi undang-undang Islam, jadi tiada sesiapa yang boleh campur tangan. Tapi masyarakat Islam haruslah menerangkan perkara tersebut agar pihak lain faham mengenainya,” katanya. Beliau berkata, polis sentiasa memerlukan kerjasama Jabatan Agama Islam dan jabatan-jabatan lain untuk mendapatkan maklumat terutama berhubung isu yang boleh menggugat keselamatan negara dan agama Islam. Baru-baru ini, NGO bukan Islam, Katagender dan Food-not-Bombs mengadakan demonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengeluarkan fatwa mengharamkan perlakuan “pengkid’ atau wanita yang menyamai lelaki. - BERNAMA



Sumber: Sinar Harian 14 November 2008

Selasa, 4 November 2008

Kinabalu

Sudah lima jam mengerah tenaga membina jaluran langkah menuju ke puncak kepuasan. Tidak pasti berapa lama lagi perlu mengayun langkah. Laluan di celah pokok-pokok sepemeluk semakin jauh ditinggalkan. Ayunan kaki pun semakin terasa lemah. Setiap kali kaki diangkat makin terasa daya untuk meneruskan perjalanan semakin lemah. Badan pun rasa tak berupaya lagi. Namun semangat yang tersemat di jiwa mahu menawan puncak sana, digagahi jua tapak demi tapak, langkah demi langkah.

Kedinginan makin terasa. Sesekali pipi dibelai lembut oleh kabus yang berkejaran dicelah ranting-ranting pokok. Keletihan hampir terbang keluar dari peti fikiran apabila menjejaki di suatu kawasan yang dihiasi dengan pokok-pokok renek di celah bongkah-bongkah batu. Di hujung kaki langit sana kelihatan deretan bukit memagari bumi. Terdapat seketul dua awan terapung-apung di puncak bukit sana. Di sini juga amat indah. Seekor dua burung gunung berterbangan sambil bersiul suara manja. Memang mengasyikkan lebih-lebih lagi dalam keadaan badan yang teramat letih. Kalau boleh mahu sahaja melepaskan lelah dan berehat terus di situ. Berat rasanya hendak meneruskan pendakian. Pendakian menuju ke puncak yang tinggi memanglah akan diuji dengan kepayahan dan kesukaran. Kadang-kadang keseronokan yang melupakan tujuan asal kita juga adalah ujian yang lebih dahsyat lagi. Kepuasan sebenar hanyalah kita perolehi apabila tiba di puncak sana. ''Jom!'' suara tegas seorang sahabat memadamkan fantasi indah di situ. Darah perwira menyerap ke jiwa. Alhamdulillah ada rakan mengingatkan. Itulah pentingnya memilih rakan yang baik. Rakan yang rosak akan merosakkan kita. Rakan yang lemah cita-citanya pasti akan sama-sama berfantasi di situ dan terus berkhayal di situ.

Beberapa meter berjalan terserempak pula dengan rakan serombongan yang mendahului kami, sedang kepucatan. Tangannya terdepa dan kepalanya menyandar di atas batu besar. Matanya dipejam rapat. Bila mendengar suara kami memanggil namanya dia pun berkata dengan suara lemah ''Tak apa, ana okey''. Walau apapun katanya kami memang faham bahawa dia amat letih dan tidak bermaya lagi. Kami kipaskannya walaupun suasana sejuk. Kami berikan dia sedikit air garam. Kami memberikan kata-kata peransang untuknya. Alhamdulillah dia semakin pulih. Kalau mahu sesuatu yang tinggi dan mulia perlu ada kerjasama, tolong menolong dan bantu membantu. Perlu ada rakan-rakan yang mampu memberikan nasihat, bimbingan dan motivasi untuk kita. Alangkah indahnya perjalanan ini; dalam kesukaran dan kepayahan terlakar pengalaman-pengalaman berukhuah (bersaudara).

