Selasa, 28 Oktober 2008

4 dicekup

KUALA LUMPUR: Cubaan nekad empat Mat Rempit junior bergelut dengan sepasukan polis untuk meloloskan diri tidak berhasil apabila mereka ditahan dalam operasi cegah lumba haram di Tasik Titiwangsa, di sini, petang kelmarin.Difahamkan, semua remaja berusia 17 tahun terbabit sebelum itu dilihat melakukan pelbagai aksi bahaya terutama mengangkat tayar depan atau ‘wheelie’ di sekitar Jalan Tun Abdul Rahman di sini.Selepas puas beraksi, remaja yang menunggang dua motosikal jenis Honda EX5 bergerak ke kawasan tasik berkenaan dipercayai untuk berehat. Menyedari kegiatan diintip, mereka mula panik dan mahu melarikan diri namun tindakan pantas polis memberkas keempat-empat remaja berkenaan termasuk dua pelajar sekolah yang membonceng motosikal terbabit.

Sumber: Harian Metro 28 Oktober 2008.

Jumaat, 24 Oktober 2008

Majlis Fatwa haramkan perlakuan 'pengkid'

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
krull@bharian.com.my

KOTA BHARU: Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan perlakuan 'pengkid' atau wanita yang menampilkan diri menyamai lelaki, sama ada dari segi pergaulan, tingkah laku atau berpakaian, haram dan dilarang sama sekali.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata pengharaman itu dibuat berdasarkan perkembangan terkini di kalangan remaja perempuan yang cenderung mengamalkan cara hidup lelaki.

Beliau berkata, fenomena pengkid kini menjadi isu serius di kalangan anak gadis di negara ini dan ia perlu ditangani segera supaya tidak berkembang hingga sukar diatasi pada masa depan.

"Majlis Fatwa mendapati isu pengkid kini semakin ketara. Remaja perempuan kini lebih gemar dengan cara hidup lelaki dari segi pergaulan, perbuatan dan berpakaian, yang bukan saja bertentangan dengan fitrah asal manusia, tetapi cuba menafikan hak kewanitaan.

"Lebih membimbangkan, pengkid kini sudah melarat kepada perkara berkaitan seksual dengan meminati sama sejenis," katanya pada sidang media selepas berakhirnya muzakarah dua hari Majlis Fatwa Kebangsaan di sini. Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Sehubungan itu, Dr Abdul Shukor meminta ibu bapa, keluarga dan masyarakat menasihatkan golongan terbabit supaya tidak melakukan perkara menyalahi ajaran Islam.

Sumber: Berita Harian 24 Oktober 2008

Khamis, 23 Oktober 2008

Peluang kerjaya 60,000 graduan

Oleh ROSMALINA A. KADIR
berita@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Senario pengangguran yang tinggi dalam negara bakal berubah dengan wujudnya program latihan pusat perhubungan yang menjanjikan banyak peluang pekerjaan kepada para graduan.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, industri itu khususnya yang mengkhusus kepada pengendalian pusat-pusat perhubungan dijangka menyediakan sebanyak 60,000 peluang pekerjaan mulai sekarang hingga 2012.
Untuk itu, kementerian berkenaan dengan kerjasama sebuah syarikat latihan kemahiran, My-Partners Sdn. Bhd. menawarkan skim latihan dengan jaminan pekerjaan dalam syarikat pusat perhubungan bergaji minimum RM2,000 sebulan.

Sumber: Kosmo 23 Okteber 20008

Rabu, 22 Oktober 2008

Pelajar kutip tangan putus

KOTA BHARU: Seorang ibu terkejut melihat anaknya berlumuran darah, manakala pergelangan tangannya berada dalam raga motosikal selepas terputus akibat ditetak di Kampung Wakaf Mek Zainab di sini, tengah malam semalam.Tuan Mariam Raja Ahmad, 56, berkata dia sedang bersiap untuk tidur sebelum terdengar suara anaknya, Ahmad Mustakim Ariff Jusoh @ Alwi, 17, menjerit meminta tolong. Dia bergegas keluar dan mendapati anak ketujuh daripada sembilan beradik itu parah.Menurutnya, dia membawa Mustakim ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, untuk pembedahan menyambungkan semula pergelangan tangannya dan berjaya dilakukan kira-kira jam 3 pagi.
Dalam kejadian itu, Mustakim yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November ini, juga hampir putus lengan kanan selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki dikenalinya.
Tuan Mariam berkata, sebelum kejadian, anaknya keluar bersendirian menunggang motosikal membeli burger di gerai tidak jauh dari rumahnya dan pada masa sama dua lelaki turut menunggang motosikal mengekorinya.Menurutnya, secara tiba-tiba seorang daripada lelaki itu melibas parang ke arah Mustakim.“Dalam keadaan berlumuran darah Ahmad Mustakim sempat mengutip pergelangan tangannya yang putus dan meletakkannya dalam raga motosikal lalu menunggang sejauh 100 meter pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di HUSM. Abang mangsa, Armi, 33, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di sini, kira-kira jam 4.30 pagi semalam.Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Sumber: Harian Metro 22 Oktober 2008

