Ahad, 8 Jun 2008

RUMAH TUMPANGAN

Lubang sedalam enam kaki, seluas 2 x 6 kaki, adalah sebuah rumah kecil yang telah banyak memberikan jasanya menumpangkan musafir yang berkelana menuju ke bandar mega. Hanya berlapikkan lantai tanah yang kelembapan dan juga berbantalkan sekepal tanah. Dindingnya juga tanah yang tiada lagi hiasan-hiasannya, tiada lagi gambar-gambar bergantungan di dinding dan tiada lagi langsir-langsir yang beralun dan berombak. Hanya yang ada cuma gurisan-gurisan yang mencalar di sana sini pada dinding itu. Bumbungnya juga hanyalah tanah yang ditampal-tampalkan sehingga menutupi langit. Tiada lagi dinginan angin, jauh lagi dari penghawa dingin yang menyejukkan. Tiada juga lampu-lampu antik menghiasi suasana gelap . Bilik kecil itu tiada tiangnya namun kekukuhannya masyaAllah memang utuh. Itulah rumah tempat trilion manusia menumpang untuk meneruskan perjalanan ke Bandar Mega.

Walaupun di kiri kanan terdapat banyak rumah-rumah lain yang turut ditumpangi oleh manusia-manusia lain, namun tiada lagi kedengaran suara mereka, tiada lagi kelibat rupa mereka, tiada lagi ngilai tawa mereka, tiada lagi sindiran mereka, tiada lagi pertengkaran dengan mereka dan tiada lagi apa-apa kaitan dengan mereka. Di rumah itu hanya keseorangan. Tiada lagi kekasih yang dicintai, tiada lagi isteri tercinta, tiada lagi anak-anak, saudara mara dan siapa sahaja yang menemani. Kalau ada pun mujurlah kalau ada hadiah-hadiah jariah. Mujurlah kalau dulu pernah menjana harta benda untuk membangunkan kebaikan yang dimanfaati orang lain sehingga ke hari ini. Orang yang mengambil manfaat jariah itu tentunya tidak putus-putus menghantarkan hadiah-hadiah doa selamat sebagai peneman bersama dalam bilik kecil itu. Kalau dulu ada ilmu yang baik dan mengajarkan orang lain dan ilmu itu digunakan orang untuk yang baik pula maka mereka itu tentunya tidak lupa juga untuk menghantarkan hadiah-hadiah pahala yang tiada nilainya di kala sememangnya sangat memerlukan. Kalau dulu kita ada anak dan berusaha menjadikan anak itu supaya jadi baik dan beriman tentunya mereka juga tidak akan lupakan untuk menghadiahkan doa dan pahala.

Sebenarnya manusia yang dibaringkan di bilik ini hanya menunggu masa daging, kulit dan tulang bercerai-berai. Daging-daging hanyir pada jasad itu hanyalah makanan untuk cacing-cacing tanah. Dulu manusia itu dari hujung rambut sampai ke hujung kaki dijaga dengan sebaik-baiknya. Setiap hari dicuci dengan beraneka jenis busa dandiharumi dengan aneka jenis pewangi . Di ketika manusia itu dibaringkan di rumah ini, semuanya hanyalah untuk cacing-cacing tanah. Kadang-kadang ulat-ulat dari perut bersorak-sorai gembira meronyehkan daging-daging yang semakin hari semakin reput menjadi air danur yang tersangat busuk. Busuknya hinggakan tujuh air tanah dicuci pun belum tentu hilangnya baunya. Dulu perut itu diisi dengan macam-macam jenis makanan dan minuman yang enak dan sedap. Rupanya segala apa yang disuapkan untuk memenuhi perut itu hanyalah untuk santapan ulat-ulat perut. Sebahagian besarnya telah pun dibuangkan sebagai kumuhan yang menjijikkan semasa berkelana di alam buana. Selainnya pula bertukar menjadi darah dan daging untuk santapan ulat-ulat perut dan cacing-cacing tanah di bilik tumpangan ini.