Hari hampir malam. Pendaki perlu juga mendapat bekalan untuk dirinya. Sekadar semangat sahaja tidak memadai. Karbohidrat dan proten perlu di isi untuk menambah tenaga. Setelah perut diisi, badan juga perlu diberikan sedikit kerehatan. Kerehatan hanyalah sekadar mendapatkan kekuatan untuk menghadapi cabaran yang lebih dahsyat dan amat merbahaya. Semakin tinggi semakin kuat godaannya, semakin dahsyat cabarannya, semakin dalam jurangnya. Ada yang pernah tergelincir ke jurang itu lalu hancur berkecai jasadnya bila tiba di bawah jurang sana. Justeru itu perlu ada persiapan spritual, fizikal dan juga mental. Perlu juga ada keberanian. Perlu bersedia menghadapi dugaannya. Mungkin itulah caranya untuk dianugerahi sebagai pejuang kemulian seterusnya melayakkannya berada di tempat yang tinggi dan mulia.

Perjalanan diteruskan pada awal-awal pagi. Keadaannya amat gelap. Tiada apa yang kelihatan lagi. Di bawah sana hanya kelihatan butiran cahaya dari Inanam, Menggatal, Telipok, Tuaran, Ranau, dan kampung-kampung yang berdekatan bertaburan seperti juga di atas sana bintang-bintang bergemerlapan. Dalam keadaan gelap gelita tidak nampak jalan, hanya mengekori rakan di hadapan sahaja. Rakan di hadapan juga mengekori rakan di hadapannya sehinggalah kepada pemandu jalan paling di hadapan. Kegelapan yang tidak nampak jalan hendak dituju, amat memerlu pemandu jalan. Pemandu jalan yang kita pilih juga mestilah yang kita kenal dia. Paling tidak kita tahu dia adalah orang yang mahu menuju ke atas. Mungkin ada yang menyambut tangan kita untuk memandu kita, tetapi ke mana dia hendak membawa kita? Dia boleh menyatakan janji-janji indah untuk kita tetapi waspadalah dengan kuncu-kuncu iblis yang tidak pernah lupa janjinya mahu menyesatkan manusia. Jangan pula kita bertindak sendiri menentukan jalan kita. Kesannya amat bahaya sekali. Tersilap langkah boleh menjerumuskan kita ke jurang Jahannam.

Nafas semakin semput, langkah semakin sempit, dan jiwa makin kalut. Jauh di timur dunia sana pancaran fajar menyibar di permukaan laut dan di celahan awan. Panoramanya sungguh indah. Tak mampu untuk digambarkan dengan kata, mahupun dengan lukisan. Tentu sekali tidak kita temuinya di bawah sana.

Puncak kelihatan amat dekat sekali. Rasanya tak sampai lima minit pun boleh sampai. Namun langkah-langkah yang diatur bagaikan mengangkat ketulan batu besar. Selangkah dua bergerak sudah semput. Walaupun dekat namun berat langkahnya alang kepalang. Namun langkah itulah yang membawa jiwa perwira, pendaki ketinggian tiba di mercunya. Sepontan terbit dari mulut Alhamdulillah... Allahu Akbar...

Kegembiraan itu hanya milik mereka yang berjaya sampai di mercunya dan tentu sekali mustahil berkongsi dengan orang lain. Kesusahan dan kepayahan untuk sampai ke mercu kini amat berbaloi ditambah lagi pengalaman-pengalaman yang amat banyak. Ada orang di bawah sana mengatakan kepada pencari ketinggian melakukan kerja bodoh sepertimana golongan kafir mengejek para Rasul. Hakikatnya mereka yang mengejek itu sendiri berada di bawah dan di tempat yang rendah. Mereka tidak pernah merasai alam ketinggian. Kenyataan-kenyataan mereka semata-mata hanyalah andaian-andaian liar sahaja dan tentu sekali tidak pernah menepatinya.

Pendaki ketinggian tentulah beruntung. Carilah ketinggian dan kemulian lebih-lebih lagi dalam kehidupan sebagai manusia. Ketinggian hidup hanya ada pada Islam seperti sabda junjungan : “Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi darinya”. Susah payah yang di tempuhi untuk menghayatinya adalah dugaan dan ujian untuk menempah ketinggian dan kemuliaan. Mudah-mudahan selari pengertian firman Allah dalam surah an Nashrah: 5 – 8
“Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): Bahawa Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Kemudian apabila Engkau telah selesai (daripada sesuatu amal Soleh), maka bersungguh-sungguhlah Engkau berusaha (mengerjakan amal soleh Yang lain), Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah Engkau memohon (Apa Yang Engkau gemar dan ingini)”.