Selasa, 21 Oktober 2008

2 remaja curi motosikal ditahan

JITRA: Polis menahan dua remaja lelaki berusia 15 tahun, seorang daripadanya calon peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) kerana disyaki dalam kegiatan mencuri dan menjual bahagian motosikal curi di sekitar pekan ini. Remaja terbabit ditahan di rumah masing-masing pada Khamis dan Jumaat lalu. Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintendan Ibrahim Mohamad Yusoff, berkata kedua-dua remaja terbabit dipercayai bergiat aktif dalam kegiatan itu sejak tiga bulan lalu.
Beliau berkata, suspek pertama yang tidak bersekolah ditahan di rumahnya di Kampung Padang Saujana, Kepala Batas kira-kira jam 2 pagi, Khamis lalu. Penahanannya membawa kepada penemuan satu rangka motosikal dan komponen motosikal curi yang sudah dileraikan di belakang rumah remaja berkenaan. “Suspek kemudian membawa polis ke tali air di Kampung Alor kira-kira lima kilometer dari rumahnya dan menjumpai satu lagi rangka motosikal yang dibuang di situ," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Hasil siasatan, polis kemudian menahan seorang lagi suspek yang juga pelajar di rumahnya di sekitar Kepala Batas dekat sini, kira-kira jam 5 petang, Jumaat lalu, iaitu hari sama dia selesai menduduki peperiksaan PMR. Kedua-dua suspek kemudian membawa polis ke kawasan tapak pasar malam Kepala Batas dan menemui enjin dan pelbagai komponen motosikal dicuri. Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang dipercayai digunakan suspek dalam kegiatan itu. Difahamkan, selain mencuri motosikal, remaja terbabit mereka juga dipercayai terbabit dalam penagihan dadah. Pada masa sama, katanya, polis mencari dua remaja lain iaitu Shahrul Rizal, 17, dari Kampung Hilir, Kepala Batas, dan Farizan Zulkifli, 15, dari Kampung Tepi Alor, Kepala Batas, yang dipercayai boleh membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati mereka tidak terbabit dengan mana-mana sindiket, tetapi menjalankan kegiatan itu untuk mencari wang tambahan," katanya. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Sumber: Berita Harian 21 Oktober 2008

Isnin, 20 Oktober 2008

Buat duit klip video 'panas'

KUALA TERENGGANU - Klip video 'aksi panas' pelajar sekolah rupa-rupanya memberi keuntungan kepada sesetengah pihak yang bertindak menjualnya kepada orang ramai.
Beberapa rakaman yang dibuat oleh pelajar kini dipercayai dijadikan koleksi untuk dimuat turun ke telefon bimbit dengan caj berjumlah RM20.
Peniaga aksi seks secara maya ini juga jadikan golongan pendidik sebagai sasaran mereka yang sememangnya begitu sensitif terhadap aspek-aspek moral melibatkan para pelajar.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, pihaknya bimbang dengan trend pengedaran klip video berkenaan.
Menurutnya, berlaku kegelisahan di kalangan guru dalam usaha mendisiplin pelajar terutama yang kian berani membawa bahan terlarang seperti telefon bimbit ke sekolah.
"Bahan lucah itu seolah-olah beredar dengan begitu mudah tapi berlaku secara senyap-senyap serta sukar ditangani oleh guru.
"Sekarang, guru macam perlu jadi penyiasat. Masa mereka banyak dihabiskan untuk menjejak pelajar nakal pada hal sepatutnya mereka beri tumpuan pencapaian akademik.
"Guru betul-betul dalam dilema, bertegas sikit, mereka kena marah oleh pelajar dan ibu bapa. Tak bertegas, pelajar jadi terlalu nakal," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambahnya, jika terdapat pelajar dalam kelas itu terlibat dengan klip berkenaan, guru dan pelajar berasa terganggu dan tidak selesa.
Menurut seorang guru, Azman Jusoh, beliau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) memujuknya memuat turun sembilan klip video pelajar sekolah kira-kira seminggu lalu.
"SMS tu dihantar secara tiba-tiba ke telefon bimbit saya. Saya percaya klip-klip video tersebut sama seperti yang didedahkan Kosmo! sebab kesemuanya melibatkan aksi budak sekolah.

SUMBER: KOSMO 20 Oktober 2008