Walaupun manusia itu hancur dimamah ulat-ulat dan cacing-cacing tanah namun itu hanyalah objek yang dilekat sementara pada jasad untuk perjalanan di alam buana. Bila tiba masanya jasad itu akan dikembalikan kepada tuannya iaitu tanah dan di rumah inilah tempat letaknya. Namun demikian tuan jasad tetap akan dikunjungi oleh dua pengawal yang akan bertanya khabar keadaan tuan jasad tersebut. Mereka itu sememangnya diamanahkan untuk sentiasa mengambil berat dan menjaga sesiapa sahaja yang menumpang di rumah kecil ini. Mereka akan sentiasa bertanya khabar akan hal keadaan orang yang menumpang di sini. “Siapa tuhan kamu?, Siapa pula nabi kamu?, Apakah Imam kamu?, Di mana Qiblat kamu?....” itulah antara pertanyaan yang akan ditanyakan oleh mereka. Namun bagaimana mahu menjawab kiranya suara tidak pernah mendendangkan tasbih, tahmid dan takbir sedangkan mulut tiada nokhtahnya untuk berkata-kata? Bagaimana mahu menjawab kiranya Shah Rukh Khan, Ronaldo, dan The Rock lebih dikenali daripada para Anbiya’? Bagaimana mahu menjawab sedangkan lidah hanya mengukir sebutan ayat-ayat suci wahyu Ilahi di kala teringat sahaja sedangkan serangkai lagu hindustan dihafal dengan sebaiknya walaupun tidak tahu maknanya? Bagaimana mahu menjawab kiranya jiwa sudah terpesona dengan kasino, bar, kelab malam, laman-laman porno, aurat-aurat wanita jelita dan segala macam lagi?

Di sini mungkin barulah terfikir; “di mana aku habiskan masa aku dan ke mana aku belanjakan harta-hartaku? Kenapa aku terlalu degil, tidak langsung menghiraukan nasihat orang-orang yang baik sebaliknya aku mempersendakan mereka? Kenapa aku akrab dengan golongan yang lupa diri sehinggakan aku turut tertipu dengan dunia yang fana itu? Kenapa aku menangguh-nangguhkan untuk melakukan perkara yang baik? Alangkah ruginya aku. RUGI! RUGI! RUGI! ...” Apabila jasad dibaringkan di sini barulah sedar kehidupan sebenar rupanya masih jauh. Perjalanan di alam buana sangatlah singkat. Di sini mungkin baru terfikir kalau masa itu dapat dikembalikan tentunya dapat dimanfaatkan sepenuhnya masa dalam perjalanan di alam buana. Tentulah banyak yang dapat dicapai untuk dikendong bersama untuk dibuat bekalan menuju ke bandar mega.

Setelah jasad bersemadi di sini bukan masanya untuk sesali masa lampau. Semua yang berlalu tetap berlalu dan akan menjadi persaksian kepada yang empunyanya di mahkamah Agung Rabbul Jalil nanti. Tak guna lagi berteriak walaupun sehingga memecahkan batu-batan bukit yang pejal. Tidak ada gunanya lagi menangis walaupun sehingga menitiskan air mata darah sekali pun. Di persinggahan rumah tumpangan ini bukan lagi untuk menyesali masa lampau tetapi hanya menunggu panggilan ke perhimpunan Agung di Al Mahsyar nanti. Di sana akan dihimpunkan semua empunya-empunya jasad sejak kewujudan Adam sehingga bumi ini dan segala isinya dimusnahkan sepenuhnya. Di medan perhimpunan itu adalah sebenarnya merupakan proses saringan untuk menempatkan setiap empunya jasad. Beruntunglah empunya jasad yang mengendalikan jasad selari dengan tuntutan yang Maha Pencipta. Dan sesunggunyah teramat besar rugi bagi mereka yang mengendalikan jasad yang mereka miliki menyimpang daripada kehendak dan tuntutan Yang Maha Pencipta.